Tuesday 30 June 2015

Penyakit 1MDB, Felda Merebak Ke Mara?


Setelah didedahkan oleh akhbar The Age berkenaan pembelian apartment Dudley International House di Melbourne oleh Mara dengan harga lebih mahal sebanyak RM13.7 yang kemudian dikembalikan dalam bentuk rasuah melalui sebuah syarikat di Singapura, rupa-rupanya agensi itu juga memiliki tiga hartanah lain di Australia yang dibeli pada 2013 lalu.

Dalam keseluruhan empat hartanah yang dibeli oleh Mara melalui unit pelaburannya yang baru ditubuhkan iaitu Mara Inc Sdn Bhd itu, sejumlah RM375.4 juta telah dibelanjakan bagi tujuan tersebut.

Sebagaimana yang didedahkan oleh Rafizi Ramli selaku Pengarah National Oversight and Whistleblowers atau NOW, selain apartmen di Dudley yang didapati dibeli dengan harga lebih tinggi, sebuah lagi hartanah yang beli oleh Mara Inc juga dibelenggu penyakit yang sama.

Beliau mendedahkan, hartanah di 333 Exhibition Street yang dibeli pada Mac 2013 itu didapati dibayar lebih tinggi sebanyak RM27 juta berbanding harga pasaran.

Woww...baru dua hartanah yang didapati dibeli dengan harga lebih mahal. Bagaimana dengan dua yang lain itu?

Pendedahan ini sekali lagi memburukkan imej agensi tersebut kerana Mara itu sendiri diambil daripada singkatan nama yang cukup murni dan terpuji iaitu Majlis Amanah Rakyat yang tentunya menuntut mereka yang berkuasa harus selalu amanah kepada rakyat dalam setiap sen yang dibelanjakannya.

Dalam aktiviti hariannya melalui tag amanah kepada rakyat itu, Mara secara khususnya menumpukan kepada bidang pendidikan, keusahawanan dan kemahiran bagi melahirkan anak bangsa yang maju dan mampu bersaing dengan kaum-kaum lain.

Lebih-lebih lagi dalam konteks pembelian hartanah di Australia, ia adalah untuk kegunaan pelajar tajaan Mara yang sedang menuntut di sana.

Meskipun siasatan sedang dijalankan dalam kes sebagaimana yang didedahkan oleh The Age itu, tetapi pada pandangan umum isu ini amat memalukan sekali kerana seolah-olah mereka yang mahu mengaut keuntungan secara tidak halal ini tidak peduli sedikit pun sama ada ia berkaitan pendidikan anak bangsa atau sebagainya.

Barangkali jika berkaitan masjid sekali pun, kiranya boleh buat wang, tetap akan dilakukan juga.

Berserta pendedahan The Age dan NOW itu, pihak berkuasa seharusnya melakukan penyiasatan lebih mendalam untuk membongkar kemungkinan berlakunya penyelewengan dan unsur-unsur rasuah didalamnya.

Ini adalah ujian kepada SPRM dan sejauh mana kerajaan benar-benar serius mahu menangani rasuah di negara ini.

Tidak sekadar penyiasatan biasa, sebaliknya siasatan secara forensik sehingga akar umbi perlu dilakukan untuk menyelongkar dan mendedahkan apa saja kecurangan yang mungkin berlaku dan seterusnya membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

Belum kering bibir setiap rakyat membicarakan mengenai pembelian IPP dengan harga lebih tinggi oleh 1MDB, begitu juga dengan Felda yang membeli ladang di Indonesia dengan harga lebih mahal daripada pasaran, kini Mara juga seperti dijangkiti penyakit yang sama.

Lantaran itu, tiada pilihan selain membiarkan penyiasatan yang bebas dan telus dilakukan terhadap semua pembelian hartanah Mara ini. Mara harus segera dibersihkan dan dikembalikan kepada fungsi asalnya yang sebenar.

Begitu juga dalam lain-lain anak syarikat Mara, harus diperhatikan sama oleh SPRM dan lain-lain agensi penguatkuasaan kalau-kalau sekarang ini lebih menjadi medan berlakunya "rompakan wang rakyat" daripada membela dan menjaga amanah rakyat. (SH 30/06/2015)

Monday 29 June 2015

Giliran Muhyiddin Tidur Tak Lena


Walaupun Perdana Menteri, Najib Razak masih dibelenggu dengan isu 1MDB yang nyata telah menghakis sokongan rakyat terhadapnya, tindakannya lebih awal mengumumkan penangguhan pemilihan UMNO 2016 selama 18 bulan sekurang-kurangnya dapat membuatkannya tidur dengan lebih lena selepas ini.

Dengan menangguhkan tarikh pemilihan itu yang didakwa mendapat sokongan akar umbi, Najib secara tersiratnya memberi isyarat bahawa tidak ada sebab beliau harus berundur atau mengalah kepada tekanan yang mahukannya meletakkan jawatan.

Tidurnya bersama Rosmah Mansor pasti lebih lena sambil dibuai mimpi indah yang mengasyikkan.

Berkenaan isu 1MDB, selain masih menunggu laporan audit dan hasil pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, beberapa perkara yang berlaku kebelakangan ini juga membuatkan Najib mempunyai helah untuk mengelirukan rakyat berkaitan syarikat pelaburan yang bermasalah dan sarat dengan hutang itu.

Penangkapan Xavier Justo di Thailand atas dakwaan menjual maklumat dan email yang sudah diuli berkenaan urusniaga 1MDB dengan PetroSaudi telah dijadikan senjata paling ampuh untuk mengelirukan rakyat seolah-olah semua keburukan berkaitan syarikat pelaburan itu, termasuk yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, tiada asasnya lagi.

Hakikatnya, kaitan penangkapan Justo hanyalah berkaitan urusniaga dengan PetroSaudi saja, itu pun belum dapat dipastikan sejauh mana berubahnya maklumat yang sudah diuli itu memandangkan siasatan masih dijalankan, tetapi ia tidak mengubah sama sekali hutangnya berjumlah RM42 bilion, pembelian IPP dengan harga tinggi, bayaran faedah antara RM2.4 hingga RM2.7 bilion setahun dan sebagainya lagi.

Namun, isu penangkapan itu telah juga diuli untuk lebih menyucikan Najib berbanding keadaansebenar syarikat pelaburan itu yang umpama "bala" kepada rakyat negara ini.

Mengambil kesempatan daripada penangkapan Justo juga, Najib cuba mencantikkan lagi nama 1MDB dengan menggunakan hujah sumbangannya kepada pembangunan masjid Kampung Baru berjumlah RM20 juta kononnya syarikat itu turut memainkan peranan kepada pembangunan Islam di negara ini.

Selain sumbangan RM20 juta itu terlalu kecil berbanding hutangnya RM42 bilion, fakta yang cuba diketepikan ialah apa saja konteks pembangunan dan peningkatan syiar Islam memang menjadi tanggungjawab kerajaan tiada kira sama ada wujud 1MDB atau sebaliknya.

Selama ini beratus masjid dan surau dibina atau dibaik pulih walaupun sebelum wujudnya 1MDB lagi.

Ternampak di sini bahawa usaha mengelirukan rakyat agar menerima 1MDB sebagai sesuatu yang baik sedang dan akan terus diusahakan, manakala fakta-fakta kebenaran mengenainya akan cuba  diselubungkan.

Kejayaan mengumpul sokongan daripada pimpinan UMNO bahagian-bahagian dan kemudian menangguhkan pemilihan UMNO selama 18 bulan dan membiarkan rakyat dalam kekeliruan, sambil tidur dengan lena, Najib kini boleh memberi tumpuan khusus kepada pilihanraya umum ke 14 akan datang.

Kecuali Tun Mahathir mempunyai senjata lain yang lebih tajam, Najib dengan ini agak selesa untuk bertahan sekurang-kurangnya sehingga tarikh pilihanraya akan datang diumumkan.

Sebaliknya, yang mungkin sering terganggu dan tidur tidak lena sekarang ialah Muhyiddin Yassin yang sebenarnya sudah terlepas peluang untuk mengambil alih tempat Najib berikutan sikap terlalu berhati-hati dan tidak cukup beraninya selama ini.

Bersama serangan Tun Mahathir terhadap Najib, momentum sebenar bagi Muhyiddin untuk menyingkirkan Najib ialah sebaik tersebarnya video ucapannya di Janda Baik beberapa bulan lalu.

Ketika itu, selain UMNO agak berbelah bagi berkenaan penyelesaian kerajaan terhadap 1MDB, rakyat juga amat mengharapkan ada sesuatu yang drastik dapat dilakukan oleh Muhyiddin.

Tetapi oleh kerana peluang untuk bertindak dan melangkah lebih berani itu telah dilepaskan begitu saja, momentum untuk Muhyiddin sebenarnya telah pun berakhir sekarang ini.

Pengumuman Najib menangguhkan pemilihan sehingga selepas pilihanraya umum membuatkan Muhyiddin dan anggota kabinet lain yang selama ini kritikal mengenai 1MDB tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa akur kepada apa saja langkah Najib sehinggalah tarikh pilihanraya umum nanti.

Najib juga pastinya akan menggunakan pilihanraya umum nanti untuk memilih penyokong dan mereka yang setia kepada saja sebagai calon pilihanraya bagi memudahkan menghadapi pemilihan UMNO selepas itu.

Muhyiddin pula, sementara tidurnya tidak berapa lena ketika ini, harapannya hanya akan bersinar semula jika keputusan pilihanraya ke 14 nanti jauh lebih buruk daripada kemenangan 133 dalam pilihanraya 2013 lalu.

Mungkin beliau perlu banyak berdoa agar kemenangan tipis dengan perbezaan satu atau dua kerusi saja yang mampu dicapai BN dalam pilihanraya ke 14 akan datang ini.

Ini kerana jika BN kecundang kepada Pakatan Rakyat pula, hanya kerusi Presiden UMNO tanpa jawatan Perdana Menteri yang tinggal untuknya. (SH 296/2015)

Saturday 27 June 2015

Perletakan Jawatan Penganjur Nothing2Hide, disebabkan tekanan atau meluat?


Secara tiba-tiba, tanpa ada angin atau ribut, Pengerusi Sukaguam, Khairul Anwar Rahmat yang menganjurkan program kontroversi Nothing2Hide meletakkan semua jawatannya dalam UMNO. 

Kononnya perletakan jawatan itu untuk memberi tumpuan kepada syarikat guamannya mengembangkan sayap ke Eropah dan Asia Barat yang selama ini terhalang kerana beliau terlalu aktif dalam politik tempatan.

Beliau yang kini memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor dan Ketua Sekretariat  Majlis Perundangan UMNO Malaysia, akan meletakkan semua jawatannya itu berkuatkuasa 11 Julai depan.

Program forum Nothing2Hide anjurannya sebelum ini mengundang kontroversi berikutan Perdana Menteri, Najib Razak yang sudah menyatakan persetujuan untuk hadir bagi menjawab persoalan mengenai 1MDB membatalkan kehadiran di saat-saat akhir atas alasan keselamatan kerana bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad turut hadir untuk bertanyakan soalan.

Berikutan ketidakhadiran Najib itu, forum tersebut telah diambil alih oleh Tun Mahathir dengan beliau dijemput berucap selama kira-kira 10 minit sebelum dihentikan oleh pihak polis. 

Lanjutan ketidakhadiran itu, Najib telah dikecam sebagai penakut dan pengecut sedangkan sebelum ini berdegar-degar menyatakan sedia menjawab apa saja persoalan mengenai 1MDB yang dipertikaikan dan menjadi bualan rakyat mengenai pelaburannya yang diragui serta hutang terlalu tinggi.

Namun demikian, kontroversi program itu turut membawa masalah buat Khairul Anwar kerana beliau turut dipersalahkan disebabkan mengundang Tun Mahathir secara lisan dalam sidang akhbar tiga sebelum program diadakan serta menyatakan bekas Perdana Menteri itu boleh bertanya apa saja soalan kepada Najib.

Ramai yang pro Najib berkata, jika bukan kerana Khairul Anwar terlalu ghairah mahu melihat Najib dan Tun Mahathir berada di satu forum yang sama berhubung kontroversi 1MDB sehingga "gatal mulut" menyatakan bekas Perdana Menteri juga boleh hadir, mungkin program itu dapat dijalankan dengan jayanya hanya antara Perdana Menteri dengan NGO-NGO jemputan saja.

Ketidakhadiran Najib, selain dipertikaikan ramai,  turut menerima kritikan daripada Tuanku Mahkota Johor yang kemudian beralih menjadi perdebatan antara baginda dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz.

Bagaimanapun, semalam Khairul Anwar tampil dengan kenyataan menyokong pendirian Tuanku Mahkota Johor bahawa seseorang pemimpin seharusnya lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat berbanding semua perkara yang lain.

Tetapi sesiapa pun sebenarnya meragui alasan perletakan jawatan Khairul Anwar itu dan merasakan seolah-olah ada yang tidak kena dengan tindakannya secara tiba-tiba itu?

Jika ingin melebarkan sayap syarikat guamannya ke luar negara, bukankah lebih bermanfaat jika beliau terus kekal dengan jawatannya sekarang kerana pelbagai bantuan dan sokongan boleh diperolehinya daripada kerajaan melalui jawatan UMNO yang disandangnya itu?

Menjadi persoalan juga, kiranya program Nothing2Hide itu tidak menjadi kontroversi dan berjaya membawa kegembiraan kepada Najib, apakah Khairul Anwar akan turut meletakkan jawatan sebagaimana keputusannya hari ini?

Dalam hal ini, lebih ramai yang percaya perletakan jawatannya mungkin disebabkan adanya tekanan daripada kalangan yang rapat dengan Najib yang tidak puas hati dengan program tersebut sehingga dianggap memalukan serta mencalar imej Perdana Menteri yang selalu berbangga dengan kedudukannya sebagai Pahlawan Bugis yang terkenal gagah dan berani.

Memang diketahui apabila Tun Mahathir memutuskan untuk hadir ke program tersebut sehingga menjadi tumpuan ramai, lalu akhirnya Perdana Menteri memutuskan tidak hadir atas faktor keselamatan, Khairul Anwar banyak dipersalahkan oleh puak pro Najib kerana program tersebut sepatutnya hanya melibatkan NGO-NGO saja.

Ada juga yang menyebut, sejak program tersebut, Khairul Anwar tidak habis-habis dipersalahkan dan beliau jadi bosan dan meluat, lantas akhirnya mengambil keputusan meletakkan jawatan bagi memuaskan hati kumpulan yang mendesaknya itu

Apa pun, sebagai pemimpin muda yang dianggap berpotensi, perletakan jawatan Khairul ini lebih memberi tamparan kepada Najib yang sedang cuba memulihkan imej dan sokongan terhadapnya berkaitan isu 1MDB.

Sekali lagi, alasan perletakan jawatannya sama sekali tidak masuk akal dan lebih berupa tanda-tanda bahawa tiada tempat yang selamat bagi mereka yang cuba berbeza pendirian atau telah menjatuhkan imej Perdana Menteri. (SH 27/06/2015)

Friday 26 June 2015

Sekali Lagi Najib Perlekehkan Muhyiddin


Sudah sah kini pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan pada 2016 ditangguhkan selama 18 bulan bagi memberi laluan agar pilihanraya umum ke 14 diadakan terlebih dahulu. 

Ini bermakna, pilihanraya umum dan pemilihan UMNO kemungkinannya akan diadakan pada tahun 2018 nanti.

Dengan keputusan ini bermakna Najib terus mengulangi kebiasaan yang dilakukan Tun Abdullah Badawi ketika menjadi Presiden UMNO yang sentiasa menangguhkan pemilihan UMNO sehingga pilihanraya diadakan kononnya untuk mengurangkan perpecahan sesama ahli parti.

Najib seolah-olah selesa dengan amalan tersebut dan tidak menunjukkan keberanian walaupun sedikit pun untuk keluar daripada kepompong tersebut.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Najib Razak mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO pada petang Jumaat.

Mengumumkan bahawa penangguhan itu dilakukan berdasarkan Fasal 10.16 perlembagaan, Najib juga berkata, ia bagi memberi peluang kepada UMNO untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta bertujuan mengukuhkan parti.

Secara umumnya apabila UMNO kian lemah dengan pelbagai isu kebelakangan ini, ramai yang mengharapkan agar pemilihan UMNO 2016 tidak ditangguhkan kerana pemimpin-pemimpin baru yang berpotensi dijangka dapat ditampilkan daripada proses pemilihan itu bagi menggantikan pemimpin sedia ada.

Ramai yang percaya, melalui pemilihan parti yang mampu melahirkan pemimpin-pemimpin baru itu, UMNO akan tampil dengan lebih segar dan mantap menghadapi pilihanraya selepas itu.

Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pada tahun 2014 yang lalu turut menyuarakan perkara yang sama demi kekukuhan dan masa depan yang lebih baik bagi parti.

Muhyiddin juga menolak pemilihan UMNO sebelum pilihanraya umum akan menyumbang kepada perpecahan kerana yakin ahli-ahli parti sudah cukup matang untuk menghadapinya.

Tetapi dengan Najib tetap menangguhkan pemilihan sehingga pilihanraya umum diadakan, bukan saja peluang melahirkan bakat-bakat baru akan tersekat, tetapi juga memberi isyarat bahawa pandangan Muhyiddin selaku orang nombor dua dalam parti dan kerajaan hanya dipandang sepi saja.

Najib ternyata tidak mahu menerima idea tersebut walaupun ia sebenarnya dikongsi bersama di kalangan sebahagian besar ahli di peringkat akar umbi.

Dengan tetap mengadakan pilihanraya terlebih dahulu sebelum pemilihan UMNO, ia hanya menunjukkan keinginan Najib untuk mengepung pimpinan UMNO sedia ada dengan hanya mencalonkan mereka yang setia dan dipercayainya saja sebagai calon dalam pilihanraya nanti.

Setelah memilih mereka yang setia dan dipercayainya sebagai calon pilihanraya dan bergelar YB kemudiannya, tentulah lebih mudah seseorang itu memenangi atau mengekalkan jawatannya dalam UMNO selepas itu.

Secara tidak langsung, sehingga tarikh pilihanraya umum akan datang, tidak ada sesiapa daripada kalangan pemimpin UMNO atau mereka yang berhajat mahu menjadi wakil rakyat yang berani menunjukkan penentangan mahu pun berbeza pendirian dengan Najib.

Akhirnya, lebih ramai yang memilih untuk menjadi "pak angguk" atau "yes man"  saja dengan harapan nama mereka tidak tercicir sebagai calon pilihanraya, meski bagaimana sekali pun besar atau banyaknya isu yang meresahkan rakyat sedang berlaku dalam negara.

Lebih ketara nawaitu Najib itu ialah bila mana pengumuman penangguhan pemilihan ini dilakukan teramat-amat awal iaitu dalam mesyuarat MT yang diadakan pada hari ini.

Dengan memperlekeh pandangan Muhyiddin agar pemilihan UMNO tidak ditangguhkan, sebenarnya sudah dua kali Najib bersikap sama terhadap timbalannya itu. 

Dalam video ucapan Muhyiddin di Janda Baik yang tersebar luas sebelum ini, beliau turut mencadangkan kepada Najib agar memecat semua Ahli Lembaga Pengarah  1MDB serta memberi laluan kepada pihak polis menjalankan siasatan bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan tidak bersikap melindungi sesiapa dalam isu yang meresahkan rakyat itu.

Tapi lihatlah apa sikap Najib terhadap pandangan Muhyiddin itu. Langsung tidak laku walau satu sen pun kepadanya. 

Dengan ini, Muhyiddin seharusnya semakin menyedari siapa dirinya di sisi Najib sekarang ini. (SH 26/06/2015)

Thursday 25 June 2015

Mahathir Mula Mengalah, Mahu Najib Dihukum Dalam Pilihanraya?


Apakah bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sudah mula tawar hati untuk terus menyerang Najib Razak berkaitan 1MDB?

Atau adakah beliau kini semakin merasakan 1MDB bukanlah senjata yang cukup tajam untuk menyingkirkan Najib daripada kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya?

Ini adalah antara beberapa persoalan yang mula menjadi percakapan ramai sejak kebelakangan ini apabila Tun Mahathir didapati mula mengendur dan tidak seagresif dulu lagi mengkritik Perdana Menteri.

Sementara ada yang mengaitkannya dengan suasana bulan Ramadan yang mungkin menyebabkan beliau menjadi lebih perlahan berbanding sebelumnya, yang lain pula melihat perubahan yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir itu barangkali juga disebabkan oleh keengganan serta ketakutan pimpinan UMNO sendiri untuk bersama dengannya.

Selain mengamalkan gaya kepimpinan berdasarkan kepercayaan "cash is king", Najib juga terlihat berjaya memujuk wujudnya sebarang pemberontakan terhadapnya dengan menggunakan pendekatan "tunggu audit" oleh Ketua Audit Negara dan hasil siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC.

Dalam hal ini Najib nampaknya benar-benar telah belajar daripada pengalaman Tun Abdullah yang berjaya disingkirkan sebelum ini di mana selain menyerang balas kritikan Tun Mahathir, beliau juga menyediakan benteng untuk mengukuhkan lagi kedudukannya.

Menyedari keadaan tidak lagi memihak kepada dirinya untuk terus menekan Najib meletakkan jawatan, Tun Mahathir akhirnya seperti sudah mengaku kalah dan mahu membiarkan saja Najib dan UMNO dihukum dalam pilihanraya nanti.

Dalam respon terbarunya mengenai hasil siasatan PAC terhadap 1MDB, Tun Mahathir jelas sudah hilang keyakinan dan tidak lagi menaruh harapan tinggi terhadap kemampuan badan itu menyelongkar kesalahan dalam syarikat pelaburan yang bermasalah dan sarat hutang itu.

Di samping meletakkan puncanya kepada siasatan PAC hanya bersandarkan akaun yang boleh dimanipulasi, Tun Mahathir juga menyifatkan PAC sebagai berat sebelah.

Katanya, PAC bersifat berat sebelah kerana salah seorang anggotanya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua cenderung kepada pembangkang manakala ramai yang lain memihak kepada UMNO.

Dengan itu, tambahnya, semua boleh dikira sebelah juga.

Sehubungan itu, katanya lagi, lebih baik tidak perlu diadakan audit atau pendengaran PAC dan UMNO serta Perdana Menteri boleh terus kekal berkuasa sehingga pilihanraya akan datang.

Walaupun nadanya ini seperti menyindir peguam UMNO, Shafee Abdullah yang mencadangkan Tony Pua disingkirkan daripada PAC kerana terlalu kritikal menyerang 1MDB atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen DAP tetapi dalam masa yang sama menganggotai PAC, tidak dinafikan ia juga menggambarkan rasa hati bekas Perdana Menteri itu terhadap apa yang mungkin berlaku nanti.

Baginya, oleh kerana Najib terlalu ingin bergayut pada kerusi Perdana Menteri itu dan hasil siasatan PAC nanti barangkali turut memihak kepada kerajaan, maka biarlah hukuman sebenarnya diterima dalam pengadilan rakyat dalam pilihanraya nanti.

Dengan kemungkinan besar wujudnya nafas lebih segar dalam Pakatan 2.0 yang disokong oleh sebuah parti Islam baru dan NGO-NGO sebagaimana yang ditegaskan keyakinannya oleh Anwar Ibrahim, menghukum Najib dalam pilihanraya akan menjadi lebih mudah kerana ia kini turut dikongsi rasa bersama Tun Mahathir.

Lagi lama Najib mahu bertahan, bukan saja rakyat makin menolaknya, bahkan semakin ramai pengundi BN sendiri makin meluat  kerana hari demi hari hampir tiada lagi yang selamat dibawah pimpinannya. (SH 25/06/2015)

Wednesday 24 June 2015

Pakatan Rakyat Baru Direstui Anwar?


Perkembangan terkini dalam blok pembangkang menunjukkan bukan saja sebuah parti Islam baru bakal wujud tidak lagi, bahkan juga akan disusuli dengan penyusunan semula Pakatan Rakyat yang benar-benar beraspirasi mahu menggantikan BN mentadbir negara ini.

Setelah kumpulan progresif Pas yang menggelarkan diri mereka G18 mengadakan beberapa pertemuan, seorang daripada anggotanya, Khalid Samad hari ini mengesahkan mengenai penubuhan sebuah parti Islam baru itu.

Katanya, parti baru itu berkonsepkan untuk semua tanpa mengira kepercayaan dengan teras perjuangannya ialah untuk memerangi rasuah dan menegakkan keadilan kepada rakyat.

Sebelum ini beberapa pemimpin progresif Pas seperti Mohamad Sabu, Nizar Jamaluddin dan lain-lain turut membayangkan perkara yang sama yang sekaligus menunjukkan mereka ini sudah tawar hati dengan trend perjuangan yang dibawa oleh Pas pro ulama sekarang.

Pada malam semalam juga, kumpulan G18 ini turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan utama PKR dan DAP di kediaman bekas Setiausaha Agung Pas, Kamaruddin Jaafar yang dipercayai sebagai tanda-tanda awal kepada penyusunan semua Pakatan Rakyat yang dalam keadaan tidak menentu ketika ini.

Antara pemimpin PKR yang hadir dalam pertemuan itu ialah Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tian Chua, Johari Abdul, Saifuddin Nasution dan Shamsul Iskandar manakala daripada DAP pula ialah Lim Kit Siang, Teresa Kok, Liew Chin Tong dan beberapa yang lain.

Dengan adanya pertemuan tersebut serta kehadiran pemimpin utama PKR dan DAP, kebarangkalian paling nyata ialah bukan saja penubuhan sebuah parti Islam baru akan menjadi kenyataan tidak lama lagi tetapi juga penyusunan semua Pakatan Rakyat yang lebih mantap dan kuat.

Adalah dijangkakan sebaik saja parti baru itu disahkan penubuhannya, ia akan terus memohon menyertai Pakatan Rakyat atau PKR dan DAP sendiri yang akan mencadangkan kemasukannya ke dalam gabungan pembangkang.

Ia akhirnya terserah kepada Pas sama ada mahu terus kekal bersama Pakatan Rakyat atau secara sukarela "mencari selipar dan berlaku pergi" meninggalkan gabungan itu.

Jika Pas mahu terus kekal, bermakna Pakatan Rakyat baru ini akan dianggotai oleh empat parti, tetapi kiranya Pas memilih untuk mengundurkan diri ia akan kekal dianggotai oleh tiga parti.

Pertemuan kumpulan G18 dengan pimpinan PKR dan DAP ini diadakan hanya beberapa jam selepas Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan daripada Penjara Sungai Buloh yang melahirkan keyakinan bahawa gabungan pembangkang akan menjadi lebih kuat setelah melalui penyusunan semulanya.

Sambil menegaskan bahawa Pakatan Rakyat masih berfungsi sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen, Anwar berkata, barisan pembangkang selepas disusun semula dengan kekuatan baru, termasuk sokongan NGO-NGO, akan muncul lebih kuat dan bersatu selepas ini.

Beserta ikrar tidak akan meninggalkan perjuangan ini selagi nyawa dikandung badan, Anwar ternyata tidak sekadar membaca buku dan mengaji Al Quran saja ketika mendekap di penjara.

Sepertimana jangkaan banyak pihak sebelum ini, kehidupan di penjara tanpa tekanan dan gangguan akan membuatkan Anwar lebih bebas berfikir dan merangka strategi yang lebih baik untuk kepentingan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Serentak dengan itu, tidak disangsikan lagi bahawa penubuhan parti Islam baru dan penyusunan semula Pakatan Rakyat yang sedang direncanakan ini adalah dalam pengetahuan dan restu Anwar sepenuhnya.

Di luar atau dari dalam penjara, Anwar nampaknya sentiasa ada untuk politik Malaysia. (SH 24/06/2015)

Tuesday 23 June 2015

Siapa Tenggelam Dan Siapa Bimbang?


Kewujudan sebuah parti baru yang bakal diterajui oleh kumpulan progresif Pas yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini nampaknya semakin hampir menjadi kenyataan. 

Tidak saja PasMa dengan penuh yakin mengumumkan penubuhan parti baru itu akan direalisasikan tidak lama lagi bersama beberapa NGO dan bakal menjadi pengganti kepada Pas dalam Pakatan Rakyat, bahkan kumpulan progresif itu sendiri sudah ada jenamanya sendiri yang dinamakan G18 yang sekaligus menggambarkan iltizam untuk terus mara ke hadapan dengan wadah baru dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang bersama kenangan silam.

Kumpulan G18 ini turut mempunyai jawatankuasa penajanya yang diketuai oleh Mohamad Sabu manakala timbalannya pula ialah Salahuddin Ayub yang ditawarkan oleh Pas menduduki kerusi Ahli Jawatankuasa lantikan bersama Mahfuz Omar dan Mohd Taufek Abdul Ghani, dua hari lalu.

Maka, tidak syak lagi tawaran yang dibuat kepada Salahuddin itu ada maksudnya yang terselindung.

Dalam perkembangan yang sama, PasMa akan terus kekal sebagai NGO yang bersama-sama mendukung perjuangan Pakatan Rakyat bagi mencapai hasrat mengambil alih pentadbiran negara ini daripada BN.

Sumber yang dekat dengan kumpulan progresif juga memberitahu, parti baru itu sebenarnya sudah pun ada melalui pengambilalihan sebuah parti yang sudah lama ditubuhkan tetapi selama ini tidak aktif. Ia  hanya menunggu masa untuk diumumkan saja lagi.

Kemungkinan juga parti yang diambil alih itu akan menjalani proses pertukaran nama bagi menyesuaikannya dengan perjuangan Islam yang progresif, moden dan inklusif yang mahu dibawanya nanti.

Bagi kumpulan progresif ini, penubuhan sebuah parti baru tidak dapat dielakkan lagi berikutan Pas pro ulama sekarang lebih condong untuk mempertahankan Najib Razak serta mempunyai kecenderungan mahu bekerjasama dengan UMNO berbanding menumbangkan BN.

Beberapa kenyataan Presiden Pas, Haji Hadi Awang seperti Najib wajar terus dikekalkan sehingga habis tempohnya kerana telah dipilih melalui sistem yang sah dan "UMNO tidaklah seburuk Firaun", jelas menggambarkan pendirian berbeza parti itu ketika ini.

Demi meneruskan perjuangan menukar kerajaan BN bersama Pakatan Rakyat, kumpulan progresif tidak melihat ada pilihan lain selain mencari wadah baru, tambahan pula keseluruhan mereka sudah "disapu licin" daripada menduduki kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

Sesetengah yang lain seperti bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman, mereka juga sudah "ditanam" ketika pemilihan di peringkat kawasan lagi.

Serentak dengan keyakinan yang membuak-buak daripada kumpulan progresif terhadap parti baru itu sehingga anak bekas Presiden Pas, Faiz Fadzil juga mengatakan jika arwah ayahnya, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor masih hidup ketika ini, pasti  beliau turut menyokong penubuhannya,  Haji Hadi Awang secara tiba-tiba mengeluarkan surat terbuka mengingatkan agar jangan sesiapa meninggalkan Pas.

Beliau seterusnya memberi ingatan bahawa berdasarkan sejarah, sudah ramai pemimpin tertingginya yang meninggalkan Pas untuk menyertai parti atau pertubuhan lain, akhirnya akan tenggelam begitu saja.

Tanpa menyebut nama atau ditujukan kepada sesiapa tetapi tentulah difahami ia ditujukan khusus kepada kumpulan progresif G18 dan PasMa, beliau juga menyeru mereka yang terbabit supaya istiqamah dalam perjuangan dengan mengambil contoh apa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dahulu.

Soalnya, kenapa Haji Hadi berasa sangat perlu mengeluarkan surat terbuka dan mengingatkan tentang timbul dan tenggelam kepada kumpulan progresif itu?

Bukankah mereka sudah ditenggelamkan oleh kumpulan ulama dalam pemilihan baru-baru ini?

Dan mereka menubuhkan parti Islam baru yang sesuai dengan kehendak rakyat serta bersandarkan aspirasi berbilang kaum masyarakat di negara ini adalah untuk menjadikan diri mereka terus timbul dalam persada politik negara ini.

Memilih untuk timbul bersama Pakatan Rakyat adalah pilihan yang jauh lebih baik daripada tenggelam dalam mempertahankan Najib dan UMNO.

Haji Hadi juga tidak harus selama-lamanya bersandar kepada sejarah dalam menghukum sesuatu yang belum berlaku kerana sejarah sentiasa mencipta perkara-perkara yang baru dan bukannya statik mengikut acuan sebelumnya.

Mana tahu sejarah kali ini mencatitkan bahawa mereka yang meninggalkan Pas akan terus timbul dan hidup, manakala yang kekal bersamanya pula akan tenggelam.

Atau barangkali Haji Hadi memberikan ingatan itu kerana jauh di sudut hatinya sudah mula terselit rasa bimbang tentang masa depan yang suram akibat ketiadaan kumpulan progresif dalam Pas nanti? (SH 23/06/2015)

Monday 22 June 2015

Solidaritilah Demi Mazlan Aliman


Tiga sekawan daripada kumpulan progresif Pas iaitu Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Mohd Taufek Abdul Ghani telah ditawarkan menganggotai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat setelah berlaku "pembersihan etnik"  dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Bagaimanapun ketiga-tiganya masih menimbang sama ada mahu menerima atau menolak tawaran tersebut dan adalah dijangka keputusan mengenainya akan dibuat selepas Aidilfitri nanti.

Dalam pemilihan itu, semua kumpulan progresif dibersihkan daripada memenangi jawatan di peringkat Pas Pusat, kecuali pejuang peneroka Felda, Mazlan Aliman yang "terselit" menang sebagai Ahli Jawatankuasa. 

Beliau bagaimanapun meletakkan jawatan beberapa hari kemudian dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada NGO Anak yang diasaskannya.

Salahuddin dan Mahfuz tewas bagi jawatan Naib Presiden manakala Mohd Taufek pula kecundang bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Pas.

Beberapa tokoh penting Pas yang selama ini mewarnai politik negara, dikenali ramai dan memberi banyak sumbangan kepada parti itu seperti Mohamad Sabu, Husam Musa, Dr Mujahid, Khalid Samad, Hanifa Maidin, Nizar Jamaluddin dan ramai yang lain yang dicop sebagai kumpulan progresif atau profesional dalam Pas, semuanya kecundang di tangan kumpulan pro ulama.

Bagaimana proses mengenepikan kumpulan progresif ini berjalan kelihatannya sangat tersusun memandangkan dalam UMNO sendiri pun proses pembersihan sebegitu rupa tidak pernah terjadi di mana-mana pertandingan yang pernah diadakannya meskipun beberapa kali berlaku perebutan di peringkat pucuk pimpinannya.

Lantaran itu, ramai yang kecewa melihat bagaimana kumpulan progresif ini diketepikan, tambahan pula sebahagian yang memenangi jawatan baru-baru ini tidak begitu dikenali ramai dan masih hijau lagi. Mereka menang hanya semata-mata diletakkan dalam "cai" pro ulama.

Tidaklah menghairankan apabila Mohamad Sabu sendiri melihat bagaimana kumpulan progresif ini diketepikan tidak ubah umpama proses "pembersihan etnik" yang biasa dilakukan di negara-negara bekas kesatuan Soviet Union sebelum ini.

Persoalannya, apakah keputusan yang wajar bagi ketiga-tiga sekawan itu? Menolak atau menerima perlantikan yang ditawarkan?

Melihat bagaimana kumpulan progresif ini difitnah dan diaibkan sepanjang pemilihan lalu dengan gambaran antaranya mereka adalah tajaan DAP dan digelar Jebon, adalah wajar tiga sekawan ini menolak tawaran tersebut.

Kumpulan progresif harus memberi peluang sepenuhnya dan seratus peratus kepada kumpulan ulama mentadbir Pas dalam tempoh dua tahun akan datang ini kerana itulah yang dikehendaki oleh para perwakilan sebenarnya.

Biarlah pimpinan baru ini menentukan hala tuju Pas dan mencatur perancangannya tanpa campurtangan daripada kumpulan progresif ini. Berkembang atau menguncup dalam  dua tahun sehingga pemilihan akan datang, Pas  pro ulama inilah yang harus memikul bebannya.

Lagi pula, satu-satu Ahli Jawatankuasa Pas yang menang, Mazlan Aliman telah menunjukkan semangat setiakawan dan solidariti dengan tindakan terpujinya meletakkan jawatan kerana ingin "serentak seirama" bersama rakan-rakannya yang kecundang.

Dan kini adalah masanya pula bagi rakan-rakan yang tewas tidak menerima sebarang tawaran daripada Pas untuk menduduki apa-apa jawatan sekali pun. Bersolidaritilah pula kepada Mazlan Aliman.

Jika salah satu atau ketiga-tiga sekawan ini menerima tawaran itu, bermakna mereka tidak menghargai sama sekali pengorbanan yang telah dilakukan oleh Mazlan Aliman itu.

Salahuddin, Mahfuz dan Mohd Taufek tidak perlu risau mengenai masa depan mereka jika menolak tawaran sebagai Ahli Jawatankuasa itu kerana mereka akan lebih dihormati jika tidak menerimanya berbanding sebaliknya.

Lebih dari itu, Mahfuz yang kalah Naib Presiden juga sudah pun digugurkan sebagai Pesuruhjaya Pas Kedah baru-baru ini dan dengan itu tawaran sebagai Ahli Jawatankuasa tidak memberi banyak makna kepada nilai dirinya yang sudah ditolak dua kali sebenarnya.

Tindakan Pas tidak menawarkan sebarang jawatan kepada Mohamad Sabu yang kalah bagi jawatan Timbalan Presiden Pas juga menimbulkan tanda tanya seolah-olah beliau tidak diperlukan lagi dalam perjuangan masa depan parti itu.

Sebaliknya kepada Mohamad Sabu sebagaimana yang diucapkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas yang baru, beliau sekadar dirayu agar terus bersama-sama Pas dan tidak mencari wadah baru untuk meneruskan perjuangannya.

Tidakkah tindakan menawarkan jawatan kepada Salahuddin, Mahfuz dan Mohd Taufek ini seolah-olah ingin memecahkan kumpulan progresif yang ketika ini nampaknya sedang bersatu?

Setelah keseluruhan kumpulan progresif dilabel dengan pelbagai gelaran dan disingkirkan melalui "cai", kini mereka cuba dipecahkan pula dengan tawaran jawatan kepada tiga sekawan ini.

Rupa-rupanya benarlah dalam serban dan jubah pro ulama ini, siku dan lutut lebih banyak peranannya. (SH 22/06/2015)

Sunday 21 June 2015

Tanda-Tanda UMNO Tidak Selamat


UMNO di era kepimpinan Najib Razak sekali lagi menjadi bahan persendaan pelbagai lapisan masyarakat berikutan tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang atau MBPP meruntuhkan struktur tulisan UMNO yang terletak di hadapan ibu pejabatnya di Georgetown.

Tindakan MBPP itu dikatakan kerana perletakan struktur itu tidak mempunyai lesen tetapi UMNO Pulau Pinang difahamkan sedang dalam proses memohonnya.

Apa yang menjadi  perbualan ramai ialah Pemuda UMNO Pulau Pinang hanya mengecam dan memberi amaran dari jauh berkaitan tindakan itu melalui kenyataan media saja.

Sejak bila Pemuda UMNO sudah hilang keberaniannya?

UMNO Pulau Pinang juga hanya semalam mengadakan mesyuarat, juga mengecam dan melahirkan rasa kesal atas tindakan MBPP yang disifatkan tergesa-gesa kerana tidak memberi notis yang sewajarnya terlebih dahulu.

Ramai yang menyifatkan tindakan MBPP meruntukkan struktur tersebut tetapi tiada usaha bertahan atau menyerang balas yang bersungguh-sungguh daripada UMNO Pulau Pinang sebagai satu lagi bukti menunjukkan parti itu semakin "tidak selamat"  kedudukannya.

Ini kerana ia memperlihatkan kehilangan upaya UMNO Pulau Pinang dalam mempertahankan sesuatu yang menjadi simbol atau mercu perjuangan parti itu.

Ada juga yang berkata kepimpinan UMNO Pulau Pinang hanya tahu "main selamat" dan tidak peduli pun sama ada parti itu selamat atau sebaliknya.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sudah banyak kali mendesak agar Perdana Menteri meletakkan jawatan kerana  menurutnya UMNO dan BN "tidak selamat" dalam pilihanraya umum akan datang jika  Najib terus memimpin parti dan negara.

Najib terlalu banyak skandal dan semua kaum tidak lagi menyokongnya, begitulah antara kata-kata yang pernah diluahkan oleh Tun Mahathir.

Ketika berlangsungnya forum Nothing To Hide di PWTC awal bulan ini yang turut dihadiri oleh Tun Mahathir bagi menjawab isu-isu berkaitan 1MDB, Najib telah dinasihatkan oleh pihak polis agar tidak menghadiri program itu kerana dianggap "tidak selamat" baginya.

Ketika itu ramai keliru bagaimana faktor keselamatan boleh menjadi suatu bentuk ketakutan kepada Najib untuk berforum bersama Tun Mahathir sedangkan ia diadakan di ibu pejabat UMNO sendiri dan kehadiran pula hanya sekitar 2000 hingga 2500 peserta sahaja.

Kini dengan tindakan meruntuhkan struktur tulisan UMNO di Pulau Pinang, hakikat bahawa UMNO semakin "tidak selamat" tambah melebar lagi.

Daripada kebimbangan mengenai nasibnya dalam pilihanraya akan datang, bersemuka dengan Tun Mahathir dan berforum di bangunan sendiri hinggalah kepada struktur tulisan UMNO, semuanya sudah "tidak selamat" lagi.

Selepas ini apa lagi yang tidak selamat agaknya?

Jika sudah begitu banyak yang "tidak selamat", apa yang masih selamat di bawah UMNO dan Najib ini? Atau ini tanda-tanda benar bahawa UMNO memang "tidak boleh diselamatkan" lagi? (SH 21/06/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...