Monday 30 November 2015

FAKTA UNTUK DIFIKIRKAN

Sokongan Melayu - tinggal 30 peratus.
Sokongan pengundi Cina - tinggal 5 peratus.

Yang puas hati dengan ekonomi - 17 peratus.
Tidak berpuas hati dengan ekonomi - 78 peratus.

Apa punca semuanya? Apa pula cara terbaik mengatasinya?

Pecat Muhyiddin Yassin? Pecat Kumpulan Tujuh? Pecat ratusan ketua cawangan? 

Terus berbalah dengan Tun Mahathir Mohamad?

Atau cepat-cepat singkirkan Najib Razak? (SH 30/11/2015)

MUHYIDDIN SEMAKIN HAMPIR UNTUK DIPECAT, TAPI....

Berucap di majlis perhimpunan sokongan terhadapnya di Pagoh semalam, Muhyiddin Yassin secara jelas menunjukkan beliau masih tidak berbeza, jauh sekali untuk mengendur daripada apa yang sudah dimulakannya sebelum ini yang menyebabkannya dipecat daripada kerajaan pada Julai lalu.

Sambil gembira dengan sokongan rakyat Pagoh, termasuk parti-parti komponen BN terhadapnya,  beliau berkata, tindakannya bersuara mengenai 1MDB dan derma RM2,600 juta melibatkan Najib Razak ialah kerana tidak mahu menanggung dosa jika hanya berdiam diri berkaitan perkara itu.

Beliau seterusnya menyatakan kesediaannya untuk dipecat daripada UMNO berikutan sikap berterusannya membangkitkan dua isu yang menjadi perhatian rakyat itu.

Muhyiddin juga mempersoalkan tindakan MT UMNO yang tidak membenarkannya merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri  UMNO tahun ini dengan mengatakan apakah seorang individu sepertinya begitu ditakuti oleh Najib?

"Najib kata beliau ada sokongan tiga juta ahli UMNO, tetapi di Pagoh, anda sokong beliau?" soalnya kepada hadirin.

Timbalan Presiden UMNO itu juga menerima sorakan gemuruh apabila beliau menanyakan sama ada mereka masih sanggup menerimanya sebagai wakil rakyat Bebas kiranya dipecat nanti.

Selain menggambarkan mahu terus bersikap kritikal dan lantang, Muhyiddin sebenarnya turut sedar bahawa tindakan pemecatan makin dekat menghampirinya, namun kesediaan warga Pagoh menerimanya sebagai wakil rakyat Bebas selepas apa-apa terjadi kepadanya barangkali  memberi suntikan semangat buat dirinya.

Tidak dinafikan, ucapan Muhyiddin di Pagoh semalam mulai menggembirakan ramai orang yang amat mengharapkan agar beliau terus konsisten, lantang dan agresif dalam perjuangannya menegakkan kebenaran berikutan beliau dilihat agak perlahan dan banyak berdiam diri kebelakangan ini.

Tambahan lagi, ketika ini semakin ramai Ketua-Ketua UMNO cawangan seluruh negara sudah pun berani bangkit secara terbuka menolak kepimpinan Najib yang dianggap tidak mungkin mampu membawa kejayaan berikutan terlalu sarat dengan isu yang menghakis keyakinan rakyat membelenggui dirinya.

Tentu saja ramai yang kecewa jika kebangkitan suara akar umbi yang mula membuak itu tidak disambut dengan sewajarnya oleh Muhyiddin yang menjadi harapan mereka untuk agenda perubahan dan kejayaan buat UMNO.

Selain itu, Muhyiddin juga dilihat tidak ada pilihan lain selain terus melawan berikutan Najib dipercayai akan terus mengenepikannya daripada berperanan sebagai pemimpin nombor dua yang dipilih secara sah melalui undi perwakilan.

Berdiam diri dan tidak melawan hanya akan menjadikan dirinya lenyap begitu saja.

Setelah dikekang daripada merasmikan perhimpunan sayap-sayap, kini menjadi perbualan ramai pula bahawa Muhyiddin sedang dicari sebab untuk dihalang daripada berucap di acara penutup Perhimpunan Agung UMNO.

Kebimbangan Najib ialah sudah tentu ucapan Muhyiddin itu nanti berupa kritikan terhadapnya, khususnya berkaitan 1MDB dan derma ke akaun peribadi yang sukar untuk dijawabnya dengan jujur dan seikhlas hati.

Tidak dinafikan ucapan Muhyiddin semalam akan terus membangkitkan rasa tidak senang Najib terhadapnya dan sekaligus juga mungkin merupakan peluang kepada para pengampu dan pembodeknya untuk menambah lagi garam kepada luka dalam hati dan perasaan beliau itu.

Akhirnya, Najib tidak ada pilihan selain bertindak terhadap Muhyiddin yang dianggap menyusahkan dan beban kepadanya.

Sehari sebelum majlis perasmian pada 10 Disember nanti, biasanya akan diadakan mesyuarat MT UMNO dan disitulah dipercayai Muhyiddin akan diambil tindakan sama ada pecat atau gantung keahlian yang sekaligus menghalangnya daripada berucap di majlis penutup atas kapasiti Timbalan Presiden.

Tetapi, percayalah pemecatan itu adalah lebih baik untuk Muhyiddin kerana ia bukan saja akan menyebabkan lebih ramai Ketua-Ketua cawangan dan ahli akar umbi bangkit menolak Najib, bahkan juga menjadikan sokongan dan simpati rakyat melimpah  ruah kepadanya.

Dengan lebih ramai yang berani bangkit, perubahan lebih mungkin menjadi kenyataan dan menjadikan kedudukan Najib semakin tidak selamat.

Tidak kira sama ada melalui UMNO atau kuasa rakyat, perubahan yang berlaku itu mahu tidak mahu bukan saja akhirannya menjadikan Najib tersingkir daripada singgahsana kuasa, tetapi juga berupaya mengangkat semula nama Muhyiddin di pentas politik negara. (SH 30/11/2015).

Sunday 29 November 2015

NAJIB SEDANG MENGHANCURKAN UMNO


Pada 2 Disember ini, sembilan Ketua Cawangan daripada UMNO Bahagian Teluk Kemang yang mendesak pengunduran Najib Razak daripada memimpin parti dan kerajaan akan mengadap Lembaga Disiplin berhubung tindakan mereka itu.

Selepas itu, mereka kemungkinannya sama ada akan dipecat, digantung keahlian atau sekadar diberi amaran saja.

Tetapi berdasarkan kepada kes Ketua Wanita UMNO Gopeng, Hamidah Osman yang dipecat, juga disebabkan didakwa terlibat dalam aktiviti yang mahukan pengunduran Najib, besar kemungkinan semua sembilan Ketua UMNO cawangan itu juga akan menerima nasib yang sama.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, selepas sekumpulan Ketua  UMNO Cawangan dalam bahagian Teluk Kemang membuat desakan itu, beberapa Ketua Cawangan daripada bahagian-bahagian  lain turut juga membuat desakan yang sama.

Jika dihitung berdasarkan beberapa pengakuan serta perhimpunan yang turut dihadiri pihak media, ia sudah pun menjangkau ratusan Ketua Cawangan jumlahnya, malah dalam pertemuan terbaru di Kinrara baru-baru ini, kumpulan tersebut mengaku mereka mewakili kira-kira 200 Ketua Cawangan di seluruh negara.

Persoalannya, apakah hanya Ketua UMNO Cawangan daripada Teluk Kemang saja yang dipanggil mengadap Lembaga Disiplin?

Bagaimana dengan Ketua-Ketua UMNO Cawangan lain dari seluruh negara yang juga membuat desakan yang sama?

Bilakah mereka mahu diberikan surat tunjuk sebab dan  kemudian memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin?

Jika jumlah Ketua Cawangan yang mendesak pengunduran Najib terus bertambah dari semasa ke semasa, apakah pihak ibu pejabat UMNO akan terus menggunakan pendekatan yang sama iaitu memanggil mereka memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin juga?

Selain itu, jika Ketua UMNO Cawangan yang mendesak pengunduran Najib dianggap suatu kesalahan dan dihadapkan ke Lembaga Disiplin, bagaimana pula dengan Tun Mahathir yang tidak berhenti-henti membuat desakan serupa sejak lebih setahun yang lalu?

Jika benar-benar adil dan Najib pula seorang yang berani, bukankah Tun Mahathir yang sepatutnya paling awal dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti sebelum sembilan Ketua Cawangan terbabit?

Begitu juga, jika Hamidah dipecat kerana didakwa menganjurkan program Bicara Negarawan di Ipoh serta dilihat berada di Lapangan Terbang Subang ketika menyambut kepulangan Tun Mahathir daripada luar negara tidak lama dulu, bagaimana dengan ramai yang lain yang sentiasa bersama dengan bekas Perdana Menteri itu?

Sekali lagi, mengapa Tun Mahathir yang berucap dan disambut kepulangannya tidak diberikan sebarang surat tunjuk sebab?

Sejak bila menjemput, meraikan dan menghargai bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO sendiri merupakan suatu kesalahan?

Adakah suatu kesalahan juga mendesak pengunduran pemimpin semata-mata atas kepercayaan ianya tindakan yang terbaik untuk menyelamatkan masa depan parti?

Apakah jika parti sudah berada begitu buruk di mata rakyat yang diakibatkan oleh perlakuan tidak baik  permimpinnya, maka semua pihak perlu berdiam diri saja?

Tidakkah dianggap keterlaluan, dalam keadaan parti lebih mungkin kalah daripada menang dalam pilihanraya, pujian melambung masih perlu dilontarkan kepada pemimpin yang menjadi punca masalah itu?

Ahh...hakikatnya banyak lagi persoalan yang memerlukan jawapan di sebalik tindakan mengenakan hukuman mengadap Lembaga Disiplin terhadap sembilan Ketua UMNO Cawangan daripada Teluk Kemang serta pemecatan Hamidah Osman itu.

Berbeza ketika Tun Mahathir memimpin parti dan kerajaan dulu di mana beliau juga ada didesak untuk mengundurkan diri, namun semua desakan terhadap beliau tidak sesekali menjurus kepada kebimbangan bahawa parti akan kalah dalam pilihanraya jika terus dipimpin olehnya.

Malah, Tun Mahathir sentiasa membuktikan penguasaan dua pertiga majoriti di Parlimen tetap menjadi milik BN ketika itu

Kini, melalui satu demi demi tindakan yang diambil Najib untuk mengekalkan kuasanya, ia bukan saja terus mencemarkan imej UMNO di kalangan ahlinya sendiri, bahkan kian menghakis kebolehpercayaan rakyat yang akhirnya lebih memudahkan kehancurannya. (SH 29/11/2015).

Saturday 28 November 2015

MUNGKINKAH ESOK PERJUANGAN BERMULA?

Esok 29 November, jam 2.00 petang akan diadakan perhimpunan menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin Yassin oleh ketua-ketua UMNO cawangan negeri Johor di Bangunan Pekembar, Pagoh.

Perhimpunan sokongan ini pasti akan memanaskan lagi suhu politik dalam UMNO berikutan sebelum ini sudah beratus cawangan menyatakan penolakan terbuka meminta Najib Razak berundur daripada jawatannya.

Apakah esok Muhyiddin akan membuat suatu pengumuman penting mengenai halatuju politiknya berikutan baru-baru ini beliau sudah pun dinafikan kelazimannya merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri tahun ini?
Adakah himpunan sokongan ini  juga diadakan kerana Muhyiddin sudah dapat menghidu bahawa beliau mungkin turut dinafikan untuk berucap menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO kali ini?

Nantikan esok, mungkin perjuangan "Berani Kerana Benar" yang sering dilaungkan oleh Muhyiddin akan mula memasuki gear pertamanya. (SH 28/11/2015).

ALAMAK...AYAM PUN TAK MAKAN DEDAK DAH SEKARANG INI!!

Tulisan kali ini ingin lari seketika daripada isu politik dan hal ehwal semasa negara, namun mengenai penemuan baru dalam dunia keusahawanan yang seperti ada kaitan juga dengan perbualan semasa dalam negara sejak kebelakangan ini.

Pernahkah kita mendengar ayam makan rumput?

Kita tahu ayam selalunya diberi makan dedak, jagung atau nasi, bagaimanapun barangkali asing kedengarannya bila ayam diberi makan rumput.

Ehh, kalau ayam tak makan dedak, siapa pula yang  makan dedak sekarang ini?

Tetapi inilah kelainan yang ditampilkan oleh dua usahawan ayam kampung organik, Puan Lily dan rakan kongsinya Norazura yang mengusahakan ladang ternakan "Republik Ayam Kampung" di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Ayam-ayam kampung peliharaannya lebih banyak diberi makan rumput berbanding dedak. Rumput yang diberi makan itu dikenali dengan nama saintifiknya Asystasia L, tetapi di kalangan orang kampung ia juga selalu disebut sebagai "rumput Israel" atau kadang-kadang turut dikenali sebagai "kangkung darat".

Rumput ini banyak tumbuh di hutan atau di ladang-ladang dan apabila mula membiak ia akan menjadikan rumput-rumput lain tidak berupaya hidup kerana cengkaman "penjajahannya". Maka itulah ia lebih sinonim dikaitkan dengan Israel.

Oleh yang demikian, mendapatkan rumput tersebut bukanlah menjadi masalah sebenarnya, lantaran ia memang mudah diperolehi di mana-mana.

Meskipun demikian, rumput tersebut didapati mengandungi beberapa zat yang sesuai sebagai pemakanan ayam. Dengan memakan rumput tersebut, ayam-ayam peliharaan di "Republik Ayam Kampung" hanya memakan dedak atau jagung sekitar 30 peratus saja.

Puan Lily dan Norazura bukan saja melakukan jualan ayam kampung kampungnya dengan melantik beberapa kedai dan peniaga persendirian sebagai wakil jualannya atau secara dalam talian, bahkan juga sedia menerima tempahan untuk majlis-majlis keraian atau kenduri kendara.

Ayam-ayam yang dijualnya bukan saja dalam bentuk siap proses, bahkan juga ada yang sudah dirempah dan hanya perlu digoreng saja lagi sebaik membelinya.

Kalau ada yang teringin dengan kelainan rasa ayam kampung makan rumput, bukan makan dedak, bolehlah menghubungi nombor telefon yang tertera dalam poster di atas untuk mencubanya. (SH 28/11/2015).

Seorang pekerja di ladang ternakan Republik Ayam Kampung sedang memberi makan ayam-ayam kampung dengan rumput Israel.

Inilah rupa rumput Israel atau kangkung darat yang rupa-rupanya boleh dijadikan pengganti dedak untuk makanan ayam.

Ayam kampung yang sudah siap diproses dan dirempah untuk kemudahan pengguna membeli dan kemudian terus saja menggorengnya.

Friday 27 November 2015

LIMA TAHUN BUKANNYA LAMA

Melihat kepada pelbagai kerosakan yang telah dilakukan oleh Najib Razak dalam memimpin negara selama ini, barangkali ramai yang tiada masalah untuk bersetuju dengan pandangan terbaru Tun Mahathir Mohamad bahawa tidak ada parti yang harus memerintah untuk selama-lamanya dalam sebuah negara demokrasi.

Ini kerana jika BN terus berkuasa dan dalam masa yang sama Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri, kemungkinan lebih banyak kerosakan tentu saja sukar untuk dielakkan. Menteri-menteri yang tidak berguna juga akan berterusan "membodohkan"  kita semua.

Akhirnya semua orang makan hati, sakit hati, terbakar hati dan hancur hati. Tiada kegembiraan lagi dalam negara ini.

Lalu, untuk mengelakkan lebih ramai sengsara jiwanya, jika Najib berdegil juga untuk bertahan sehingga PRU 14 nanti, pilihan yang ditunjukkan melalui kenyataan Tun Mahathir iaitu memberi peluang kepada parti lain selain BN menerajui negara pula haruslah dijadikan kenyataan.

Bagi Tun Mahathir, demokrasi yang baik ialah sistem dua parti di mana pembangkang cukup kuat untuk mengambil alih kerajaan serta menawarkan alternatif kepada rakyat. 

Dalam konteks itu, kiranya parti baru gagal membawa khabar gembira kepada rakyat,  menukarnya adalah lebih mudah dan memilih semula BN yang ketika itu tentunya bukan lagi dipimpin Najib, dalam pilihanraya seterusnya. 

Lagi pula,  lima tahun bukannya lama.

Tetapi jika di ketika Najib yang paling bermasalah ini pun BN dikekalkan juga, bermakna lebih banyak masa diperlukan lagi untuk memberi kesedaran kepada rakyat agar berani melakukan perubahan yang diharapkan itu.

Dalam PRU 13, keinginan rakyat untuk berubah hakikatnya telah terpamer melalui 52 peratus undi popular yang menolak BN, cuma sistem pilihanraya ala British yang kita amalkan saja sebagai penyelamatnya.

Untuk pilihanraya akan datang, peratusan undi popular itu mungkin perlu ditingkatkan kepada 60 atau 65 peratus agar perubahan yang menjadi dambaan benar-benar menjadi kenyataan.

Lagi pula dengan menjadikan kerajaan boleh ditukar ganti, mesejnya ialah rakyatlah paling berkuasa dalam negara ini, manakala pemimpin hanyalah alat semata-mata. (SH 27/11/2015)

DI SEBALIK KELUHAN AKAR UMBI, APA KATA JIKA NAJIB DAN MUHYIDDIN SAMA2 UNDUR DIRI?


Berbual dengan kawan-kawan lama yang menjadi pemimpin UMNO di peringkat  bahagian dan cawangan kadang-kadang menyerlahkan hakikat sebenar kedudukan parti itu di peringkat akar umbi dan beban yang sedang mereka hadapi.

Jika pemimpin bahagian dan cawangan itu jenis yang kritikal, lantang bersuara dan tidak terlalu taksub kepada pemimpin, luahan hati mereka mungkin boleh diketahui ke mana arahnya serta lebih terbuka sifatnya.

Kalau pun mereka itu tidak termasuk dalam golongan yang berani menyatakan pendirian sebagaimana beberapa Ketua UMNO Cawangan yang secara terbuka mendesak Najib Razak meletakkan jawatan baru-baru ini, sekurang-kurangnya mereka tetap tidak takut mengatakan bahawa  masa depan UMNO agak sukar dan kelam dalam pilihanraya akan datang.

Tetapi tentu mengejutkan apabila pemimpin UMNO bahagian dan cawangan yang kerap mempertahankan parti serta pemimpin, bukan saja secara terbuka, malah juga melalui tulisan di laman sosial masing-masing, rupa-rupanya turut mempunyai sisi berbezanya.

Ramai rakan-rakan dalam UMNO yang saya temui dan berbual sambil minum kopi dengan mereka, malah sebahagiannya yang kerap menonjol dengan sokongan terbuka,  rata-ratanya juga tidak yakin lagi UMNO ada masa depan dalam pilihanraya akan datang selagi Najib Razak masih mengetuai parti dan kerajaan.

Kata mereka, isu yang terlampau sarat membeliti Najib dan sesetengahnya tergantung tanpa jawapan, adalah persoalan yang menyukarkan mereka untuk berhadapan dengan pengundi untuk meyakinkan mereka agar terus memilih BN.

Hampir keseluruhan rakan-rakan saya dalam UMNO percaya, harapan untuk menang itu hanya akan menjadi lebih baik sekiranya Najib sedia mengundurkan dirinya.

Dengan Najib terus kekal, bagi mereka, ia adalah suatu hakikat yang menyusahkan mereka di peringkat akar umbi untuk menjalankan tugas demi menyelamatkan parti.

Bahkan oleh kerana Perdana Menteri nampaknya terus berdegil untuk bertahan dan tidak mahu melihat realiti sebenar, ada yang turut mengeluh, "sampai hati Najib menyusahkan kami."

Najib, kata mereka, dalam keadaan seperti sekarang, seharusnya mengutamakan parti daripada dirinya.

Dalam konteks ini, berbagai luahan perasaan kedengaran. Ada yang mengatakan Najib dan Muhyiddin harus mengundurkan diri secara serentak untuk memudahkan usaha  menyelamatkan parti yang kemudian akan diteruskan dengan pengambilalihan oleh pemimpin yang lebih muda.

Oleh kerana Najib dan Muhyiddin sudah menjadikan sokongan dan keadaan dalam UMNO berpecah, maka jalan terbaik ialah kedua-duanya perlu mengundurkan diri. 

Najib tentu tidak mahu berundur jika tempatnya diambil alih oleh Muhyiddin tetapi Muhyiddin mungkin tiada masalah untuk sama-sama berundur secara serentak dengan Najib demi untuk menyelamatkan UMNO. 

UMNO semua peringkat barangkali lebih terbuka dengan idea ini yang dilihat proses  "menang-menang"  untuk semua.

Susulannya, ada yang percaya gandingan Zahid Hamidi dan Hishammuddin, jika diberi peluang, mampu membawa kemenangan dalam pilihanraya akan datang, tetapi ramai pula yang tidak yakin dengan kemampuan Zahid Hamidi untuk mengemudi kejayaan.

Zahid, kata sesetengah daripada mereka, terlalu lemah dalam konteks rakyat keseluruhannya kerana sokongannya hanya berakar di kalangan ahli UMNO dan sekelompok kecil orang Melayu saja.

Lantaran itu, ada yang mencadangkan agar gandingan Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin diberi laluan segera untuk mengemudi parti dan negara menghadapi pilihanraya akan datang atas keyakinan kedua-duanya yang masih dalam kategori pemimpin muda, mampu menarik sokongan yang lebih baik di kalangan rakyat.

Bagaimanapun, Hishammuddin juga nampaknya menerima keyakinan yang berbelah bagi di kalangan sesetengah pemimpin akar umbi UMNO - ada yang yakin, ada yang ragu-ragu terutama kerana banyak masalah dan kelemahan dipamerkannya ketika menjadi Menteri Dalam Negeri tidak lama dahulu.

Hanya Khairy Jamaluddin kelihatan lebih ramai yang menaruh lebih keyakinan terhadapnya sebagai antara bintang harapan masa depan.

Pokok pangkalnya, jika UMNO dan BN ingin terus berkuasa, perubahan mesti dilakukan kerana Najib bukan lagi faktor pembawa kejayaan, sebaliknya lebih membawa keruntuhan.

Namun demikian, apa pun perubahan dalam kepimpinan UMNO dan negara sebelum pilihanraya akan datang, segala-galanya bergantung kepada Najib.

Jika Najib masih tidak sedia berundur di sebalik pelbagai beban yang diakibatkan olehnya, maka selagi itulah beliau akan terus menyusahkan parti serta pemimpin di peringkat akar umbi dan seterusnya menjadikan rakyat dan negara dalam ketidaktentuan . (SH 27/11/2015)

Thursday 26 November 2015

LEBIH BAIK KU NAN LARANG SEKALI TUN M JANGAN PIJAK PWTC!!

Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata,  UMNO masih mempertimbangkan sama ada mahu menjemput atau tidak bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menghadiri Perhimpunan Agung UMNO  (PAU 2015) tahun ini.

Sambil mengatakan perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat, Tengku Adnan juga mengatakan, "secara peribadi, saya rasa mungkin Tun Mahathir tidak akan datang. Sejak kebelakangan ini beliau kerap menghentam parti.

"Apa-apa pun kita tunggulah...nak jemput atau tidak," katanya lagi.

Soalnya, kenapa perlu nak dibincangkan lagi? Bukankah sudah tradisinya bekas-bekas pemimpin dijemput hadir?

Tidakkah Tun Mahathir bekas pemimpin kita yang banyak berjasa dan beliau berhak diberikan jemputan sebagai penghormatan kepadanya?

Apa yang mahu ditunggu lagi dan kemudian pandai-pandai  pula Tengku Adnan mengatakan Tun Mahathir mungkin tidak menghadirinya.

Sama ada hadir atau tidak, biarlah keputusan itu dibuat oleh Tun Mahathir dan bukan Tengku Adnan yang wajar membuat andaian awal mengenainya.

Tetapi begini sajalah - jika UMNO ingin mencipta satu lagi sejarah, sebagaimana sebelum ini telah mencipta sejarah baru dengan tidak membenarkan Muhyiddin Yassin merasmikan perhimpunan sayap-sayap, adalah lebih baik Tun Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun, tidak dijemput sama sekali untuk menghadiri PAU 2015 kali ini.

Tidak cukup dengan itu, UMNO juga perlu mengeluarkan arahan rasmi agar Tun Mahathir tidak dibenarkan langsung menjejakkan kakinya ke kawasan sekitar Dewan Merdeka, PWTC sepanjang berlangsungnya perhimpunan itu antara 8 hingga 12 Disember.

Bahkan, semua pihak yang pernah mengkritik dan menghentam Najib juga jangan dijemput  dan dilarang sama menjejakkan ke PWTC.

Biarlah tahun ini mereka yang dalam kategori pembodek dan pengampu saja yang dijemput menghadirinya.

Baru PAU 2015 ini ada kelas!!

Tapi, jangan pula selepas ini Tengku Adnan buat pusingan U sekali lagi sepertimana tindakannya semalam berhubung mahu menjadikan PAU 2015 ini sebagai acara tertutup dan tidak dihadiri pihak media tetapi kemudian menafikan ada memberi kenyataan sebegitu. SH 26/11/2015).

MUHYIDDIN, SEKARANG BUKAN MASANYA UNTUK MERINTIH!!

Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin dijangka kembali daripada luar negara pada jam 4 petang hari ini (26 November) di KLIA. Hebahan mengenai kepulangannya telah tersebar luas sejak semalam meminta para penyokongnya beramai-ramai menyambut ketibaannya itu.

Muhyiddin tidak hadir dalam mesyuarat MT 24 November lalu yang memutuskan beliau tidak dibenarkan merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri tahun ini, sebaliknya untuk pertama kali perasmian akan dilakukan oleh ketua sayap masing-masing.

Dalam kenyataan melalui laman Facebooknya semalam, walaupun menerima keputusan MT itu dengan hati terbuka serta menghormatinya, tetapi Muhyiddin tetap meluahkan rasa kesal dengan merintih, "apa dosa saya sehingga diperlakukan begini?"

"Apalah dosa yang saya lakukan terhadap UMNO sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada seorang timbalan presiden UMNO dinafikan kepada saya tahun ini?

"Atau adakah ada mereka yang cukup takut dengan apa yang saya akan ungkapkan di hadapan anak muda yang dipercayai boleh meluputkan keyakinan kepada seorang pemimpin?" soalnya.

Walaupun dihalang, Muhyiddin dalam masa yang sama menyatakan akan terus bersuara dan tidak akan mengalah kerana tidak ada sesiapa yang dapat mendiamkan daripada menyatakan yang hak.

Sebagai pemimpin nombor dua dalam UMNO yang disingkirkan daripada kerajaan hanya kerana bertanya beberapa soalan berkaitan 1MDB dan derma yang diterima Najib, memang Muhyiddin berhak untuk terus bersuara, lebih-lebih lagi memandangkan isu tersebut masih menjadi perbualan di kalangan rakyat.

Tetapi, sekadar bercakap saja bahawa beliau akan terus bersuara dan tidak ada sesiapa mampu mendiamkannya, tentu saja tidak memadai.

Dalam suasana politik UMNO yang sedang gawat dan beliau sendiri tidak lagi dikehendaki oleh Najib, tetapi ramai di kalangan rakyat mengharapkan sesuatu perubahan dapat dilakukan dengan segera, sekadar bercakap dan memberi kenyataan media juga tidak lagi mencukupi.

Sekarang adalah masa untuk Muhyiddin bertindak, berjuang dan menyerang.  Kegagalannya hadir dalam mesyuarat MT 24 November lalu memang dikesali oleh sesetengah pihak kerana ia seolah-olah menunjukkan ketidakseriusannya dalam perjuangan.

Kalau pun beliau berada di penjuru dunia mana sekali pun, apakah tidak boleh mengambil penerbangan balik dengan segera untuk menghadiri mesyuarat itu?

Meskipun tarikhnya diawalkan daripada 27 kepada 24 November, tetapi perubahan tarikh itu sudah pun diketahui tiga atau empat hari sebelum itu.

Tanpa apa-apa jawatan lagi dalam kerajaan, apakah urusan di luar negara yang penting sangat sehingga tidak boleh ditinggalkan untuk menghadiri mesyuarat MT?

Bukankah jika Muhyiddin menghadiri mesyuarat MT tempohari, beliau dapat mempersoalkan secara berdepan dengan Najib berhubung tindakan tidak membenarkannya melakukan perasmian sayap-sayap itu?

Tentu tidak perlu lagi  merintih dengan menyebut, "apa dosa saya" semata-mata untuk meminta simpati. Sebagai orang lama dalam UMNO, Muhyiddin tentunya sedar bahawa perjuangan dalam politik adalah berkaitan kuasa dan sama ada "membunuh" atau "dibunuh."

Dalam politik, tidak ramai, malah mungkin tidak ada orang yang memikirkan dosa dan pahala. Semuanya hanyalah kuasa. Dosa dan pahala diri sendiri pun mereka lupa, apatah lagi untuk mengambil kira dosa dan pahala orang lain.

Untuk itu, Muhyiddin perlu berhenti merintih mengenai dosa, pahala atau mengungkit-ungkit mengenai sumbangan masa lalunya. Sejuta kali beliau menyebutnya pun belum tentu ada yang mengenangnya jika beliau masih teragak-agak untuk bertindak, hanya berani bercakap, masih selalu ke luar negara dan sesuka hati mengabaikan mesyuarat MT.

Di ketika ini, Muhyiddin juga perlu sedar sudah beratus-ratus pemimpin UMNO cawangan mulai bangun untuk menyelamatkan parti dan mendesak Najib yang dianggap sebagai liabaliti agar berundur dengan segera.

Perjuangan pemimpin akar umbi ini hendaklah disambut dan jangan dibiarkan begitu saja. Berhentilah sekadar mengeluarkan kenyataan media, tetapi jasad berada di luar negara.

Sekarang juga bukan masanya lagi untuk merintih dan memperlihatkan dirinya seolah-olah tidak berdosa dan teraniaya. Merintih dengan menyebut dosa dan sebagainya hanyalah sesuai di masjid atau surau tempatnya.

Sekarang adalah masa untuk memilih sama ada meneruskan perjuangan atau jika sayang dengan peluh dan keringat, berehat saja di rumah bersama keluarga. (SH 26/11/2015)

Wednesday 25 November 2015

NAJIB KIAN KALUT, KENAPA HANYA NAIB PRESIDEN NO 1 DAN NO 3 JUMPA MEDIA? MANA NAIB PRESIDEN NO 2?

Kejanggalan demi kejanggalan dan kekalutan demi kekalutan terus berlaku dalam UMNO. Selagi Najib Razak yang penuh masalah berada di tempatnya, selagi itulah UMNO, bahkan negara terus menjadi bahan ketawa.

Mula-mula mesyuarat MT diadakan di Bangunan Parlimen dan kemudian Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin tidak dibenarkan merasmikan Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri seperti kelazimannya. 

Tahun ini, hanya ketua sayap akan merasmikan perhimpunan masing-masing.

Selepas itu, diumumkan pula bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini akan diadakan secara tertutup dan petugas media yang membuat liputan turut dihadkan.  

Sebarang ucapan dan perbahasan tidak boleh lagi dilaporkan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya dan perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengatakan ia bertujuan mengelakkan banyak salah lapor oleh media.

Serentak dengan itu, beliau juga mengumumkan bahawa dua Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein akan mengadakan sidang akhbar setiap hari pada sebelah petangnya untuk menjelaskan mengenai perjalanan perhimpunan dan bersoal jawab dengan pihak media.

Kenapa tiba-tiba Najib dan UMNO takut dengan media sehingga walaupun PAU diadakan di Dewan Merdeka yang serba moden dan canggih, tetapi dengan menjadikannya tertutup seolah-olah ia sedang bersidang dalam gua saja keadaannya?

Kenapa dalam dunia langit terbuka, Najib mahu membawa UMNO semakin tertutup jadinya?

Bukankah semua akhbar arus perdana dan stesen televisyen  memihak kepada Najib dan UMNO?

Jika bimbang dengan salah lapor, mana perginya media arus perdana dan  segala macam blogger serta pengamal media sosial berbayar pro Najib yang dikhabarkan berlambak-lambak ramainya?

Kenapa dengan sokongan sekian banyak media, Najib dan UMNO masih takut dengan kemungkinan salah lapor, lalu menjadikan perhimpunan kali ini sebuah acara tertutup?

Tidak mampukah media pro Najib dan yang berada di bawah kawalannya menghadapi kemungkinan salah lapor itu?

Atau barangkali ada sesuatu yang ingin disembunyikan daripada terdedah kepada umum?

Selain itu, menjadi kelaziman juga pada setiap kali PAU diadakan, biasanya Presiden UMNO sendiri  bersama lain-lain pemimpin utamanya yang akan mengadakan sidang akhbar harian untuk menjawab isu-isu yang berbangkit dengan pihak media.

Tetapi, mengapa tahun ini Najib takut berhadapan dengan media, sebaliknya menyerahkan peranan itu kepada Zahid Hamidi dan Hishammuddin?

Mengapa tidak diserahkan saja kepada Muhyiddin berurusan dengan media jika Najib takut melakukannya? Kenapa sekali lagi Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO diketepikan juga?

Kalau mahu menyerahkan tugas itu kepada Naib Presiden UMNO pula, bukankah penyandang jawatan itu ada tiga iaitu Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishammuddin Hussein? 

Berdasarkan undi diperolehi dalam pemilihan 2013, Zahid memperolehi undi tertinggi, diikuti Shafie tempat kedua dan Hishammuddin di tempat ketiga yang nyaris-nyaris kecundang dengan kelebihan 9 undi berbanding Mukhriz Mahathir.

Kenapa hanya Naib Presiden No 1 dan No 3 diberi peranan dalam sidang akhbar harian itu, manakala Naib Presiden No 2 diketepikan?

Alasan Tengku Adnan bahawa nama Shafie tidak dimasukkan kerana ketika keputusan tersebut dibuat semalam Naib Presiden UMNO itu tiada dalam mesyuarat, langsung tidak boleh diterima. 

Apakah ini merupakan satu lagi petanda bahawa dalam mesyuarat MT yang akan diadakan sehari sebelum PAU 2015 bermula nanti, Shafie bersama Muhyiddin akan diambil apa-apa tindakan yang menyekat sama sekali mereka daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan kali ini? (SH 25/11/2015).

JANGAN TERKEJUT, MUNGKIN HANYA NAJIB SEORANG SAJA BERUCAP DI PENUTUP PAU 2015 KALI INI?

Kebimbangan Najib Razak terhadap Muhyiddin Yassin dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun ini atau PAU 2015 ialah meliputi dua perkara - perasmian mesyuarat sayap-sayap dan ucapan penggulungan pada hari terakhir perhimpunan.

Dalam mesyuarat MT  semalam, di sebalik Muhyiddin tidak diambil sebarang tindakan, Najib berjaya menyekat suara Timbalan Presiden UMNO itu daripada merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri dengan memutuskan ketua sayap masing-masing merasmikannya.

Najib memberi alasan bahawa tindakan itu diputuskan kerana kononnya ia adalah kehendak serta permintaan ketua-ketua sayap tersebut dan MT hanya menunaikan sahaja.

Adakah betul MT menunaikan kehendak ketua-ketua sayap atau sebenarnya ia merupakan kehendak Najib yang terpaksa dipatuhi oleh ketua-ketua sayap?

Tetapi dengan menyekat Muhyiddin berucap merasmikan perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri itu, ia secara langsung mengesahkan ketakutan Najib terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri yang sudah dipecatnya itu.

Apakah yang menyebabkan Najib begitu takut dengan suara Muhyiddin dalam PAU 2015 kali ini? 

Kerana 1MDB? Kerana derma RM2,600 juta? Atau kerana pelbagai isu menyaluti dirinya yang semakin melemahkan UMNO jika dibangkitkan satu persatu oleh Muhyiddin akan membangkitkan protes senyap terhadapnya?

Apa pun isunya yang menyebabkan Najib takut dengan Muhyiddin, kesimpulannya ialah beliau takut dengan kebenaran?

Dengan Muhyiddin tidak dibenarkan merasmikan perhimpunan serentak ketiga-tiga sayap itu, bukan saja simpati terhadapnya terus melonjak, tetapi yang paling ditunggu-tunggu sekarang ialah ucapan penggulungannya pada hari terakhir PAU 2015 nanti.

Tetapi, persoalan yang timbul ialah apakah Muhyiddin akan dibenarkan berucap atau sekali lagi suaranya akan disekat juga?

Jika melakukan perasmian sayap-sayap pun boleh dihalang, apakah tidak mustahil ucapan penggulungannya juga akan menerima nasib yang sama?

Mengikut kebiasaan, sehari sebelum PAU 2015 dirasmikan iaitu pada sebelah malamnya akan diadakan sekali lagi mesyuarat MT UMNO yang bukan saja untuk mendengar laporan mengenai perjalanan perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri yang baru berakhir, tetapi juga untuk memutuskan perkara-perkara terakhir untuk perhimpunan pada esok harinya.

Untuk kali ini, adalah dipercayai Najib akan memanfaatkan buat kali kedua kuasa MT untuk menghalang Muhyiddin daripada berucap di majlis penggulungan itu.

Jika ketika dihalang merasmikan perhimpunan sayap-sayap, hujah yang digunakan ialah kerana kononnya ketua masing-masing ingin merasmikannya, menghalang Muhyiddin berucap di majlis penggulungan pula mungkin dengan menjadikan Zahid Hamidi dan Hishammuddin sebagai "korban"  utamanya.

Selain Presiden dan Timbalan Presiden, pemimpin lain yang biasanya berucap di majlis penggulungan ialah ketiga-tiga Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan seorang atau dua ahli MT tertentu yang dipilih berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan sepanjang perhimpunan diadakan.

Untuk pertama kali dalam sejarah UMNO dengan tujuan untuk menghalang Muhyiddin daripada berucap, sama seperti pertama kali Ketua sayap merasmikan perhimpunan masing-masing, tidak mustahil dalam PAU 2015 kali ini hanya Najib seorang saja yang dicadang menyampaikan ucapan di majlis penggulungan.

Cadangan itu pula mungkin akan dilontarkan oleh mana-mana ahli MT yang  merupakan penyokong kuat Najib, kalau pun tidak oleh Tengku Adnan atau Ahmad Maslan.

Ketua-ketua sayap tentu setuju dengan cadangan itu kerana sudah "terhutang budi"  berikutan sudah diberi peluang merasmikan perhimpunan masing-masing berbanding hanya menyampaikan ucapan dasar pada tahun-tahun sebelumnya.

Zahid Hamidi dan Hishammuddin barangkali tiada pilihan selain bersetuju  untuk "simpan suara" kerana jika mereka mahu juga berucap di majlis penutup, maka Muhyiddin dan Shafie harus juga dibenarkan sama.

Jika Zahid dan Hishammudin mahu berucap juga dan dalam masa yang sama terpaksa memberi ruang kepada Muhyiddin dan Shafie untuk berucap, barangkali akan memperlihatkan kedua-duanya "tidak cukup sayang" kepada Najib.

Maka, dengan setujunya dua Naib Presiden iaitu Zahid dan Hishammudin serta ketua-ketua sayap terhadap cadangan tidak berucap itu, alasan tersebut akan digunapakai untuk menghalang semua pemimpin lain daripada berucap, kecuali Najib.

Akhirnya,  PAU 2015 kali ini perasmiannya akan dilakukan Presiden UMNO  dan penutupnya pula oleh Perdana Menteri. Ucapan-ucapan sepanjang perbahasan pula lebih tertumpu untuk membela serta mempertahankan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB. (SH 25/11/2015)

Tuesday 24 November 2015

KEBANGKITAN KETUA2 CAWANGAN BERJAYA MENAKUTKAN NAJIB

Mesyuarat MT UMNO petang tadi akhirnya memutuskan Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal tidak diambil apa-apa tindakan, sebaliknya hanya Ketua Wanita Gopeng, Hamidah Osman yang dipecat atas kesalahan melanggar disiplin parti.

Meskipun Muhyiddin terselamat daripada pemecatan atau penggantungan, kedudukan dan kelazimannya sebagai Timbalan Presiden UMNO untuk merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri tetap dinafikan, sebaliknya perasmian itu akan dilakukan oleh ketua sayap masing-masing.

Persoalannya, apakah keputusan  tidak membenarkan seorang Timbalan Presiden merasmikan mesyuarat sayap-sayap ini hanya untuk tahun ini saja,  suatu keputusan yang kekal selama-lamanya atau selagi Muhyiddin memegang jawatan nombor dua itu sahaja?

Terlihat bahawa keputusan ini dibuat dalam ketakutan dan tidak yakin dengan kekuatan dirinya sendiri, walaupun tidak dinafikan beliau terlalu ingin memecat timbalannya itu.

Setelah memperpecatkan tarikh mesyuarat daripada 27 November kepada 24 November, menukar tempat mesyuarat daripada ibu pejabat UMNO ke Bangunan Parlimen yang diketahui agak ketat kawalan keselamatannya, bahkan sebelum ini Tengku Adnan menyatakan pihaknya sudah letih dengan pemimpin yang selalu memberi kenyataan berbeza dan mengakui siasatan sedang dijalankan, alih-alih yang berani dipecatnya hanyalah Hamidah Osman saja.

Walaupun Muhyiddin dan Shafie tidak hadir mesyuarat kali ini, tetapi Najib tetap tiada keberanian untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap kedua-dua pemimpin yang lantang mengkritiknya itu.

Ketakutan Najib itu tidak lain ialah kerana kebangkitan Ketua-Ketua UMNO cawangan seluruh negara yang sudah mula secara berani menolak kepimpinannya serta mendesaknya agar berundur bagi memberi harapan lebih cerah kepada UMNO dan BN memenangi pilihanraya akan datang.

Bermula dengan Teluk Kemang, Sepang, Puchong, 34 cawangan daripada lima negeri bersolidariti di Port Dickson minggu lalu dan malam tadi 108 cawangan daripada 7 bahagian di Johor berbuat demikian, pada 27 November ini pula kira-kira 200 Ketua Cawangan dijangka akan mengadakan perhimpunan khas di tempat yang belum ditentukan di Selangor.

Apa yang nyata, arus menolak Najib itu ialah sebagai isyarat bahawa jika Muhyiddin, Shafie dan Tun Mahathir diambil tindakan pemecatan atau penggantungan, lebih ramai lagi Ketua-Ketua Cawangan seluruh negara akan bangkit menyatakan bantahan.

Bayangkan jika tiada kebangkitan Ketua-Ketua Cawangan sejak beberapa hari lalu, apakah mungkin Muhyiddin dan Shafie masih kekal dengan jawatannya sekarang ini?

Sekalung tahniah kepada Ketua-Ketua Cawangan UMNO  yang dengan berani menyatakan kebenaran untuk menyelamatkan parti. Teruskanlah perhimpunan pada 27 November ini sebagaimana yang dirancang dan gegarkan lagi kebangkitan yang lebih besar untuk hari-hari seterusnya.

Jika kebangkitan mereka kali ini dapat menghalang Muhyiddin dan Shafie daripada dipecat, jangan lupa matlamat asal mereka yang sebenar ialah untuk menyelamatkan UMNO dan mengelakkannya kalah dalam pilihanraya akan datang.

Ianya tidak lain ialah mendesak pengunduran Najib daripada takhta kuasa.  Hanya UMNO dan BN tanpa Najib akan kelihatan cahaya kemenangan di hujung perjuangan. Matlamat itu, tanpa kompromi harus diusahakan sehingga berjaya. (SH 24/11/2015)

MUHYIDDIN DISINGKIRKAN, NAJIB UNTUNG ATAU ZAHID MUDAH JADI "CENCARU MAKAN PETANG"?


Pemecatan atau penggantungan Muhyiddin Yassin yang tujuan utamanya untuk menghalang Timbalan Presiden UMNO itu berperanan dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 8 - 12 Disember ini barangkali sudah terlalu sukar untuk dielakkan.

Berdasarkan kepada "bau yang semakin kuat dapat dihidu", Najib sebenarnya tidak mahu lagi Muhyiddin terus diberikan ruang atas platform UMNO untuk terus mengkritiknya dan kerajaan, khususnya berkaitan 1MDB dan wang derma yang semakin menghenyak imejnya di mata umum.

Mengawalkan tarikh mesyuarat MT dan mengadakannya di pula Parlimen yang ketat kawasan keselamatannya, matlamat besarnya tidak lain ialah agar sebarang tindakan terhadap Muhyiddin dapat diminimakan kesan protesnya.

Lebih-lebih lagi, bersekali dengan Muhyiddin yang digelar anggota Kumpulan Tujuh yang bakal diambil tindakan,  bertebaran juga "baunya" bahawa Tun Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal juga akan turut dikenakan tindakan yang sama.

Maklumat yang diperolehi malam tadi turut mengatakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Hamidah Osman akan turut dikenakan tindakan kerana kritikan dan serangannya sejak sekian lama terhadap kepimpinan Najib.

Dalam jangka pendek, tindakan terhadap Muhyiddin tidak lain ialah untuk menghalangnya daripada merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri serta berucap di majlis penggulungan di hari terakhir itu.

Begitu juga dengan Shafie, Najib turut tidak mahu bekas menteri itu turut berucap dalam majlis penggulungan kerana bimbang timbulnya kritikan yang tidak digemarinya.

Dengan ketiadaan Muhyiddin dan Shafie dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti, Najib beranggapan selamatlah beliau daripada sebarang kritikan dan serangan yang boleh menyebabkan mukanya bertukar menjadi kemerah-merahan seperti udang kena baru keluar dari ketuhar.

Malah, tidak mustahil perhimpunan kali ini sudah siap mahu diorkestrakan dengan segala macam ucapan pujian dan sanjungan yang kemudian melalui media arus perdana akan digambarkan seolah-olah Najib mendapat sokongan berterusan untuk menerajui negara ini.

Sekali imbas, tidak dinafikan memang Najib nampaknya lebih selamat melalui penyingkiran Muhyiddin berserta Shafie itu. Ini kerana Najib bukanlah pemimpin yang berani berdepan dan petah berhujah dengan musuh-musuhnya.

Beliau adalah elitis bangsawan yang hanya suka dipuji, dipuja dan dicium tangannya. Kalau bercakap pun, kegemarannya ialah sehala saja. Kebelakangan ini, Najib juga tidak mengadakan lagi sidang akhbar terbuka sebagaimana biasa di mana beliau boleh ditanya di mana dan apa saja.

Lihat bagaimana beliau melarikan diri daripada program Nothing2Hide tidak lama dulu semata-mata kerana takut untuk berhadapan dengan Tun Mahathir yang turut hadir untuk bertanyakan soalan kepadanya.

Oleh kerana Tun Mahathir bukan lagi berada dalam hireaki kepimpinan dan beliau mungkin boleh mengelak daripada bertembungnya dengannya, kini musuh utama yang mahu diketepikannya ialah orang nombor duanya sendiri.

Najib barangkali tidak bimbang berdepan dengan Muhyiddin dalam pemilihan, tetapi ketakutannya ialah untuk berhadapan dengan kebenaran. Sebab itu, menyingkirkan Muhyiddin ialah untuk mengelak bekas Timbalan Perdana Menteri itu melontarkan soalan dan memberi ucapan untuk bertanyakan memgenai kebenaran kepadanya.

Tetapi jika Najib fikir hanya dirinya saja yang untung di sebalik tindakan terhadap Muhyiddin, beliau harus berfikir lebih daripada sekali mengenainya. 

Untungnya Najib jika Muhyiddin disingkirkan hanyalah kerana dapat mengelakkan sebarang kritikan dan serangan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini dan menukarnya sebagai medan puji dan puja terhadaapnya.

Namun, kesan selepas itu mungkin lebih besar lagi. Selepas dipecat atau digantung, Muhyiddin pasti tidak akan duduk diam merintih nasib atau lebih banyak berada di atas tikar sembahyang saja. Muhyiddin pasti akan pergi ke seluruh pelusuk negara untuk bertemu akar umbi menjelaskan mengenai pemecatannya.

Program jelajah ke seluruh negara itu pasti lebih meriah lagi jika Tun Mahathir dan Shafie yang mungkin dipecat atau digantung sama, ikut berbuat perkara yang sama.

Berdasarkan beberapa perkembangan sehari dua ini di mana semakin ramai Ketua UMNO Cawangan berani tampil mendesak pengunduran Najib, tentu saja boleh dibayangkan kedudukan Najib dan UMNO akan semakin getir jadinya jika pemecatan Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua diteruskan juga.

Hakikatnya, untung yang akan diraih Najib tidaklah seberapa  berbanding kerugian yang mungkin datang bertimpa-timpa. 

Tetapi melalui pemecatan Muhyiddin, siapa yang lebih besar untungnya?

Sudah tentu Zahid Hamidi. Beliau bukan saja akan diberi peluang merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri  pada 8 Disember ini, bahkan hireakinya dalam parti akan dilonjakkan dengan diberi tanggungjawab menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO yang secara automatik menjadikannya orang nombor dalam parti.

Apabila tekanan di luar UMNO melalui gerakan Tun Mahathir, Muhyiddin, Shafie dan mereka yang dipecat itu beriringan dengan semakin ramai Ketua-Ketua UMNO cawangan yang berani  tampil mahukan Najib berundur, natijahnya tidak lain ialah UMNO semakin lemah dan harapan menang pilihanraya tertutup sama sekali.

Dalam keadaan seperti itu, apakah Zahid akan terus mempertahankan Najib? Kalau mahu dipertahankan pun, mampukah beliau melakukannya?

Apakah tidak mungkin nanti Zahid melalui gerakan dalaman akan turut sama mendesak pengunduran Najib atas alasan untuk menyelamatkan UMNO dalam pilihanraya?

Jika dilihat ketika itu, dua pemimpin yang ada pengaruh dalam UMNO iaitu Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin lebih banyak berdiam diri daripada mempertahankan Najib. Kalau ada pun mereka bersuara, nadanya lebih menampakkan keinginan mempertahankan UMNO berbanding pemimpin.

Tidak mustahilkah, setelah Muhyiddin disingkirkan, Zahid akan menjadi "cencaru makan petang" bersama Hishammuddin, Khairy Jamaluddin yang kemudian berpusu-pusu pemimpin bahagian lain turut menyokongnya? (SH 24/11/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...