Tuesday 31 January 2017

BAGAIMANA ISMAIL SABRI TIDAK TAHU-MENAHU & APA NASIB ANNUAR SETERUSNYA?


Tanpa angin, tanpa ribut dan tidak dapat dipastikan juga sebab-sebab sebenarnya, tiba-tiba saja Pengerusi Mara, Annuar Musa digantung daripada jawatannya.

Annuar yang kini sedang berada di New Zealand digantung daripada jawatannya dalam satu mesyuarat khas  Ahli Majlis Mara yang diadakan tanpa kehadirannya.

Persoalannya, siapakah yang memberi mandat kepada Ahli Majlis Mara untuk mengadakan mesyuarat khas dan kemudian menggantung Annuar itu?

Mengikut peraturan dan hukum akal, tidak mungkin Ahli Majlis Mara berani bertindak sedemikian rupa tanpa kebenaran dan restu daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri Yaakob.
Malah, tanpa restu menteri, mesyuarat Ahli Majlis Mara juga adalah tidak sah dan terdedah kepada tindakan lain, termasuk pemecatan.

Maka, logik paling munasabah ialah semua tindakan terhadap Annuar ini dilakukan setelah mendapat restu Ismail Sabri sendiri.

Tetapi, jika  ada restu Ismail Sabri mengenainya, apakah kesalahan Annuar sehingga diputuskan digantung itu?

Apakah ia berkaitan dengan penajaan oleh Pelaburan Mara Bhd dan UniKL, dua anak syarikat Mara kepada pasukan bolasepak Kelantan yang menjadi bualan ramai baru-baru ini atau berkaitan kesalahan-kesalahan lain yang lebih serius?

Maka, apa tindakan selanjutnya selepas penggantungan itu?

Adakah Annuar akan disiasat oleh SPRM atau pegawai-pegawai SPRM akan menunggu kepulangannya di KLIA nanti?

Annuar, bagaimanapun tidak berselindung mengatakan mesyuarat khas yang menggantungnya hari ini telah mendapat restu daripada menteri iaitu Ismail Sabri.

Beliau mendedahkan perkara itu dalam tulisan di laman Facebooknya.

Bermakna, mesyuarat khas itu adalah dalam pengetahuan dan diadakan dengan restu Ismail Sabri. Jika tidak sahih, tidak mungkin juga Annuar berani membuat pendedahan mengenainya.

Bagaimanapun dalam hal ini, terlihat sedikit pelik apabila Ismail Sabri mengatakan beliau tidak tahu menahu mengenai penggantungan Annuar itu serta juga tidak tahu sama ada penggantungan itu hanya berupa cadangan atau sesuatu yang sudah diputuskan.

Kata Ismail Sabri, beliau akan mendapatkan laporan penuh daripada Mara mengenai keputusan itu.

Kenapa Ismail Sabri tidak berterus-terang saja dalam hal ini?
Apa pula reaksi Najib Razak selepas ini?

Tidak terasa hatikah Najib apabila Annuar Musa yang dilantiknya sebagai Ketua Penerangan UMNO untuk membantunya mengukuhkan kedudukan parti, tiba-tiba digantung jawatan oleh ahli kabinetnya sendiri yang hanya berstatus Ahli Majlis Tertinggi UMNO?

Apakah mungkin Annuar akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO dalam waktu terdekat ini kerana dengan penggantungan itu, kredibilitinya jelas tercalar dan tentu saja menyukarkannya untuk menjalankan tugas? (SH 31/01/2017).

PECAT PEGUAM NEGARA, TRUMP BELAJAR DENGAN SIAPA?


Antara yang dilaksanakan oleh Presiden baru AS, Donald Trump di awal kemasukannya ke Rumah Putih ialah mengeluarkan perintah sekatan kepada pendatang muslim daripada tujuh negara untuk memasuki negara itu.

Negara yang terbabit ialah Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.
Bagaimanapun perintah larangan itu dibantah serta enggan didukung oleh Pemangku Peguam Negara, Sally Yates atas alasan peranannya ialah memastikan pendirian AS di mahkamah selari dengan tanggungjawab untuk "menegakkan keadilan dan mempertahankan apa yang benar".

Sebagai tindak balas, Donald Trump dilaporkan telah memecat Sally Yates kerana tidak mempertahankan perintah eksekutifnya itu.

Sally Yates telah mengkhianati Jabatan Kehakiman dengan keengganan menguatkuasakan arahan perundangan yang bertujuan melindungi rakyat AS, demikian kata kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih.

Kejadian Peguam Negara AS dipecat ini sama macam Peguam Negara Malaysia yang sebelum ini juga dipecat.
Adakah Trump mempelajarinya daripada apa yang pernah berlaku di negara kita?

Tentu Najib senyum-senyum sendirian dengan berita ini sambil tidak sabar menunggu bilakah Presiden AS itu mahu mengajaknya bermain golf lagi? (SH 31/01/2017).

Monday 30 January 2017

ELOK BENAR SURUHANJAYA DIRAJA DITUBUH MENYIASAT KERUGIAN AS$10 BILION FOREX, TAPI....


Kecoh benar laskar maya 6.6 peratus dalam sehari dua ini menjaja cerita mengenai kerugian dalam urusniaga forex sebagaimana yang ditimbulkan kembali oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid.

Tanpa menilai bahawa Abdul Murad sendiri sebenarnya tiada kredibiliti kerana pernah didenda RM500 ribu atau penjara enam bulan atas kesalahan gagal mengisytiharkan pemilikan saham dan 51 hartanah, laskar maya atau cybertrooper 6.6 peratus, senada dengan Abdul Murad yang mengatakan penyiasatan tidak pernah dijalankan terhadap kerugian AS$10 bilion itu, turut sama mendesak perlunya siasatan dijalankan dengan segera.

Dalam banyak-banyak desakan itu terpacul pula cadangan agar sebuah suruhanjaya diraja ditubuhakan untuk menyiasatnya.

Kata mereka, hanya dengan penubuhan suruhanjaya diraja dapat menentukan siapa yang bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut. 

Kerugian sebanyak AS$10 bilion itu, tambah mereka, mesti diketahui punca dan siapa yang bersalah kerana dengan wang sebanyak itu berapa banyak rumah, sekolah, masjid, tajaan pelajaran dan sebagainya mampu mendapat manfaat daripadanya.

Walaupun difahami bahawa sasaran sebenarnya yang mahu ditembak oleh laskar maya 6.6 peratus dalam isu kerugian forex itu ialah Tun Mahathir Mohamad, namun ia sebenarnya belum tentu akan mengena. 

Ini kerana ketika itu Menteri Kewangan ialah Anwar Ibrahim, manakala orang yang bertanggungjawab menjalankan urusniaga forex itu difahamkan ialah Nor Mohamed Yakcob, yang kemudian dilantik menjadi Menteri Kewangan Kedua di era Tun Abdullah Badawi. Sekarang pula Nor Mohamed Yakcob ialah Timbalan Pengerusi Khazanah, badan pelaburan utama kerajaan, manakala Pengerusi Khazanah adalah Najib sendiri.

Tun Mahathir cuba dipersalahkan hanya kerana ketika itu beliau adalah Perdana Menteri. Jika Tun Mahathir sekarang ini tidak berbalah dengan Najib, pasti kes kerugian itu tidak diungkit dan Abdul Murad pula tidak akan dipedulikan sama-sekali untuk ditemubual oleh mana-mana media.

Jadi, tidaklah sukar untuk memahami mengapa isu kerugian urusiaga forex yang berlaku pada tahun 1994 tiba-tiba boleh muncul kembali.

Namun demikian, elok benar jika suruhanjaya diraja dapat ditubuhkan kerana Tun Mahathir, Anwar dan Nor Mohamed Yakcob masih lagi hidup dan boleh memberi keterangannya.

Semua orang tentu ingin tahu kebenaran yang sebenar-benarnya dalam kerugian forex itu.

Tetapi, untuk berlaku adil kepada seluruh rakyat, sementara kerugian forex mahu disiasat melalui sebuah suruhanjaya diraja, Najib juga mesti berani berbuat perkara yang sama untuk menyiasat kerugian 1MDB serta pengaliran wangnya yang menjadi bulan di seluruh dunia.

Hanya dengan berbuat demikian barulah ada keadilan dan Najib terlihat benar-benar inginkan kebenaran yang menyeluruh dalam semua perkara.

Apalah gunanya sembang kencang dan cakap berdegar-degar tentang kuman di seberang laut, namun buat-buat tak nampak tentang gajah di depan mata.

Beranikah cybertrooper 6.6 peratus menyokongnya?  (SH 30/01/2017).

BAGAIMANA PAS NAK MENANG 40 KERUSI?


Presiden Pas, Hadi Awang dilaporkan mahu parti itu menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang.

Selain itu, katanya, Pas juga perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat melalui strategi mempertahankan Kelantan dan Selangor, selain memerintah semula Kedah dan Terengganu.

Besorrnya cita-cita  Hadi Awang dan Pas?

Tidak cukup dengan sebelum ini bertegas mahu 70 kerusi Parlimen yang ditandingi dalam pilihanraya 2013 lalu tidak diganggu, kini bercita-cita pula menang 40 kerusi daripadanya dan kekal berkuasa di Kelantan, berkongsi kuasa di Selangor serta menawan semula Kedah dan Terengganu.

Bolehkah semua impian itu dicapai?
Ketika Pas bersendirian dahulu, berapa banyak kerusi Parlimen yang pernah mereka menangi?

Jika kita masih ingat,  jumlah terbanyak pernah dimenangi Pas ialah pada pilihanraya 1999 dan 2008 iaitu 27 dan 23 kerusi Parlimen, manakala ketika bersendirian pula jumlah yang dimenanginya tidak pernah lebih daripada 10 kerusi.

Tetapi, apakah Pas sedar bahawa pada 1999 itu mereka bekerjasama dengan PKR dan mendapat laba selepas pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998, manakala pada 2008  kerana dibantu dengan jalinan kerjasama bersama PKR dan DAP?

Ketika bersendirian dahulu dahulu, berapa negeri yang pernah ditawan oleh Pas?

Sekali lagi diingatkan bahawa  Kelantan dapat ditawan Pas pada 1990 melalui bantuan Semangat 46, Terengganu pada 1999 dengan bantuan PKR, manakala kejatuhan lima negeri pada pilihanraya 2008, termasuk Kedah dan Perak di mana Pas menjadi Menteri Besar adalah kerana wujudnya kerjasama dengan PKR dan DAP?

Oleh itu, untuk menang 40 kerusi Parlimen dan menawan beberapa negeri seperti yang disebutkan oleh Hadi Awang itu, bagaimanakah Pas mahu mencapainya?

Bersendirian juga atau mahu bekerjasama dengan lain-lain parti?

Ataukah kenyataan Hadi Awang kali ini merupakan tanda-tanda Pas memang ingin bekerjasama dengan PKR dan Bersatu serta mengharapkan bantuan secara tidak langsung oleh DAP dan Amanah yang sudah pun sedia menjalin persefahaman dengan PKR dan Bersatu? (SH 30/01/2017).

Sunday 29 January 2017

WALAU TAK MUNGKIN BERLAKU, MASIH RAMAI PEMIMPIN UMNO MAHU NAJIB BERUNDUR


Semua orang sedar bahawa Najib Razak tidak mungkin berundur sebelum PRU 14 ini. Berundur bermakna beliau mengaku kalah dan menyerah, suatu sifat yang berkali-kali didakwanya bertentangan dengan semangat darah Bugis yang mengalih dalam tubuhnya.

Tetapi, agak menghairankan kerana rupa-rupanya masih ada (mungkin juga ramai) yang masih mengharapkan agar Najib berundur sebagai Perdana Menteri demi menyelamatkan masa depan UMNO.

Entah kenapa, beberapa hari kebelakangan ini,  saya agak kerap bertemu dengan pemimpin-pemimpin UMNO secara tidak sengaja. Ada yang terserempak di kelab golf (bukan saya main golf, kebetulan saja saya terjumpa mereka di sana ketika saya mahu berjumpa dengan seseorang), di pusat membeli-belah dan di kedai-kedai makan.

Dalam semua pertemuan itu, pertanyaan yang selalu ditanyakan ialah "Tak mahukah Najib berundur?", "Bila Najib nak undur?", "Buat apa kekal lagi jika hanya memperjudikan nasib UMNO?" dan lain-lain ayat senada dengannya.

Dalam masa yang sama, saya tidak pernah sesekali ditegur atau dijauhi hanya kerana mengkritik dan menghentam Perdana Menteri. Mereka masih mahu berkawan dan berbual-bual dengan saya. 

Mereka sebaliknya mengeluh bahawa UMNO semakin buruk keadannya di bawah kepimpinan Najib yang bukan saja lemah, tetapi juga paling banyak masalah serta tiada harapan lagi untuk terus mengekalkan kuasanya.

Sesetengahnya berkata, "teruskan lagi" iaitu agar saya terus menulis mengenai kelemahan serta keburukan Najib dan UMNO sepertimana sekarang.

Hakikatnya, ramai kalangan dalam UMNO sendiri sedar bahawa nasib parti itu dalam bahaya selagi ia terus dipimpin oleh Najib. Namun, tidak banyak yang mampu mereka lakukan kerana Najib nampaknya selesa dikelilingi oleh Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Ahmad Maslan, Nazri Aziz, Puad Zarkhasi, Jamal Mohd Yunus dan lain-lain yang sering mendendangkan lagu-lagu merdu ke telinganya.

Siapa kata Najib ada sokongan yang bulat?

Najib bukan saja menimbulkan bahaya kerana 1MDB, hubungan dengan Jho Low, wang RM2,600 juta dan karenah isteirnya Rosmah Mansor, tetapi juga membebankan rakyat dengan penarikan subsidi, GST serta kenaikan harga barang yang berterusan.

Ini menjadikan kemarahan rakyat bukan lagi terhad kepada orang di bandar, golongan muda dan mereka yang memiliki telefon pintar, bahkan sudah merebak hingga ke kampung-kampung dan kalangan suri rumah.

Pantang bagi kaum wanita ialah apabila perbelanjaan dapur untuk keluarga mereka mula terjejas dan berkurangan.

Lantaran itu, bagi sesetengah pemimpin UMNO, jalan terbaik bagi memberi harapan lebih baik kepada UMNO dan BN untuk menang PRU 14 ialah dengan Najib segera berundur daripada jawatannya.

Kata mereka, jika Najib berundur, maka tiada lagi isu 1MDB, RM2,600 juta, Jho Low dan Rosmah untuk dilantunkan kepada rakyat. Pemimpin baru selepas itu, tambah mereka, boleh menumpukan sepenuhnya kepada usaha-usaha memulihkan ekonomi dan memberi kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

Cumanya, harapan untuk Najib berundur itu tidak mungkin berlaku.

Bagi Pakatan Harapan dan Bersatu, mereka juga ketika ini tidak mahu lagi Najib berundur. Jika Najib undur, hilanglah semua modal kempen mereka untuk menang pilihanraya akan datang.

Hanya dengan adanya Najib yang turut bersamanya ada 1MDB, wang RM2,600 juta, Jho Low, Rosmah Mansor dan lain-lain, harus diakui bahawa cahaya di hujung terowong amat cerah bagi UMNO dan BN ditumbangkan.

Untuk itu, sebenarnya eloklah Perdana Menteri terus kekal sehingga PRU 14 akan datang dan bagi pemimpin dan penyokong UMNO yang kecewa kerana pengharapan agar Najib berundur tidak kesampaian, hanya ada dua pilihan saja buat mereka - tidak keluar mengundi atau memberi undi kepada parti selain BN.

Sebagaimana mereka kecewa dengan Najib sekarang, percayalah kekecewaan itu akan berlipat kali ganda lagi jika kuasanya terus dikekalkan selepas pilihanraya. (SH 29/01/2017).

LAGI DIUNGKIT KES2 LAMA ERA TUN MAHATHIR, LAGI KUAT INGATAN PENGUNDI KEPADA 1MDB


Selepas isu BMF dilihat tidak bermanfaat dan seolah-olah menikam diri sendiri, pasukan media dan laskar maya Najib Razak cuba pula menimbulkan kembali isu kerugian AS$10 bilion dalam urusniaga forex oleh Bank Negara ketika era Tun Mahathir Mohamad dahulu.

Abdul Murad Khalid, bekas Penolong Gabenor Bank Negara yang sudah lama tenggelam dan dilupakan, akhirnya dibawa kembali untuk ditemubual oleh media arus perdana untuk bercakap mengenai kerugian tersebut.

Beliau malah meminta suatu penyiasatan mengenai kerugian itu dibuka semula dan sedia membantu jika dipanggil memberi keterangan.

Jika kita masih ingat, Abdul Murad inilah juga yang sebelum ini pernah mendakwa Anwar Ibrahim mengawal dana berjumlah RM3 bilion untuk diagih-agihkan kepada rakan-rakan rapatnya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.

Bagaimanapun, tiada apa-apa yang dapat dibuktikan mengenai dakwan tersebut, sebaliknya pada tahun 2000, Abdul Murad yang dihukum denda RM500 ribu atau penjara enam bulan setelah mengaku bersalah atas tuduhan gagal mengisytiharkan saham dan 51 hartanah bernilai RM24 juta.

Tujuan menimbulkan kembali isu-isu lama ini tidak lain ialah untuk menyerang dan melemahkan Tun Mahathir  kerana semuanya berlaku ketika era kepimpinannya?
Apakah bermanfaat bagi pasukan media Najib menimbulkan kembali isu-isu lama itu dan selepas ini berapa banyak lagi kes lama akan terus diungkit?

Memang benar isu BMF dan kerugian urusniaga forex berlaku ketika era kepimpinan Tun Mahathir, tetapi harus diingat bahawa ketika itu beliau tidak menjadi Menteri Kewangan. Bahkan dalam semua yang berlaku itu tiada dakwaan kemasukan beribu-ribu juta wang ke dalam akaun peribadinya.

Ia lebih merupakan urusniaga yang rugi, bukan berlakunya sebarang kejadian curi. Malah dalam kes BMF, beberapa tindakan telah pun diambil, termasuk kertas putih dan hukuman penjara terhadap mereka yang terlibat, manakala dalam urusniaga forex pula, ia segera dihentikan selepas kerugian besar disedari.

Sudah tentu ia berbeza dengan 1MDB. Bukan saja Najib sebagai Perdana Menteri, tetapi juga menjadi Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat dalam waktu yang sama. Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB pula, tandatangan Najib diwajibkan bagi sebarang urusniaga pelaburan dan komitmen kewangan sebagaimana yang tertulis dalam Artikel 117 M & A syarikat pelaburan tersebut.

Tiada sesiapa dihukum berkaitan 1MDB di dalam negara, meskipun di di luar negara banyak tindakan sudah cukup memalukan kita, bahkan Laporan Audit tidak boleh dibaca oleh sesiapa kerana diletakkan di bawah OSA.

Di dalam akaun peribadi Najib pula diakui ada wang RM2,600 juta yang sehingga ini jika kita imbas kembali, semua jawapannya berbeza-beza dan tidak pernah sama.

Oleh itu, jika pasukan media Najib merasakan dengan menimbulkan isu-isu lama itu mampu melemahkan Tun Mahathir dan memesongkan kepercayaan rakyat untuk menyokongnya, ia adalah suatu kesilapan besar. 

Semakin banyak isu-isu lama dibangkitkan, ia hanya menyebabkan ingatan orangramai terhadap skandal 1MDB semakin kuat melekat di fikiran mereka.

Kenyataan Najib yang cuba berlagak suci dengan memandang serius berhubung kerugian urusniaga forex itu, sambil mahu meminta laporan daripada Bank Negara mengenainya, di merata-rata tempat hanya menjadi bahan ketawa ramai saja.

Rata-rata menempelak kembali, jika Najib ingin memandang serius terhadap apa yang berlaku dalam negara, skandal 1MDB jauh lebih mustahak dan perlu diselesaikan dengan segera.

Lagi pun, ketika berlakunya isu kerugian urusniaga forex itu dan Najib berada dalam kabinet, tetapi apa yang dilakukannya?

Pernahkah beliau bersuara, memberi pandangan dan menegur apa-apa?

Secara umumnya, Najib mesti sedar kelemahan dan kerosakan yang diakibatkan oleh dirinya sudah terlalu parah dan mustahil untuk dipulihkan kembali. 

Jika pun beliau mampu menutupnya ketika berkuasa sekarang, ia akan lebih membusuk bila kuasa tiada lagi dalam genggamannya nanti. 

Kiranya BN dapat ditewaskan, kerajaan baru pasti akan menyelongkar skandal 1MDB itu secara habis-habisan, manakala pengganti Najib daripada UMNO pula tidak mustahil akan menjadikannya sebagai senjata untuk menunjukkan ketelusan dan bertujuan mengembalikan sokongan. Akhirnya, Najib tetap menjadi mangsa atau dimangsakan.

Hakikatnya, tidak mungkin untuk Najib melepaskan dirinya 100 peratus daripada kebusukan 1MDB. Keluarga, anak-anak dan cucunya pasti akan menerima bahana di masa akan datang, kecuali beliau segera mengarahkan pasukan media dan laskar maya 6.6 peratusnya berhenti mengungkit cerita-cerita lama dan memberi tumpuan untuk menyelesaikan sepenuhnya isu 1MDB yang jauh lebih merbahaya kepada warisan dan nama baik keluarganya. (SH 29/01/2017).

Saturday 28 January 2017

NAK DIHALUSI APA LAGI?


Menepati seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa sebelum ini, mesyuarat MT UMNO semalam memang membincangkan mengenai penyertaan parti itu dalam perhimpunan Akta 355 anjuran Pas pada 18 Februari depan.


Namun, apa yang peliknya UMNO masih tidak dapat membuat keputusan sama ada akan menghadiri perhimpunan tersebut atau sebaliknya.


Kata Najib Razak, UMNO hanya akan membuat keputusan tentang perhimpunan Akta 355 anjuran Pas itu selepas memperhalusi aspek undang-undang berkaitan dengannya.

Sehubungan itu, tambah beliau, UMNO belum boleh lagi memutuskan sama ada akan menyertai atau tidak perhimpunan tersebut.


Saya akan buat ulasan nanti. Kita sedang halusi segala aspek Akta 355 itu, bagi masa sikitlah, ujar Najib lagi.


Apa yang Najib dan UMNO mahu kaji lagi Akta 355 itu dari segi undang-undang?


Kenapa pula baru sekarang mahu mengkajinya?


Mengapa kajian dari aspek undang-undang tidak dilakukan sebelum ini?


Bukankah UMNO dan kerajaan sudah memberi kebenaran atau laluan kepada Pas membawa usul itu dan turut bersetuju kemudiannya bahawa pembentangan seterusnya di Parlimen akan dilakukan oleh wakil kerajaan?


Malah Ahmad Maslan pernah menyebut, oleh kerana usul itu akan diambil alih oleh kerajaan, maka wajib semua Ahli Parlimen BN menyokongnya?


Jadi, mahu dikaji apa lagi?


Kalau usul sudah dipersetujui sehingga ke peringkat itu, kenapa mahu melihat aspek undang-undang terlebih dahulu sebelum memutuskan hadir atau tidak dalam perhimpunan berkaitan usul itu?

Adakah idea mahu mengkaji daripada aspek undang-undang itu hanya timbul selepas Presiden MCA, Liow Tiong Lai baru-baru ini memberi amaran bahawa pembentangan Akta 355 itu hanya akan menyebabkan BN berpecah?


Adakah kajian akan dilakukan juga kiranya MCA tidak memberi amaran?


Akhirnya, mungkinkah ini tanda awal Pas akan kena "kencing" sekali lagi? (SH 28/01/2017).

RUNDINGAN YANG MEMBUANG MASA


Rundingan bagi mewujudkan kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia  atau Bersatu dengan Pas yang sepatutnya sudah tamat, akhirnya diberi lanjutan masa lagi sehingga 2 Februari depan untuk dimuktamadkan.

Diberitakan masih ada segelintir pemimpin Bersatu yang percaya hubungan dengan Pas masih boleh diwujudkan, meskipun dalam masa yang sama mereka juga sedar ada pemimpin Pas yang masih melakukan serangan berterusan kepada Tun Mahathir Mohamad.

Tarikh 2 Februari bakal menjadi perbincangan terakhir antara Bersatu dengan Pas. Selepas tarikh itu, tiada lagi perbincangan lain dan masa serta tempat pertemuan sehingga ini belum lagi diputuskan.

Tetapi, sementara Presiden Pas, Hadi Awang kelihatan seperti mempunyai banyak masa untuk menghadiri beberapa majlis dengan Presiden UMNO, Najib Razak, beliau sebaliknya hanya menghantar Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk berunding dengan delegasi Bersatu yang diketuai Presidennya, Muhyiddin Yassin dalam pertemuan sebelum ini.
Untuk itu, dalam pertemuan pada 2 Februari nanti, Bersatu memutuskan hanya Mukhriz Mahathir selaku Timbalan Presiden Bersatu yang akan mengetuai delegasi perundingan, sesuai dengan Pas yang masih mengekalkan Tuan Ibrahim sebagai ketua delegasi.

Muhyiddin hanya akan dikembalikan untuk mengetuai delegasi rundingan sekiranya Pas juga menukar Tuan Ibrahim kepada Hadi Awang.

Bagaimanapun,  sehingga ini rundingan pada 2 Februari kekal diketuai akan oleh timbalan presiden kedua-dua parti tersebut.

Apa harapan kepada rundingan itu nanti?

Dalam sidang media selepas mesyuarat MT UMNO semalam, antara yang diumumkan oleh Najib Razak ialah UMNO dan Pas akan sekali lagi berkongsi pentas dalam majlis pelancaran kapal misi Flotilla Rohingya pada 3 Februari akan datang.

Walaupun tidak diumumkan tentang kehadiran Hadi Awang dalam majlis pelancaran itu, tetapi sekiranya Najib hadir, kemungkinan besar Presiden Pas juga sedia melapangkan masanya.

Lagi pun, dengan keghairahan Najib mengumumkan sekali lagi UMNO dan Pas akan duduk sepentas, walaupun mengatakan hanya berkaitan Islam dan kepentingan ummah,  sebenarnya tersirat apa yang lebih besar mahu diraih ialah laba politik daripada majlis tersebut.

Jika benar ikhlas untuk kepentingan ummah dan membantu Islam di Rohingya, pelancaran kapal itu lebih baik dilakukan secara senyap-senyap kerana yang lebih penting untuk dibantu ialah umat Islam yang sedang menderita di Rohingya, bukannya menghebah-hebahkan kehadiran Pas.

Dalam masa yang sama, kenapa Pas saja yang disebut hadir, tetapi tidak parti-parti  politik yang lain?

Yang lebih penting, tarikh  3 Februari itu hanya jatuh sehari selepas tarikh pertemuan antara Bersatu dengan Pas yang dijangka akan memutuskan sama ada akan wujud kerjasama atau tidak antara kedua-dua parti itu.

Agak-agak positif atau negatif rundingan 2 Februari nanti?

Bagaimana Pas mahu berada sepentas dengan UMNO pada 3 Februari itu kiranya pada 2 Februari sudah diumumkan kerjasama politik dengan Bersatu?  (SH 28/01/2017).

Friday 27 January 2017

HABIS, SIAPA YANG RASUAH?


Di ketika Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad memberi amaran kepada ahli-ahli politik yang korup bahawa masa untuk mereka ditangkap semakin dekat, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sebaliknya mengatakan pemimpin-pemimpin UMNO bukanlah terdiri daripada kalangan yang mengamalkan rasuah.

UMNO tidak mengamalkan rasuah, kata Ku Nan lagi.

Beliau bagaimanapun menerima amaran SPRM itu sebagai langkah untuk lebih berjaga-jaga.
Rasuah selalunya dikaitkan dengan kuasa dan di negara kita UMNO adalah parti yang paling lama berkuasa berbanding parti-parti yang lain.

Oleh itu, bolehkah diterima kata-kata Ku Nan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO tidak mengamalkan rasuah?

Kalau bukan pemimpin-pemimpin UMNO yang paling terpalit dengan amalan rasuah kerana kuasa paling dekat dengan mereka, siapakah lagi yang boleh dikaitkan dengan gejala buruk itu?

Atau mungkinkah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ku Nan itu tidak lebih hanya memberi gambaran bahawa tidak mungkin walau seorang pun pemimpin UMNO yang ada dalam senarai untuk ditangkap SPRM?

Adakah kita hanya akan melihat ahli-ahli politik selain UMNO saja yang bakal ditangkap dan didakwa berkaitan rasuah?
Bagaimana pula dengan Malaysian Official 1?

Ada benarnya juga kenyataan DAP berhubung peringatan Dzulkifli yang mahu menangkap ahli-ahli politik yang korup bahawa amaran itu langsung tidak memberi makna selagi tidak ditujukan kepada Malaysian Official 1.

Ohhh SPRM....(SH 27/01/2017).

SPRM, KAMI PUN TAK SABAR MENUNGGU!!


Susulan tanda-tanya orangramai mengenai bilakah ahli-ahli politik yang korup akan ditangkap selepas beberapa tindakan diambil terhadap penjawat awam,  SPRM hari ini tampil meredakan kebimbangan itu dengan mengatakan masa untuk mereka akan tiba tidak berapa lama lagi.

Kepada ahli-ahli politik yang korup, saya ada satu perkataan saja - tunggu, demikian tegas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad.
Ya, tunggu...tetapi siapakah ahli politi korup yang ada dalam senarai SPRM itu?

Ikan jerung, ikan gelama atau ikan bilis?

Jika di kalangan penjawan awam, mereka yang ditangkap sehingga ke taraf Ketua Setiausaha, apakah di kalangan ahli politik ia juga mencecah sehingga ke jawatan menteri dan timbalan menteri?

Sama seperti peringatan Dzulkifli kepada ahli-ahli politik iaitu "tunggu", rakyat juga tidak sabar menunggu siapakah yang bakal ditangkap oleh SPRM itu? 

Harap-harap "ikan" yang ditangkap nanti tidak mengecewakan semua yang menunggu-nunggu selama ini.(SH 27/01/2017).

Thursday 26 January 2017

ADAKAH ORANG POLITIK TIDAK RASUAH?


Sejak kebelakangan ini,  berita wajib yang boleh didengar setiap hari di negara kita adalah tangkapan demi tangkapan oleh SPRM berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Setiap hari ada saja tangkapan yang dilakukan, kadangkala sampai dua tiga tangkapan yang menjadikan ia bualan hangat di mana-mana. Efisen dan kerja kuat sungguh SPRM ini!

Pegawai perkhidmatan awam, agensi kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan adalah tiga sasaran utama SPRM setakat ini dalam usaha mereka membanteras gejala rasuah yang makin membarah.

Semua orang secara umumnya setuju dan mengalu-alukan tangkapan demi tangkapan dan pendakwaan demi pendakwaan yang dilakukan itu kerana mereka adalah pengkhianat kepada negara.

Dalam kes-kes yang serius, ramai pula yang berkata, elok saja ditembak mati mereka yang bersalah itu. Denda dan penjara tidak lagi menakutkan pelaku-pelaku rasuah.
Tetapi, dengan hanya pegawai awam, pengurus agensi kerajaan dan pengarah syarikat berkaitan kerajaan saja yang ditangkap dan didakwa, orangramai mula muak dan tertanya-tanya, golongan tersebut sahajakah yang melakukan rasuah, kenal duit ringgit dan selalu bermewah di negara kita ini?

Bagaimana dengan pemimpin politik yang terdiri daripada menteri, timbalan menteri, orang politik yang mengelilingi kementerian, pengerusi agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan?

Bukankah kuasa lebih berpusat kepada pemimpin-pemimpin politik yang menerajui kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan?

Apabila kakitangan awam sehingga Ketua Setiausaha, pengurus kanan agensi dan pengarah urusan syarikat berkaitan kerajaan diserbu dan ditangkap kerana kesalahan rasuah, adakah pemimpin politik yang merupakan peneraju kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan turut sama disiasat atau dibiarkan begitu saja?

Setelah sekian banyak tangkapan dan pendakwaan dilakukan, tetapi tiada satu pun melibatkan orang-orang politik, masyarakat juga ingin tahu, adakah orang politik di negara kita ini bersih-bersih belaka?

Apakah kejadian rasuah yang berlaku selama ini di luar pengetahuan orang politik sedangkan orang politiklah yang menjadi menteri dan pengerusi agensi serta syarikat berkaitan kerajaan?

Munasabahkah orang politik yang menjadi menteri dan pengerusi tidak tahu apa-apa?

Selama ini bukanlah rahsia bahawa orang politik, jangan kata menteri, timbalan menteri, setiusaha politik atau pengerusi agensi serta syarikat berkaitan kerajaan, malah pegawai khas dan setiausaha akhbar menteri pun ramai yang kaya raya, memiliki rumah besar dan menayang berkereta mewah ke sana sini?

Jika mereka terlihat begitu kaya dan selalu bergaya, daripada mana datangnya kekayaan itu?

Adakah mereka keturunan kaya raya, memiliki banyak peninggalan keluarga atau suka menabung sejak kecil?

Jika di rumah pegawai kerajaan yang diserbu dan ditangkap sebelum ini didapati ada berjuta-juta wang tunai tersimpan di rumah mereka, kenapa tidak SPRM cuba menyerbu rumah orang-orang politik pula?

Mungkinkah juga orang-orang politik ini terlalu pintar dan licik serta mengamalkan prinsip "pandai makan pandai simpan" sehingga tidak mudah untuk masuk perangkap SPRM?

Ataukah tiadanya tangkapan terhadap orang-orang politik, sebaliknya hanya pegawai kerajaan dan agensi saja yang disasarkan, ia lebih bertujuan untuk memberi gambaran cantik tentang wajah politikus-politikus, khususnya Perdana Menteri dan menteri-menteri menjelang pilihanraya akan datang?

Bolehkah UMNO dan BN terus menang dengan cara begitu sedangkan kes RM2,600 juta dan RM42 juta yang dikaitkan dengan Najib Razak siang malam terus menerus menjadi bualan rakyat? (SH 26/01/2017).

Wednesday 25 January 2017

SELAGI TIDAK TOLAK UMNO, PENEROKA FELDA AKAN TERUS DIPERDAYA


Selain orang Melayu, pihak lain yang barangkali bernasib malang di negara kita ialah para peneroka Felda. 

Kedua-duanya, orang Melayu dan peneroka Felda, sering dijadikan sebutan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan kononnya untuk diberi pembelaan dan dinaikkan taraf kehidupan, tetapi malangnya kelompok itu jugalah yang paling mundur dan terkebelakang.

Jika mendengar pemimpin Melayu bercakap tentang Melayu sejak dulu, apatah lagi jika menjerit perkataan "Hidup Melayu", aduhh...gegak-gempitanya sehingga berdiri bulu roma dibuatnya.

Namun, lagi kuat menjerit, lagi besar khianatnya mereka. Tidak cukup bersekongkol dengan tauke-tauke Cina mencairkan tanah rizab Melayu, bukan untuk menolong orang Melayu, tetapi lebih bertujuan memperkaya diri sendiri, ketamakan itu akhir-akhir ini melebar sehingga ke negara China jauhnya.

Tidak cukup dengan tanah, projek keretapi, rumah, kondo, pelabuhan, menjaga sempadan dan cara mencegah jenayah telah diserahkan kepada China, terbaru ini dimetrai bahawa program-program televisyen daripada China juga mahu dilambakkan untuk tontotan rakyat kita sekeluarga.
Seperti biasa, pemimpin-pemimpin yang sama tetap menjerit "Hidup Melayu"  tanpa henti dan tidak malu pula mengatakan keutamaan mereka tetap membela dan menjaga orang Melayu.

Begitu juga dengan peneroka Felda, walaupun mereka merupakan penentu dan penyumbang kemenangan kepada UMNO dan BN di 54 kawasan Parlimen di seluruh negara, hakikatnya nasib mereka tidak banyak yang dibela.

Di ketika suara-suara bergema mahu membela peneroka, hakikatnya Felda teruskan dijadikan lubuk untuk mengaut kekayaan oleh segelintir mereka yang diberikan amanah untuk menjaganya.

Penangkapan empat pegawai kanan Felda berhubung penipuan dan salah guna kuasa dalam pelaburan penternakan ikan sturgeon bernilai RM47 juta tidaklah begitu menghairankan sebenarnya.

Ini kerana sebelum ini kita juga dihidangkan dengan banyak kes mengenai Felda seperti pembelian hotel dan hartanah mewah di luar negara, pelaburan dalam syarikat yang meragukan, pembelian kondo, pembayaran elaun dan penggunaan apartment untuk anak pegawai yang sedang belajar, pemberian kontrak kepada kroni, pembelian ladang di Indonesia pada harga luar biasa serta berbagai-bagai lagi.

Semua itu tidak sama sekali memberi keuntungan kepada peneroka, sebaliknya hanya orang-orang tertentu yang mengaut laba daripadanya.
Susulan tangkapan empat pegawai Felda semalam, dikhabarkan terdapat dua atau tiga lagi orang kuat agensi itu sedang dalam pemerhatian SPRMdan tidak mengejutkan jika mereka akan turut dicekup sama dalam tempoh terdekat ini.

Dilaporkan ada di antara mereka yang mempunyai berpuluh-puluh kereta, memiliki restoran di beberapa pusat membeli-belah di dalam dan luar negara, selain sudah tentu turut mempunyai rumah besar dan perhiasan mahal-mahal untuk isteri masing-masing.

Sama seperti nasib orang Melayu yang hanya digula-gulakan, tiada apa-apa yang akan berubah kepada kehidupan peneroka Felda selagi UMNO yang menjaga mereka. 

Ia seperti meminta memerang menjaga kolam ikan atau musang menjaga reban ayam.

Orang Melayu dan peneroka Felda harus berani membuat perubahan, jika tidak, sehingga tahun 2050 pun, mereka terus menjadi barang mainan dan sekadar modal mengaut sokongan dalam ucapan.

Setelah berkali-kali diperdayakan, menolak UMNO bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan. (SH 25/01/2017).

SALLEH YANG TERLUPA.....


Kata Salleh Said Keruak, pengampu dan pembodek nombor satu dalam negara ketika ini, Lim Kit Siang tidak setaraf kedudukannya dengan Najib Razak untuk mengadakan perbahasan.

"Mungkin Kit Siang terlupa bahawa beliau hanya Pengerusi DAP. Malah, beliau juga bukan ketua Pakatan Harapan dan ini tidak meletakkannya setaraf dengan Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional.

"Sekiranya Kit Siang adalah ketua Pakatan Harapan atau Perdana Menteri Bayangan, maka beliau mungkin mempunyai sebab untuk menuntut mengadakan perbahasan dengan Najib," kata Salleh lagi.

Siapa yang sebenarnya terlupa, Lim Kit Siang atau Salleh sendiri?
Adakah Salleh terlupa bahawa Anwar Ibrahim, sebelum PRU 13, telah berkali-kali mencabar Najib untuk berdebat dengannya dan tidak pernah sekali pun cabaran itu berani disambut?

Bukankah Anwar ketika itu adalah ketua Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri bayangan?

Mengapa Najib tidak berani menyahut? Adakah Anwar tidak setaraf kedudukannya dengan Najib?

Jika perkara itu pun Salleh masih terlupa, beliau tentunya masih ingat mengenai program NothingToHide di mana Tun Mahathir Mohamad dengan penuh "gentleman"  menunggu kehadiran Najib untuk menyoal beberapa soalan mengenai 1MDB, tetapi akhirnya Najib sendiri yang kesipuan di dalam rumah dan membatalkan kehadiran tanpa sebarang sebab.

Mengapa Najib takut dan lari untuk berdepan dengan Tun Mahathir di pentas yang sudah dipenuhi dengan hadirin?

Adakah Najib juga menganggap Tun Mahathir tidak setaraf untuk berdebat dengannya?

Bolehkah Salleh menamakan sesiapa yang lain yang difikirkannya setaraf dari segi kedudukan dan jawatan untuk berdebat dengan Najib? (SH 25/01/2017).

Tuesday 24 January 2017

HADI AWANG KENA SETEPEK DENGAN AZMIN!!


Menteri Besar Selangor, Azmin Ali selalunya mengambil sikap berhemah dan lemah lembut dalam memberi reaksi terhadap apa jua kenyataan pemimpin-pemimpin Pas, apatah lagi jika berkaitan kerjasama dengan parti Islam itu.

Tetapi, kali ini Azmin nampaknya lebih bertegas dan berterus-terang dalam mengulas kenyataan Hadi Awang yang mahukan sesiapa mesti mengikut cara Pas kiranya ingin bekerjasama dengan mereka.
Hadi dilaporkan memberi syarat demikian kerana berpendapat Pas lebih lama bertapak di negara ini serta telah melalui pelbagai pengalaman jatuh bangun berbanding parti-parti lain.

Seperti senada dengan kenyataan Tun Mahathir Mohamad beberapa hari lalu yang menyatakan tempoh rundingan dengan Pas sudah berakhir, Timbalan Presiden PKR itu menyifatkan adalah tidak demokratik jika diletakkan syarat mesti mengikut cara Pas kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan parti itu.
Kalau paksa kamu kena ikut cara aku, rentak aku, itu bukan demokrasi, tetapi kuku besi, kata Azmin lagi.

Kehkehkeh...kan dan kena setepek!!

Bagaimana parti yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi mengamalkan ciri-ciri kuku besi?

Esok pula difahamkan Bersatu akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertingginya dan antara agenda yang dijangka diputuskan ialah mengenai hubungan muktamad parti itu dengan Pas.

Mungkinkah Pas akan kena setepek lagi? (SH 24/01/2017).

SIAPA YANG UMNO LEBIH SAYANG?


Menjelang pembentangan Rang Undang-Undang Akta 355 yang dijangka Mac depan, Pas dan UMNO sehingga ini nampaknya selesa dalam menjalinkan kerjasama antara mereka.
Tidak saja Pas dan UMNO dijangka bersama dalam Himpunan Akta 355 pada 18 Februari ini, malah mengunjungi pejabat menteri dan mengembara hingga ke London juga tidak lagi kekok untuk dilakukan.

Apatah lagi  UMNO turut akan membincangkan penyertaan dalam himpunan itu dalam mesyuarat Majlis Tertingginya pada penghujung bulan ini. Jika Himpunan Akta 355 pada 18 Februari berjalan seperti yang dirancang, bermakna ia acara kedua selepas perhimpunan Rohingya,  di mana Pas dan UMNO saling bekerjasama.
Terlihat segala-galanya nampak lancar, senyum pemimpin UMNO dan Pas juga terserlah makin melebar.

Tetapi, di ketika DAP yang digembar-gemburkan anti Islam dan lain-lain dakwaan hanya berdiam diri, MCA ternyata makin garang memberi penentangan.
Terbaru, menjelang PRU 14 yang tarikhnya bila-bila masa dan kedudukan Najib Razak tidak menentu keadaannya, MCA tampil memberi amaran bahawa tindakan UMNO membenarkan usul tersebut dibentangkan hanya berisiko menyebabkan perpecahan BN.

Akhirnya, jadikah usul itu dibentangkan pada Mac nanti?

Antara Pas dan MCA, siapa yang Najib dan UMNO lebih sayang? (SH 24/01/2017).

Monday 23 January 2017

APA SUDAH JADI DENGAN NAJIB?


Hanya dalam tempoh seminggu yang lalu saja, Najib Razak didapati telah melakukan dua kesilapan fakta yang tidak sewajarnya sebagai seorang Perdana Menteri.
Kali pertama, beliau mengatakan tanah di Forest City adalah pajakan selama 99 tahun  dan ia tidak menjejaskan dari segi kedaulatan negara apabila orang-orang dari negara China menjadi pembeli utamanya.

Ternyata kemudian melalui papan iklan, billboard dan laman web Forest City sendiri, fakta Najib ternyata salah. 
Tanah Forest City memang pegangan bebas dan ia akhirnya memaksa Bernama memadam fakta pajakan 99 tahun yang disebut Najib sebelum itu dalam berita yang disiarkannya.

Kali kedua, Najib menafikan dakwaan Tun Mahathir bahawa MCA pernah meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri sedangkan terbukti pada 3 April 2009, parti Cina komponen BN itu pernah berbuat demikian.
MCA ketika itu menggesa Najib yang baru menjadi Perdana Menteri agar mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN untuk Presidennya bagi mencerminkan "perkongsian kuasa"  yang sebenar dalam negara ini.

Bagaimanakah kesilapan fakta sedemikian boleh berlaku kepada seorang Perdana Menteri?
Adakah Najib tidak tahu atau begitu tertekan dan serabut fikiran sehingga "cakap main bedal saja"  menafikan sesuatu perkara tanpa mengira apa yang disebutnya itu betul atau salah?

Ataukah Najib memang suka cakap "hentam keromo" apabila fikirannya celaru dan tertekan sepertimana yang pernah dilakukannya mengenai wang RM2,600 juta dahulu?

Ketika itu Najib dengan selamba mengatakan, kalau pun mahu menyamun, takkankan beliau melakukannya dengan memasukkan wang ke dalam akuan sendiri di dalam negara, walhal menyedari perkara itu memang pun berlaku.

Adakah perlakuan-perlakuan Najib  yang tidak sewajarnya itu yang membuatkan Zahid Hamidi tiba-tiba mengatakan hanya tinggal 6.6 peratus saja "cybertrooper" yang bersama UMNO dan kerajaan sekarang ini?
Kata Zahid, akibat ketinggalan jauh dalam perang maya itu menyebabkan persepsi negatif yang buruk kepada UMNO dan kerajaan.

Adakah Zahid juga sedang cuba mengatakan bahawa UMNO dan BN di bawah pimpinan Najib hanya menunggu masa saja untuk menemui titik nokhtahnya?

Lalu, apa perancangan Zahid seterusnya? (SH 23/01/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...