Thursday, 25 May 2017

NAJIB "MENGHINA" PAK LAH?

Dalam satu majlis perasmian Syarahan Tun Abdullah Badawi di Putrajaya hari ini, Najib Razak mengumumkan pemberian dana kerajaan sebanyak RM5 juta kepada bekas Perdana Menteri itu.


Pemberian itu diberikan kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Badawi yang baru ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri itu.


"Saya ingin menghargai kesetiaan Pak Lah selama ini yang walau apa pun berlaku, beliau terus memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama saya, pihak kerajaan, UMNO dan Barisan Nasional serta tidak terlintas untuk mengkhianati parti, jauh sekali keluar meninggalkan UMNO.


"Saya bukan datang dengan tangan kosong. Saya ingin umumkan dana awalan RM5 juta pada legasi Pak Lah.


"Dana akan saya keluarkan tahun ini, kalau tahun hadapan ada rezeki,  saya akan tambah lagi," kata Najib dalam ucapannya.


Apakah makna ucapan Najib itu?


Maknanya Najib memberi sumbangan RM5 juta itu adalah kerana kesetiaan Pak Lah yang terus menyokong beliau, UMNO serta kerajaan yang dipimpinnya dan bukan kerana menghargai jasa serta sumbangan bekas Perdana Menteri itu kepada negara.


Bukankah sebagai bekas Perdana Menteri, sumbangan yang diberikan atas apa juga pertubuhan yang dikaitkan dengan beliau, ia seharusnya menjurus kepada jasa dan peranannya selama ini dan bukan kerana kesetiaan semasa?


Bagaimana jika sekiranya sama ada sebelum dan ketika ini Pak Lah agak  kurang setia, bersikap kritikal terhadap isu-isu yang berlaku dalam negara atau hanya berdiam diri tidak pernah memuji  Najib, adakah dana RM5 juta tetap diberikan juga?


Najib seterusnya mengumumkan RM5 juta itu ialah untuk tahun ini dan jika ada rezeki, tahun depan beliau akan menambahnya lagi.


Sekali lagi, kesetiaan Pak Lah seperti cuba diikat lagi jika masih mahu mengharapkan dana daripada kerajaan untuk tahun depan.


Bukankah perbuatan Najib ini sebenarnya suatu "penghinaan"  kepada Pak Lah sebagai bekas Perdana Menteri?


Mengapa pemberian dana kepada seorang bekas Perdana Menteri perlu dikaitkan dengan kesetiaannya?


Tidakkah ia juga mirip dedak yang biasa Najib taburkan sebelum ini untuk membeli dan menghargai kesetiaan mereka yang menyokongnya?


Bukankah sebagai bekas Perdana Menteri, Pak Lah seharusnya berhak mendapat apa-apa bantuan atau sumbangan daripada kerajaan berkaitan program, syarahan atau untuk menyebarkan buah fikirannya yang berguna asalkan ia baik untuk kepentingan negara?


Adakah menyumbang untuk kebaikan negara mesti dikaitkan dengan kesetiaan kepada Perdana Menteri?


Budaya "cash is king"  yang menjadi falsafah perjuangan Najib nampaknya bukan sekadar digunakan untuk mengikat pemegang jawatan dalam parti dan kerajaan untuk terus setia kepadanya, malah kepada seorang bekas Perdana Menteri pun mahu diterapkannya juga.


Tak rasa terhinakah Pak Lah dengan tindakan Najib itu? (ShahbudinHusin 25/05/2017)

ANWAR PM KE-7, ADAKAH IA MESEJ PKR TAK MAHU MENANG PRU 14?

Tidak cukup dengan mencetak plakad bertulis "Anwar PM ke-7" semasa Kongres PKR pada Ahad lalu, usaha mempromosi semula bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan diteruskan lagi melalui kajian oleh Invoke, sebuah NGO yang diterajui oleh Rafizi Ramli.

Dalam kajian itu, dapatan umum dilaporkan mendapati Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri paling dikehendaki sekiranya pihak pembangkang berjaya memenangi pilihanraya umum akan datang.

Anwar didapati mendapat sokongan sebanyak 23.5 peratus, meninggalkan pesaing terdekatnya Hadi Awang yang memperolehi sokongan 17.6 peratus, Tun Mahathir 16.5 peratus dan Muhyiddin Yassin 12.6 peratus.

Sebenarnya tidaklah salah untuk mempromosi dengan ligat dan berterusan untuk meletakkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri akan datang, apalagi jika semua parti dalam Pakatan Harapan memberi sokongan kepadanya.

Tetapi, yang utama dan  sangat  penting daripada menonjolkan nama Anwar itu ialah pastikan UMNO dan BN dapat dikalahkan terlebih dahulu. Tidak guna menonjolkan nama beliau secara berterusan jika akhirnya  Pakatan Harapan kecundang dan Najib Razak terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas PRU 14 akan datang.

Yang kedua, kenapa Anwar ditonjokkan sebagai Perdana Menteri ke-7?

Semua orang tahu Anwar kini berada di dalam penjara dan tidak mungkin dapat bertanding dalam pilihanraya akan datang. Selepas dibebaskan pula, beliau tersekat lagi selama lima tahun untuk boleh bertanding semula. Dalam proses biasa, hanya dalam PRU 15 Anwar layak bertanding semula.

Anwar bagaimanapun boleh dilepaskan daripada sekatan itu dan layak bertanding lebih awal daripada PRU 15 jika memperolehi pengampunan Diraja, tetapi ia memerlukan Pakatan Harapan menang PRU 14 terlebih dahulu untuk membolehkan usaha itu dilakukan.

Bermakna, jika  Pakatan Harapan menang PRU 14, perlu ada seseorang lain terlebih dahulu menjadi Perdana Menteri sebelum Anwar boleh diletakkan ke kerusi idaman kalbu itu.

Ertinya, seseorang yang lain itulah Perdana Menteri ke-7. 

Jika selepas itu Pakatan Harapan bersetuju mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri, beliau sebenarnya adalah PM ke-8, bukan ke-7.

Walaupun seseorang yang lain itu hanya merupakan Perdana Menteri sementara, Perdana Menteri interim, Perdana Menteri peralihan atau apa istilah sekali pun, dalam sejarah negara bilangan ke-7 itu tetap miliknya.

Anwar tidak mungkin dapat menjadi Perdana Menteri ke-7 berdasarkan realiti dan hakikat yang menimpa dirinya.

Rafizi sendiri dalam ucapan penggulungan di Kongres PKR, Ahad lalu ada menghuraikan bagaimana Anwar boleh diangkat untuk menjadi Perdana Menteri. Kata beliau, dalam tempoh sebulan selepas Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, akan diusahakan pengampunan Diraja untuk Ketua Umum PKR itu dan di bulan seterusnya pula akan menyusul perletakan jawatan seorang Ahli Parlimen PKR untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding semula.

Secara tidak langsung, Rafizi sendiri mengakui Anwar adalah Perdana Menteri ke-8 dan bukan Perdana Menteri ke-7. Mana mungkin selepas menang pilihanraya kerusi Perdana Menteri dibiarkan kosong begitu saja semata-mata untuk menanti Anwar?

Perdana Menteri yang bersifat sementara, interim dan peralihan itu tetap menjadi Perdana Menteri yang ke-7  walaupun hanya menjalankan tugas selama dua bulan saja.

Tetapi, kenapa PKR masih ditonjolkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-7 juga?

Dalam soal ini, jika benar kemenangan dalam pilihanraya akan datang sebagai matlamat utama, adalah lebih baik PKR berhenti mempromosi Anwar sebagai PM ke-7 kerana ia secara tidak langsung memberi gambaran PKR sebenarnya tidak mahu menang PRU 14 akan datang.

Anwar hanya boleh  dijadikan Perdana Menteri ke-7 Malaysia sekiranya kemenangan Pakatan Harapan diperolehi dalam PRU 15 dan bukannya PRU 14. Ketika itu, iaitu PRU 15, Anwar memang sudah bebas untuk bertanding dan tidak terhalang lagi dari segi undang-undang untuk menjadi Ahli Parlimen. Selepas menang PRU 14, Anwar lebih sesuai dijadikan Perdana Menteri ke-8.

Adakah dengan menonjolkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-7, PKR sebenarnya hanya mahu Pakatan Harapan dengan adanya pengaruh Tun Mahathir Mohamad bersama gabungan itu sekarang sekadar berjaya mengurangkan majoriti BN daripada 133 kerusi yang diperolehinya dalam PRU 13 lalu saja?

Dan target sebenar yang diimpikan oleh PKR untuk menggapai kemenangan ialah dalam PRU 15, bukan PRU 14 supaya Anwar benar-benar dapat menjadi Perdana Menteri ke-7?

Sekali lagi, adakah itu sebenarnya mesej tersirat PKR di sebalik penonjolan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-7 itu?

Dalam pada itu, sejak minggu-minggu terakhir ini muncul juga perkhabaran yang mengatakan ada pihak tertentu dalam PKR yang lebih menyasarkan untuk menang menyingkirkan UMNO dan BN dalam PRU 15 dan PRU 14 hanya medan untuk mengurangkan lagi majoriti semata-mata.

Jika bukan demikian mesej yang tersirat, PKR perlu segera kembali kepada realiti untuk lebih memenangi PRU 14 berbanding usaha keterlaluan menonjolkan Anwar. Tidak salah untuk menobatkan Anwar, apatah lagi jika mendapat sokongan Pakatan Harapan ke arah itu, tetapi yang jauh lebih penting ialah kemenangan mesti dicapai terlebih dahulu.

PRU 14 adalah medan terbaik untuk mengalahkan Najib, UMNO dan BN berdasarkan terlalu banyak isu dan rasa menyampah pengundi terhadap Perdana Menteri. 

Tidak menang PRU 14, mungkin peluang terbaik Pakatan Harapan tidak akan muncul lagi selepas itu dan Anwar pun akhirnya terlepas terus impian menjadi Perdana Menteri. (ShahbudinHusin 25/05/2017).

Wednesday, 24 May 2017

SATU LAGI KEPELIKAN DI SELANGOR


Berikut adalah kenyataan media Biro Politik PKR yang bermesyuarat malam tadi berhubung kedudukan tiga Exco Pas yang enggan melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan negeri Selangor, meskipun kedua-dua parti tiada lagi hubungan politik.


Kenyataan Media


Biro Politik KEADILAN malam ini telah mendengar taklimat dari YAB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden KEADILAN, berhubung situasi di Negeri Selangor ekoran keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi di antara PAS dengan KEADILAN.


Biro Politik KEADILAN mengambil maklum penjelasan yang diberikan YAB Dato' Menteri Besar Selangor bahawa, walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari PAS telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga, dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Dato' Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin Ali.


Biro Politik KEADILAN turut bersetuju dengan pendekatan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU 14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU 13.


Biro Politik KEADILAN yakin terhadap kepimpinan YAB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali untuk terus menerajui Kerajaan Negeri sebagai Dato' Menteri Besar Selangor dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor.


YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Presiden KEADILAN

23 Mei 2017.



Jelas kini bahawa tiga Exco Selangor daripada Pas akan terus memegang jawatan masing-masing, sekurang-kurangnya sehingga PRU 14 akan datang diadakan.


Selepas Pas berkeras tidak mahu meletakkan jawatan mereka, nampaknya PKR  juga tiada keberanian untuk menyingkirkan tiga Exco berkenaan.


Maka, bukan saja tiga Exco berkenaan terus kekal menerima gaji, elaun dan kemudahan-kemudahan lain daripada kerajaan Pakatan Harapan yang Pas tiada hubungan dengannya, bahkan lebih 5,000 penjawat yang lain yang terdiri daripada ketua kampung, ahli jawatankuasa surau dan masjid, pelbagai jawatan lain dalam majlis perbandaran, majlis daerah dan GLC milik kerajaan negeri masih boleh terus bergembira dengan gaji yang diterima.


Alasan yang diberikan Azmin dalam penjelasannya ialah sebagaimana perenggan kedua kenyataan media Biro Politik  yang antara lain berbunyi, "walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari Pas telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Dato' Menteri Besar YAB Datuk Seri Azmin Ali."


Dengan kata lain, dua asas yang menjadikan tiga Exco itu dikekalkan ialah kerana mereka sedia menyokong dasar kerajaan negeri berasaskan Buku Jingga dan juga menyokong kepimpinan Azmin di Selangor.


Bukankah ini sesuatu yang pelik?


Tiada hubungan politik, tetapi masih boleh berada dalam kerajaan negeri hanya semata-mata kerana sedia menyokong dasar kerajaan negeri dan juga menyokong kepimpinan Menteri Besar?


Wakil rakyat Pas nampaknya sanggup menyokong dasar kerajaan negeri Selangor dan menyokong kepimpinan Azmin yang kedua-duanya adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan yang dimusuhi semata-mata kerana ingin mempertahankan jawatan serta gaji yang lumayan.


Kepada siapa wala' tiga Exco Pas ini sebenarnya?


Kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan yang didalamnya ada DAP dan Amanah atau kepada dasar perjuangan Pas sendiri yang memutuskan hubungan dengan PKR?


Bolehkah seseorang ahli politik mempunyai dua kesetiaan?


Selain itu, dengan kekalnya mereka itu dalam kerajaan negeri, bagaimana kedudukan mereka ketika kempen PRU 14 diadakan nanti?


Adakah ketika itu mereka akan terus menyokong dasar kerajaan dan kepimpinan Azmin sedangkan mereka bertanding atas tiket Pas yang bermusuh dengan Pakatan Harapan?


Kenapa kerajaan negeri Pakatan Harapan Selangor begitu lemah sehingga membiarkan musuh yang dikenali terus berkeliaran dalam rumah sendiri? (ShahbudinHusin 24/05/2017).

HARI MALANG KJ....


Semalam barangkali adalah hari yang agak malang bagi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Pada sebelah tengahari beliau mengeluh tentang kelakuan seorang pemimpin kecil UMNO di peringkat cawangan yang sering menuduhnya macam-macam, termasuk menggelarnya sebagai Bangla.

KJ jelas kelihatan kecewa dengan sikap individu berkenaan serta menyifatkannya sebagai "gila".
"Baru saja malam tadi dia menggelar saya Bangla, ada sesuatu yang tak kena dengan lelaki ini," kata KJ.

Pada sebelah petang pula, beliau ditegur oleh Tengku Mahkota Johor yang juga Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas ketidakhadirannya menyaksikan perlawanan akhir bolasepak Piala FA, baru-baru ini.

Lebih-lebih lagi tambah TMJ, turut hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA itu ialah kerabat-kerabat diraja daripada Johor, Pahang dan juga Kedah.

Kata TMJ, Menteri Belia dan Sukan itu sepatutnya menjadi antara individu penting yang hadir menyaksikan perlawanan akhir itu, tetapi malangnya difahamkan KJ mempunyai program bersama Askar Wataniah pada malam tersebut.

"Pada saya, sekiranya program itu lebih menjadi keutamaan, adalah lebih baik beliau menjadi Askar Wataniah daripada menjadi Menteri Belia dan Sukan," tegas TMJ lagi.
Dari segi peranan dan tanggungjawab, KJ adalah Menteri Belia dan Sukan, sementara penglibatannya dalam Askar Wataniah pula lebih berbentuk sukarela dengan pangkat yang disandangnya sebagai Brigadier Jenderal.

Bermakna, teguran TMJ terhadap KJ memang ada asasnya, bukan saja dari segi keutamaan dan matlamat untuk melihat sukan bolasepak terus maju dan berkembang, malah juga berdasarkan jawatannya dalam kerajaan.

Kalau dalam acara-acara sukan di peringkat antarabangsa sebelum ini KJ boleh melapangkan masa menghadirinya, sudah tentu agak mengecewakan jika acara sukan dalam negara sendiri hanya dipandang sepi oleh beliau.

Bagaimana KJ mahu meletakkan dirinya sebagai pemimpin masa depan jika beliau masih keliru dari segi keutamaan? (ShahbudinHusin 24/05/2017).

Tuesday, 23 May 2017

PATUTLAH NAJIB TAK DAPAT BERSELFIE DENGAN TRUMP DI RIYADH!!


Tak disangka-sangka, dalam kita menduga Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mempunyai imej buruk dan paling tidak popular, rupa-rupanya kedudukan Najib Razak lebih teruk lagi daripada itu. 

Menurut majalah antarabangsa Time, Najib adalah antara lima pemimpin dunia lain yang kedudukannya lebih teruk daripada Trump yang dianggarkan kadar penerimaan rakyat Amerika Syarikat terhadapnya cuma 40 peratus saja.

Bersama Najib yang ditaksir mempunyai populariti lebih rendah daripada Trump itu ialah Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, Presiden Brazil, Michel Temer, Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dan Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras.
Kata majalah itu lagi, punca teruknya kedudukan Najib ialah kerana skandal 1MDB, kemasukan berbilion-bilion ringgit ke dalam akaun peribadinya dan tindakan Peguam Negara membersihkan namanya daripada sebarang salah laku berkaitan dua perkara itu.

Maka, disebabkan kedudukan Najib yang lebih teruk itukah yang menjadi punca tidak ada gambar selfie antara beliau dengan Trump di mesyuarat di Riyadh yang dihadirinya baru-baru ini?

Bukankah Najib selalu mengambil kesempatan berselfie dengan pemimpin dunia yang ditemuinya untuk menunjukkan beliau diterima baik oleh mereka?

Kenapa tidak ada selfienya dengan Trump sebagaimana beliau mudah melakukannya dan selalu menunjuk-nunjuk gambarnya dengan Obama sebelum ini?

Selain itu, adakah ini juga merupakan suatu petanda Trump ingin membiarkan kes saman sivil Jabatan Kehakiman AS untuk menyita aset dan hartanah yang dipercayai berpunca daripada dana 1MDB yang diselewengkan berjalan dengan bebas, lancar dan tidak terganggu?

Disebabkan tidak dapat berselfie dengan Trump, musnahlah impian Najib untuk "gebang besar" dengan gambar itu yang kemudian sudah tentu juga akan dimanipulasi oleh media arus perdana dan askar maya A9 untuk menunjukkan seolah-olah saman di Amerika "tidak ada apa-apa" sebenarnya.

Apa pun, kedudukan Najib yang semakin teruk itu merupakan mesej yang baik kepada rakyat Malaysia bahawa usaha menolak dan menyingkirkan beliau mesti diteruskan sehingga mencapai kejayaan.

Tidak ada kebaikan sama-sekali kepada negara dan rakyat jika kita mengekalkan pemimpin yang imej dan reputasinya sudah diketahui berada di tahap yang sebegitu rendah. (ShahbudinHusin 23/05/2017).

MENANG PRU 14 DULU ATAU NAMAKAN CALON PM DULU?


Tiba-tiba saja Pakatan Harapan bagai dilanda angin perpecahan berikutan munculnya semula isu siapa calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan berjaya memenangi pilihanray akan datang.

Isunya bukan kerana Pakatan Harapan tidak bersetuju nama Anwar Ibrahim dicalonkan, tetapi siapakah calon Perdana Menteri interim atau peralihan sementara Ketua Umum PKR itu dibebaskan dari penjara?

Kongres PKR Ahad lalu bukan setakat menamakan Anwa sebagai Perdana Menteri ke 7,  bahkan meletakkan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri peralihan sementara menunggu suaminya dibebaskan dan kemudian diusahakan baginya pengampunan Diraja.

Menunggu Anwar dibebaskan dan adanya seseorang yang lain perlu menduduki jawatan itu terlebih dahulu, bermakna Anwar bukanlah calon Perdana Menteri ke 7, sebaliknya adalah giliran yang ke 8. Perdana Menteri interim itulah yang ke 7 sebenarnya.

Sesiapa pun boleh menamakan sesiapa saja sebagai calon Perdana Menteri interim untuk Pakatan Harapan, namun pemilihan haruslah bersandarkan kepada kemampuan untuk menerajui kemenangan dengan kebolehan paling mantap menyerlahkan keyakinan rakyat serta menimbulkan "kegerunan"  kepada Najib Razak yang bakal ditumbangkan.

Jika salah pilihan calon, bukan saja Pakatan Harapan tidak mungkin menang, bahkan hasrat untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri juga tidak mungkin kesampaian.

Maka, jika benar ingin menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, kemenangan Pakatan Harapan mesti digapai terlebih dahulu, bukan sekadar menonjolkan namanya di plakad semata-mata.

Meskipun pelbagai nama turut dijadikan sebutan seperti Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali, selain Dr Wan Azizah sendiri, perkara itu hakikatnya sudah pun dipersetujui dalam Pakatan Harapan untuk dibincangkan terlebih dahulu sebelum diumumkan.

Banyak khabar mengatakan ia bakal diumumkan sebelum PRU 14 diadakan. Bagaimanapun sehingga  ini perbincangan belum lagi mencapai apa-apa kata putus mengenainya. Tidak pasti sama ada akhirnya ia dapat dimuktamad dan diumumkan atau sebaliknya.

Selain itu, disebut juga oleh beberapa pemimpin sebelum ini bahawa dalam Pakatan Harapan tidak ada mana-mana parti boleh mendakwa sebagai  "big brother" atau "abang besar" yang boleh menentu dan membuat keputusan dalam segala hal. Semua perkara dikhabarkan perlu dibincangkan dan dipersetujui terlebih dahulu.

Watak "big brother" hanya ada dalam BN dan Pakatan Harapan dikatakan ingin tampil berbeza di hati rakyat jelata.

Lantaran itu, Kongres PKR yang menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Dr Wan Azizah sebagai Perdana Menteri interim seperti tidak kena dengan dengan irama dan lagu yang selalu dinyanyikan.

Dalam soal ini, Pakatan Harapan mesti kembali ke meja perundingan untuk memuktamadkan siapa calon Perdana Menteri selepas Najib ditumbangkan. Jika ada konsensus, namakanlah pemimpin berkenaan secara terbuka dan tanpa-tanpa ragu.

Tetapi, jika tidak ada konsensus, bukan kerana ketiadaan calon yang sesuai atau layak untuk ditonjolkan, tetapi disebabkan lebih daripada seorang yang difikirkan bersesuaian, Pakatan Harapan tidak harus menjadikan isu itu sebagai keutamaan.

Mereka mesti kembali kepada perkara pokok iaitu memastikan kemenangan dan hasrat menumbangkan Najib, UMNO dan BN benar-benar menjadi kenyataan. Calon Perdana Menteri boleh dipilih dan dirundingkan kemudian sebagaimana memilih Menteri Besar selepas Pakatan Rakyat menang di Selangor dan Perak sebelum ini.

Sebenarnya bukanlah sesuatu yang pelik pengisi jawatan itu tidak dinamakan kerana yang penting ada dibariskan calon-calon yang sesuai untuk bertanding dan mereka saling berpakat dan bekerjasama antara satu sama lain untuk mencapai kemenangan. 

Mewujudkan lebih daripada seorang calon Perdana Menteri bahkan boleh membawa keseronokan dan keterujaan kepada pengundi berbanding menamakan seorang calon secara khusus. 

Jika dengan tidak menamakan sesiapa itu lebih baik dan mampu menjana ke arah kemenangan, ia tentunya jauh lagi penting daripada ghairah menamakan seseorang, tetapi akhirnya hanya menyebabkan perpecahan.

Yang penting, jangan dikecewakan rakyat yang mahukan perubahan. Bagi majoriti pengundi, meskipun siapa calon Perdana Menteri interim itu agak penting, tetapi lebih penting bagi mereka ialah wujudnya ruang yang konsisten dan kukuh bahawa Najib yang banyak masalah benar-benar dapat dikalahkan.

Menamakan seseorang sebagai calon Perdana Menteri interim, tetapi jika hanya membawa keselesaan kepada Najib untuk menang, ia tentunya lebih membawa kesengsaraan dan menyebabkan rakyat hidup dalam tekanan untuk tahun-tahun mendatang.

Jangan sampai isu calon Perdana Menteri membawa perpecahan dan menimbulkan rasa kecewa di hati rakyat. Tidak menamakan sesiapa, tetapi sesama mereka yang dirasakan sesuai menjadi Perdana Menteri itu terus kukuh berpadu tenaga untuk menumbangkan Najib, ia adalah jauh lebih penting daripada segala-galanya.

Selepas menang, pemilihan Perdana Menteri mungkin boleh dilakukan berdasarkan parti yang memperolehi paling banyak kerusi kemenangan, konsensus selepas perundingan atau boleh juga secara undian di kalangan anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Menamakan calon Perdana Menteri terlebih dahulu memang menyeronokkan dan boleh juga membawa mereka yang berkaitan lebih dahulu menempah baju atau penyokong berangan-angan dalam kalbu, tetapi semua itu akan menjadi tidak bermakna kiranya kemenangan akhirnya kandas di tengah jalan.

Oleh itu, utamakanlah matlamat mencapai kemenangan dan menumbangkan Najib terlebih dulu kerana itulah yang majoriti rakyat paling kehendaki. (ShahbudinHusin 23/05/2017).

Monday, 22 May 2017

PENDIRIAN JELAS TUN MAHATHIR TENTANG KEWUJUDAN GOLONGAN "HAMLAU" DALAM BERSATU


1. Terdapat ramai yang mendakwa saya sokong mereka. Nama saya diguna untuk memberi kekuatan kepada apa yang hendak dilakukan oleh mereka. Ini termasuk kempen untuk menggagalkan usaha saya untuk mengalahkan Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib.

2. Tindakan mereka secara langsung atau tidak langsung akan memesongkan tumpuan ahli Parti Peribumi Bersatu Malaysia daripada menjatuhkan Najib kepada masalah buatan mereka. Kononnya ketua bahagian yang diberi watikah tidak baik, tidak mendapat sokongan ahli parti dan rakyat. Kononnya ini semua disebabkan ada pemimpin tertentu.

3. Sekarang ia sudah naik ke tahap menolak kepimpinan tertinggi parti. Kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin patut disingkir sebagai presiden parti. Kononnya dia mengguna saya untuk kepentingan dirinya. Kononnya dia ingin dapat jawatan tertentu baginya.

4. Kita semua tahu bahawa amatlah sukar untuk memujuk pemimpin UMNO, terutama yang memegang jawatan dalam Kerajaan, menjadi Menteri terutamanya meninggalkan UMNO. Kalau meninggalkan pun atau menjadi bekas menteri, tidak sanggup mereka menyertai gerakan melawan UMNO. Sudah tentu mereka tidak berani mendekat diri dengan parti seperti PPBM yang secara lantang mendesak supaya Najib disingkir.

5. Tetapi Muhyiddin memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana menjadi Timbalan Presiden UMNO. Jika Najib turun kerana apa-apa sebab Muhyiddinlah yang akan jadi Perdana Menteri.

6. Baginya dan bagi Shafie Apdal membenar diri disingkir dari jawatan-jawatan menjadi korban yang amat besar. Umum tahu yang Muhyiddin mengkritik Najib semasa masih menjadi Timbalan Perdana Menteri. Akhirnya dia disingkir.

7. Setelah disingkir, tidak seperti orang lain yang kehilangan jawatan, Muhyiddin tidak jauhkan diri dari saya. Sebaliknya beliau bersedia untuk bersama menubuh Parti Pribumi Bersatu dan menjadi Presidennya. Beliau menerima cadangan saya supaya saya menjadi Pengerusi Parti, kedudukan yang dipandang lebih tinggi darinya.

8. Banyaklah kerja yang dibuat oleh beliau untuk menjayakan Parti Pribumi Bersatu, jauh lebih dari orang yang bercadang menyingkirnya.

9. Jika hari ini ia disingkir, parti akan berpecah kerana ramai ahli parti yang menyokongnya. Maka akan gagallah usaha memenangi PRU 14.

10. Saya percaya mereka yang mencadang tindakan ini berhasrat untuk menggagalkan perjuangan parti PPBM. Sekaligus mereka ingin lihat saya gagal dan Najib berjaya.

11. Mereka yang mendakwa mereka sokong saya, sebenarnya adalah musuh saya yang berjuang untuk Najib. Jika mereka teruskan usaha ini saya bersetuju mereka dikeluarkan dari parti. Penyokong Najib tidak ada tempat dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Tun Mahathir Mohamad (Blog Chedet) - 22 Mei 2017.


Ulasan Blog - Artikel di atas adalah tulisan terbaru Tun Mahathir Mohamad yang dipetik daripada blognya, chedet.cc  mengenai masalah yang wujud dalam Bersatu sejak kebelakangan ini.

Kesimpulan mudahnya ialah sama seperti yang saya pernah cadangkan dalam artikel sebelum ini bahawa mereka yang menimbulkan masalah dalam Bersatu dan seolah-olah lupa asal tujuan penubuhan parti itu, adalah golongan yang lebih baik keluar saja meninggalkan parti itu atau Bersatu mengambil tindakan tegas memecat mereka dengan segera.

Mereka itu adalah perosak-perosak yang sebenarnya lebih bertujuan menggagalkan perjuangan Bersatu menyingkirkan Najib Razak dan mereka adalah "hamlau-hamlau" yang tidak diperlukan sama-sekali. 

Malah, ketiadaan mereka akan lebih memudahkan perjuangan Bersatu mencapai matlamatnya mewujudkan sebuah kerajaan baharu bersama Pakatan Harapan dalam PRU 14 nanti. (ShahbudinHusin 22/05/2017).

JANGAN EGO, UTAMAKAN KEMENANGAN BERBANDING BILANGAN


Kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, parti itu tidak akan berkongsi atau menyerahkan mana-mana kerusi yang pernah ditandinginya kepada rakan-rakan lain dalam Pakatan Harapan.

"Kami tidak akan serahkan mana-mana kerusi kepada sesiapa, walaupun di tempat yang kami kalah. Kami tak boleh berikan kepada sesiapa.

"30 kerusi  yang kita menang, kita tak akan serah kepada sesiapa. 
"Malah kawasan-kawasan yang kita kalah dalam pilihanraya lepas, kita juga akan berjuang untuknya," kata beliau ketika berucap di Kongres PKR semalam.

Amboiii....

Ucapan Saifuddin itu dilihat berbeza dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebelum ini yang mengatakan pihaknya sentiasa terbuka kepada sebarang perundingan mengenai pembahagian kerusi, terutamanya sejak kemasukan Bersatu ke dalam Pakatan Harapan.

Mempertahankan kerusi yang sedang dimenangi oleh PKR memang tidak salah, tetapi berkeras untuk bertanding di kawasan yang kalah jelas menunjukkan parti itu tidak ingin kepada kemenangan melalui semangat perkongsian.

Dalam hal ini, PKR perlu terbuka dan jangan bersikap seperti Pas yang awal-awal lagi menunjukkan sikap keras kepala, di sebalik mengatakan sedia bekerjasama, tetapi tetap dengan pendirian 70 kerusi yang mereka pernah tandingi dalam pilihanraya 2013 lalu tidak diganggu.

Apa gunanya berunding dan bekerjasama jika syarat sebegitu sudah diletakkan sebelum pun perbincangan dijalankan?

Jangan terlalu ego dalam soal pembahagian kerusi kerana yang penting bukan jumlah kerusi yang ditandingi, tetapi berapa kemenangan yang mampu dimenangi.

Apa guna bertanding 90 kerusi  jika yang menang hanya 30 saja berbanding bertanding 60 kerusi, tetapi melalui perkongsian dan semangat kerjasama, kemenangan itu dapat ditingkatkan kepada 45 atau 50 kerusi?

Bukankah dengan sedia berkongsi dan melihat potensi semua parti, peluang Pakatan Harapan lebih terbuka untuk mencapai kemenangan?
Seorang lagi pemimpin PKR, Dr Xavier Jayakumar nyata lebih bijak dan menunjukkan kematangan dalam hal ini dengan mengatakan PKR peru menolak ego dalam soal pembahagian kerusi.

“Suatu ketika dahulu sewaktu kita baru menubuhkan parti, Pas dan DAP memberikan kerusi untuk kita bertanding. Kerusi yang diberikan kepada kita berdasarkan kekuatan kita dan akhirnya kita menang.

“Sebab itu untuk rakan baharu kita iaitu Bersatu, Pakatan Harapan perlu bincang dan beri kerusi mengikut kekuatan ynag akhirnya ialah untuk kita menang banyak kerusi,” kata beliau yang turut berucap di Kongres PKR yang sama.

Jika ego dalam soal pembahagian kerusi dan sikap seperti Saifuddin itu tidak dibendung,  akhirnya bukan saja PKR sama macam  Pas sekarang, tetapi seperti cuba memberi laluan untuk Najib, UMNO dan BN terus bermaharajalela merangkul kuasa di negara ini. (ShahbudinHusin 22/05/2017).

Sunday, 21 May 2017

KENAPA PAS SEMAKIN PELIK? ADAKAH INI BAHANA KERANA BERKAWAN DENGAN UMNO?


Pecat dulu baru Pas Selangor nyatakan pendirian - tidakkah ini benar-benar pelik?


Pas Selangor dilaporkan akan menyatakan pendirian berhubung kedudukan 13 Adun mereka hanya jika tiga Exconya dipecat oleh Menteri Besar, Azmin Ali.


Pesuruhjaya Pas Selangor, Salehan Mukhyi berkata, dakwaan kononnya semua Adun Pas di negeri ini bersedia keluar daripada pentadbiran negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah satu dakwaan tidak berasas.


"Itu tak benar. Nak tahu apa  benar, tunggu selepas dipecat, barulah kita akan beritahu sesuatu yang benar," kata beliau.


Nak nyatakan pendirian apa lagi?

Kenapa Pas Selangor seolah-olah masih nak mengugut Azmin Ali?


Tidakkah pendirian Pas Selangor sudah diketahui umum iaitu parti itu tiada lagi apa-apa hubungan dengan PKR?


Bukankah Pas sendiri yang  memutuskan hubungan dengan PKR yang bermakna 13 Adun berkenaan juga secara automatik tiada hubungan lagi dengan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor?


Kenapa Pas tak habis-habis bermain sandiwara tentang kedudukan 13 Adun mereka di Selangor sedangkan ia sebenarnya tidak perlu dibahaskan apa-apa lagi?


Bila parti sudah tiada hubungan, bermakna 13 Adun Pas juga tiada hubungan lagi dengan PKR dan Pakatan Harapan.


Walaupun  masih duduk sebagai Exco, tidak ada sesiapa yang mengiktiraf tindakan Pas masih bergayut pada jawatan tersebut dari segi moral. Semua orang yang waras akan mengatakan Pas perlu berundur secara terhormat tanpa perlu berlengah-lengah lagi.


Di mata umum, Pas dilihat hanya bertahan semata-mata kerana jawatan, gaji dan ganjaran yang dirasa begitu sukar untuk dilepaskan, bukan kerana perjuangan atau prinsip moral yang mahu dipertahankan.


Kenapa Pas semakin pelik kebelakangan ini?


Adakah ini bahana kerana berkawan baik dengan UMNO? 


Atau Pas bersikap pelik sekarang kerana itulah skrip yang disediakan UMNO bagi tujuan mengkucar-kafirkan Pakatan Harapan? (ShahbudinHusin 21/05/2017).

Saturday, 20 May 2017

APA NAK UGUT-UGUT PULAK NI, KENAPA TAK KELUAR TERUS SAJA?


Kali ini giliran Bersatu Perak pula nampaknya bergolak. Sekumpulan mereka yang mendakwa sebagai pendaftar, wakil pendaftar dan ketua penaja di negeri itu menuntut perletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.

Mereka seterusnya memberi tempoh untuk Bersatu memberi respon dan jika tiada apa-apa maklumbalas, mereka mengugut mahu keluar meninggalkan Bersatu.

Adoiii...apa pulak ini?

Kenapa main-main ugut pulak? 

Siapa mereka nak desak Presiden Bersatu untuk meletakkan jawatan?

Kenapa tidak mereka saja yang terus keluar meninggalkan Bersatu jika sudah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin?


Jelas bahawa sama sebagaimana individu atau kelompok tertentu yang berperangai sama seperti sebelum ini, mereka ini juga adalah "hamlau-hamlau" yang hanya mementingkan jawatan serta kedudukan dan bukan benar-benar ikhlas dalam perjuangan mahu menyingkirkan Najib Razak, mengalahkan UMNO dan seterusnya menyelamatkan negara.

Sebaiknya, dengan perangai seperti yang  diserlahkan ini, mereka sebenarnya tidak perlu memberi tempoh atau main ugut-ugut kepada sesiapa.

Keluar dan tinggalkan saja Bersatu dengan segera. Ramai lagi rakyat yang ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa dalam perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia  ini, selain negara ini mampu memberi kebaikan kepada generasi-generasi seterusnya.

Bersatu dan perjuangan menyelamatkan Malaysia bersama Tun Mahathir dan Pakatan Harapan akan lebih berkesan dan diterima rakyat tanpa mereka yang sebenarnya hanya oppurtunis ini. (ShahbudinHusin 20/05/2017).

JANGAN LUPA JUGA PELUK DAN UCAP TERIMA KASIH KERANA DERMA RM2,600 JUTA...

Hari ini Perdana Menteri, Najib Razak dijadual berlepas ke Riyadh, Arab Saudi untuk menyertai pemimpin-pemimpin negara Arab dan Islam dalam satu sidang kemuncak dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Sidang tersebut dijadual diadakan pada hari Ahad di ibu negara Arab Saudi itu.

Kata Najib, di Riyadh nanti, beliau akan memeluk  Raja Salman sekali lagi sebagai tanda terima kasih kerana menambah kouta haji untuk Malaysia.

Kata beliau, penambahan kouta haji itu adalah satu lagi jasa UMNO kepada rakyat negara ini.

"Siapa wujudkan Tabung Haji? (kita beri) subsidi... itu tak masuk lagi program haji 1MDB yang percuma untuk ketua kampung dan imam.

"Kita tahu inilah cara kita bela rakyat. Esok (hari ini) saya pergi Riyadh, jumpa Raja Salman sekali lagi saya nak peluk dia sebab bagi kuota khas untuk Malaysia.

"Ramai orang berkat naik haji kerana perjuangan Umno," kata Najib dalam ucapannya dalam program Umno bantu rakyat di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang malam tadi.

Kouta haji Malaysia tahun ini ditambah daripada 27,900 kepada 30,200. Pertambahan itu dicapai dalam perbincangan ketika lawatan Raja Salman ke Malaysia baru-baru ini.

Dalam kunjungan Raja Salman ke Malaysia itu, Najib sempat memeluk dan berselfie dengan Raja Salman sebagai tanda keakraban hubungan antara mereka.

Para pembela Najib kemudian berkata, kedatangan Raja Salman itu turut membuktikan wang RM2,600 juta yang diterima Najib adalah benar-benar derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi.

Jika tidak, mana mungkin Raja Salman sudi datang ke Malaysia, kata mereka berhujah walaupun ketika itu Raja Salman sebenarnya turut melawat beberapa negara lain dalam lawatannya ke Asia.

Namun, isu berkaitan wang yang dikatakan derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi itu tidak kedengaran dibangkitkan dalam pertemuan Najib dengan Raja Salman ketika itu.

Oleh itu, dengan sekali lagi Najib bertemu Raja Salman, cukupkah beliau sekadar mahu Najib memeluk Raja Arab Saudi semata-mata kerana penambahan kouta haji saja?

Bagaimana dengan wang RM2,600 yang diterima Najib sebelum ini yang didakwanya derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, tidak mahukah beliau memeluk dan mengucapkan terima kasih secara khusus kepada Raja Salman atas wang yang diterimanya itu?

Sebagai tanda terima kasih, Najib dalam kunjungan ke Riyadh ini setidak-tidaknya harus memeluk Raja Salman sebanyak dua kali atau dalam sekali peluk beliau perlu mengucapkan terima kasih atas dua perkara iaitu kouta haji dan derma yang diterimanya.

Lebih menarik, jika Najib dapat memeluk dan mengucapkan  terima kasih kepada Raja Salman kerana derma yang diterimanya itu di depan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sendiri yang mana Jabatan Kehakiman AS di bawah pentadbirannya masih dalam proses menyita harta-harta yang dikaitkan dengan penyonglapan dana 1MDB.

Sebagai pemimpin Melayu dan Islam yang menjunjung tinggi nilai dan erti budi, ketika berkunjung ke Arab Saudi inilah sebenarnya tempat paling sesuai untuk Najib mengucapkan terima kasih dan memeluk Raja Salman atas derma peribadi sebanyak RM2,600 juta yang pernah diterimanya itu.

Apatah lagi rasanya Najiblah satu-satunya individu paling bertuah di dunia ini yang pernah menerima derma sebanyak itu daripada mana-mana kerabat Diraja Arab Saudi sepanjang sejarah kewujudan negara tersebut.

Jika benar wang RM2,600 itu adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi, Najib tentu bangga untuk memberitahunya kepada Raja Salman sambil memeluknya dan Salman juga pasti turut berbangga untuk mengakuinya.

Oleh itu, Najib tidak harus menghampakan penyokongnya yang berbangga kerana derma tersebut dengan memeluk Raja Salman dan mengucapkan terima kasih, bukan saja kerana kouta haji tetapi juga untuk memberitahu dunia mengenai wang RM2,600 juta yang diterimanya itu benar-benar datangnya daripada kerabat Diraja Arab Saudi dengan disaksikan oleh Donald Trump dan  pemimpin-pemimpin negara Arab serta Islam yang lain. (ShahbudinHusin 20/05/2017).

Friday, 19 May 2017

SATU LAGI HARAPAN BARU....


Pagi tadi, selang dua hari selepas Dialog TN50 di Seri Perdana yang menyaksikan berlakunya kejadian tampar oleh Mat Over terhadap David Teo, Tun Mahathir Mohamad meluangkan masa kira-kira selama setengah jam menjawab pelbagai persoalan dalam program "hangpa tanya, #chedet jawab"  yang disiarkan secara langsung melalui Facebook.


Pelbagai soalan ditanya dan semuanya dijawab dengan terang dan jelas oleh Tun Mahathir - daripada berkaitan Islam, Pas, hubungan kaum, dasar ekonomi, pelaburan China, 1MBD dan sampailah kepada cara beliau menjaga kesihatannya sehingga mampu kekal sihat di usia menjangkau 92 sekarang ini.


Meskipun semua  ulasan yang disampaikan Pengerusi Bersatu itu,  sebagaimana biasa, amat meyakinkan sesiapa saja yang mendengarnya, tetapi jawapan beliau mengenai 1MDB dilihat mampu memberi harapan baru buat rakyat untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.

Kata Tun Mahathir, pihaknya tahu siapa yang bersalah dalam skandal 1MDB dan akan memburu mereka sehingga ke depan pintu kediaman Perdana Menteri.


"Kita tahu di mana duit itu, dan kita akan cuba mengambil balik semua duit itu, walaupun sampai ke pintu Najib,


"Kami (Pakatan Harapan) mungkin tidak akan dapat semua tetapi kami akan berusaha dapatkannya sebanyak mungkin,” kata Tun Mahathir lagi.


Seterusnya, selain berjanji tidak akan membenarkan wujud satu lagi skandal mirip 1MDB, Pakatan Harapan juga tambahnya, akan mencari jalan penyelesaian yang mampu menghalang kehilangan wang negara sepertimana berlaku dalam 1MDB dan Bandar Malaysia.


Tidakkah jaminan itu menggembirakan kita?


Jika semua orang sedar bahawa skandal 1MDB inilah punca segala kesulitan rakyat seperti pemansuhan banyak subsidi, perlaksanaan cukai GST dan negara akhirnya terperangkap menjadi "pengemis" kepada China, mereka tentunya mahu melihat akhirnya semua yang terlibat dalam skandal kewangan itu dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.


Maka, berpegang kepada janji Tun Mahathir itu, memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan adalah sesuatu yang logik, munasabah dan mampu membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat sendiri.


Ini kerana, selepas negara dipulihkan, wang yang hilang dikembalikan dan tiada lagi kehilangan wang berlaku, kehidupan rakyat dengan sendirinya akan jadi lebih baik berikutan negara tidak lagi ketandusan wang dengan banyak subsidi boleh dikembalikan serta GST dimansuhkan secara beransur-ansur.


Sebaliknya, mengekalkan lagi Najib, UMNO dan BN terus di persada kuasa, bukan saja menyebabkan  skandal 1MDB itu akan disimpan di bawah permaidani nan indah, malah penghapusan subsidi, pengenaan cukai GST dan menyerah lebih banyak tanah kepada China,  lebih mungkin akan terus berleluasa.


Sudahnya, sementara Jho Low dan rakan-rakannya terus bebas merdeka, malah barangkali juga bertambah kaya, rakyat biasa dan makcik-makcik Felda akan bertimpa-timpa lagi sengsara kehidupan mereka.

Semua keajaiban memulihkan negara ini hanya boleh dilakukan oleh Tun Mahathir bersama pasukan Pakatan Harapan yang selama ini mempunyai rekod cemerlang dalam membawa kemajuan dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.


Dalam perkembangan berkaitan, portal Malaysiakini telah membuat undian secara maya untuk menilai sama ada Tun Mahathir perlu dikembalikan menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya.


Sehingga petang tadi, didapati sebanyak 68 peratus pengundi setuju beliau patut dinamakan sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan Najib.


Bermakna, semakin banyak jawapan mengapa pengundi-pengundi PRU 14 harus kekal berpadu tenaga untuk menjadikan kekalahan Najib, UMNO dan BN suatu kenyataan. (ShahbudinHusin 19/05/2017).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...