Saturday, 24 June 2017

SELAMAT HARI RAYA

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca dan penjenguk blog ini, juga kepada seluruh umat Islam di mana juga berada.


Setelah sebulan berpuasa, Hari Raya adalah hari kemenangan dan ruang untuk kita saling bermaaf-maafan.


Namun, dalam konteks Malaysia, di sebalik Hari Raya dan bermaaf-maafan, ia sama-sekali tidak harus mengubah keinginan kita untuk terus berjuang melakukan perubahan kepada negara.


Daripada demokrasi bertukar menjadi kleptokrasi adalah titik hitam yang sangat memalukan dan menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk memulihkannya semula.


Jika tidak dipulihkan, titik hitam itu akan terus membesar dan membesar sehingga akhirnya menggelapkan masa depan kita serta generasi seterusnya.


Bergembiralah bersama keluarga, jiran dan kawan-kawan sempena Hari Raya ini, tetapi agenda lebih besar iaitu melakukan perubahan, jangan sesekali diabaikan.


Akhirnya, semoga Tuhan sentiasa merahmati niat murni kita dan dalam masa yang sama memberi kesempitan kepada semua makhluk perosak dan penipu wang rakyat yang selalu merasakan melakukan penipuan adalah suatu kebanggaan.


Makhluk perosak dan penipu wang rakyat mesti ditentang sehingga ke garisan kemenangan. (ShahbudinHusin 24/06/2017)

ADUHHH....JANGAN MALUKAN DIRI SENDIRI, TOK GURU!!!


Umpama hadiah hari raya kepada Najib Razak,  Presiden Pas, Hadi Awang dalam tulisan terbarunya berkata, isu 1MDB perlu diselesaikan secara dalaman tanpa menjemput pihak asing untuk menyelesaikannya.


“Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.


“Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim pihak dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,” katanya.


Tambah Hadi lagi, pihak asing selama-lamanya hanya mencari peluang untuk menjaga kepentingan mereka, walaupun mengorbankan rakyat Malaysia.


Aduhhh...adakah Tok Guru Hadi Awang sebenarnya benar-benar tentang isu 1MDB ini sehingga menulis sedemikian rupa?

Kenapa memalukan diri sampai begitu sekali?


Kenapa Tok Guru yang berpengetahuan agama dan tahu halal haram sesuatu perkara boleh mengeluarkan kenyataan yang bagaikan "lebih UMNO daripada luahan hati perut pemimpin UMNO sendiri"?


Mengaitkan penyiasatan terhadap 1MDB dengan campurtangan asing hanya merendahkan pemikiran Tok Guru sehingga sama taraf dengan Annuar Musa dan Salleh Said Keruak yang semua orang tahu pangkat dan jawatan yang diperolehi mereka semata-mata kerana kuat mengampu  saja?


Adakah Tok Guru juga sedang mengampu Najib?


Tok Guru, penyiasatan oleh beberapa negara terhadap skandal 1MDB tidak sama-sekali bermakna jemputan kepada kuasa asing untuk campurtangan, tetapi kerana jenayah berkenaan dilakukan di negara berkenaan?


Di Singapura, beberapa hukuman telah dijatuhkan dan bank ditutup,  di Switzerland dan Luxembourg pula ada bank telah didenda dan Amerika melalui DOJ, proses penyitaan harta sedang dalam prosesnya, ia berlaku bukanlah kerana kita menjemput mereka, sebaliknya kerana kesalahan berkaitan penipuan serta penggubahan wang haram telah berlaku di negara-negara tersebut?


Tanpa dijemput pun, jika jenayah berlaku di negara mereka, tindakan tetap akan diambil oleh berdasarkan undang-undang yang mereka ada tanpa mengira di Malaysia dekat dengan tarikh pilihanraya atau tidak?


Selain itu, sudahkah Tok Guru membaca kenyataan Kedutaan Amerika dua hari lalu yang amat jelas dan mudah untuk difahami.


Jurucakapnya memberitahu, tindakan DOJ berkaitan 1MDB tidak sama-sekali bermaksud campurtangan asing, tetapi suatu inisiatif melindungi pasaran dan sistem kewangan Amerika daripada penipu wang.


"Matlamatnya adalah untuk mendapatkan semula aset dan mengembalikannya  demi faedah negara yang terjejas, jelas jurucakap itu lagi.


Adakah Tok Guru faham mengenainya?


Tak malukah Tok Guru kepada pihak berkuasa negara lain yang ingin mengembalikan harta-harta hasil wang yang dicuri kepada kita, tetapi kita sesedap mulut pula mengatakan ia seolah-olah campurtangan asing?

Tok Guru juga harus faham dengan pemecatan secara mengejut Gani Patail sebagai Peguam Negara dan digantikan dengan Apandi Ali, harapan untuk melihat sebarang salah laku 1MDB dibawa ke mahkamah sudah tertutup sama-sekali.


Lihat saja banyak tindakan beliau sejak memegang jawatan itu, peranannya lebih untuk menyucikan 1MDB daripada menegakkan keadilan demi kepentingan rakyat dan negara.


Apa lagi harapan kita?


Satu-satunya ialah melalui mahkamah rakyat seperti yang turut disebut oleh Tok Guru sendiri.


Tetapi, di mana pula pendirian Tok Guru dalam perkara itu?


Kenapa Tok Guru sendiri lebih condong kepada Najib yang seluruh dunia tahu 1MDB itu adalah "anak kesayangannya" dan Jho Low yang berperanan mencatur segala-galanya pula adalah rakan karib keluarganya? (ShahbudinHusin 24/06/2017)

Friday, 23 June 2017

DITUDUH PENCURI DAN MELAKUKAN JENAYAH, BILA LAGI NAJIB NAK SAMAN TUN MAHATHIR?


Tun Mahathir Mohamad terus konsisten dan terbuka mengkritik serta menyerang Najib Razak. 

Sementara Najib hanya berani main sindir-sindir dan menggunakan kiasan untuk memperlekeh musuh politiknya itu, Tun Mahathir sebaliknya melakukan semua serangan secara terang-terangan dan nyata.

Jika sebelum ini beliau menuduh Najib sebagai pencuri, kali ini dalam tulisan terbaru di blognya, Tun Mahathir lebih terbuka dengan mengatakan Najib telah melakukan jenayah.

Kata bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, menyokong Najib adalah sama seperti menyokong jenayah yang dilakukannya.

"UMNO sekarang sudah dihijack untuk menjadi alat pelindung jenayah yang sudah dan sedang dilakukannya.

"Ia menggunakan duit kerajaan dan duit 1MDB yang diselewengkan untuk sogok ahli-ahli UMNO supaya terus menyokong dirinya," tulis Tun Mahathir.

Sehubungan itu, beliau mengajak ahli-ahli UMNO berhenti mengkhianati parti itu.

"Tolaklah Najib dan keluarlah daripada UMNO untuk menyertai gerakan menjatuhkannya dalam pilihanraya.

"Hentikan daripada melindungi makhluk perosak ini," tambahnya lagi.

Suatu serangan yang jelas, terang, nyata, tidak berselindung dan mudah difahami.

Selain itu, Tun Mahathir, beserta pelbagai dakwaan dan serangannya terhadap Najib, beliau dalam beberapa ucapannya juga mengalu-alukan untuk disaman jika apa yang disebutnya adalah tidak benar.

Beberapa hari sebelum ini, berikutan ugutan Rosmah Mansor untuk menyaman pengguna media sosial yang membuat tuduhan palsu terhadapnya, Tun Mahathir turut sedia untuk disaman oleh isteri Perdana Menteri itu.

"Berani kerana benar, saya tidak takut sebab ini bukan fitnah," katanya mengulangi dakwaan yang dibuat oleh DOJ yang mengaitkan isteri Malaysian Official 1 menerima pelbagai hadiah barangan kemas bernilai jutaan ringgit yang didakwa berpunda daripada dana 1MDB.

Daripada dituduh pencuri, kini didakwa pula melakukan jenayah, apakah Najib dan Rosmah langsung tiada keberanian untuk menyaman Tun Mahathir? (ShahbudinHusin 23/06/2017)

NAJIB LEBIH MENCEMAR NAMANYA SENDIRI


Siapa pun faham dan mengakui tujuan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat urusniaga matawang asing yang berlaku 23 tahun lalu tidak lain ialah untuk mencalar dan mengenakan Tun Mahathir Mohamad.

Di sebalik skandal 1MDB yang lebih besar dan memalukan kerana menjadi berita di seluruh dunia,  Najib Razak, melalui penubuhan suruhanjaya itu, berharap dapat mengalihkan pandangan orangramai terhadap skandal yang melanda diri dan keluarganya itu.

Bagaimanapun, ianya tidaklah semudah yang beliau sangka. Mewujudkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat sesuatu yang berlaku 23 tahun lalu dan ketika itu Najib juga berada dalam kabinet, sebenarnya adalah tindakan yang memalukan dirinya sendirinya.

Kenapa ketika itu beliau berdiam diri dan tidak berkata apa-apa terhadap urusniaga matawang tersebut, tetapi hanya sekarang baru mahu bertindak?

Pernahkah Najib bersuara mengenainya dalam  mesyuarat MT UMNO dan kabinet?

Apakah jika Tun Mahathir masih bersama UMNO, tidak menjadi pengkritiknya, tidak menubuhkan Bersatu dan tidak seperti sekarang berusaha siang malam untuk menyingkirkannya, Suruhanjaya Diraja itu akan diwujudkan juga?

Lebih malang lagi, di ketika desakan orangramai agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB, Najib sebaliknya hanya berdiam diri dan tidak mengendahkannya.

Orangramai barangkali boleh menerima sedikit kewajaran menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat urusniaga matawang yang merugikan itu jika dalam masa yang sama Najib juga berbuat demikian untuk 1MDB.

Jika demikian, barulah beliau dilihat bertihdak dengan adil dan menyeluruh.

Selain itu, mewujudkan suruhanjaya untuk mengenakan Tun Mahathir juga mungkin akan memakan diri Najib sendiri. Ini kerana berbeza dengan 1MDB di mana Najib adalah Pengerusi Lembaga Penasihat dan terikat dengan Artikel 117 yang memerlukan tandatangannya bagi setiap urusniaga kewangan dan dalam masa yang sama beliau juga adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tetapi Tun Mahathir hanyalah Perdana Menteri saja ketika berlakunya urusniaga matawang itu.

Urusniaga itu diketuai oleh Nor Mohamed Yakcop dari Bank Negara, manakala Menteri Kewangan ketika itu ialah Anwar Ibrahim.

Nor Mohamed Yakcop juga telah diarahkan meletakkan jawatan dan dihalang terlibat dalam urusan kewangan negara berikutan kerugian urusniaga matawang tersebut.

Maknanya, tindakan tertentu telah diambil ketika itu.

Tetapi, apa tindakan yang telah diambil berkaitan 1MDB?

Mungkin kesalahan Tun Mahathir akan dicari berasaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang mempengeruskan mesyuarat kabinet ketika itu, tetapi ia kelihatan amat longgar jika dibandingkan dengan peranan Najib dalam 1MDB.

Gambaran lain yang Najib cuba wujudkan ialah jika di ketika beliau berlaku skandal 1MDB, tetapi di zaman Tun Mahathir juga ada skandal urusniaga matawang yang turut menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang negara.

Maksudnya, Najib mahu orangramai tahu bahawa Tun Mahathir juga menghilangkan banyak wang negara suatu ketika dahulu. Namun, bagi orang yang boleh berfikir, mereka akan sedar, itu adalah kerugian dalam urusniaga dan bukan penyonglapan wang secara berkumpulan dan terancang.

Malah, tiada wang beribu-ribu juta ditemui dalam akaun peribadi Tun Mahathir berikutan kerugian urusniaga matawang itu. Anak-anak Tun Mahathir juga tidak dikesan bersukaria membuat filem, berbelanja mewah atau membeli rumah di luar negara. Tun Hasmah pula tidak pernah dihadiahkan beg tangan, gelang atau rantai leher yang berharga berjuta-juta nilainya.

Akhirnya, penubuhan suruhanjaya itu bukan saja lebih memalukan Najib sendiri, bahkan akan menggerakkan lebih iltizam kepada rakyat untuk menukar kerajaan supaya seawal tahun depan, sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal 1MDB dapat benar-benar dijadikan kenyataan.

Hanya kerajaan baru yang memungkinkan skandal 1MDB dapat diselongkar hingga ke akar umbi dan kebenaran akhirnya terbukti. 

Selagi Najib, UMNO dan BN kekal berkuasa, meskipun beberapa negara luar melakukan penyiasatan, menjatuhkan hukuman, menutup dan mendenda bank, merampas aset dan mendedahkan banyak bukti dana 1MDB telah diselewengkan secara berjemaah untuk kepentingan peribadi pelbagai pihak, ia tetap dilindungi dan digambarkan suci. (ShahbudinHusin 23/06/2017)

Thursday, 22 June 2017

PERINTAH DARURAT BOLEH DIELAKKAN JIKA.....

Apa yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir Mohamad mengenai kemungkinan perintah darurat ini bukanlah mustahil sebenarnya, malah disedari dan mula diperkatakan oleh banyak pihak.

Ini kerana rata-rata menyedari, berbanding semua Perdana Menteri sebelum ini, Najib Razaklah yang paling takut untuk kalah dan hilang kuasa. Lantaran itu, ramai yang menyuarakan kebimbangan bahawa perintah darurat mungkin akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir untuk mengekalkan kuasa.

Apa yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir ini hanya mengesahkan lagi bahawa perkara itu tidak seharusnya dipandang ringan dan semua pimpinan Pakatan Harapan harus bersedia menghadapi kemungkinannya.

Mungkin ada yang berhujah, kenapa tidak ditimbulkan perintah darurat pada pilihanraya 2013 lalu sedangkan tentangan yang dihadapi Najib pada ketika itu turut getir dan mencabar?

Sebenarnya, pada pilihanraya 2013 lalu Najib masih yakin untuk menang, bahkan ketika isu isu skandal 1MDB belum meletus dan tidak difahami secara meluas sebagaimana sekarang.

Berbeza kali ini, bukan saja isu 1MDB sudah merebak,  difahami dan diperkatakan, termasuk berkaitan wang berbilion yang masuk ke akaun peribadi dan gelang serta rantai leher mewah yang dihadiahkan kepada isteri Malaysian Official 1, bahkan kali ini Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim juga seolah-olah sudah berganding bahu untuk menumbangkan Najib, UMNO dan BN.

Selain itu, sudah banyak negara juga telah bertindak terhadap dana 1MDB yang dilencongkan dengan yang paling panas ialah Amerika Syarikat melalui Jabatan Kehakimannya atau DOJ dan ini secara tidak langsung memberi kefahaman yang lebih jelas kepada rakyat tentang perlunya perubahan dalam negara dilakukan.

Namun demikian, apakah perintah darurat itu tidak boleh dielakkan dan bagaimana pula untuk mengelakkannya?

Kebarangkalian untuk mencetuskan huru-hara akibat rasa tidak puas hati terhadap keputusan pilihanraya dan kemudian disusuli dengan perintah darurat hanya akan terjadi jika BN kalah tipis atau kurang 10 kerusi berbanding Pakatan Harapan.

Kekalahan tipis itu akan menyebabkan mereka yang kehilangan kuasa memberontak dan mencetuskan huru-hara.

Bagaimanapun, perintah darurat boleh dielakkan jika rakyat memberi kemenangan lebih selesa kepada Pakatan Harapan. Sebaik-baiknya, kemenangan Pakatan Harapan mestilah dengan majoriti melebihi daripada 10 kerusi Parlimen supaya tiada alasan lagi untuk rasa tidak puas hati dan menimbulkan kekacauan dapat dibangkitkan.

Jika dapat menafikan kemenangan BN dengan majoriti lebih besar atau sehingga Pakatan Harapan mencapai majoriti dua pertiga misalnya, tentulah lebih baik lagi dan akan mematikan terus senjata perintah darurat itu daripada ditimbulkan.

Hakikatnya, hanya dengan petunjuk bahawa perubahan kerajaan adalah benar-benar keinginan dan hasrat mutlak majoriti lebih besar daripada rakyat yang dapat menjadikan perintah darurat dielakkan sama sekali. (ShahbudinHusin 22/06/2017).

"YANG BERBAU GAJAH MATI DI DEPAN MATA, YANG DICARI BANGKAI NYAMUK DI SEBERANG LAUT"


Hasil cadangan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat berhubung kerugian urusniaga matawang asing pada 1980an dan 1990an, kabinet semalam telah bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi meneruskan siasatan mengenai perkara itu.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, keputusan menubuhkan Suruhanjaya Diraja kerana mendapati wujud elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujan mengelirukan Jemaah Menteri dan Parlimen.

Dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu diharap mampu merungkai isu yang membelenggu negara sejak 23 tahun lalu, kata kenyataan Perdana Menteri lagi.

Satu-satunya fakta mengapa kerajaan UMNO dan BN pimpinan Najib Razak menubuhkan Pasukan Petugas Khas dan kemudian Suruhanjaya Diraja ini ialah kerana kritikan serta serangan berterusan Tun Mahathir Mohamad terhadapnya, khususnya berhubung skandal kewangan 1MDB yang sudah berlarutan sejak lebih 2 tahun yang lalu.
Jika Tun Mahathir tidak menyerang Najib, tidak keluar UMNO, tidak menubuhkan Bersatu dan tidak bersama dengan Pakatan Harapan sekarang ini, pasti tidak diwujudkan Suruhanjaya Diraja berkenaan.

Lebih jelas, penubuhannya adalah usaha untuk mengenakan Tun Mahathir dengan harapan Najib, UMNO dan BN terus menang dan berkuasa lagi selepas pilihanraya umum akan datang.

Ia juga suatu paparan yang jelas bahawa Najib begitu gerun untuk berdepan dengan pengaruh Tun Mahathir yang telah menubuhkan Bersatu dan kini bersama-sama dengan Pakatan Harapan untuk memberi cabaran kepadanya melalui pertimbangan kuasa rakyat.

Suruhanjaya Diraja itu tidak lain adalah sebagai tindak balas dan mengalih pandangan untuk menutup skandal 1MDB yang paling nyata berada di depan mata serta penyiasatan antarabangsa turut mendapati melalui syarikat pelaburan itulah munculnya isu RM2,600 juta dalam akaun peribadi Najib, SRC International dan hiruk-pikuk lain yang melibatkan Jho Low, Rosmah Mansor dan Riza Aziz.

Lantaran penyiasatan dalam negara tidak berjalan atau terlalu perlahan dengan berlakunya pelbagai pemecatan kepada mereka yang bersuara serta bertanya soalan, yang didesak oleh pelbagai pihak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja ialah berkaitan 1MDB.

Tambahan lagi, dalam kerugian urusniaga matawang tersebut tidak terdengar, jauh sekali terbukti Perdana Menteri ketika itu didapati ada mempunyai berbilion-bilion ringgit dalam akaun peribadinya.

Tetapi, Najib bukan saja menutup mata dan memekakkan telinga terhadap desakan itu, malah tanpa segan dan malu juga mengOSAkan laporan audit mengenai 1MDB itu.

Maka, walaupun skandal 1MDB ini sudah berbau ke seluruh dunia dengan pelbagai negara sudah melakukan penyiasatan serta menjatuhkan hukuman dan yang paling mengaibkan ialah pelbagai pendedahan di sebalik saman sivil untuk merampas hartanah dan pelbagai aset lain oleh DOJ Amerika Syarikat, semuanya cuba ditutup rapi dan tiada tindakan diambil setakat ini.

Di ketika Pasukan Petugas Khas menyiasat mengenai urusniaga matawang tersebut dan difahami tujuannya untuk mengenakan Tun Mahathir, tetapi bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu tidak dipanggil sama sekali untuk memberi keterangannya.

Sebaliknya, Anwar Ibrahim yang dipanggil oleh Pasukan Petugas Khas untuk memberi keterangannya sudah dapat menghidu tujuan mengenakan Tun Mahathir itu berdasarkan soalan-soalan yang ditujukan kepadanya.

Mereka mahu menggunakan saya untuk menyerang Tun Mahathir, tetapi saya tetap memberitahu bahawa kerajaan tidak boleh menggunakan ini untuk menyalahkan Tun Mahathir semata-mata, tegas Anwar lagi.

Bahkan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga konsisten dengan kenyataannya bahawa yang bertanggungjawab terhadap kerugian urusniaga matawang itu ialah Nor Mohamed Yakcob yang kini menjadi Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional, cabang pelaburan utama kerajaan.

Pengerusi Khazanah ialah Najib sendiri selaku Perdana Menteri.
Anwar turut memberitahu, berikutan beban pertanggungjawaban kepada Nor Mohamed Yakcop itu, beliau bukan saja kemudiannya diarah meletakkan jawatan daripada Bank Negara, malah tidak dibenarkan daripada terlibat dalam mengendalikan kewangan negara.

Bagaimanapun, tambah Anwar, ketika Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcop telah diilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Berdasarkan semua itu, kita sudah boleh menjangka hasil siasatan Suruhanjaya Diraja itu nanti.

Tidak mustahil, sebagaimana Tun Mahathir tidak dipanggil oleh Pasukan Petugas Khas untuk memberi keterangannya, beliau juga mungkin tidak diperlukan mengadap Suruhanjaya Diraja itu.

Bagaimana cepatnya Suruhanjaya Diraja itu dipersetujui untuk ditubuhkan, hasilnya juga barangkali akan dikeluarkan sebelum Parlimen dibubarkan.

Tetapi, apa pun hasilnya nanti, sementara yang cuba dicari ialah bangkai nyamuk di seberang laut, bau yang menusuk kalbu daripada gajah mati di depan mata tentulah tidak mudah untuk diwangikan begitu saja. (ShahbudinHusin 22/06/2017).

Wednesday, 21 June 2017

ISTERI PEMIMPIN2 LAIN BILA NAK DISIASAT?

Bekas Pengerusi FGV yang kini dipindahkan mengetuai SPAD, Isa Samad disoal-siasat selama kira-kira 4 jam di Pejabat SPRM Putrajaya, bermula 9.40 pagi tadi.


Kata Isa, beliau telah memberi kerjasama penuh dan menjawab semua soalan yang ditanyakan kepadanya.


Saya tak dapat buat apa-apa andaian terhadap isu ini. Itu keputusan yang akan dibuat oleh SPRM, kata beliau ketika ditanya mengenai soal-siasat terhadapnya.


Mengenai kehadiran isterinya dalam soal-siasat SPRM itu, Isa berkata, adalah perkara biasa seseorang itu diperlukan hadir apabila namanya dikait atau disebut dalam sesuatu dakwaan.


Normal isteri dipanggil kalau ada dakwaan atau kalau ada disebut nama. Maka, perlu dipanggil untuk disiasat, tambahnya lagi.


Menggunakan hujah Isa iaitu isteri biasanya dipanggil untuk disiasat bila namanya ada disebut atau dijadikan bahan dakwaan, sebenarnya sudah banyak kali isteri-isteri pemimpin lain dikaitkan dengan pelbagai isu sebelum ini.


Isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor barangkali mengungguli senarai dengan paling kerap dikaitkan dengan pelbagai dakwaan dan terbaru oleh laporan DOJ yang mendakwa beliau menerima hadiah barang kemas daripada Jho Low berjumlah keseluruhan sebanyak RM128 juta.

Terkini, isteri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz juga terkait sama dengan penyebaran kad namanya yang menggunakan logo rasmi kerajaan.


Sehingga ini, Nazri mengatakan ia sebagai palsu dan ada orang mahu mengenakannya.


Soalnya, tidakkah isteri Najib dan isteri Nazri juga perlu disiasat sama?


Kenapa hanya isteri Isa saja yang disiasat? (ShahbudinHusin 21/06/2017)

KARTUN APAKAH INI?

Hari ini (Rabu) jam 10 pagi, bekas Pengerusi Felda Global Ventures atau FGV, Isa Samad dan isterinya, Bibi Shahriza Mohd Khalid dilaporkan akan hadir ke pejabat SPRM dinPutrajaya untuk memberi keterangan berhubung siasatan terhadap syarikat tersebut.

Kehadiran mereka difahamkan adalah atas arahan SPRM setelah sebelum ini agensi tersebut turut melakukan serbuan ke pejabat FGV di Menara Felda.

Bagi sesetengah pihak, tentu ada yang gembira dengan perkembangan ini kerana seolah-olah Isa dan isterinya akan disiasat dan selepas itu mungkin akan didakwa oleh agensi penguatkuasa anti rasuah itu.

Tambahan lagi, cerita-cerita yang berlegar dari mulut ke mulut mengenai mereka bukan sedikit diperkatakan oleh orangramai sejak Isa menerajui Felda dan FGV lagi.

Benarkan Isa dan isterinya yang bakal disiasat?

Jika benar Isa dan isterinya yang sedang disiasat oleh SPRM, keadaan ini benar-benar umpama cerita kartun kerana bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu baru saja dipindahkan daripada FGV ke SPAD atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat pada Isnin lalu.

Perpindahan itu dilakukan oleh Najib Razak sebagai tindakan untuk meredakan kemelut FGV yang sedang berlaku antara Isa dengan CEOnya, Zakaria Arshad yang dikini digantung tugas dan berdepan proses siasatan dalaman.

Dalam pertemuan dengan Isa pada pagi Isnin, Najib dilaporkan memujuk Isa supaya bersetuju berundur daripada FGV dengan janji akan diberikan jawatan baru di SPAD.

Pengerusi SPAD sebelum ini ialah Syed Hamid Albar, tetapi beliau sudah pun mengumumkan pengundurannya pada 3 Jun lalu.

Lantaran bersetuju dengan tawaran Najib itulah Isa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi FGV beberapa jam kemudian dan disusuli dengan pengumuman oleh Pejabat Perdana Menteri mengenai perlantikannya sebagai Pemangku Pengerusi SPAD.

Tawaran dan perpindahan ke tempat baru sebagaimana yang diusulkan oleh Najib dikhabarkan diterima dengan gembira dan senang hati oleh Isa.

Dengan demikian perjalanan ceritanya, adakah logik jika Isa yang baru saja diberikan  jawatan di SPAD, tiba-tiba disiasat pula oleh SPRM?

Lebih tidak logik jika Isa juga akan didakwa di mahkamah kerana kiranya semua itu berlaku, Najib dengan sendirinya telah memalukan dirinya sendiri lantaran "orang kesayangannya" yang baru tiga hari dianugerahkan jawatan untuk memimpin sebuah agensi kerajaan, kini terpaksa berdepan suatu proses lain iaitu pengadilan.

Oleh kerana SPRM berada di bawah kekuasaan Perdana Menteri dan kuasa melantik pengerusi agensi kerajaan juga hak Perdana Menteri, adalah lebih munasabah kiranya Isa yang mahu disiasat, lebih-lebih jika sampai ke peringkat pendakwaan,  Najib bertindak menangguhkan dahulu perlantikannya menerajui SPAD sehingga agensi penguatkuasa anti rasuah itu selesai menjalankan siasatan berkaitan FGV.

Hanya setelah Isa didapati tidak terlibat dengan sebarang salah laku di FGV oleh SPRM, barulah perlantikannya dibuat untuk menerajui SPAD.

Oleh itu, untuk apa Isa hadir ke SPRM?
Selain mungkin kehadiran beliau adalah untuk diambil keterangannya berhubung siasatan SPRM tentang urusniaga antara Safitex dengan Delima Oil Products yang melibatkan kemungkinan ada salah laku oleh Zakaria, kebarangkalian lain ialah ini merupakan satu bentuk "gertakan halus" terhadap Isa.

Serentak dengan pengumuman pertukaran Isa ke SPAD pada Isnin lalu juga, Pejabat Perdana Menteri turut mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Lembaga Pengarah FGV menggantung jawatan Zakaria dan tiga yang lain dengan alasan mereka ada alasan yang munasabah untuk berbuat demikian.

Ia secara tidak langsung merupakan sokongan terbuka Najib terhadap tindakan Isa menggantung jawatan Zakaria dan ternampak sangat mustahil kalau ia disusuli dengan membenarkan siasatan terhadap bekas Pengerusi FGV itu.

Berhubung kebarangkalian "gertakan halus" terhadap Isa, jika pun siasatan itu melibatkan beliau dan isterinya, ia mungkin hanya sekadar siasatan semata-mata.

Selagi  Isa "menunjukkan kesetiaan" terhadap Najib dan "tidak lawan tauke"  beliau bukan saja akan terus kekal di SPAD, bahkan akan "selamat"  sampai bila-bila. (ShahbudinHusin 21/06/2017).

Tuesday, 20 June 2017

DENGAN SEDIKIT KEBERANIAN, NAJIB/ROSMAH MAMPU MEMBUATKAN HARI RAYA LEBIH BERMAKNA


Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang cuba memfitnah beliau dengan mengaitkan beliau dengan laporan DOJ yang mendakwa wang curi dari 1MDB berjumlah RM128 juta telah digunakan oleh pihak tertentu untuk membeli permata berlian untuk isteri MO1.

Rosmah telah mengarahkan peguamnya untuk bertindak ke atas sesiapa saja yang mengaitkannya dengan laporan DOJ dan juga yang tular dimedia sosial. 

Yang menjadi persoalannya ialah laporan DOJ hanya menyebut permata berlian bernilai RM128 juta itu diberikan kepada isteri MO1 dan ianya tidak pun di sebut sebagai diberikan kepada Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak.

Tindakan Rosmah ini seolah memperakui laporan DOJ yang menyebut permata berlian yang diberikan kepada isteri MO1 itu membawa maksud isteri MO1 yang menerima permata berlian itu adalah dirinya. 

Secara tidak langsung Rosmah seperti memperakui isteri MO1 itu adalah dirinya Rosmah Mansor isteri Najib Razak Perdana Menteri Malaysia.

Bagi saya pengakuan Rosmah itu dibuat kerana dia mempunyai pengetahuan tentang apa yang berlaku seperti yang terkandung dalam laporan DOJ. Ini bermakna Rosmah tahu isteri MO1 itu adalah dirinya dan permata berlian tersebut ada padanya.

DOJ tidak pun menyebut nama Rosmah Mansor yang memiliki permata berlian bernilai RM128 juta. Kini Rosmah sendiri yang memberitahu isteri MO1 itu adalah dirinya dan apabila Rosmah Mansor adalah isteri MO1 maka sudah tentulah MO1 yang dimaksudkan DOJ itu tidak lain dan tidak bukan adalah Mohd Najib Razak.

Selamat Berpuasa dan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin.


Dato' Hj Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
20 Jun 2017/25 Ramadhan 1438H.


Ulasan Blog - Sesiapa pun sebenarnya tidak sukar menjangka siapa MO1 dan siapa isteri MO1 seperti yang disebut dalam laporan DOJ berhubung dana 1MDB yang diselewengkan, tetapi atas pelbagai sebab mereka agak keberatan untuk menyebutnya secara terbuka.

Cumanya, sebagaimana yang disebut oleh Mahfuz, dengan mengugut mahu menyaman sebagaimana yang diutarakan oleh Rosmah Mansor melalui peguamnya itu, ia secara tidak langsung beliau telah mengaku dirinya adalah isteri MO1 dan mengetahui tentang barang-barang kemas yang disebut DOJ itu.

Najib pula, walaupun sebutan nama MO1 itu telah muncul sejak Julai 2016 lagi, beliau masih lagi berdiam diri dan membisu sehingga hari ini. Mengaku tidak, menolak pun tidak. Hanya diam saja sepanjang masa. Jauh sekali terdengar beliau berani mengugut mahu menyaman sepertimana dilakukan isterinya, Rosmah.

Setidak-tidaknya Rosmah punya lebih keberanian berbanding Najib.

Dalam hal ini, sempena bulan Ramadan yang mulia dan untuk mengelakkan rakyat terus tertanya-tanya, adalah lebih baik Najib dan Rosmah membuat sidang akhbar bersama membuat pengakuan bahawa identiti MO1 dan isteri MO1 itu adalah diri mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan yang sebelum ini pernah mengesahkan MO1 adalah Najib adalah juga dialu-alukan, setelah saman sivil ketiga oleh DOJ dilakukan minggu lalu, untuk sekali lagi mengesahkan  perkara itu sambil turut mengakui Rosmah adalah isteri MO1.

Tentunya ramai yang akan berbangga dan lebih bergembira di Hari Raya nanti dengan pengakuan Najib dan Rosmah itu kerana secara tidak langsung memperlihatkan kepada dunia bahawa sekurang-kurangnya orang Melayu ada kehebatan tersendiri dari segi mengumpul kekayaan dan jumlah barang-kemas semasa sedang berkuasa.

Tanpa pengakuan kedua-dua mereka secara rasmi, timbul pula rasa was-was mahu berbangga dan bergembira secara berlebih-lebihan di Hari Raya nanti.

Ia juga bertepatan dengan saranan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq yang meminta supaya cerita barang kemas dan intan berlian ini diheboh dan dikongsi-kongsikan kepada ibu bapa, atuk, nenek, mak saudara dan segala kaum keluarga ketika penghuni kotaraya pulang ke kampung untuk berhari raya nanti.

Tentu lebih seronok dan meriah untuk berkongsi cerita jika Najib dan Rosmah dapat mengaku secara terbuka bahawa mereka adalah MO1 dan isteri MO1.

Barangkali pengakuan itu akan lebih bermakna berbanding duit raya RM500 untuk kakitangan awam dan RM780 untuk peneroka Felda yang diumumkan Najib sebelum ini. (ShahbudinHusin 20/06/2017)

KALAU TAK LEPAS RAYA, TUNGGULAH LEPAS PILIHANRAYA....KITA TETAP KENA!!

Meskipun dilaporkan Jabatan Kastam tidak pernah merujuk kepada Kementerian Kewangan serta Kabinet dalam rancangan untuk mengenakan cukai GST kepada 60 bahan makanan dan ia segera dibatalkan setelah heboh diperkatakan, tidak bermakna perkara itu tidak akan menjadi kenyataan.

Ternampak kelakar bahawa hujah pembatalan itu dikatakan selepas Jabatan Kastam merujuk kepada Kementerian Kewangan.

Bukankah Jabatan Kastam itu sendiri merupakan jabatan di bawah Kementerian Kewangan dan adakah mungkin mereka berani melakukan sesuatu perkara tanpa restu pihak atasan?

Hakikat yang harus kita sedari ialah satu lagi usaha untuk "mencekik dan memangsakan" rakyat memang sudah ada dalam rancangan pihak kerajaan.

Barangkali ini juga sebahagian daripada konsep "rakyat didahulukan" yang menjadi pegangan kerajaan.

Hanya masanya tidak sesuai untuk dilaksanakan sekarang, maka itu ia segera dibatalkan, tetapi ungkapan paling tepat ialah mungkin cuma ditangguhkan buat sementara saja.

Yang jelas, kita belum tentu selamat daripada terus "dicekik dan dimangsakan" lagi pada masa akan datang.

Untuk itu, meskipun sudah dibatalkan, kalau tidak lepas Hari Raya, pasti lepas pilihanraya nanti, pengenaan cukai kepada 60 bahan makanan itu akan dikuatkuasakan juga akhirnya.

Mencukai rakyat adalah cara paling mudah untuk mendapatkan wang oleh kerajaan sekarang. Lihat saja sebelum ini, selepas gagal mengurus kewangan negara berikutan penurunan harga minyak dan tercetusnya skandal 1MDB, lantas cukai GST yang menyebabkan rakyat menghadiahkan sumbangan RM42 bilion setahun kepada kerajaan dikuatkuasakan.

Berikutan kekurangan dana untuk mempromosi sektor pelancongan sehingga banyak pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan ditutup, cukai pelancongan pula diperkenalkan mulai 1 Julai depan ini.

Bila saja kekurangan dana, poket rakyatlah sasarannya.

Hanya satu yang boleh menyelamatkan kita iaitu hati-hati dengan undi yang kita ada.

Silap memberi undi, kita akan terus melidi hingga mati. (ShahbudinHusin 20/06/2017)

Monday, 19 June 2017

SAMANLAH....

Di dunia ini, antara perkara yang paling cuba dielakkan oleh kebanyakan orang ialah kena saman.

Apabila kena saman, bukan saja perlu turun naik mahkamah dan membayar kos guaman yang bukan sedikit, malah jika kalah, terpaksa pula membayar sejumlah ganti rugi lagi kepada orang yang membuat tuntutan itu.


Kiranya menang, kos guaman tetap kena bayar juga. Pendeknya, kalah atau menang, kerugian wang ringgit memang tidak dapat dielakkan.

Tetapi, sejak isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor melaungkan ugutan mahu menyaman pengguna media sosial yang memfitnah, melempar tuduhan tidak berasas, memburuk-burukkan dan membuat dakwaan palsu terhadapnya berhubung saman sivil DOJ, ramai pula yang sedia dan menanti-nanti untuk disaman.

Ramai pengguna media sosial didapati membuat posting yang menggambarkan mereka sedia dan tidak takut untuk disaman oleh Rosmah.

Termasuk yang tidak gentar dan menunggu-nunggu untuk disaman oleh Tun Mahathir Mohamad yang mengucapkannya melalui rakaman video yang dimuatnaik dalam laman Facebooknya.

Lalu, apa lagi Kak Ros...samanlah....(ShahbudinHusin 19/06/2017).

MENOLAK SAMAN DOJ SAMALAH SEPERTI MEMBELA JHO LOW


Saman sivil DOJ yang antaranya untuk merampas harta-harta Jho Low dan Riza Aziz yang dipercayai dibeli menggunakan dana 1MDB yang dilencongkan adalah berasaskan KARI - Kleptocracy Asset Recovery Initiative atau Inisiatif Mendapatkan Semula Aset Kleptokrasi.

Kleptokrasi, istilah yang barangkali agak baru bagi kebanyakan kita bermakna hasil yang diperolehi daripada mencuri. Jika sesebuah negara dirujuk sebagai negara kleptorasi, ia bermakna negara tersebut diperintah oleh pencuri wang rakyat.

Berasaskan itu, daripada AS$4.5 bilion atau hampir RM20,000 juta dana 1MDB yang diselewengkan, saman DOJ ialah untuk mendapatkan atau merampas sejumlah AS$1.7 bilion atau RM7,000 juta yang telah dibelanjakan untuk membeli pelbagai aset dengan menggunakan sistem kewangan Amerika Syarikat, malah sebahagian harta itu juga dibeli di negara kuasa besar tersebut.

Tindakan DOJ ialah untuk mengekang sistem kewangan negara mereka daripada dipergunakan untuk mencuci wang haram daripada sumber-sumber yang meragukan. Asasnya Amerika tidak mahu negara mereka dijadikan pengkalan dalam apa juga aktiviti berkaitan wang haram.

Sama ada selepas saman sivil itu akan diteruskan dengan tindakan jenayah atau tidak, ia terserah kepada DOJ untuk menentukannya berdasarkan bukti-bukti yang mereka ada.

Sekiranya ada asas untuk mendakwa, misalnya berkaitan penggubahan wang haram, maka yang terlibat akan didakwa di Amerika sana.

Dalam hal ini, jika ada tindakan jenayah seterusnya yang akan diambil, yang paling mungkin setakat ini terkait hanyalah Jho Low dan Riza Aziz bersama Mohamed Al Badawy serta Khadem Al Qubaishi saja.

Yang kehilangan harta, aset dan kekayaan juga adalah mereka.

Nama Najib Razak tidak disebut, cuma dalam pengetahuan DOJ bahawa ada Malaysian Official 1 turut menerima sejumlah AS$731 juta atau kira-kira RM3,000 juta daripada dana 1MDB yang dilencongkan itu.

Begitu juga dengan nama Rosmah Mansor turut tidak disebut, yang ada dalam fail DOJ hanyalah isteri Malaysian Official 1 yang didapati menerima pelbagai jenis barangan kemas berjumlah AS$28.6 juta atau RM128 juta.

Dalam waktu yang sama, selepas harta dan aset itu dirampas, hasilnya bukanlah akan diambil oleh Amerika Syarikat, tetapi dipulangkan kepada negara asal di mana ia berpunca. Dalam konteks ini, Malaysialah tempat wang tersebut akan dikembalikan.

Dalam erti kata lain, tindakan DOJ ini adalah baik dan menguntungkan Malaysia. 

Tetapi, kenapa tidak ada pemimpin UMNO dan kerajaan yang menyokong dan menyambut baik tindakan DOJ itu?

Menolak, mencemuh atau mempertikaikan saman DOJ seperti yang tergambar dalam semua tindakan pemimpin UMNO dan kerajaan setakat ini samalah seperti mereka tidak mahu kepada wang AS$1.7 bilion atau RM7,000 juta yang bakal diserahkan oleh Amerika Syarikat kepada negara kita.

Lebih tragis, tindakan pemimpin UMNO menolak, mencemuh dan mempertikaikan saman DOJ itu juga tidak ubah seperti mereka mahu semua harta dan aset tersebut yang dipercayai daripada hasil curi, terus kekal menjadi milik Jho Low dan Riza Aziz.

Jika tindakan DOJ itu adalah hal dalaman Amerika Syarikat yang akhirnya menguntungkan Malaysia, kenapa tidak para pemimpin UMNO menyambutnya dengan baik atau setidak-tidaknya duduk diam-diam saja?

Malah, terlihat kelakar bila ada menteri yang mengatakan tindakan DOJ itu suatu bentuk campurtangan asing, sedangkan Amerika ingin membantu dan menambah dana dalam kantung negara yang sentiasa menipis dan berkurangan?

Bayangkan berapa banyak maslahat untuk rakyat boleh dimanfaat dengan wang sebanyak RM7,000 juta itu?

Siapa Jho Low dan Riza Aziz yang begitu gigih dan ketagih untuk dibela dan dipertahankan oleh pemimpin-pemimpin UMNO?

Adakah Jho Low dan Riza Aziz lebih penting berbanding negara di mata semua para pemimpin UMNO? (ShahbudinHusin 19/06/2017).

Sunday, 18 June 2017

SABAR DAN CERDIKLAH SIKIT WAHAI BAKAL PERDANA MENTERI....


Dalam reaksinya mengenai tindakan DOJ atau Jabatan Kehakiman AS berhubung proses penyitaan aset-aset berkaitan 1MDB, sepupu Najib Razak yang disebut-sebut mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, Hishammuddin Hussein membangkitkan dua perkara yang tentunya membuatkan ramai orang garu kepala.

Pertama, beliau yang juga Naib Presiden UMNO mencabar DOJ untuk segera melakukan pendakwaan jika benar agensi penguatkuasa AS itu memiliki bukti berkaitan dana 1MDB yang diselewengkan.

Katanya, jika DOJ tidak melakukan pendakwan di mahkamah, ia hanya akan menjejaskan kredibiliti mereka.

"Saya nak nasihat, kalau DOJ mempunyai bukti-bukti yang kukuh, dakwalah, jangan buat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan.

"Apabila mereka dakwa di mahkamah, yang didakwa ada ruang untuk membersihkan nama masing-masing," ujarnya yang baru-baru ini turut dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, selain dikekalkan sebagai Menteri Pertahanan.

Kedua, Hishammuddin juga mempersoalkan identiti sebenar Malaysian Official 1 atau MO1 sebagaimana yang disebut dalam dokumen DOJ tersebut.

"Ia boleh jadi sesiapa saja. MO1 itu mungkin Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani.

"Sehingga kita tahu fakta yang sebenar, macam mana kita nak tahu siapa MO1 itu? soal Hishammuddin lagi.

Pelik juga dengan Hishammudin ini, tiba-tiba saja mencabar DOJ untuk menyegerakan proses mahkamah sedangkan beliau sepatutnya tahu apa yang berlaku sekarang baru di peringkat memfailkan dokumen untuk proses saman sivil.

Sehingga ini, sudah tiga pemfailan dilakukan oleh DOJ di mana kali pertama melibatkan dokumen setebal 136 mukasurat, kali kedua melibatkan penthouse dan pejabat di London dan yang terbaru melibatkan pelbagai lagi aset dengan dokumen mahkamah mengenainya setebal 251 mukasurat.

Maka, sabarlah sikit untuk proses yang seterusnya?

Apakah dengan kesediaan menyediakan dokumen yang sebegitu tebal dan terperinci,  Hishammuddin merasakan DOJ hanya main-main saja dalam tindakan mereka?

Harus disedari bahawa apa yang dilakukan oleh DOJ ialah berkaitan mereka yang menggunakan sistem kewangan negara itu untuk membeli harta dan pelbagai aset daripada wang yang dicurigai sumbernya, melibatkan penggubahan haram dan pencurian dana negara.

Sudah tentu, ia memerlukan tindakan yang teliti dan mengambil sedikit masa kerana dalam usaha merampas atau menyita aset-aset yang disenaraikan itu mungkin wujud kecuaian-kecuaian tertentu yang memungkinkan penyitaan itu mengalami kegagalan.

Jadi, kelambatan itu adalah kerana banyak penelitian perlu dilakukan sebelum di bawa ke mahkamah untuk dibentang dan dihujah.

Lagi pula, seperti yang diketahui, keluarga Jho Low sendiri ada memfailkan tindakan mahkamah di New Zealand dan Pulau Cayman sebelum ini untuk menghalang harta-harta yang disenaraikan DOJ itu daripada dirampas.

Sekali lagi, sabarlah wahai bakal Perdana Menteri!

Namun demikian, dicurigai juga adakah ketidaksabaran Hishammuddin ini bertujuan untuk menunjukkan beliau dilihat membela nama-nama yang disebut DOJ itu  yang antaranya ialah Jho Low dan Riza Aziz, anak tiri Najib sendiri atau ada maksud tersirat iaitu supaya Perdana Menteri terus tertekan dan cepat-cepat meletakkan jawatan?

Berhubung keraguan Hishammuddin tentang identiti MO1 dan menyebut kemungkinan juga MO1 adalah Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani, tindakan sepupu Najib dalam hal ini bukan saja kelakar, malah menyerlahkan beliau sudah duduk sebaris dengan Ahmad Maslan.

Tidakkah Hishammudin lupa bahawa antara fakta yang disebut DOJ mengenai MO1 ialah individu tersebut merupakan pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia serta didakwa pernah menerima AS$731 juta daripada dana 1MDB yang dilencongkan melalui akaun peribadinya?

Dalam dokumen saman sivil yang pertama, MOI juga disebut sebanyak 36 kali.

Dengan yang demikian, adakah munasabah MO1 itu Johari Abdul Ghani yang baru saja menjadi Menteri Kewangan Kedua sejak 2015 lalu menggantikan Husni Hanadzlah?

Cerdiklah sikit bro!

Dalam hal ini, kenapa  Hishammuddin masih cuba bermain teka-teki, sedangkan rakan kabinetnya, Abdul Rahman Dahlan secara terbuka pernah mengatakan, adalah bodoh jika sesiapa memikirkan MO1 itu adalah individu lain selain Najib.

Dalam fikiran Abdul Rahman Dahlan sekarang, siapa yang masih bodoh? (ShahbudinHusin 18/06/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...