Thursday 30 June 2016

DAKWALAH 1,000 ORANG SEKALIPUN, TIDAK TERTEGAK KEADILAN SELAGI NAJIB BEBAS MERDEKA


Pendakwaan atas tuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng memperlihatkan beberapa perkara yang di luar daripada kebiasaan.

Pertama, walaupun Lim Guan Eng sebelum ini memberi kerjasama penuh ketika siasatan, tetapi beliau tetap diserbu dan ditahan di pejabatnya oleh sekurang-kurangnya oleh lapan orang pegawai SPRM seolah-olah untuk menangkap seorang penjenayah besar yang berpotensi untuk melarikan diri.

Atas kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, kenapakah sedikit penghormatan tidak boleh diberikan kepadanya dengan sekadar memintanya hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan tanpa perlu bermalam di lokap SPRM?

Kedua, pasukan pendakwaan seramai enam orang diketuai sendiri oleh Peguam Negara, Apandi Ali.

Ketiga, jaminan yang agak besar iaitu sebanyak RM1 juta bersama seorang penjamin dikenakan ke atas Lim Gun Eng.

Keempat, penglibatan Peguam Negara mengetuai pasukan pendakwaan dan jumlah jaminan yang dikenakan seperti tidak sepadan dengan kes iaitu hanya berkaitan pembelian banglo yang bernilai RM2.8 juta dan pertukaran status sebidang tanah.

Ia secara nyata jauh lebih kecil, bukan saja berbanding RM42 juta yang diterima Najib Razak daripada SRC International, tetapi juga daripada RM2,600 juta atau mengikut dakwaan WSJ RM4,200 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib, yang kemudian kesnya tidak diteruskan dengan pendakwaan, malah diarahkan dihenti penyiasatannya oleh Peguam Negara.

Tindakan membesar-besarkan penangkapan, jumlah jaminan dan Peguam Negara sendiri mengetuai pendakwaan, bukan saja memperlihatkan dengan jelas sebagai bermotif politik untuk melemahkan Pakatan Harapan, bahkan juga untuk mengalihkan perhatian kepada skandal kewangan berskala besar yang melibatkan Najib dan 1MDB yang sedang diperkatakan di seluruh dan disiasat oleh sekurang-kurangnya tujuh negara.

Ia juga bertujuan untuk menjadikannya kelihatan besar dan begitu serius kesalahannya di mata umum.

Hanya dengan membesar-besarkan segala apa yang boleh diperbesarkan, barulah ia diharapkan mampu menutup apa yang diperkatakan ramai mengenai Najib selama ini.

Tetapi, seperti yang pernah disebut oleh Tun Mahathir, jika dulu rasuah berlaku secara sorok-sorok dan dibawah meja, sebaliknya di era Najib ini ia sudah terang-terangan berlaku di atas meja.

Sebab itu, dalam kes SRC International, selain Najib tidak dikenakan apa-apa pertuduhan walaupun mengakui menerima wang tersebut, dua pengarahnya iaitu Nik Faisal Arif Kamil dan Suboh Md Yassin, turut juga terlepas begitu saja.

Kedua-duanya bukan saja hilang melarikan diri atau dihilangkan ke luar negara, bahkan masih dikekalkan sebagai pengarah SRC International sehingga kini.

Berbanding dalam kes Lim Guan Eng di mana Peguam Negara mengetuai pendakwaan, beliau sebaliknya menjadi hakim dalam kes melibatkan Najib dengan mengarahkan ia ditutup dan dihentikan penyiasatan.

Pendeknya, apa yang berlaku melibatkan Najib, 1MDB dan kaitan kedua-duanya dengan Najib jauh lebih besar dan mengancam negara berbanding kes Lim Guan Eng yang tidak melibatkan kerugian kepada penjual banglo tersebut.

Jika tidak cukup besar, mana pernah sebuah syarikat milik kerajaan sampai disiasat oleh tujuh buah negara dan menyebabkan sebuah cawangan bank yang berusia ratusan tahun ditutup akhirnya di Singapura.

Membesar-besarkan nyiru kes Lim Gun Eng tidak akan menutup bangkai skandal yang lebih besar dan sudah berbau ke seluruh dunia. Malah jika 1,000 orang sekali pun didakwa dan dihadapkan ke mahkamah serta diperbesar-besarkan seperti kes Ketua Menteri Pulau Pinang itu,  keadilan tetap tersembunyi selagi Najib bebas lepas dan merdeka seperti sekarang. (SH 30/06/2016).

PENDAKWAAN TERHADAP LIM GUAN ENG LEBIH MENYUBURKAN INGATAN BAGAIMANA NAJIB DISELAMATKAN


Hari ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan dihadapkan ke  mahkamah atas dua pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 165, Akta Pencegahan Rasuah.

Tuduhan pertama berkaitan pertukaran status sebidang tanah pertanian kepada kediaman oleh sebuah syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd dan tuduhan kedua berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran.

Peguam Negara, Apandi Ali sendiri akan mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Lim Guan Eng.

Bersama pendakwaan terhadap Lim Guan Eng, tidak mustahil akan dilakukan Najib ialah mengadakan pilihanraya mengejut sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Seiring dengan perpecahan dalam pembangkang, Pas lena dalam dakapan, aura kemenangan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar masih diperkatakan, penentang-penentang dalam UMNO sudah dibuang, pendakwaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak mustahil dianggap pelengkap kepada ramuan untuk membolehkan rakyat memberi sokongan yang lebih padu kepada BN serta membuatkan Najib mampu terus berkuasa dengan lebih lama.

Dan kalau pun tarikh pilihanraya tidak diawalkan, Najib dan para pemimpin BN sekurang-kurangnya akan menggunakan isu berkaitan Lim Guan Eng itu untuk tujuan melemahkan DAP dan sebagai senjata untuk menawan Pulau Pinang pada pilihanraya akan datang.

Berdepan dengan sekian banyak isu berkaitan skandal kewangan dan rasuah melibatkan Najib yang juga disiasat SPRM tetapi ditutup kes oleh Peguam Negara, memalitkan pihak musuh dengan pendakwaan di mahkamah adalah strategi terang-terangan untuk mengaut keuntungan politik.

Memang sesiapa pun menyokong segala usaha SPRM menangani dan membanteras rasuah, tetapi  yang diharapkan juga ialah agar ia dilakukan secara menyeluruh dan tanpa pilih bulu.

Jika Lim Guan Eng boleh ditahan serta didakwa dan sebelum ini Khir Toyo sudah pun dipenjara, persoalan umum tentunya ialah berkaitan Najib yang bukan saja dalam akaunnya ada wang sebanyak RM2,600 juta atau mungkin meningkat kepada RM4,200 juta, tetapi juga pengakuannya sendiri berkaitan dana RM42 juta daripada SRC International, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan yang masuk ke akaun bank peribadinya.

Apakah alasan tidak tahu wang itu daripada SRC International tetapi membelanjakan sebahagian wang itu, antaranya untuk membayar kad kredit, merupakan alasan yang boleh diterima untuk melepaskan Najib?

Begitu juga dengan Jho Low yang sekarang sudah disahkan Good Star Ltd yang menerima RM1,030 juta wang 1MDB adalah milik mutlaknya, mengapa playboy muda itu terus dilindungi?
Sama seperti kes Lim Guan Eng, SPRM sebenarnya sudah menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin berkaitan Najib dengan difahamkan turut mencadangkan beberapa pendakwaan, namun ia ditolak atau diketepikan oleh Peguam Negara.

Jika kita masih ingat, pegawai SPRM juga ketika itu turut dikacau-ganggu dengan mereka sendiri turut disiasat dan digeledah oleh pihak polis.

Peguam Negara akhirnya bukan saja menolak untuk pendakwaan, bahkan mengarakan SPRM menutup terus kes dan menghentikan sebarang siasatan mereka terhadap Najib.

Selepas syor pendakwaan ditolak, khabarnya SPRM mahu membuat rayuan kepada Peguam Negara agar ia dikaji semula,  namun yang kita dengar kemudian ialah dua pimpinan tertinggi badan pencegah rasuah itu yang akhirnya dibersarakan.

Sebab itu, dalam kes Lim Guan Eng ini, meskipun semua orang faham sebarang pendakwaan mesti mendapat lampu hijau Peguam Negara, SPRM dalam kenyataannya sekali lagi menyebut bahawa tindakan mereka adalah atas arahan Peguam Negara.

Ini sekali gus, sementara Lim Guan Eng didakwa di mahkamah atas arahan Peguam Negara dan Peguam Negara sendiri mengetuai pasukan pendakwaan, orangramai juga akan turut mengingati bagaimana Peguam Negara yang sama menggunakan kuasanya untuk menyelamatkan Najib sebelum ini.

Maka, tidak banyak laba politik yang boleh UMNO dan BN harapkan daripada kes Lim Guan Eng ini, sebaliknya ia akan menyebabkan kemarahan dalam diam rakyat terus membuak-buak terhadap Najib dan institusi-institusi penguatkuasa yang melindunginya. (SH 30/06/2016).

Wednesday 29 June 2016

MAHATHIR LEBIH TOLERANSI BERBANDING NAJIB


Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sekali lagi disiasat polis berhubung kenyataannya yang menyifatkan Najib Razak sebagai "Idi Amin Malaysia".

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara tersebut dan mengatakan ia adalah siasatan polis yang kelapan terhadap Tun Mahathir.

Kes ini adalah dibawah Seksyen 500, Kanun Keseksaan kerana menyamakan Najib dengan Idi Amin, kata Khalid dipetik sebagai berkata kepada media petang tadi.
Idi Amin adalah Presiden Uganda yang memerintah antara tahun 1971 hingga 1979 dan terkenal dengan pencabulan hak asasi manusia, rasuah dan menggunakan harta negara sehingga ia ditolak oleh rakyat negara tersebut.

Tun Mahathir juga pernah disamakan dengan Firaun dan digelar Mahafiraun selama bertahun-tahun oleh penentangnya, namun tidak pernah sesiapa disiasat polis kerana perbuatan itu.

Berbanding Idi Amin, Firaun adalah sosok pemimpin yang boleh dikatakan lengkap ciri-ciri kekejamannya sehingga mengaku dirinya sebagai Tuhan, sebelum akhirnya mati ditelan Laut Merah.

Ternampak bahawa di sebalik perbandingan liar dan keterlaluan terhadapnya, Tun Mahathir tetap ada sisi toleransinya.

Dalam reaksi berhubung siasatan polis terhadapnya, Tun Mahathir berkata, beliau tidak menuduh Perdana Menteri  membunuh orang, tetapi mengakui membuat perbandingan dengan Idi Amin untuk menggambarkan Najib bukan Presiden (UMNO) yang baik.

Saya tidak akan tarik balik kenyataan itu. Bagi tuduhan khusus ke atas saya, saya akan jawabnya di mahkamah, tegas Tun Mahathir.

Pada malam kemenangan BN di Sungai Besar, Najib membalas gelaran yang menyamakannya dengan Idi Amin itu dengan mengatakan, "nampaknya Idi Amin Malaysia lebih popular."

Daripada lapan siasatan polis terhadap Tun Mahathir setakat ini, berapa agaknya yang akan membawa kepada pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah?

Menjelang pilihanraya akan datang pula dan melihat bagaimana Tun Mahathir terus menjadikan Najib sasaran serangannya, berapa banyak lagi siasatan dan pertuduhan akan dikenakan terhadapnya? (SH 29/06/2016).

TAK KE DAH 'GILA', DIA CADANG MUHYIDDIN DIPECAT, DIA JUGA CADANGKAN BUAT RAYUAN SUPAYA LEBIH DIHORMATI AHLI2 UMNO

Antara pemimpin UMNO yang lantang bersuara agar Muhyiddin Yassin dipecat daripada UMNO ialah Fuad Zarkashi yang kalah di Batu Pahat pada pilihanraya 2013, tetapi kemudian diberikan jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwa Khas atau Jasa.

Pada Mac lalu, beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan dipetik sebagai berkata bahawa penyertaan Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir dalam Deklarasi Rakyat untuk menyingkir Najib Razak adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

"Mereka harus dipecat. Kali ini saya sendiri akan mencadangkannya kepada MT UMNO," tegas beliau.
Setelah beberapa kali tertangguh berikutan menunggu selesainya pilihanraya negeri Sarawak dan pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar,  Muhyiddin dan Mukhriz akhirnya dipecat daripada UMNO pada mesyuarat MT, 24 Jun lalu.

Dalam reaksinya setelah dipecat, Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan membuat sebarang rayuan kerana menganggap keputusan MT itu sebagai penamat kepada sejarah panjang penuh liku dalam perjuangannya bersama dengan UMNO.

Beliau kemudian tidak menolak kemungkinan mahu menubuhkan parti baru atau menyertai parti-parti politik sedia ada untuk meneruskan perjuangannya demi agama, bangsa dan negara.

Namun, meskipun sudah menyatakan tidak akan merayu, Fuad Zarkashi bersuara pula dengan menasihatkan Muhyiddin agar merayu kepada Lembaga Disiplin untuk menyertai semula UMNO.

Katanya, dengan membuat rayuan adalah langkah terbaik untuk menjadikan Muhyiddin lebih dihormati dalam kalangan ahli-ahli UMNO, selain membolehkannya meneruskan kembali perjuangan sehingga ke akhir hayat.

Hadoii...'gila'  ke apa Fuad ini? Atau dah putus dua tiga wayar dalam otaknya?

Dulu dia sendiri antara yang bersungguh-sungguh agar Muhyiddin dipecat daripada UMNO, kini dia juga yang menyarankan agar bekas Timbalan Presiden UMNO itu membuat rayuan.
Bukankah dia sepatutnya gembira bila Muhyiddin sudah dipecat kerana itulah yang dicadangkannya?

Kenapa sekarang diminta merayu pula?

Dah kurang dedak agaknya? (SH 29/06/2016).

Tuesday 28 June 2016

"KELAKAR KALAU HARAPKAN NOH OMAR BOLEH TAWAN SEMULA SELANGOR"


Orang yang barangkali paling gembira dengan rombakan kabinet semalam tentunya ialah Noh Omar. Digugurkan selepas pilihanraya 2013 kerana gagal menawan Selangor walaupun bergandingan dengan Najib Razak, hanya dengan kemenangan BN dalam pilihanraya kecil Sungai Besar menjadikannya kembali semula sebagai menteri.

Sebelum ini, Noh adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, kini beliau dilantik sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Jika selepas menang di Sungai Besar, Noh membayangkan harapan cerah untuk menawan semula Selangor dalam PRU 14 akan datang, perlantikan sebagai menteri pula dianggap memberinya suntikan lebih semangat ke arah yang sama.

Jadi dengan perlantikan baru ini akan memberikan semangat baru, suntikan baru dan akan memudahkan saya menguruskan masalah rakyat, terutama yang tinggal dalam bandar, kata Noh semalam.

Najib sendiri memberinya jawatan menteri itu tidak lain selain memudahkan matlamat untuk membawa kembali Selangor ke pangkuan BN dapat menjadi kenyataan, setelah gagal melakukannya pada 2013 yang lalu.

Soalnya mampukan Noh dengan jawatan barunya ini menawan semula Selangor dalam pilihanraya akan datang ini?

Sementara Pakatan Harapan Selangor dalam reaksinya menyatakan perlantikan Noh itu bukan merupakan ancaman kepada mereka, kalangan dalam UMNO  Selangor sendiri turut mempunyai keraguan perlantikan Noh sebagai menteri mampu menyumbang sesuatu yang positif.

Seorang pemimpin peringkat pertengahan dalam satu bahagian UMNO di Selangor tidak menyembunyikan kesangsian mereka terhadap kemampuan Noh untuk menawan semula Selangor daripada Pakatan Harapan.

Kata beliau, kalau benar ingin menawan semula Selangor, adalah kelakar jika UMNO menjadikan Noh sebagai sandarannya.

Noh terlalu banyak isu sama ada berkaitan peribadinya atau perlakuannya sebagai menteri sebelum ini. Malah wajahnya pun bukan tarikan yang mampu membuatkan pengundi tertarik untuk memilih BN, kata pemimpin tersebut.

Katanya, beliau berkongsi pandangan dengan ramai kawan-kawan yang seangkatan dengannya di banyak bahagian lain bahawa untuk menawan semula Selangor, pemimpin baru dan tidak terpalit dengan apa-apa isu haruslah ditampilkan.

Mesej kemenangan Budiman Mohd Zohdi di Sungai Besar adalah jelas bahawa pengundi mahukan pemimpin muda yang tiada isu peribadi, bukannya pemimpin tua yang boleh dikitar semula, katanya lagi.

Tambahnya, dalam PRU 2013 lalu, Noh selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dan Najib selaku Pengerusinya, telah terbukti bukan saja gagal menawan Selangor, malah jumlah kerusi yang dimenangi BN menurun iaitu 12 kerusi berbanding 20 kerusi pada 2008.

Lalu, apa asasnya untuk disandarkan harapan kepada Noh untuk mencipta kemenangan pada pilihanraya akan datang? soal beliau.

Kata beliau, kemenangan BN di Sungai Besar bukanlah kerana kelebihan atau kemampuan Noh, tetapi disebabkan pemilihan Budiman sebagai calon merupakan faktor utamanya.

Untuk menawan Selangor, tegasnya, UMNO Selangor bukan saja perlu dipimpin oleh pemimpin baru dan muda daripada negeri itu, bahkan jika mahu pemimpin pusat memainkan peranan, watak yang selayaknya ialah seperti Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein atau Khairy Jamaluddin.

Noh tersasar jauh daripada harapan itu, katanya dengan nada sedikit kecewa terhadap Najib yang memilih semula Noh sebagai menteri. (SH 28/06/2016).

YESSS...INI BARU SOLIDARITI, MEMBUNUH PUN ADA RUANG MEMBELA DIRI!!


Berbanding Pagoh yang hanya riak-riak kecil dan Jerlun dan senyap sunyi,  reaksi UMNO Bahagian Semporna terhadap penggantungan Shafie Apdal lebih memberi erti tentang solidariti.

Di Pagoh, walaupun UMNO Bahagian itu menolak keputusan MT memecat Muhyiddin Yassin, hanya tiga pemimpin dalam bahagian itu yang meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan.

Di Jerlun yang diketuai oleh Mukhriz Mahathir, langsung tidak kedengaran apa-apa bantahan meskipun disedari proses yang diambil dalam mengadili bekas Menteri Besar Kedah itu jauh daripada keadilan yang sewajarnya.
Sebagaimana yang dilaporkan, sebagai bantahan terhadap tindakan MT UMNO menggantung Shafie yang juga Ketua UMNO Bahagian Semporna, Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, 19 AJK Bahagian dan 300 Ketua Cawangan mengumumkan keluar parti.

Mereka bertindak demikian kerana merasakan Shafie tidak diberi layanan yang adil dan sewajarnya sebelum dijatuhkan hukuman.

Dengan tindakan itu, UMNO Bahagian Semporna sudah lumpuh dan tidak berfungsi lagi.

Ini baru solidariti dan setiakawan...dan jika lebih ramai yang sedia mengambil tindakan serupa, gugatan terhadap Najib pasti akan lebih berkesan lagi.

Jika lebih ramai yang kenal erti perjuangan dan tidak sayang jawatan, Najib juga lebih mudah diberi pengajaran untuk sedia mendengar perbezaan dan kritikan dan tidak semata-mata gemar menggunakan kuasa yang ada padanya.

Muhyiddin dan Mukhriz dipecat, manakala Shafie digantung keahlian hanyalah kerana ketiga-tiga mereka lantang mengkritik Najib berkaitan isu 1MDB dan skandal kewangan yang melibatkan dirinya.

Tetapi mereka tidak pernah diberi surat tunjuk sebab atau apa-apa peluang membela diri sedangkan dalam proses pengadilan yang sebenar, pesalah membunuh yang jelas perlakuan membunuhnya pun tidak pernah dinafikan hak membela diri mereka.

Lantaran itu, selain pujian atas keberanian mereka di Semporna mengambil tindakan terpuji itu dan diharapkan lebih ramai lagi di seluruh negara yang menyusul kemudian dengan tindakan yang serupa. (SH 28/06/2016).

Monday 27 June 2016

HUSNI BERSARA KERANA TIDAK SETUJU DITUKARKAN, BUKANNYA SUKARELA


Berita yang paling tidak disangka-sangka dalam rombakan kabinet yang diumumkan Najib Razak kali ini, selain perlantikan semula Noh Omar sebagai menteri ialah berkaitan pengunduran Husni Hanadzlah daripada jawatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua.

(Terkini - menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Shamsul Zairil Kamaruddin, bekas Setiausaha Politik Husni beberapa jam kemudiannya, Husni juga mengumumkan perletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO Malaysia, Bendahari BN Malaysia, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi  BN Tambun)

Tanpa ribut dan tanpa sebarang khabar angin sebelumnya, tiba-tiba saja diberitakan beliau memilih untuk bersara daripada jawatannya.

Najib dalam pengumuman rombakan itu memberitahu, Husni telah memilih untuk bersara dan beliau menghormati keputusan tersebut.
Tempat Husni kini digantikan oleh Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Kewangan.

Benarkah Husni memilih untuk bersara secara sukarela?

Kenapa beliau bersara sekarang dan tidak berundur saja pada pilihanraya umum akan datang yang hanya kira-kira dua tahun lagi tempohnya?

Adakah beliau tidak sihat atau ingin berehat?

Seorang rakan memberitahu, Husni sebenarnya tidak memilih untuk bersara secara sukarela tetapi terpaksa membuat keputusan itu sebagai tanda protes, kecewa dan kecil hati terhadap Najib.

Beliau dikatakan tidak setuju dengan hasrat Najib mahu menukarkannya daripada Kementerian Kewangan ke Jabatan Perdana Menteri bagi mengambil alih tempat Abdul Wahib Omar yang sebelum ini sudah pun memilih tidak mahu dilantik lagi menganggotai kabinet.

Kata rakan tersebut, beliau diberitahu mengenai perkara itu oleh salah seorang pembantu Husni sendiri pada petang semalam lagi.

Katanya, Husni agak kecewa dengan pertukaran itu memandangkan beliau selama ini telah dengan baik memainkan peranan sebagai Menteri Kewangan Kedua dan jurucakap yang dilantik oleh kabinet untuk menjawab dan menangani hal-hal berkaitan 1MDB.

Lantaran itu, Husni dikatakan berasa pertukarannya itu seolah-olah beliau tidak begitu penting lagi di sisi Najib sekarang ini, meskipun sebahagian isu berkaitan 1MDB sudah berjaya diselesaikan.

Dalam rombakan kabinet yang diumumkan Najib, empat menteri terlihat dalam rombakan iaitu Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua, Abdul Rahman Dahlan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Unit Perancang Ekonomi (mengisi tempat Abdul Wahid Omar), Noh Omar dibawa kembali menyertai kabinet memegang jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Mah Siew Keong sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. (SH 27/06/2016).

APA NASIB TUN MAHATHIR SETERUSNYA?


Tun Mahathir Mohamad, musuh utama Najib Razak kini satu demi satu sedang ditarik kemudahan dan keistimewaannya hanya kerana bersikap kritikal terhadap Perdana Menteri.

Bermula dengan kedudukannya sebagai Penasihat Petronas dilucutkan,  desakan berterusan yang akhirnya membuatkan Tun Mahathir sendiri memilih berundur sebagai Pengerusi Proton kerana tidak mahu menyusahkan syarikat kereta nasional itu dan kemudahan polis pengiring disekat kecuali untuk program rasmi, minggu lalu bantuan kerajaan terhadap Yayasan Kepimpinan Perdana pula diumumkan ditarik balik oleh Najib.

Dengan penarikan bantuan kerajaan itu yang antaranya melibatkan pembayaran gaji kakitangan dan bil ulitili, kedudukan Yayasan Kepimpinan Perdana berada dalam keadaan tidak menentu, kecuali jika ia memiliki dana sumbangam korporat yang masih mencukupi untuk terus bertahan untuk beberapa tahun akan datang.

Jika akhirnya Yayasan Kepimpinan Perdana tidak mampu membiayai kos bulanannya dan terpaksa ditutup, Tun Mahathir hanya mempunyai satu saja lagi kemudahan pejabat untuknya iaitu di Yayasan Al Bukhary berhampiran Masjid Negara.

Namun demikian, oleh kerana Syed Mokhtar Al Bukhary mempunyai banyak urusan perniagaan dengan kerajaan, tidak mustahil beliau juga sedang ditekan agar berhenti daripada menyediakan kemudahan itu kepada Tun Mahathir.

Najib tentunya akan menjadi paling gembira jika berjaya membuatkan Tun Mahathir tidak mempunyai satu pun kemudahan pejabat dan akhinya terpaksa mengeluarkan pembiayaan sendiri bagi tujuan tersebut.

Tidak disangsikan bahawa penarikan balik bantuan dan semua kemudahan itu ialah dengan tujuan untuk menyekat kelancaran Tun Mahathir daripada bergerak dan menjalankan aktiviti yang dirasakan boleh menggugat kedudukannya.

Bersama Muhyiddin Yassin, Mukhriz turut dipecat daripada UMNO. Ini menjadikan Tun Mahathir dan satu-satu anaknya yang aktif dalam UMNO tidak lagi berada dalam parti yang sedang dipimpin Najib.

Seorang lagi anak Tun Mahathir, Mokhzani yang kini menjadi Pengerusi Litar Sepang, barangkali turut dalam perhatian untuk diambil tindakan juga oleh Najib.

Dalam masa yang sama, berikutan beberapa ucapan dan tulisan Tun Mahathir yang dianggap menghasut serta membahayakan kedudukan Najib, lima kertas siasatan telah dibuka dan sedang berada dalam pertimbangan pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Apakah, selain satu demi satu kemudahan dan bantuan kerajaan ditarik balik, Najib juga akan mengheret Tun Mahathir sehingga ke mahkamah dan kemudian terpaksa menghuni penjara?

Melihat kepada gerak laku dan kecenderungan Najib dalam bertindak terhadap musuh-musuh politiknya, segala tindakannya adalah serba mungkin terhadap Tun Mahathir. 

Tanpa menghiraukan sumbangan dan jasa besar Tun Mahathir kepada negara, kedudukannya sebagai negarawan dan peranan melatih serta memberi ruang sehingga berjaya menjadi Perdana Menteri, pertimbangan utama Najib tidak lain ialah mempertahankan kedudukannya semampu yang mungkin.

Yang paling dibimbangi Najib, berikutan skandal 1MDB, dana SRC International dan caca-marba kenyataan berhubung wang RM2,600 juta dalam akaun peribadinya, jika beliau disingkirkan ia mungkin boleh membawa dirinya kepada proses pendakwaan dan pengadilan di mahkamah juga.

Sebab itu, bertahan sedaya yang mungkin di samping mengepung segala kuasa dalam negara menjadi pilihannya.

Berbeza dengan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang juga aktif mengkritik dan mahu menjatuhkan Perdana Menteri ketika Tun Mahathir berkuasa, tetapi Bapa Kemerdekaan itu tidak pernah diperlakukan seburuk ini.

Ini kerana ketika itu, penentangan terhadap Tun Mahathir lebih bersifat politik, kepimpinan dan pengurusan negara semata-mata. Tidak pernah Tun Mahathir dituduh, apatah lagi disiasat, berkaitan pemilikan harta curi atau wang dijumpai dalam akaun peribadi.

Tetapi, berdasarkan rekod Tun Mahathir yang tidak pernah kalah dalam menjatuhkan beberapa pemimpin sebelum ini, adalah dipercayai segala apa yang dilakukan Najib ini akan merangsangnya untuk bertindak dengan lebih aktif selepas ini.

Cuma, apakah sebagai tindakan melawan, Najib juga akan menjadi lebih keras lagi?  (SH 27/06/2016).

Sunday 26 June 2016

MUHYIDDIN, MUKHRIZ PALING TIDAK BERPOTENSI TUMBANGKAN BN DI JOHOR DAN KEDAH


Sebaik dipecat daripada UMNO pada Jumaat lalu, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir sudah hilang peluang untuk menjatuhkan Najib Razak melalui saluran dalaman parti itu. Permusuhan mereka juga tidak lagi bersifat terhadap batang tubuh Perdana Menteri sahaja.

Muhyiddin dan Mukhriz kini sudah menjadi musuh kepada UMNO. Melalui pemecatan yang dilakukannya, Najib telah memindahkan permusuhan kedua-dua pemimpin itu terhadapnya kerana membangkitkan kecurangannya berkaitan 1MDB dan kemasukan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya, kepada parti untuk menanggungnya.

Sesuai dengan itu, Muhyiddin dan Mukhriz harus juga mengambil sikap bermusuh dengan UMNO mulai sekarang. Adalah tidak jantan jika dalam keadaan UMNO sudah mengambil sikap bermusuh, mereka sebaliknya masih lagi bernada syahdu kepada UMNO. Harus diletakkan titik noktah dalam hal ini.

Mereka kini mesti menjadikan PRU 14 sebagai detik perhitungan dengan Najib, kecuali kalau ingin bersara dan reda dengan segala keburukan Najib selama ini. Tetapi jika itu pilihannya, Muhyiddin dan Mukhriz tidak lagi dianggap pejuang, malah akan dibenci dan dikecam.

Ada dua langkah yang boleh dilakukan sekiranya Muhyiddin dan Mukhriz ingin terus berjuang dan berlawan dengan UMNO dan Najib yang kini dimusuhinya.

Pertama, ia boleh dilakukan dengan salah seorang daripadanya sedia menentang Najib di Parlimen Pekan dalam pilihanraya akan datang. Tumbang Najib di Pekan, tergoleklah jawatan Perdana Menteri yang disandangnya meskipun jika sekiranya BN masih menang dalam pilihanraya nanti.

Namun, persaingan itu amat berat dan hampir mustahil untuk mencapai kejayaan. Dengan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri serta kuasa dan wang yang dimilikinya, tentu saja banyak dedak yang mampu ditaburkan untuk memastikan kemenangan kekal dalam genggamannya.

Kedua dan ini langkah paling praktikal, iaitu segera mewujudkan persefahaman dengan Pakatan Harapan untuk mengalahkan BN dalam pilihanraya umum akan datang. Tempoh dua tahun sebelum pilihanraya akan datang lebih daripada mencukupi untuk tujuan itu.

Bersama Tun Mahathir Mohamad yang sudah ditarik banyak keistimewaannya kerana mengkritik dan ingin menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman Najib yang nyata merosakkan, kehadiran Muhyiddin dan Mukhriz sebenarnya mampu membawa impak besar dalam melonjak serta mengalihkan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan.

Dengan berjuangnya Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz bersama Pakatan Harapan, ia bukan saja mampu memberi lebih harapan untuk mengalahkan BN dan menjadikan Najib kehilangan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya serta Rosmah tidak lagi glamour dengan gelaran First Ladynya, paling tidak yang boleh berlaku ialah menjadikan Johor dan Kedah beralih tangan kepimpinan.

Dengan pengalaman pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor, Muhyiddin sebenarnya mampu membuatkan BN hilang kuasanya di negeri itu. Pengaruhnya di Johor masih lagi berbekas dan dikenang oleh ramai orang.

Begitu juga dengan Mukhriz yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah, pengaruhnya bersama Pakatan Harapan lebih memungkinkan negeri tersebut jatuh kembali ke tangan pembangkang. Jika dalam PRU 2013, kehadirannya menyumbang kepada kekalahan Pakatan Rakyat, Mukhriz kini boleh melakukan peralihan kuasa sekali lagi di negeri itu.

Walaupun menumbangkan BN dan menjatuhkan Najib tetap sebagai keutamaan, sekurang-kurangnya dengan pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz mampu menyebabkan BN di Johor dan Kedah  kehilangan kuasa,  adalah juga suatu kebanggaan besar bagi Pakatan Harapan.

Akhirnya, jika pun BN menang lagi dan Najib terus kekal (mudah-mudahan tidak) sebagai Perdana Menteri, tetapi dengan semua negeri-negeri kaya seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor berada dalam tangan Pakatan Harapan, kerajaan Pusat pimpinannya akan menjadi tidak bermaya masa demi masa kemudiannya. (SH 26/06/2016)

Saturday 25 June 2016

TIDAK MERAYU, SELAMAT TINGGAL UMNO DARIPADA MUHYIDDIN


Berikut ialah kenyataan media Muhyiddin Yassin berhubung pemecatan keahliannya oleh MT UMNO semalam.

Sementara itu, esok Ahad, 26 Jun 2016 pada jam 5.00 petang bertempat di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir akan mengadakan sidang media bersama berhubung pemecatan mereka daripada UMNO dan pengumuman langkah-langkah yang akan diambil seterusnya.

Dijemput beramai-ramai sebagai tanda sokongan dan solidariti. (SH 25/06/2016).


Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam UMNO, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti. Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya. 

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah UMNO dan negara yang melibatkan Perdana Menteri. Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerana kami mengambil langkah berani menegur Perdana Menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan UMNO yang asal.

Saya berasa kecewa kerana UMNO yang ada pada hari ini bukan lagi UMNO yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya. Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara. 

Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam UMNO. Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana UMNO telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati UMNO. Saya hanya menentang pemimpin UMNO yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah s.w.t. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin UMNO dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini. Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba. 

Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. InsyaAllah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini. 

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk. Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.

Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah s.w.t terhadap saya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.

Allah s.w.t berfirman dalam Surah At-Taghabun ayat 11 yang bermaksud:

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar) , dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap- tiap sesuatu"

Sempena bulan Ramadhan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli UMNO sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat tinggal UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
25 Jun 2016

TUN M AKAN KEMBALI DIJULANG JIKA NAJIB KALAH PRU 14


Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir sebenarnya tidak perlu lagi membuang masa dengan terus berharap Najib Razak dapat diundurkan sebelum PRU 14 dan kemudian UMNO boleh diselamatkan selepas pengundurannya.

Beberapa tindakan Najib kebelakangan ini jelas memperlihatkan beliau ingin terus berkuasa selama mana yang mampu dilakukannya. Setelah Jabatan Peguam Negara berada dalam genggamannya,  akta Majlis Keselamatan Negara diluluskan tanpa memperdulikan permintaan Majlis Raja-Raja agar ia diperhalusi, SPRM bakal dijinakkan kuasanya dan kini semua musuh-musuhnya dalam UMNO mula diketepikannya.

Sebelum Muhyiddin dan Mukhriz dipecat, beberapa pemimpin UMNO peringkat cawangan yang lantang mengkritik Najib sudah pun disingkirkan. Selepas ini mungkin giliran Shafie Afdal dan sesiapa juga yang berani membuka mulut mengkritiknya.

Tun Mahathir pula sedang ditekan satu demi satu dan ia dalam masa yang sama  merupakan isyarat untuk menimbulkan ketakutan kepada yang lain-lain yang cuba berlaga angin dengannya.

Dalam penstrukturan kabinet yang dijangka berlaku tidak lama lagi, turut diperbualkan secara hangat dalam UMNO ialah Najib dikhabarkan akan mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri daripada Zahid Hamidi untuk mengukuhkan lagi kuasa yang ada padanya.

Zahid yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri disebut-sebut bakal diberikan tugas sebagai Menteri Pertahanan, manakala Kementerian Kewangan yang kini dipegang Najib akan diserahkan kepada sepupunya, Hishammuddin Hussein.

Berbanding Kementerian Kewangan yang boleh mengawal projek-projek kerajaan sebagaimana dikuasainya sebelum ini, fasa seterusnya memperlihatkan Najib lebih memerlukan Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan hayat politiknya dapat dipertahankan  dengan lebih lama. Lagi pula, dengan isu 1MDB yang masih banyak tersangkut, Najib boleh melepaskan beban itu kepada Hishamuddin untuk menanganinya selepas ini.

Oleh itu, mengharapkan Najib dapat diundurkan atau mungkin berundur berikutan beberapa siasatan negara luar terhadap 1MDB, adalah tidak praktikal lagi. Najib juga tidak akan mengendahkan sebarang desakan melalui Deklarasi Rakyat kerana kuasa dedak yang dimilikinya sudah sampai ke tahap ulama pun dapat ditundukkanya.

Lagi pun, Najib tidaklah memiliki jiwa  murni seperti David Cameroon yang sanggup berundur hanya kerana rakyatnya memilih untuk keluar daripada Kesatuan Eropah, suatu pendirian yang berbeza dengan keinginannya.

Jika Najib ada jiwa murni, beliau sepatutnya sudah berundur selepas pilihanraya 2013 lagi kerana keputusannya jauh lebih buruk berbanding 2008, meskipun dengan peruntukan besar dan menjaja slogan "I Love PM" sepanjang masa. Undi popular menolak BN ketika itu ialah sebanyak 52 peratus berbanding menyokong sebanyak 47 peratus.

Penentang-penentang Najib harus menyedari PRU 14 adalah penentuan segala-galanya. Kekalahan BN bukan saja dapat menyingkirkan Najib, mereformasi institusi penting dalam negara, melihat kebenaran 1MDB dan wang RM2,600  mampu diserlahkan kepada umum, bahkan juga memulihkan semula UMNO.

Kekalahan BN yang akan memaksa Najib serta sebahagian pimpinannya sekarang berundur, secara tidak langsung akan membolehkan pimpinan baru mengambil alih UMNO. Najib yang menyebabkan kekalahan UMNO dan BN hilang kuasa tentu saja akan dihukum oleh sejarah dek kelakuan beliau, isteri dan keluarganya sebagai punca utama rakyat membuat penolakan.

Tun Mahathir pula akan dianggap sebagai hero dan bakal dijulang semula oleh rakyat, tidak saja kerana telah berjaya menyelamatkan negara daripada cengkaman kerakusan Najib, tetapi juga memberi ruang untuk UMNO dipulihkan dan berubah menjadi lebih baik.

Hilang kuasa selama sepenggal semata-mata untuk negara dan UMNO dapat dipulihkan adalah lebih baik daripada ia terus berkuasa dengan segala keburukan dah kebejatan yang diakibatkan oleh Najib. Jika berubah dengan lebih baik, UMNO pasti mampu bangun semula dengan bermulanya era persilih-gantian kuasa dalam negara yang pastinya memberi lebih kebaikan kepada rakyat jelata. (SH 25/06/2016).

Friday 24 June 2016

MUHYIDDIN & MUKHRIZ DIADILI MACAM MAHKAMAH RIMBA, SEBAIKNYA SHAFIE SEGERA KELUAR UMNO TANDA SOLIDARITI


Kedudukan Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan Shafie Apdal yang menjadi perhatian dan tanda tanya sejak hampir setahun yang lalu berakhir hari ini. Muhyiddin dan Mukhriz dipecat serta merta daripada UMNO manakala Shafie digantung jawtannya sehingga laporan mengenai salah lakunya disiapkan oleh Jawatankuasa Disiplin.

Di ketika yang sama Najib juga mengumumkan pemberhentian segala bantuan kerajaan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajui oleh Tun Mahathir Mohamad.

Pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz walaupun menurut Najib mendapat persetujuan sebulat suara  Ahli MT UMNO, tetapi ia secara jelas menggambarkan ketidakberanian Presiden UMNO itu untuk berdepan secara anak jantan dengan kedua-dua pemimpin tersebut.

Tidak seperti Tun Mahathir yang memberi ruang seluas-luasnya kepada Anwar Ibrahim membela diri sebelum MT UMNO bersetuju memecatnya pada 1998, Muhyiddin dan Mukhriz sebaliknya tidak diberi sebarang ruang untuk berbuat demikian.

Tengku Adnan sebelum ini ada mengatakan kes Muhyiddin dan Mukhriz tidak diproses oleh Lembaga Disiplin, tetapi dikembalikan kepada MT UMNO untuk membuat keputusan kerana ia dianggap kes berprofil tinggi.

Oleh itu, mereka tidak diberi sebarang surat tunjuk sebab, tidak diberi peluang membela diri, bahkan dikeluarkan beberapa bulan sebelum ini daripada MT UMNO dengan Muhyiddin digantung jawatan Timbalan Presidennya dan Mukhriz terlucut sebagai ahli MT sebaik jawatan Menteri Besar Kedah tidak lagi disandangnya.

Dalam erti kata lain, mesyuarat MT yang memutuskan pemecatan mereka hari ini tidak lebih umpama mahkamah rimba di mana hanya ada Najib selaku Ketua Hakim dan mungkin Tengku Adnan sendiri selaku pendakwaraya yang membariskan beberapa senarai pertuduhan terhadap Muhyiddin dan Mukhriz. Ahli-ahli MT pula umpama juri yang akan mengundi secara angkat tangan dan tidak mungkin berani berbeza pendirian di depan Ketua Hakim.

Yang dituduh bukan saja tidak ada peluang membela diri, tidak tahu secara spesifik apa dan berapa kertas pertuduhan, bahkan tidak diberitahu pun tarikh perbicaraan. Tahu-tahu diumumkan sudah dipecat dengan persetujuan semua juri-juri,  itu pun beritanya hanya diketahui melalui maklumat daripada portal berita dan media sosial yang paling awal menghebahkannya.

Begitulah hebatnya Pahlawan Bugis menguruskan UMNO sekarang ini.

Dalam kes Shafie Apdal, Najib mengumumkan Naib Presiden UMNO itu digantung jawatannya dahulu sementara menunggu Jawatankuasa Disiplin UMNO menyiapkan laporan mengenainya.

Kenapa kes Muhyiddin dan Mukhriz diadili berbeza dengan Shafie?

Mengapa Muhyiddin dan Mukhriz terus dipecat tanpa dihadapkan kepada Lembaga Disiplin, tetapi Shafie digantung terlebih dahulu sementara laporan mengenainya disiapkan?

Mengapa Shafie tidak terus dipecat, sama seperti Muhyiddin dan Mukhriz? 

Kalau Shafie ditunggu laporannya, adakah Muhyiddin dan Mukhriz disediakan laporannya juga?

Dalam hal ini, adalah terpuji jika Shafie terus mengumumkan segera keluar daripada UMNO kerana tiada gunanya lagi beliau berada bersama parti Najib itu. Lambat laun beliau akan dipecat juga akhirnya.

Secara umumnya, semua tindakan yang dihadapkan terhadap Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz hari ini membuatkan mereka tidak ada pilihan lain lagi selain terus berperang secara terbuka untuk menyingkirkan Najib dengan apa cara dan dengan segala kekuatan yang ada.

Jika Najib gagal disingkirkan sebelum pilihanraya, usaha seterusnya ialah PRU 14 yang kira-kira dua tahun lagi tempoh masanya dari sekarang. Dengan apa cara sekali pun, ketiga-tiga mereka mesti terus berjuang bersama Pakatan Harapan untuk memastikan UMNO serta BN berjaya dikalahkan dan Najib akhirnya dapat disingkirkan.

Hanya itu satu-satunya cara yang tinggal jika mereka masih kekal dengan keyakinan bahawa Najib adalah beban dan perosak kepada negara ini. (SH 24/06/2016).

TAK CUKUP SEKADAR TIDAK BERMUSUH, TUN M PERLU SEGERA BERDAMAI SECARA TERBUKA DENGAN ANWAR


Di bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini, pengumuman Tun Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak lagi bermusuh dengan Anwar Ibrahim tentunya sesuatu yang menggembirakan sesiapa jua yang cintakan perubahan.

Menurut bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu kepada Al Jazeera, "saya tidak lagi bermusuh dengan Anwar, itu semua adalah masa lalu.

"Dia sekarang ditahan di penjara pun bukan kerana saya, tetapi kerana Najib."
Walaupun mungkin Anwar, Dr Wan Azizah, Nurul Izzah, ahli keluarga dan ramai penyokongnya yang lain masih terguris hati dengan apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir dalam episod hitam 1998 yang lalu, yang harus disedari juga ialah bukan saja pemenjaraan sekarang tiada kena mengena dengan Tun Mahathir, malah kegawatan kronik dalam negara sekarang amat memerlukan penyatuan kedua-dua tokoh tersebut.

Melihat kepada apa yang sedang berlaku dalam negara di bawah Najib sekarang, mesej penyatuan semula dan saling bermaaf-maafan antara Tun Mahathir dengan Anwar tidak mustahil akan mewujudkan gelombang yang lebih baik dalam sokongan rakyat ke arah perubahan.

Kedua-duanya, Tun Mahathir dan Anwar, walaupun salah seorangnya berada di penjara, tetapi penyatuan hati mereka bakal mampu menarik sokongan rakyat pelbagai kelompok, apatah lagi melihat keadaan dalam negara yang begitu terancam dan memalukan di mata dunia sekarang ini.

Sebelum ini, program Selamatkan Malaysia yang ditunjangi oleh Tun Mahathir, di sebalik mendapat sokongan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan pelbagai ketua masyarakat sivil, bukan saja Anwar terus melahirkan kebimbangan melalui surat yang ditulisnya dari dalam penjara, malah Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan mereka yang pro keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut mengasingkan diri daripadanya.

Ini menjadikan seolah-olah Pakatan Harapan sendiri tidak memberi sokongan yang padu kepada agenda untuk menyelamatkan negara dan menyingkirkan Perdana Menteri, Najib Razak.

Blog ini sendiri pada 17 Mei lalu pernah menyarankan tentang perlunya Tun Mahathir dan Anwar segera bersatu dan berhenti mengungkit kesalahan serta menuding antara satu sama lain, jika benar Najib yang ingin ditumbangkan.


Maka itu, sebaik  Tun Mahathir sudah mengatakan beliau tidak lagi bermusuh dengan Anwar, suatu pertemuan antara beliau dengan keluarga Anwar seharusnya dapat segera diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Anwar sejak dulu lagi sering mengatakan sudah memaafkan kesalahan Tun Mahathir terhadapnya. Ketika bekas Perdana Menteri itu melancarkan gerakan Deklarasi Rakyat baru-baru ini pun, Anwar pada awalnya secara terbuka menyatakan sokongan dan menyebut tiada dendam peribadi antaranya dengan Tun Mahathir.

Hanya dalam surat yang ditulisnya saja Anwar meminta pimpinan PKR agar berwaspa dengan agenda Tun Mahathir, itu pun barangkali setelah melihat bekas Perdana Menteri itu dalam interbiu dengan media asing masih menyebut mengenai kesalahan masa lalu bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat itu sambil menanggapi Anwar mungkin sudah terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri.

Serangan berterusan Tun Mahathir itu tentu saja menyinggung Anwar yang menderita dalam penjara, lalu merangsangnya menulis surat kepada pimpinan PKR yang bukan saja mengingatkan agar berwaspada, tetapi juga menyebut beberapa perkara yang dilihatnya sebagai kesalahan pentadbiran masa lalu bekas Perdana Menteri itu.

Tetapi keputusan pilihanraya Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini jelas memperlihatkan Tun Mahathir perlu berbaik-baik semula dan bersatu dengan Anwar untuk melonjakkan sokongan rakyat menolak Najib.

Sebagaimana pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sudah melupakan derita dan sengsara pernah dipenjara ketika Tun Mahathir berkuasa dan kini sanggup bergandingan tahun demi Malaysia, Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan lain-lainnya juga harus sama-sama berjiwa besar.

Menunjukkan jiwa besar, apatah lagi untuk kepentingan negara, akan menjadikan sesiapa yang berbuat demikian lebih dihormati dan disanjungi.

Najib dengan segala kelebihan jentera kerajaan, kuasa dan wang tanpa had, bukan semudah itu mahu dikalahkan.

Penyatuan semula Tun Mahathir dan Anwar untuk menghadapi PRU 14 adalah berita baik untuk rakyat, namun tentunya dalam waktu yang sama khabar menakutkan buat Najib. (SH 24/06/2016).

Thursday 23 June 2016

UNTUK SESIAPA YANG MASIH TAK FAHAM HAKIKAT DI DEPAN MATA


Untuk itu, tindakan Tun Mahathir Mohamad bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai matlamat yang sama untuk menyelamatkan Malaysia mesti disokong sebelum segala-galanya "terbakar habis"  dan tidak boleh diselamatkan lagi.

Dulu Jabatan Peguam Negara, kini hanya setelah beberapa hari menang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, SPRM pula seperti mahu dijinakkan kuasanya.

Selepas ini apa lagi agaknya? 

Dan sampai bila semua ini mahu terus dibiarkan berlaku tanpa kita berkata apa-apa atau kekal berdiam diri saja? (SH 23/06/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...