Saturday 31 October 2015

SEMBILAN SOALAN UNTUK TUKANG GANTUNG, TUKANG PANCUNG


Di ketika desas-desus makin bertiup kencang mengenai kemungkinan tujuh pemimpin dan bekas pemimpinnya yang lantang mengkritik Najib Razak berhubung 1MDB dan derma RM2,600 juta akan diambil tindakan dalam mesyuarat MT akan datang, UMNO Bahagian Semporna, Sabah tampil melontarkan sembilan persoalan kepada pucuk pimpinan parti itu.

Bahagian Semporna  diketuai oleh Mohd Shafie Apdal yang merupakan salah seorang daripada tujuh pemimpin terbabit yang kini hanya menunggu masa menerima hukuman daripada "tukang gantung", "tukang pancung" dan "tukang pecat"  daripada UMNO.

Sembilan soalan itu ialah:-

1 - Adakah bersuara demi kepentingan rakyat kini bukan lagi keutamaan kepada parti?

2 - Adakah syarikat 1MDB menjadi institusi yang lebih penting, berkuasa dan lebih besar pengaruhnya berbanding UMNO?

3 - Adakah 1MDB ini milik UMNO?

4 - Adakah dengan menyokong 1MDB ini dapat menguatkan lagi parti UMNO?

5 - Adakah melalui penyingkiran, penggantungan dan pemecatan pemimpin serta bekas pemimpin UMNO, dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti?

6 - Adakah pemimpin serta Setiausaha Agung UMNO sedar majoriti ahli parti dan rakyat percaya bahawa pemimpin yang kononnya dikhabarkan sedang dipantau itu menyuarakan sesuatu isu yang sememangnya dekat dengan hati rakyat?

7 - Kuat sangatkah UMNO pada hari ini sehingga pemimpin atasan seolah-olah  lupa bahawa asas perjuangan UMNO adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan pemimpin?

8 - Adakah desakan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan dan penyelewengan itu  sebenarnya selari dengan kenyataan Najib sendiri sebagai Presiden UMNO?

9 - Dalam konteks Sabah pula, apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat negeri itu jika Mohd Shafie Apdal disingkirkan kerana menyatakan kebimbangan terhadap parti?

Siapakah "tukang gantung", "tukang pancung" dan "tukang pecat" yang boleh dan mampu menjawab sembilan soalan ini dengan jujur dan ikhlas?

Najib? Zahid Hamidi? Tengku Adnan? (SH 31/10/2015)

KABINET YANG BUAT KEPUTUSAN, KENAPA UCAP TERIMA KASIH KEPADA NAJIB SAJA?

Berita ini tidaklah penting sangat sebab saya bukanlah penghisap vape atau rokok elektronik dan bukan saja penagih rokok. Kawan-kawan saya juga tiada kaitan dengannya, maka sama ada vape mahu diharamkan atau tidak, relatifnya memberi kesan kepada saya adalah minima saja.

Tetapi apabila Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada Najib Razak kerana kabinet membuat keputusan tidak mengharamkan vape, saya mulai tersentak dan keliru?

Hati mulai terdetik, macam ada masalah kejiwaan dengan menteri berkenaan?

Bukan soal vape yang tidak diharamkan atau kaitannya dengan anak-anak muda yang menjadi persoalan, tetapi kenapa perlu mengucapkan terima kasih kepada Najib berkaitan keputusan itu?

Kenapa perlu diucapkan terima kasih kepada Najib sedangkan yang bersetuju ialah ahli-ahli kabinet yang berjumlah hampir 40 orang ramainya?

Apakah ini bermakna kalau Najib bersetuju, maka semua menteri kabinet kena bersetuju?

Atau kiranya Najib bersetuju, maka menteri-menteri tidak boleh mengatakan tidak setuju atau jika Najib tidak setuju, semua menteri juga harus tidak setuju dan tidak boleh sama sekali untuk bersetuju?

Adakah barangkali ucapan terima kasih itu sekadar bertujuan mengampu dan membodek Perdana Menteri saja?

Tetapi untuk apa pula Najib perlu dibodek dan diampu dengan keputusan itu? 

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri yang turut bersetuju dengan keputusan itu, langsung tidak ada nilaikah persetujuan mereka?

Apakah bodekan terhadap Najib itu ada kaitan dengan cita-cita Ismail Sabri yang sedang mencari laluan untuk meningkat lebih tinggi dalam kariernya?

Selain itu, kenapa Ismail Sabri yang menjaga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah begitu pantas menulis di Facebooknya berkenaan perkara itu?

Bukankah Menteri Kesihatan, S Subramanian yang lebih sesuai mengumumkannya?

Kalau vape mahu dikatakan melibatkan anak-anak muda pula, bukankah ia lebih berkaitan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin?

Apa kaitan vape dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah?

Atau ini merupakan petanda bahawa rindu rakyat Malaysia kerana ketiadaan Hasan Malek dalam kabinet sudah boleh dilepaskan kepada menteri yang seorang ini? (SH 31/10/2015)

Friday 30 October 2015

EHEM...EHEM....

Berita pertama - Pada 28 Oktober lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz berkata, beliau akan memastikan Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri sekiranya Najib Razak berundur daripada jawatan itu.

"Kalau Najib turun, maka sudah tentulah akan berlaku perebutan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.

"Tetapi saya penyokong Zahid Hamidi. Beliau Timbalan Perdana Menteri, beliau juga akan menjadi Perdana Menteri," katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, Perak.
Berita kedua - hari ini pula, 30 Oktober, Nazri Aziz berkata, Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin harus dibiarkan kekal dengan jawatannya sehingga pemilihan yang akan datang.

"Biarlah dia berkhidmat sehingga penggalnya berakhir. Kemudian, saya akan minta Zahid Hamidi  (Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datoh, Perak) untuk melawannya. Saya pasti Muhyiddin akan kalah," kata Nazri lagi.

Ehhh...Tiba-tiba saja Nazri menjadi begitu prihatin dan ambil berat tentang masa depan politik Zahid berbanding Najib?

Ehem...ehem....(SH 30/10/2015)

DISOKONG 3 JUTA AHLI, PRESIDENNYA ADA WANG DERMA RM2,600 JUTA - KENAPA TAKUT DENGAN 7 ORANG?

UMNO hampir pasti akan mengambil tindakan menggantung atau memecat keahlian Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat MT yang akan datang ini.

Mesyuarat MT yang sepatutnya diadakan hari ini, 30 Oktober tetapi telah ditangguhkan ke tarikh lain, dipercayai untuk memberi ruang kepada petugas UMNO mengumpul segala bukti sebelum pertuduhan dilakukan.

Bersama beliau yang bakal menerima tindakan serupa ialah enam yang lain yang dikenali sebagai Kumpulan 7. Nama selebihnya yang disebut-sebut dalam kumpulan itu ialah Tun Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Shafie Apdal, Ahmad Said, Aziz Sheikh Fadzir dan Hamidah Osman

Ada juga menyebut Aziz Sheikh Fadzir dan Hamidah Osman tidak termasuk dalam senarai itu, sebaliknya yang terlibat ialah Sanusi Junid dan Rafidah Aziz.

Kesemua mereka ini dikatakan akan diambil tindakan bukan saja kerana serangan berterusan kepada Najib berkaitan 1MDB dan derma RM2,600 juta, tetapi juga kerana penentangan terbuka berkaitan Sosma, baru-baru ini.

Di antara ketujuh-tujuh itu, yang paling mendesak bagi UMNO untuk diambil tindakan ialah Muhyiddin Yassin yang mana tujuan terselindungnya ialah untuk menghalang beliau daripada merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri serta berucap di acara penggulungan Perhimpunan Agung UMNO,  Disember nanti.

Kenyataan Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa UMNO sudah letih dan penat dengan karenah mereka selama ini, membayangkan kebimbangan sekiranya Muhyiddin terus dibuka ruang untuk melancarkan serangan dan menimbulkan persoalan berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta di pentas rasmi UMNO, ia ditakuti akan menyebabkan keyakinan ramai terhadap Najib kian terhakis.

Kenapa Najib dan UMNO terlalu takut dengan Kumpulan 7 ini?

Bukankah Najib selalu mendewa-dewakan bahawa tiga juta ahli UMNO menyokongnya? Jika ada tiga juta sokongan, kenapa takut dengan tujuh orang?

Lebih dari itu, bukankah Najib memiliki derma RM2,600 juta yang tidak pernah diterima oleh mana-mana Presiden UMNO sebelum itu?

Lalu, kenapa gentar dengan hanya tujuh orang yang tidak ada kuasa, tiada jawatan dan tidak juga memiliki apa-apa yang boleh ditawarkan untuk membeli sokongan?

Selain itu, dengan kawalan media, pengaruh, kuasa, jawatan dan lain-lain yang semuanya menyebelahi UMNO dan Najib, mengapa tidak mampu ditangkis hujah dan serangan daripada tujuh orang saja pun?

Lekeh sangatkah pimpinan UMNO yang ada sekarang ini?

Bukankah dalam era keterbukaan dan kecanggihan dalam banyak perkara dewasa ini, perbezaan pendapat dan pertentangan idea seharusnya diraikan dan bukannya dikebumikan?

Adakah semua ini menepati pepatah yang tak lapuk dek panas, tak lekang dek hujan - "berani kerana benar dan takut kerana salah?"

Atau semua yang sedang cuba dilakukan kepada Kumpulan 1 ini menepati sepertimana yang dikatakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah semalam bahawa hanya pemimpin lemah yang suka memberi tekanan supaya orang lain mengikut telunjuk mereka.

Dalam masa yang sama, Tengku Razaleigh juga berkata, untuk menjadi parti yang kukuh, UMNO perlu bertoleransi dengan pandangan yang berbeza.

Kita semua perlu semua orang bagi mengukuhkan parti. Kita perlu bertoleransi dengan mereka yang berbeza pandangan. Itu cara UMNO mendapat kekuatan, kata Ahli Parlimen Gua Musang itu lagi.

Sebagai kesimpulan mudah, apakah yang menyebabkan Najib tiada keberanian menjunjung pepatah "berani kerana benar dan takut kerana salah" itu? 

Adakah ia disebabkan oleh 1MDB dan wang RM2,600 juta?

Apa  pula yang menyebabkan Najib semakin lemah dan ingin menekan semua yang berbeza pandangan dengannya sedangkan ketika dipilih untuk menggantikan Tun Abdullah Badawi pada 2009 dulu, ramai yang menyukainya?

Adakah ia juga disebabkan bahana 1MDB dan wang RM2,600 juta?

Siapa yang menyebabkan wujudnya 1MDB dan siapa penerima RM2,600 juta?

Lalu, apakah sebenarnya pilihan terbaik  untuk menyelamatkan negara ini - ketepikan Najib atau pecat Kumpulan 7? (SH 30/10/2015)

Thursday 29 October 2015

KETUA2 UMNO BAHAGIAN JANGAN SYOK SENDIRI DAN PERASAN LEBIH....

Tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO sebelum ini di mana mereka yang menjadi Ketua Bahagian begitu "merak", syok sendiri dan perasan lebih, kecuali di era Najib Razak menjadi Presidennya.

Memang Ketua-Ketua Bahagian adalah pemimpin utama dalam UMNO. Daripada jawatan itulah, pelbagai peluang dan nikmat kehidupan boleh datang menjelma. Tetapi jawatan itu bukan segala-galanya.

Disebabkan begitu "merak", syok sendiri dan perasan lebih itulah menjadikan akhirnya wujud komplot atau gerakan di kalangan Ketua-Ketua Bahagian untuk mencadangkan pemecatan atau penyingkiran pemimpin, khususnya Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin daripada parti itu.

Menurut apa yang dilaporkan dalam pelbagai media, perkara itu turut disahkan oleh beberapa Ketua Bahagian, cuma mereka mengatakan ia bukannya komplot, sebaliknya hanya persetujuan agar golongan yang ditakrifkan "gunting dalam lipatan" perlu diambil tindakan.

Ada yang melaporkan antara 140 hingga 154 daripada 191 Ketua Bahagian telah bersetuju mengenai tindakan itu yang dipercayai melibatkan "Kumpulan Tujuh" yang disebutkan sebelum ini oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Lebih menarik, persetujuan itu pula bukannya dicapai dalam mesyuarat khas atau perjumpaan tertentu,  sebaliknya hanya melalui perbualan dalam aplikasi Telegram saja.

Tindakan yang dicadangkan dikatakan melibatkan pemecatan, penggantungan keahlian dan lain-lainnya tetapi majoritinya mahu Muhyiddin dipecat keahliannya kerana kritikan berterusan terhadap 1MDB, kepimpinan Najib serta bantahannya mengenai Sosma.

Tindakan keras lebih kuat tertumpu kepada Muhyiddin kerana mahu mengenepikannya daripada merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri serta berucap di acara penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, Disember nanti.

Persetujuan Ketua-Ketua Bahagian itulah kononnya akan dipersembahkan kepada Najib Razak menjelang mesyuarat MT akan datang untuk dijadikan sandaran bahawa tindakan terhadap Muhyiddin itu turut mendapat sokongan majoriti  pemimpin  bahagian daripada seluruh negara.

Sebenarnya inilah yang peliknya dalam UMNO sekarang. Kuasa mengambil tindakan atau memecat seseorang bukannya terletak pada Ketua Bahagian, sebaliknya ia adalah hak MT UMNO. Hanya MT UMNO melalui sokongan dua pertiga yang boleh berbuat demikian.

Ketua Bahagian tidak perlu masuk campur dalam kerja MT. Kalau mahu apa-apa tindakan, biarlah MT memutuskannya, manakala suara Ketua Bahagian tidak perlu diambil kira sama sekali.

Bagi seseorang yang hanya menjadi Ketua Bahagian, untuk mengambil tindakan kepada ahli biasa di bahagian sendiri pun mereka tiada kuasa, apatah lagi untuk sibuk-sibuk mencadangkan pemecatan pemimpin yang berjawatan Timbalan Presiden UMNO.

Kuasa sedemikian hanya dimiliki oleh mereka yang menjadi Ahli MT UMNO saja. Ketua Bahagian tidak seharusnya syok sendiri dan belajar-belajarlah membeli "cermin besar"  untuk mencermin diri.

Najib juga, jika benar ingin menyingkirkan atau mengambil tindakan terhadap Muhyiddin dan "Kumpulan Tujuh" pemimpinnya yang sedang disiasat itu, beliau hanya perlu membawanya dalam mesyuarat MT serta memastikan sokongan dua pertiga memihak kepadanya. Itu saja.

Tidak perlu bersusah payah melibatkan Ketua Bahagian. Percubaan mendapatkan sokongan Ketua-Ketua Bahagian untuk tujuan itu, bukan saja sesuatu yang tidak betul dari segi aturan dan perjalanan parti, malah memperlekeh hak dan kuasa  MT mengenainya.

Dengan yang demikian, persetujuan kononnya melibatkan 140 atau 154 Ketua Bahagian yang digembar-gemburkan itu tidak lebih hanyalah "sampah sarap" yang perlu dikuis ke tepi atau dimasukkan terus ke dalam tong sampah saja. 

Ia sama sekali tiada nilai untuk diambil kira atau dipertimbangkan. Tiada sesiapa, termasuk MT harus melayannya. Tugas Ketua Bahagian ialah mengukuhkan parti, menabur khidmat kepada masyarakat dan memastikan parti menang dalam pilihanraya.

Kalau mahu ambil bahagian dalam pemecatan atau sebagainya, jadilah ahli MT terlebih dahulu.  (SH 29/10/2015)

KENAPA TIDAK BERANI CABAR MAHATHIR LAWAN NAJIB DI KAWASAN BERKECUALI?

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz semalam mencabar Tun Mahathir Mohamad agar bertanding melawan Najib Razak di kawasan Parlimen Pekan dalam pilihanraya umum akan datang sebagai satu-satunya cara untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Kalau tak mahu lawan Najib di Pekan, lawan saya di Padang Rengas, katanya lagi.

Sekali imbas,  Nazri kelihatan "agak jantan" bila melontarkan cabaran tersebut meski terselit ciri-ciri angkuh di sebaliknya. Namun hakikat yang sebenarnya langsung tidak ada ciri-ciri "roti canai bertelur"  dengan cabarannya itu.

Cabaran itu hanyalah "roti kosong" saja nilainya.

Tun Mahathir pernah memberitahu sebelum ini, tujuan beliau meminta Najib turun daripada jawatannya ialah untuk menyelamatkan UMNO dan negara daripada pelbagai kerosakan yang diakibatkan oleh kepimpinan Perdana Menteri itu.

Tidak dinafikan, hanya berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta saja telah menyebabkan persepsi buruk menyelubungi Najib yang terlalu besar dan sukar untuk dipulihkan.

Sebagai pemimpin yang pernah membina negara selama 22 tahun dengan kepimpinannya, Tun Mahathir hanya ingin memastikan UMNO terus berkuasa dengan meletakkan pemimpin yang tidak terlalu dipertikaikan dan dalam masa yang sama juga negara serta rakyat menjadi sejahtera akhirnya.

Bukan sesekali tujuan Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri semula. Beliau sudah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan tidak menjadi keperluan lagi menambah rekod itu.

Oleh itu, soal beliau mahu bertanding dan menjadi Perdana Menteri semula tidak berbangkit sama sekali.

Tetapi jika pun cabaran Nazri itu mahu diambil kira, beliau sepatutnya membuat cabaran "roti canai telur"  terhadap Tun Mahathir.

Kenapa dicabar Tun Mahathir bertanding di Pekan saja?

Cabaran untuk Tun Mahathir melawan Najib seharusnya dicadangkan di kawasan berkecuali di mana-mana saja negeri. Pilih saja sama ada di Pahang, Perak, Johor, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan atau sebagainya?

Bukankah sebagai Perdana Menteri, Najib semestinya ada keberanian untuk bertanding di mana-mana juga kawasan?

Barulah pertandingan itu "perlawanan jantan"  yang seimbang, menarik dan "cun"?

Kalau pun Najib tidak mahu jauh daripada kawasannya di Pekan, apa kata pertandingan itu dilakukan di Parlimen Kuantan atau Indera Mahkota, dua kawasan Parlimen yang selama ini menjadi jirannya?

Kalau susah-susah sangat, berlawanlah di kawasan lama Tun Mahathir iaitu Kubang Pasu saja? 

Begitu juga jika Nazri merasakan dirinya "super hebat"  untuk berlawan dengan Tun Mahathir, buatlah cabaran untuk bertanding di kawasan lain selain Padang Rengas?

Teluk Intan boleh, Kampar boleh, Ipoh atau Tambun pun boleh?

Ada  berani ke? Atau Nazri pun sebenarnya hanya "roti kosong" yang suka "cakap kosong" juga? (SH 29/10/2015)

Wednesday 28 October 2015

BAIKNYA HATI NAJIB...AHLI PAS PUN JADI CEO GMM TAPI AHLI UMNO YANG SETIA DAPAT APA?


Apa nak dikata lagi  mengenai perlantikan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa sebagai CEO Yayasan Kesederhaan Global atau GMM selain mengatakan bahawa ini merupakan tanda Najib Razak memang seorang pemimpin yang sungguh baik hatinya.

Ini kerana CEO sebelum ini, Saifuddin Abdullah meletakkkan jawatan itu sebaik beliau menyertai PKR. Tindakannya meletakkan jawatan tentunya kerana sedar perlantikannya dahulu memegang jawatan itu adalah kerana beliau ahli UMNO, parti yang sedang menguasai kerajaan yang Perdana Menterinya juga adalah daripada UMNO.

Lantaran itu, apabila menyertai PKR, beliau dengan sukarela mengundurkan diri kerana merasakan tidak cocok sebagai ahli parti pembangkang memegang jawatan itu berikutan parti baru pilihannya tiada kaitan apa-apa dengan UMNO dengan mengetuai kerajaan Pusat.

Namun Najib kini melantik Nasharuddin yang rasanya masih lagi ahli Pas menggantikan Saifuddin. Walaupun perlantikan itu adalah hak mutlak Najib yang mengasaskan penubuhan GMM dan beliau boleh memberinya kepada sesiapa saja yang dikehendakinya, keutamaan tentunya diharapkan kepada ahli UMNO juga menggantikannya.

Tetapi kerana sikap baik hatinya yang luar biasa, Najib tidak memilih pemimpin atau ahli UMNO atau mana-mana individu tidak berparti yang pro UMNO untuk jawatan itu, sebaliknya ahli Pas yang sudah tiada jawatan dan kedudukan jadi pilihannya.

Kasihan juga kepada ahli dan pejuang-pejuang setia UMNO, tiadakah di kalangan mereka yang seramai lebih 3 juta itu yang layak menjadi CEO GMM?

Mereka berpanas berhujan, gigih mempertahankan parti, tidak lupa berkempen dan mengundi calon pilihan parti ketika pilihanraya dan berhimpun dengan baju merah untuk menunjukkan sokongan kepada Najib, alih-alih yang "baju hijau" juga dapat habuan.

Parti mana agaknya yang diundi oleh Nasharuddin dalam pilihanraya umum yang lalu dan apakah pula pilihannya dalam pilihanraya umum akan datang, walaupun selepas dilantik sebagai CEO ini?

Apakah dengan perlantikan Nasharuddin yang dikenali rapat dengan Hadi Awang dan Dr Haron Din ini merupakan laluan awal kerjasama politik antara UMNO dengan Pas?

Siapa lagi agaknya selepas ini ahli daripada parti pembangkang lain yang akan diberikan apa-apa jawatan oleh Najib?

Kepada pejuang-pejuang setia UMNO yang tidak dapat apa-apa, redha sajalah dengan semua ini dan marilah bersama melaungkan "Hidup UMNO" dan "Hidup Najib" sebagai meraikan perlantikan Nasharuddin itu. (SH 28/10/2015)

MALU WEHHH...SAMPAI LIONG SIK SENDIRI MINTA DIRINYA CEPAT DISAMAN!!

Baru beberapa hari yang lalu, Ahli Parlimen Mersing, Abdul Latif Ahmad memuji Najib Razak yang disifatkannya umpama "roti canai bertelur" kerana keberaniannya melaksanakan cukai GST dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu.

Menurut beliau, Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Menteri Kewangan sebelum ini pun tidak cukup keberanian untuk melaksanakan sistem cukai itu.

Dengan ini Najib adalah seorang yang berani. Ini bukan nasib, tapi ini adalah kepandaian dan kebijaksanaan yang terancang, kata beliau melontarkan pujiannya.

Abdul Latif berkata demikian sebagai menolak andaian pelbagai pihak yang menyifatkan Najib sebagai pemimpin penakut berikutan sikapnya yang tidak cukup tegas, lambat dan terlalu berhati-hati dalam banyak perkara sehingga label yang sering dikaitkan dengannya ialah umpama "roti canai kosong" atau "roti canai tanpa telur".

Antaranya sikap penakutnya ialah tentang tindakannya mahu menyaman akhbar The Wall Street Journal  atau WSJ yang masih tertangguh sehingga kini walaupun berpuluh-puluh hari Selasa telah berlalu sebagaimana yang dijanjikannya sebelum ini.

Setelah surat tuntutan penjelasan yang dihantar kepada WSJ dijawab dengan mereka tetap mempertahankan laporan yang dibuat mengenai wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya, Najib kini menjadikan kepastian mengenai Akta Speech pula sebagai alasan menangguhkan samannya itu.

Kemudian apabila bekas Presiden MCA, Ling Liong Sik membuat dakwaan bahawa Najib "mengambil wang orang lain untuk dimasukkan ke poketnya"  sambil bersetuju dengan gesaan Tun Mahathir tentang perlunya beliau berundur daripada jawatannya, Perdana Menteri juga menghantar notis tuntutan meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut dalam tempoh masa tujuh hari sekiranya tidak mahu berdepan dengan saman di mahkamah.

Bagaimanapun Ling Liong Sik hanya memerlukan tempoh masa kira-kira tiga hari saja untuk menjawab tuntutan itu dengan bertegas tidak akan menarik balik atau memohon maaf, sebaliknya sedia berdepan di mahkamah bersama keinginan mahu melihat Najib berdiri di kandang saksi mempertahankan dirinya.

Namun demikian, sehingga ke hari tidak diketahui sama ada saman itu akan menjadi kenyaaan atau sebaliknya. Peguamnya, Hafarizam Harum semalam hanya berkata, beliau akan menemui Najib dalam waktu terdekat ini untuk mendapatkan kata putus mengenainya.

Soalnya, bila lagi mahu disaman bekas Presiden MCA itu? Kenapa terlalu lambat dan terhegeh-hegeh dalam bertindak?

Jika benar berani melaksanakan GST sebagai tanda "roti bertelur", kenapakah dalam melakukan tindakan saman seperti tidak cukup keberanian sedangkan ia telah dilafazkan sebelum ini?

Di ketika rakyat hampir seluruhnya bersetuju mengenai "roti canai kosong"  yang selalu dikaitkan dengan Najib itu dan menjadikannya sebagai gurauan sama ada di media sosial dan juga dalam kehidupan seharian, hari ini Ling Liong Sik sendiri melahirkan kehairanan tentang kelambatan itu.

Saya juga kehairanan mengapa beliau mengambil masa yang terlalu lama untuk menyaman, tetapi saya akan terus bersabar, kata Ling lagi.

Dengan kenyataan ini bermakna Ling sendiri mahu dirinya cepat disaman oleh Najib. Beliau jelas tidak sabar mahu berdepan dengan Perdana Menteri di mahkamah.

Tidak ramai orang sebenarnya di dunia ini yang mahu atau suka kena saman, lebih-lebih lagi oleh seseorang yang berjawatan Perdana Menteri.

Tapi Ling Liong Sik betul-betul membuktikan dirinya "roti canai bertelur"....dan Najib sehingga ini masih lagi "roti kosong". (SH 28/10/2015)

Tuesday 27 October 2015

CARA BARU MOHON NAIK PANGKAT

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Jailani Johari mempersalahkan bekas Menteri Pendidikan, Muhyiddin Yassin berhubung kelemahan projek penyediaan internet ke sekolah-sekolah yang dikenali dengan 1BestariNet.

Ketika memberi jawapan di Parlimen berhubung pertanyaan bahawa perkhidmatan internet yang disediakan kepada guru dan murid-murid di bawah projek 1BestariNet itu lebih perlahan berbanding yang dijanjikan, beliau berkata, "projek 1BestariNet bukan di bawah kementerian ini. Ia adalah sebuah projek nasional yang diterajui oleh bekas  Menteri Pendidikan."

Kenapa dan atas hujah apa seorang timbalan menteri boleh memberi jawapan sedemikian rupa?

Apakah pula penilaian kita bila seorang pemimpin memberi jawapan seperti itu?

Adakah ini bermakna telah lahir "seorang lagi Ahmad Maslan" dalam pentadbiran kerajaan?

Sebab itu tidak menghairankan apabila jawapan tersebut turut mendapat "belasahan" daripada Ahli Parlimen Tawau, Abdul Ghafur Salleh dengan mengatakan, kelemahan yang timbul dalam sesuatu projek kerajaan tidak seharusnya diletakkan di bahu seseorang yang sudah meninggalkan kerajaan.

"Kita satu kerajaan, jangan cari mantan. Kementerian bukan mantan.

"Kalau begitu, lain kali orang akan cakap mantan yang punya...mana ada mantan yang punya, itu kerajaan yang punya," kata Ghafur lagi.

Siapa Jailani Johari ini? Adakah beliau dikenali sebelum ini? Setelah lebih dua tahun menjadi timbalan menteri sejak 2013 lalu, adakah kita sedar kewujudan beliau dalam pentadbiran kerajaan?

Tentu ramai yang menyatakan tidak mengenalinya, bahkan barangkali ada yang mengatakan inilah pertama kali mendengar namanya.

Oleh itu, jangan marahkan beliau sangat-sangat atas jawapannya yang sebegitu rupa. Walaupun nampaknya tidak memahami konsep tanggungjawab bersama, beliau sebenarnya mungkin sedang cuba-cuba menghantar "surat permohonan kenaikan pangkat" untuk menjadi menteri penuh kepada Najib Razak.

Dengan meletakkan beban kepada musuh politik Najib tentu saja diharapkan lebih mudah membuatkan hati Perdana Menteri berbunga-bunga jadinya.

Alahai, Malaysiaku... (SH 27/10/2015)

JAWATANKUASA DISIPLIN UMNO TAK SEHARUSNYA LAYAN ADUAN ISA SAMAD!!

Adakah mendesak mana-mana pemimpin meletak jawatan merupakan suatu kesalahan dalam UMNO?

Berikutan tindakan 13 Ketua UMNO Cawangan Teluk Kemang mengadakah sidang akhbar bersama mendesak perletakan jawatan Najib Razak sebagai Perdana Menteri, Ketua UMNO bahagian berkenaan yang juga Pengerusi Felda, Isa Samad dilaporkan akan menghantar laporan kepada Jawatankuasa Disiplin agar sesuatu tindakan dapat diambil terhadap mereka.

Meskipun Isa memberi alasan mereka itu telah mencemar amalan membuat keputusan secara kolektif yang selama ini dihormati, tetapi tentunya punca paling utama "kemarahan"  beliau sehingga mahu tindakan itu diambil ialah kerana desakan itu berkaitan pengunduran Najib.

Tiada sebab lain tindakan itu mahu diambil melainkan Isa merasakan namanya sudah agar tercemar di mata Najib berikutan perbuatan 13 Ketua Cawangan itu.

Lantaran itu, sebagai tindak balas yang mudah ialah melaporkan kepada Jawatankuasa Disiplin di mana jika mereka dipecat atau digantung keahliannya, dapatlah Isa memberi gambaran bahawa UMNO Teluk Kemang yang dipimpinnya sudah kembal solid, padu dan tidak berbelah bagi menyokong serta mendokong Najib.

Jika mereka terbabit membuat desakan lain seperti meminta Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal meletakkan jawatan, atau mendesak Tun Mahathir keluar UMNO misalnya, walaupun tidak dibuat secara kolektif, sudah pasti Isa tidak akan melaporkannya kepada Jawatankuasa Disiplin.

Bahkan tidak mustahil beliau akan mengatakan, itu merupakan hak mereka dan ia kebebasan yang perlu dihormati dalam demokrasi UMNO.

Tetapi kerana itu menyentuh "pemimpin agung" yang sedang berkuasa, maka semuanya mahu dijadikan salah belaka. Itulah UMNO...

Soalnya, adakah suatu kesalahan dan terdapat dalam perlembagaan parti bahawa mendesak Perdana Menteri berundur merupakan perbuatan yang boleh diambil tindakan?

Apakah juga tindakan mereka itu boleh dianggap mencemar UMNO sedangkan niat besarnya ialah untuk menyelamatkan masa depan parti?

Sehingga ini, perdebatan dan perbualan mengenai salah atau tidaknya tindakan 13 Ketua UMNO Cawangan itu masih menjadi pertikaian di kalangan ahli dan pemimpin UMNO sendiri.

Rata-rata mengatakan tiada peruntukan khusus tentang perkara itu, tetapi boleh ditafsirkan sebagai kesalahan kalau dimahukan demikian oleh mereka yang berkuasa mengenainya.

Jika tiada peruntukan khusus mengenainya, maka ada baiknya Jawatankuasa Disiplin tidak melayan sama sekali aduan Isa Samad itu kerana jika semua suara mahu disekat, UMNO akhirnya akan menjadi seperti "syarikat sendirian berhad" saja.

Lagi pun, kini bukanlah era seperti 70an atau 80an lagi di mana semua yang diatas dianggap betul belaka dan tidak boleh ditegur sama sekali. 

Yang mustahak, haruslah disedari bahawa tidak mungkin sokongan 100 peratus boleh diperolehi dan tindakan 13 Ketua Cawangan itu merupakan amaran muhasabah diri kepada Najib dan juga Isa Samad.

Dalam masa yang sama, jika mendesak Najib meletak jawatan mahu dianggap suatu kesalahan, bagaimana pula dengan Jamal Mohd Yunus, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar yang sudah acapkali membuat desakan yang sama kepada Muhyiddin Yassin?

Tidakkah Jamal sepatutnya lebih dulu diambil tindakan?

Atau adakah, dalam UMNO ini hanya mendesak pemimpin yang sedang berkuasa saja merupakan suatu kesalahan manakala yang sudah habis kuasanya, apa pun boleh saja? (SH 27/10/2015)

Monday 26 October 2015

BUKAN HANYA DI MALAYSIA RUPANYA...

Baru-baru ini Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki menyindir tindakan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang mengangkat sepanduk "Mana RM2.6b?" sebaik selesai pembentangan Bajet 2016 dengan mengatakan, Parlimen kanak-kanak pun tidak berbuat demikian.

Pemimpin kerajaan pula menyifatkan tindakan itu sebagai kebudak-budakan, sambil mengingatkan bahawa Parlimen bukannya pentas sarkas.

Sebenarnya di beberapa negara lain, bahkan termasuk negara maju, membawa sepanduk untuk menyatakan bantahan atau sokongan terhadap sesuatu perkara, sama ada di Parlimen atau persidangan antarabangsa, adalah perkara biasa.
Tiada yang pelik dan janggalnya tindakan membawa sepanduk itu, lebih-lebih lagi isu wang RM2,600 juta itu bukanlah perkara kecil kepada negara. (SH 26/10/2015)

HANYA SATU CARA 13 KETUA CAWANGAN TELUK KEMANG BOLEH DISELAMATKAN....

Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Isa Samad nampaknya tidak menunggu lama untuk bertindak balas terhadap 13 Ketua Cawangan dalam bahagian itu yang dua hari lalu menuntut perletakan jawatan Perdana Menteri, Najib Razak bagi mengelakkan parti dihukum pengundi dalam pilihanraya.

Beliau yang juga Pengerusi Felda dilaporkan sudah meminta setiausaha UMNO bahagian menghantar laporan kerana menganggap tindakan ketua-ketua cawangan berkenaan telah mencemar amalan membuat keputusan secara kolektif yang selama ini dihormati.

Sokongan UMNO Teluk Kemang kepada Najib adalah berkekalan. Kita akan terus memberi sokongan dan bersama beliau, katanya Isa Samad lagi.

Dalam masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pula tidak menganggap tindakan 13 Ketua Cawangan dalam bahagian Teluk Kemang itu sebagai suatu perkara yang besar.

Katanya, mereka hanya merupakan 13 orang daripada 20 ribu Ketua Cawangan yang ada di seluruh negara.
Soalnya, jika ia  hanya perkara kecil, kenapa Isa Samad melihatnya sebagai perkara besar serta begitu tergesa-gesa mahu bertindak?

Apakah tidak boleh didengar terlebih dahulu rintihan dan luahan hati 13 Ketua Cawangan berkenaan?

Kenapa Isa Samad begitu pantas mahu bertindak balas sambil dengan segera juga menyatakan sokongan UMNO Teluk Kemang terhadap Najib adalah berkekalan?

Adakah tempoh kontrak beliau sebagai Pengerusi Felda sudah dekat tarikh matinya?

Sudah berkuburkah demokrasi dan tertutup jugakah ruang untuk  pemimpin akar umbi meluahkan pandangan bagi menyelamatkan parti?

Tetapi, hanya ada satu cara untuk mengelakkan Jawatankuasa Disiplin daripada mengambil tindakan terhadap 13 Ketua Cawangan yang berani itu - lebih ramai ketua cawangan di seluruh negara turut bangkit melakukan perkara yang sama dengan segera.

Daripada 20 ribu di seluruh negara, mustahil tiada 500 atau 1000 yang turut berpandangan seperti mereka?

Takkan semua Ketua-Ketua UMNO Cawangan masih percaya sepenuhnya kepimpinan Najib boleh memenangi pilihanraya akan datang ini?

Kalau hanya 13 yang bersuara, mungkin mudah Jawatankuasa Disiplin untuk bertindak, namun tentu saja sukar jika angkanya menjadi 500 atau 1000 orang. Malah, jika lebih ramai yang berani bersuara, ia lebih mungkin untuk didengari dan diambil perhatian sewajarnya.

Zahid Hamidi tentu senyum-senyum jika lebih ramai pemimpin cawangan mula berani bersuara....(SH 26/10/2015)

Sunday 25 October 2015

JIKA TAK BERSALAH, JANGAN CAMPUR SIASATAN - PERSOALAN YANG HANYA NAJIB BOLEH MENJAWABNYA

Muhyiddin Yassin menghangatkan kembali isu 1MDB dengan terus melontarkan persoalan yang sebenarnya hanya mampu dijawab oleh Najib Razak sendiri - kenapa campur dalam siasatan?

Berucap dalam program Bicara Minda - Berani Kerana Benar di Johor Bahru semalam, selain membangkitkan perkara tentang 1MDB seperti pinjaman RM3 bilion yang mahu dipohon, menerima pinjaman RM2 bilion daripada usahawan Ananda Krishnan dan sebagainya, beliau turut menyatakan proses siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik itu tidak seharusnya diganggu jika tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Katanya, orangramai hanya ingin melihat siasatan terhadap syarikat itu berjalan dan kemudian mengetahui hasilnya.

Rakyat hanya mahu proses siasatan dijalankan. Jangan campur, yang rakyat nak tahu apa hasilnya. Kalau tak bersalah, tak bersalahlah. Jika bersalah, kita hukum, tambah beliau lagi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya mengingatkan bahawa yang hak akan timbul, manakala yang batil tetap akan tenggelam lambat launnya.

Apa yang dibangkitkan oleh Muhyiddin ini tentunya mengenai apa yang berlaku tempohari ketika proses siasatan terhadap 1MDB sedang berjalan yang antaranya, pemecatan Gani Patail sebagai Peguam Negara, gangguan dan pertukaran serta merta beberapa pegawai SPRM ke Jabatan Perdana Menteri, pasukan petugas khas tidak lagi berfungsi dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC "dilumpuhkan" dengan empat anggotanya dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan.

Semua orang yang berfikiran sihat, waras serta masih dapat membezakan antara putih dengan hitam, tentu saja melihat semua tindakan itu berupa campurtangan atau gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan, lebih-lebih sebelum itu beberapa tangkapan dan serbuan terhadap beberapa individu yang dipercayai boleh membantu siasatan, sudah pun dilakukan oleh SPRM.

Antaranya yang kena tahan itu ialah Dr Shamsul Anwar Sulaiman, ECO Ihsan Perdana, sebuah anak syarikat 1MDB serta seorang despatch.

Namun, selepas semua campurtangan itu, kita bukan saja tidak mendengar lagi pasukan petugas khas bermesyuarat, bahkan apa jadi kepada beberapa individu yang pernah ditangkap juga tiada khabar beritanya. Semuanya senyap belaka.

Najib pula tidak pernah membuka mulut mengenai kewajaran semua tindakan itu diambil. Kenapa beliau masih diam, adakah kerana tiada jawapan atau masih memerlukan masa lagi untuk mengolah jawapannya yang sesuai?

Mengenai Gani Patail yang dilaporkan disingkirkan kerana masalah kesihatan, hanya Tun Mahathir yang kerap mempersoalkannya dengan beberapa hari sebelum ini menanyakan kepada kerajaan agar menunjukkan sijil sakit bekas Peguam Negara itu.

Namun, sehingga hari masih juga tiada sesiapa mampu memberi jawapan mengenainya.

Kini, dengan Muhyiddin sendiri sudah  secara terbuka mengatakan, "kalau tak bersalah, jangan campur dalam siasatan", Najib juga secara "gentlemannya"  tiada lagi pilihan selain memberi respon dan jawapan kepada persoalan itu.

Jika tidak dijawab atau diberi penjelasan, selagi itulah keraguan akan terus membuak-buak, sekaligus membentuk persepsi buruk terhadap dirinya.

Hanya Najib yang mampu dan sesuai memberi jawapan kepada persoalan itu kerana beliau yang dikaitkan secara langsung dengan 1MDB yang sedang disiasat itu.

Bukan Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara atau sesiapa yang lainnya perlu campurtangan menjawab persoalan tersebut.

Jika terus dibiarkan tidak dijawab, campurtangan sebagaimana yang digambarkan Muhyiddin itu akan dilihat hanya untuk menutup kesalahan atau mengesahkan memang ada kesalahan yang cuba dilindungi.

Meskipun siasatan dikatakan masih berjalan, ia barangkali tidak sama lagi  dibawah Peguam Negara serta Pengerusi PAC yang baru.

Dari segi tanggungjawab moral sebagai pemimpin, Najib pada hakikatnya  "tidak jantan" jika sepanjang masa hanya pandai melarikan diri, diam membisu dan tidak menjawab mengenai perkara itu, apatah lagi setelah orang nombor duanya sendiri dalam UMNO mempersoalkannya secara terbuka. (SH 25/10/2015)

Saturday 24 October 2015

SEMANGAT TELUK KEMANG JANGAN PADAM, MUHYIDDIN PERLU TERUS KE DEPAN...

Hanya sehari selepas Najib Razak membentangkan Bajet 2016 yang langsung tidak menarik untuk masa depan negara dan rakyat keseluruhannya, dua peristiwa berlaku hari ini yang boleh dianggap sebagai tanda-tanda tekanan akan berterusan lagi kepadanya.

Pertama, 13 Ketua UMNO Cawangan dalam bahagian Teluk Kemang, Negeri Sembilan dengan sepakat tampil menuntut Najib meletakkan jawatan bagi mengelakkan parti dihukum pengundi dalam pilihanraya umum akan datang.

Dengan 13 daripada 54 cawangan yang terdapat di Teluk Kemang sudah berani bersuara sedemikian rupa, ia adalah petanda jelas suara-suara penolakan terhadap Najib tidak lagi sekadar menyembunyikan diri, tetapi mulai berani memandangkan situasi dan masa depan negara yang kian  disedari semakin gawat dari semasa ke semasa.

Lebih-lebih lagi kerana UMNO Teluk Kemang dipimpin oleh Isa Samad, Pengerusi Felda yang juga salah seorang pendokong kuat Najib, bermulanya suara penolakan itu di situ bermakna tidak mustahil akan dituruti oleh cawangan-cawangan dalam bahagian lain pula.

Jika sebelum ini, seorang Ketua Cawangan dalam bahagian Pandan, Syed Saifuddin Syed Harman telah memulakan langkah dengan menjemput Tun Mahathir Mohamad untuk suatu program bulan lalu,  kini nampaknya telah ada 13 Ketua Cawangan di Teluk Kemang yang dengan berani menuntut Najib berundur daripada jawatannya.

Selepas ini, tampillah lebih berani Ketua-Ketua Cawangan lain dari seluruh negara dengan agenda yang sama untuk bersuara bagi menyelamatkan negara ini!

Setelah Ketua-Ketua Bahagian tidak boleh diharapkan untuk menjadi berani bagi menyelamatkan parti dan negara berikutan kebimbangan hilang pelbagai nikmat dan kepentingan, di bahu Ketua Cawanganlah harapan seterusnya disandarkan.

Yang kedua, Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin sudah mulai keluar dari "zon berdiam dirinya"  dengan kesediaan hadir buat pertama kali dalam satu program Bicara Minda - "Berani Kerana Benar"  anjuran akhbar Sinar Harian di Johor Bahru.

Dalam kemunculannya itu, Muhyiddin tanpa berselindung terus bercakap mengenai perasaan dan kebimbangannya mengenai UMNO, 1MDB, Najib, kedudukannya dalam parti, masa depan negara dan pelbagai lagi.

Dengan sedia muncul bersama khalayak dan seperti tidak mahu hanya membiarkan Tun Mahathir saja ke sana sini untuk membetulkan UMNO dan negara, Muhyiddin nyata sudah mengambil langkah yang berbeza sekarang ini.

Apatah lagi, bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut berkata, beliau kini sedia menghadapi risiko tentang tindakannya ini.

Tentu saja selepas ini, Muhyiddin tidak mengelak lagi jika mana-mana pihak, termasuk UMNO cawangan mahu menjemputnya untuk memberi ucapan dan berkongsi pandangan, sesuai dengan seruannya agar jangan sesiapa takut untuk memberi teguran demi menegakkan kebenaran.

Tidak mustahil juga kiranya beliau akan turut tampil bergandingan dengan Tun Mahathir dalam pelbagai program jelajah atau penerangan ke seluruh negara lantaran mula menyedari kedudukannya sebagai pemimpin nombor dua sudah mulai tidak dihormati dan ingin diketepikan peranannya oleh Najib.

Apa pun, sesuai dengan kebangkitan yang sudah diserlahkan oleh 13 Ketua UMNO Cawangan Teluk Kemang serta Muhyiddin sendiri sudah mengambil langkah proaktif dan tidak lagi berdiam diri serta bersama usaha tanpa jemu oleh Tun Mahathir sebelum ini, semua pihak yang sayangkan negara ini perlu terus bangkit memainkan peranan masing-masing.

Jangan dibiarkan ia terhenti sekerat jalan atau seperti "hangat-hangat tahi ayam" saja.

Yang semakin disedari semua ialah masalah UMNO dan Malaysia hanya satu iaitu Najib saja. (SH 24/10/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...