Tuesday 31 March 2015

Selamat Menyambut Tibanya GST


Menjelang esok, 1 April mana GST mula diperkenalkan di negara kita,  media sosial mula dipenuhi dengan pelbagai jenaka dan gurauan berkenaan cukai baru itu.

Ia mungkin dapat menghiburkan mereka yang resah memikirkan kemungkinan apa barang dan perkhidmatan yang bakal meningkat harganya serta kerisauan lebih banyak wang bakal dibelanjakan mulai bulan ini. 

Sehingga ini, di sebalik pelbagai dakwaan mengenai beberapa kenaikan kos yang dialami oleh pengguna, pihak kerajaan nampaknya masih bertungkus-lumus memberi penerangan mengenai apa barang dan perkhidmatan yang baik, yang turun atau yang tidak berubah harganya.

Menjelang esok, tak perlu resah-resah dan rehatkanlah minda buat seketika. Marilah berhibur dengan kreativiti rakyat Malaysia mengenai GST ini. (SH 31/03/2015)

Ucapan selamat daripada Najib...

Najib dengan Mahathir...

Mempertahankan GST...

GST juga menjadi modal untuk ucapan...

Rakus atau tidaknya GST sama-sama kita ketahui selepas 1 April ini...

Ini sokong atau bantah GST?

Wow...ada minuman baru juga...
Niat GST pun ada....

Monday 30 March 2015

Tindakan Tegas Polis, Arahan Siapa Sebenarnya?


Sejak dua tiga hari lalu berita penahanan beberapa pemimpin pembangkang telah menjadi tajuk perbualan ramai di merata tempat. Ini berikutan kali ini mereka yang ditahan agak ramai berbanding sebelumnya, di samping cara penahanan dan layanan yang diterima turut menjadi perdebatan.

Selain Rafizi, Tian Chua, Hishammudin Rais dan Fariz Musa daripada PKR yang ditahan. Mohamad Sabu dan Khalid Samad daripada Pas juga turut ditangkap.

Mohamad Sabu ditahan di Pulau Pinang menjelang demonstasi Kita Lawan Sabtu lalu dan dilepaskan kira-kira 23 jam kemudian dan dilaporkan tiada soal siasat atau keterangan diambil daripadanya. Beliau barangkali cuma mahu "direhatkan" di balai polis daripada menyertai demontasi itu.

Khalid Samad ditahan setelah pihak polis berkunjung ke rumahnya pada jam 3.20 pagi selepas demonstrasi Kita Lawan berakhir. Tetapi perintah reman yang dipohon pihak polis terhadapnya telah ditolak oleh mahkamah.

Rafizi yang ditahan kerana menghasut berkaitan demontrasi dan seruan untuk membebaskan Anwar Ibrahim yang ditafsirkan pihak polis sebagai ancaman, selain digari tangannya bahkan juga dibawa ke pejabat PKR untuk diambil beberapa fail dan komputer untuk membantu siasatan. Begitu juga dengan yang lain-lain daripada PKR.

Dalam kes penangkapan paling ramai melibatkan pemimpin pembangkang sejak Anwar dipenjarakan, mereka ditahan sama ada di bawah Akta Hasutan atau pun perhimpunan haram.

Tetapi penahanan dan penangkapan yang agak ramai dan sedikit luar biasa kaedahnya ini menimbulkan banyak persoalan kepada rakyat. Dalam kes Khalid Samad misalnya, agak janggal pihak polis datang dengan jumlah yang ramai di awal pagi ke rumahnya sedangkan atas kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, lebih mudah dan molek jika pihak sekadar menghubungi dan memintanya datang ke balai polis saja.

Ramai yang bertanya, apakah semua ini hanya merupakan pendirian tegas pihak polis yang kini diketuai oleh KPN, Khalid Abu Bakar saja? Jika itu benar, mereka turut bertanya, kenapa hanya sekarang tiba-tiba mahu bertegas sedangkan sebelum ini tidak demikian?

Ada juga yang mengaitkan tindakan pihak polis ini adalah atas arahan Perdana Menteri yang dikatakan mahu menunjukkan ketegasannya serta tidak mahu berlembut lagi sepertimana yang dilakukannya sebelum ini?

Dikatakan bahawa bermula dengan pemenjaraan Anwar dan kini penahanan sekian ramai pemimpin pembangkang, ia adalah isyarat Najib tidak mahu bertolak ansur lagi terhadap pembangkang selepas ini.

Sebahagian yang lain pula mengatakan tindakan pihak polis ini adalah  atas arahan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi untuk menunjukkan ketegasan dan tiada simpatinya terhadap Anwar Ibrahim dan para penyokongnya.

Beliau dipercayai oleh banyak pihak terpaksa berbuat demikian untuk mematikan segala sesok-sosek dalam UMNO yang masih berterusan mengaitkannya mempunyai perasaan yang sukar dilupakan terhadap Ketua Pembangkang itu.

Zahid didakwa melakukannya semata-mata kerana survival dan untuk memastikan laluan kerjaya politiknya lebih cerah di masa depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar juga dilaporkan bersungut kepada seorang bekas Ahli Parlimen yang mengunjunginya di Sungai Buloh baru-baru ini bahawa Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri turut bersikap lebih tegas mengenai layanan dan kemudahan yang diterimanya di penjara itu.

Anwar menyebut bahawa berbanding ketika beliau di penjara sebelum ini iaitu ketika Tun Mahathir menjadi Menteri Dalam Negeri dan beliau lebih dianggap "musuh utama" kepada bekas Perdana Menteri itu, apa yang dilaluinya di penjara sekarang jauh lebih sukar lagi.

Tetapi ramai juga yang beranggapan pemimpin pembangkang sengaja membuat provokasi atau tindakan yang membolehkan mereka ditahan bagi menimbulkan kemarahan rakyat dan seterusnya melimpahkan simpati kepada perjuangan PR.

Dalam hal ini  selain dikatakan pihak polis termakan dengan strategi mereka, ia juga selari dengan apa yang Anwar pernah ucapkan sebelum ini bahawa pemenjaraannya akan menyebabkan sokongan rakyat kepada PR meningkat daripada 52 kepada 60 peratus.

Namun yang agak nakal lantas berkata, ini tandanya pihak polis turut menyokong PR. (SH 30/03/2015)

Sunday 29 March 2015

Hudud Hanya Alat Memecahkan Lawan?


Sebetulnya masih tidak diketahui bilakah usul persendirian yang mahu dibawa oleh Presiden Pas, Haji Hadi Awang berkaitan pindaan Enakman Kanun Jenayah Syariah Kelantan atau dalam bahasa mudahnya undang-undang hudud, mahu dibentangkan di Parlimen.

Yang jelas, ia tidak mungkin sempat dibawa dalam sesi Parlimen yang sedang berlangsung sekarang walaupun Haji Hadi sudah menghantar notis mengenainya.

Tetapi berdasarkan kenyataan dua pemimpin kerajaan iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz, usul itu juga belum pasti dapat dibentangkan dalam sesi yang berikutannya.

Ini kerana Parlimen, kata mereka, akan mengutamakan terlebih dahulu aturan urusan berkaitan kerajaan sebelum usul persendirian. Hanya setelah selesai bab kerajaan, barulah usul persendirian diberikan laluan.

Tetapi urusan pembentangan berkenaan kerajaan pula adalah banyak dan sentiasa bertambah. Tidak mustahil pada sesi Parlimen berikutnya pun usul persendirian Haji Hadi ini masih tiada ruang untuk mencelah.

Jika begitu, ia mungkin hanya dapat dibentangkan dalam sesi berikutnya lagi, lagi dan lagi. Semuanya tidak pasti.

Bagaimanapun, pada ketika ini isu hudud ini sudah terlalu meluas diperkatakan dan mulai bertukar menjadi senjata untuk memusnahkan pihak lawan pula.

Hudud seolah-olah telah menjadi alat politik untuk kepentingan pilihanraya akan datang. UMNO yang melihat kesepakatan dalam PR perlu dimusnahkan agar BN terus dapat mempertahankan kuasanya, sedang berusaha ketika ini menjadikan hudud sebagai alat untuk melaga-lagakan antara Pas dengan DAP.

Ramai pemimpinnya menyokong Pas dan mengecam DAP kerana dianggap mencampuri urusan berkaitan Islam. Pas juga dipuji kerana cekal dan berani untuk menegakkan hukum Allah walaupun pendirian sebenar UMNO sama ada menyokong atau menolak usul persendirian Haji Hadi nanti belum lagi dapat dipastikan.

Sementara Najib Razak sedang melengah-lengahkan masa untuk menyatakan pendirian berhubung perkara ini, apa yang diharapkan oleh UMNO ialah hudud in berupaya memecah-belahkan PR dengan cara Pas keluar atau ditendang daripada gabungan itu.

Jika Pas keluar dan kemudian bertanding secara sendirian dalam pilihanraya nanti, ia tentulah rahmat besar bak bulan jatuh ke riba bagi UMNO.

Tetapi Pas juga menyedari hal ini.  Tidak semua pemimpin dalam Pas mahu berpecah daripada PR. Memang ada kelompok tertentu dalam Pas yang merasakan PR ini ibarat "motor buruk"  yang  selalu rosak, namun ramai juga yang percaya kerosakannya masih boleh diperbaiki lagi berbanding menjadikan BN sebagai "motor ganti".

Sebab itu, Pas juga menuntut agar Najib segera menyatakan pendirian rasminya berkenaan hudud ini. Jika UMNO menyokong, parti itu berisiko untuk bermasalah dengan rakan-rakan komponen yang lain dalam BN manakala jika menolak pula bemakna sokongan selama ini termasuk menawarkan diri dalam Jawatankuasa Teknikal hanyalah retorik semata-mata. Ia juga menyebabkan UMNO hilang nilai Islamnya di mata pengundi Melayu.

Jika hudud memungkinkan Pas terus bermasalah dengan DAP, hudud juga sebenarnya menjadikan UMNO serba-salah antara menjaga hati rakan-rakan bukan Islamnya dalam BN atau mahu menunjukkan ia juga parti yang memperjuangkan Islam dan penegak hukum-hukum Tuhan.

Akhirnya, selain hudud untuk kepentingan  politik, ia juga adalah senjata politik untuk menyerang dan memusnahkan pihak lawan. Perkara yang lebih realistik sebelum hudud dilaksanakan seperti kekangan Perlembagaan, sokongan majoriti dalam Parlimen, persediaan dan sebagainya tidak lagi dihiraukan.

Hudud lebih diperkatakan dari sudut dan kepentingan politik semata-mata, terutama dalam mendepani hambatan pilihanraya umum akan datang.

Bila mahu dilaksanakan hudud? Entahlah... (SH 29/03/2015)

Saturday 28 March 2015

Isu 1MDB Panaskan Bicara Masa Depan Ekonomi Malaysia


Malam semalam telah berlangsung forum "Bicara Masa Depan Ekonomi Malaysia" anjuran sebuah NGO, Pertubuhan Anak Muda Prihatin Darul Ehsan di Dewan MBSA, Bukit Naga, Shah Alam.

Forum disertai oleh dua ahli panel iaitu Naib Presiden Pas, Husam Musa dan Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin. Moderatornya pula ialah bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof.

Menariknya ketiga-tiga mereka datang daripada parti yang berbeza iaitu Husam daripada Pas, A Kadir Jasin seorang ahli UMNO manakala Yusmadi daripada PKR.

Walaupun tajuk yang dipilih berkaitan ekonomi Malaysia, tetapi tumpuan perbincangan lebih mengkhusus kepada isu 1MDB yang sejak beberapa bulan lalu semakin menjadi perbualan ramai.

Husam dalam ucapannya menekankan bahawa 1MDB adalah isu penting yang harus diambil perhatian oleh seluruh anggota masyarakat kerana ia sudah menjadi beban yang memberi kesan kepada semua rakyat.

Katanya, beban 1MDB adalah hutang yang bukan saja ditanggung oleh generasi sekarang, tetapi juga bakal berlarutan sehingga generasi yang seterusnya.

Beliau juga menimbulkan persoalan, apakah isu yang melanda 1MDB bakal menyerupai seperti skandal PKFZ di mana semua yang pernah didakwa akhirnya terlepas, namun wang berbilion ringgit yang dipersoalkan lesap begitu saja.

Husam turut membangkitkan soal pencanggahan kepentingan melibatkan Najib Razak yang menjadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dalam waktu yang sama, manakala wang yang banyak dipinjam pula adalah daripada KWSP, KWAP dan sebagainya yang terletak di bawah Kementerian Kewangan.

Ketika menjawab pertanyaan peserta pula, Husam menyatakan kesediaan untuk turun bersama-sama dengan rakyat untuk menuntut penyiasatan yang telus dan menyeluruh berkaitan isu demi isu melibatkan 1MDB ini, termasuk juga menghantar petisyen kepada Senat AS agar syarikat yang didaftarkan di negara itu yang didakwa terlibat dalam urusniaganya hendaklah juga diaudit sama.

A Kadir Jasin pula menyatakan, walaupun 1MDB dikatakan sebagai syarikat pelaburan strategik kerajaan tetapi bidang pelaburan yang diceburinya seperti janakuasa bukanlah suatu bidang perniagaan yang baru.

Lebih malang, tegasnya, pelaburan dalam pembekal janakuasa bebas atau IPP itu tidak saja dibuat dengan harga lebih tinggi daripada pasaran, bahkan juga ketika kontraknya dengan TNB sudah hampir tamat tempohnya.

Sehubungan itu, katanya, pelaburan dan hutang 1MDB yang tinggi dan sebahagiannya dijamin oleh kerajaan bukan isu yang boleh dipandang ringan oleh rakyat.

Perjuangan menuntut penyiasatan yang bebas dan menyeluruh berkaitan 1MDB ini seharusnya juga melepasi sempadan parti dan melibatkan semua pihak yang sayangkan negara ini, tambah beliau yang juga merupakan bekas Ketua Pengarang NSTP.

Dengan tegas, A Kadir Jasin menyatakan mereka yang bertanggungjawab dalam pelaburan meragukan dan hutang yang tinggi dalam 1MDB seharusnya diambil tindakan yang sewajarnya.

Berkenaan konflik kepentingan, A Kadir Jasin menyatakan beliau berulangkali menyatakan kedudukan Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan secara serentak lebih mendedahkan kepada berlakunya amalan itu.

Secara umumnya peserta yang hadir amat berpuas hati dengan forum ini dan berharap ia sentiasa diadakan dari semasa ke semasa bagi memberi lebih pendedahan kepada rakyat berkaitan isu-isu ekonomi negara. ( SH 28/03/2015 )

Husam Musa dan A Kadir Jasin sebagai ahli panel manakala Yusmadi sebagai moderator...

Husam Musa mahu semua rakyat sedar nengenai beban 1MDB ini kepada mereka...

A Kadir Jasin mahukan isu 1MDB diperjuangkan melepasi sempadan parti...

Sebahagian daripada peserta forum yang hadir...

Thursday 26 March 2015

Hadi Awang Lebih Merugikan Pas?


Menjelang pemilihan Pas pada bulan Mei depan, persoalan yang paling menjadi perhatian sekarang ialah apakah Haji Hadi Awang sebagai Presiden akan dicabar dan adakah Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden akan digantikan?

Keributan mengenai isu hudud antara Pas dengan rakan gabungannya, DAP sehingga parti itu hilang kepercayaan terhadap Haji Hadi telah merancakkan lagi desakan agar beliau berundur sebagai Presiden Pas.

Ini kerana jika Haji Hadi terus kekal menerajui Pas, ia bukan saja memungkinkan PR berpecah, tetapi juga menyebabkan calon-calon Pas tidak lagi mendapat keyakinan daripada pengundi bukan Melayu dalam pilihanraya akan datang.

Tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, Pas tentu saja berisiko kehilangan banyak kerusi di Selangor, Perak, Johor dan beberapa negeri yang lain yang mula dimenanginya sejak 2008 lalu melalui kerjasama dengan PKR dan DAP.

Tetapi untuk memaksa Haji Hadi berundur atau mengalahkannya dalam pemlihan bukan tugas yang mudah. Walaupun Haji Hadi dibayangi pelbagai kelemahan sejak beberapa tahun lalu, perwakilan Pas tidak akan membiarkannya kalah dalam pemilihan. Oleh itu mengalahkan Haji Hadi dalam pemilihan boleh dikira mustahil.

Haji Hadi juga tidak mungkin berundur atau dipaksa berundur kerana tiada jawatan lain yang boleh diberikan kepadanya sebagai ganti setelah kerusi Mursyidul Am yang sebelum ini dipegang oleh Allahyarham Nik Aziz Nik Mat telah pun diisi oleh Dr Haron Din.

Lagi pula akur untuk berundur dalam keadaan sekarang seolah-olah menunjukkan beliau tunduk kepada tekanan luar, terutamanya DAP.

Perkiraan sehingga ini, walaupun ada beberapa nama telah dicalonkan bakal mencabarnya dalam pemilihan nanti seperti Husam Musa dan Ahmad Awang, potensi untuk Haji Hadi kekal jauh lebih besar.

Mungkin yang bakal mencabarnya nanti hanyalah Ahmad Awang saja, seorang calon yang lebih mungkin kalah daripada menang manakala bagi Husam adalah tidak bijak beliau menerima pencalonan untuk menentang Haji Hadi dalam pemilihan kali ini. 

Dalam usianya yang masih muda dan merupakan material Presiden Pas di masa depan, Husam hanya perlu bersabar menunggu beberapa tahun lagi detik sesuai memihak kepadanya. Husam sebaiknya kekal mempertahankan jawatan Naib Presidennya saja.

Ruang untuk Haji Hadi berundur secara terhormat sebagai Presiden Pas dan memberi laluan kepada pemimpin lain mengambil alih kerusinya mungkin terbuka semula selepas pemilihan nanti jika Tuan Ibrahim Tuan Man memenangi jawatan Timbalan Presiden menewaskan Mohamad Sabu.

Haji Hadi mungkin bersedia dan tiada masalah menyerahkan kerusi itu kepada Tuan Ibrahim yang pro kepadanya dan berpendidikan agama. Pewakilan Pas pro ulama juga barangkali lebih selesa dengan kepimpinan Tuan Ibrahim sebagai pengganti Haji Hadi.

Tetapi proses peralihan itu akan terhalang jika Mohamad Sabu terus kekal lagi sebagai Timbalan Presiden. Tidak mungkin beliau mahu menyerahkan kerusi Presiden kepada Mohamad Sabu untuk mengambil alihnya.

Ini bermakna jika dalam pemilihan 2015 ini, Mohamad Sabu dapat mempertahankan jawatannya, proses peralihan kepimpinan dalam Pas tidak mungkin berlaku. Dalam pemilihan berikutnya pada 2017, Haji Hadi pasti akan mempertahankan jawatannya sekali lagi.

Ketika itu, sebagaimana pemilihan kali ini, Haji Hadi juga akan kekal lagi sebagai Presiden Pas. Tetapi selepas itu akan berlangsung pilihanraya umum ke 14 yang tempoh akhirnya ialah Mei 2018.

Sudah tentu kepimpinan Haji Hadi akan memberi kesan besar dari segi sokongan pengundi bukan Melayu kepada calon-calon Pas dalam pilihanraya itu nanti.

Dengan jumlah ahli melebihi sejuta orang dan menjadi parti paling besar dalam PR, malangnya kepimpinan Haji Hadi yang ditolak oleh pengundi bukan Melayu hanya akan menyebabkan parti itu kekal di kedudukan paling sedikit menang kerusi dalam pilihanraya akan datang nanti.

Itulah nasib Pas era Haji Hadi. ( SH 26/03/2015 )

Wednesday 25 March 2015

Sedikit Renungan Sementara Menunggu Reaksi Najib Dan Hadi Awang


Dalam isu hudud yang semakin berlarutan sekarang, apa yang paling ditunggu-tunggu ialah reaksi Perdana Menteri, Najib Razak dan Presiden Pas, Haji Hadi Awang mengenainya.

Najib, sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor, akan mengeluarkan kenyataan yang merupakan pendirian rasmi BN dan kerajaan berhubung isu hudud selewat-lewatnya pada hari Selasa.

Tetapi sehingga hari ini iaitu Rabu, masih belum ada apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib. Keadaan ini membuatkan Lim Kit Siang mengingatkan Najib agar segera menyatakan pendiriannya.

Ada kemungkinan Najib akan mengeluarkan kenyataan pada hari Jumaat ini selepas mesyuarat kabinet atau sehingga semua kenduri perkahwinan anak perempuannya selesai hujung Mac ini.

Pendirian Haji Hadi pula amat ditunggu selepas DAP semalam mengeluarkan kenyataan memutuskan hubungan dengannya kerana sudah hilang kepercayaan terhadapnya, tetapi dalam masa yang sama mahu terus kekal dalam PR.

Ia memberi erti bahawa DAP hanya bermasalah dengan Haji Hadi dan bukannya dengan Pas.

Selepas DAP menyatakan pendirian itu, Haji Hadi terus mendiamkan diri daripada sorotan media dan hanya pemimpin-pemimpin Pas yang lain saja mengeluarkan kenyataan mempertahankannya atau menyerang balas DAP.

Yang ingin diketahui ialah apakah Haji Hadi akan kekal dengan pendiriannya mengenai hudud, terutama berkaitan pembentangan usul persendirian atau akan mengendurkan dirinya selepas ini.

Berikutan pendirian DAP itu, turut ingin diketahui ialah apakah Haji Hadi akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Pas Mei ini atau mengundur diri bagi memberi ruang lebih selesa kepada Pas untuk terus berada dalam PR bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Sementara menunggu kedua-dua pemimpin tersebut tampil dengan reaksinya atau mungkin terus berdiam diri, renungilah kenyataan  di bawah yang pernah dikeluarkan mereka berkaitan hudud sebelum ini. 

Ia mungkin berguna untuk lebih memahami isu hudud ini dan bagaimana pengakhirannya nanti. (SH 25/03/2015).

Tiada hudud di Malaysia, kata Najib...

Haji Hadi juga pernah menyatakan hudud belum sesuai selagi ada masalah pengangguran...

Tuesday 24 March 2015

Empat Pilihan Untuk Pas


Kedegilan Pas untuk meneruskan agenda hudud mereka akhirnya meletakkan parti itu di kedudukan paling sukar ketika ini. Jika sebelum ini tindakan Pas membentangkan pindaan enakmen di Dun Kelantan dan kemudian menghantar notis untuk usul persendirian di Parlimen tanpa memaklumkannya terlebih dahulu kepada PR, membuatkan PKR menyatakan tidak akan menyokong usul tersebut, kini giliran DAP pula menyatakan pendiriannya.

Dalam pendirian terbaru yang diputuskan malam tadi, DAP membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Haji Hadi tetapi kekal bersama PR.

Ini bermakna, sementara PKR dan DAP kekal dalam PR, masa depan Pas dalam gabungan itu terpulang kepada parti itu menentukannya.

Jika Pas meneruskan juga mahu membentangkan usul persendirian di Parlimen, PKR dan DAP tidak akan memberikan sokongan terhadapnya. Pas hanya boleh berpuas hati dengan sokongan 21 Ahli Parlimennya sahaja.

Dalam masa yang sama, dua pemimpin kerajaan iaitu Nancy Shukri dan Nazri Aziz pula menegaskan, undang-undang hudud tidak mungkin dapat dilaksanakan di negara ini.

Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang berkata, mustahil hudud dapat dilaksanakan kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan.

Selain itu, katanya, Ahli-Ahli Parlimen daripada Sarawak juga tidak akan menyokong sebarang usul mengenai hudud.

Nazri Aziz, Menteri Pelancongan dan pernah memegang portfolio undang-undang sebelum ini, dengan nada lebih keras dan terbuka berkata, hanya orang "bodoh"  yang akan terus bercakap mengenai hudud.

Ini kerana, katanya, sudah termaktub dalam Perlembagaan bahawa undang-undang berkaitan jenayah merupakan bidang kuasa Mahkamah Persekutuan dan bukannya Mahkamah Syariah.

Untuk meminda Perlembagaan pula, tambah Nazri, ia memerlukan sokongan dua pertiga  Ahli Parlimen dan tidak ada sesiapa yang memiliki sokongan sebanyak itu ketika ini.

Nazri juga berkata, selain itu usul persendirian Pas hanya dapat dibentangkan di Parlimen setelah selesai semua aturan urusan kerajaan dan selagi ia tidak habis, usul tersebut tidak dapat dibawa.

Secara langsung, kenyataan Nazri ini membayangkan bahawa usul persendirian berkaitan hudud ini bukan saja tidak pasti dapat dibawa dalam sesi Parlimen yang sedang berlangsung ketika ini, tetapi juga tiada jaminan dalam sesi-sesi yang seterusnya. 

Bersandarkan semua situasi yang ada sekarang, usul persendirian hudud yang bakal dibawa oleh Haji Hadi ini selain tiada harapan untuk menang dan mendapat sokongan, malah mungkin juga tidak ruang langsung untuk dibentangkan di Parlimen.

Tetapi yang penting, apakah masa depan Pas dalam konteks ini?

Semuanya kini terserah kepada Pas. Jika mereka ingin terus kekal bersama PR, mengekalkan hubungannya dengan PKR dan DAP serta mahu terus berpotensi memenangi kerusi di kawasan bandar dan separa bandar di Selangor, Perak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya, pilihan yang boleh dibuat ialah sama ada menarik balik usul persendirian itu atau menukar Haji Hadi sebagai Presiden Pas.

Keputusan DAP mahu terus kekal dalam PR tetapi memutuskan hubungan dengan Haji Hadi Hadi adalah isyarat yang jelas bahawa yang menjadi masalah bukannya Pas tetapi hanya Haji Hadi. Dengan ketiadaan sokongan serta kenyataan Nancy Shukri dan Nazri Aziz, usul persendirian itu sudah bemakna lagi.

Tetapi jika Pas ingin terus mengekalkan Haji Hadi, hubungannya dengan PKR dan DAP tentulah tidak seharmoni dulu. Sikap bermasam muka akan terus berpanjangan dan mungkin merebak kepada soal pembahagian kerusi dalam pilihanraya nanti. Pertindihan calon pilihanraya juga mungkin berlaku.

Mengekalkan Haji Hadi juga akan membuatkan Pas berisiko besar untuk mendapat undi dan sokongan bukan Melayu dan ini akan menjadikan Pas hanya mampu memang di kawasan pengundi Melayu di Kelantan, Terenggganu dan Kedah saja. Pengundi bukan Melayu barangkali ramai yang tawar hati dengan kepimpinan dan pemikiran Haji Hadi.

Pilihan lain jika Pas ingin kekal berketuakan Haji Hadi ialah keluar dari PR. Walaupun Nik Amar Abdullah mengatakan Pas tidak kisah sendirian berikutan isu hudud ini, sudah tentulah wajah Pas tidak seperti yang ada sekarang jika ia bersendirian.

Pas tidak saja akan mengalami kehilangan banyak kerusi, tetapi juga akan mengecewakan ramai kelompok profesional dan progresif dalam parti itu.

Pilihan terakhir yang boleh dibuat oleh Pas jika tidak mahu bersendirian ialah membawa Pas menyertai BN dengan tujuan menguatkan kedudukan Melayu dalam gabungan itu.  Tetapi pilihan ini belum tentu juga mendatangkan keselesaan kepada Pas kerana mereka bakal berebut kerusi pilihanraya pula dengan UMNO dalam pilihanraya nanti.

Dengan UMNO lebih dominan dan menang banyak kerusi di kawasan Melayu, jika bersama BN, Pas mungkin hanya diperuntukkan kerusi yang jauh lebih kecil saja.

Segala-galanya kini terserah kepada Pas menentukan hala tujunya antara tarik balik usul, keluar PR, tukar Haji Hadi atau menyertai BN. Pilihlah yang mana satu jalan berturap, jalan berliku atau jalan mati. ( SH 24/03/2015 )

Monday 23 March 2015

Mungkinkah Alwi Meraung Pula Selepas Ini?


Mengikut laporan sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa Perdana Menteri, Najib Razak akan membuat pengumuman rasmi mengenai pendirian BN berhubung perlaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Katanya, pengumuman rasmi akan dibuat selewat-lewatnya Selasa ini.

Bagaimanapun Tengku Adnan juga memberi bayangan, "saya tidak kata kami menentang hudud. Hukum tetap hukum. Tetapi seperti diketahui, hukum hudud mesti mengikut Perlembagaan negara".

Berdasarkan kenyataan Ku Nan ini, semua orang barangkali sudah boleh membayangkan apakah pendirian yang bakal diumumkan Najib nanti. Ia tidak lain menunjukkan Najib akan sekali  lagi menolak perlaksanaan hukum hudud itu dan  Ahli Parlimen UMNO akan diarahkan agar tidak menyokong usul persendirian yang bakal dibawa oleh Pas nanti.

Sebagaimana sebelum ini Najib pernah menyatakan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini serta berpegang kepada tafsiran maqasid syariah, beliau dijangka akan mengulangi pendirian yang sama  dalam kenyataan yang bakal dikeluarkannya nanti. 

Alasan perlaksnaan hudud bercanggah dengan Perlembagaan negara akan turut digunakan untuk menguatkan lagi hujah menolaknya.

Oleh kerana MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak turut menolak hudud serta mengancam untuk meninggalkan BN jika UMNO berpendirian menyokong usul Pas itu, Najib amat jelas tidak mungkin berani berpendirian sebaliknya.

Berbanding Pas, Najib sudah tentu jauh lebih sayangkan parti-parti komponen itu. Memahami pendirian yang bakal dinyatakan Najib nanti, Pas secara realitinya sudah boleh melupakan harapan untuk mendapatkan sokongan UMNO dalam usul persendirian yang bakal dibawanya nanti.

Sokongan yang seolah-olah mereka juga mahukan hudud, baik melalui kenyataan beberapa pemimpinnya atau melalui penubuhan jawatankuasa teknikal bersama kerajaan negeri sebelum ini, tidak lebih hanyalah gula-gula pemanis muka  untuk menunjukkan mereka juga memperjuangkan Islam.

Tetapi persoalan yang menjadi bualan ialah bagaimana pula dengan pendirian 12 Adun UMNO Kelantan yang sudah menyokong usul itu di Dun Kelantan, baru-baru ini.

Bagaimana UMNO negeri Kelantan boleh membuat sesuatu pendirian menyokong sedangkan Pusat belum ada pendirian rasmi mengenainya?

Jika pendirian yang dinyatakan Najib selewat-lewatnya Selasa ini tepat seperti jangkaan ramai iaitu tetap tidak menyokong hudud, apakah tindakan Adun Kelantan itu boleh dianggap bercanggah dengan disiplin parti?

Atau adakah Adun Kelantan, khususnya Alwi Che Ahmad akan meraung-raung menangis kecewa terhadap Najib kerana hukum Allah ditolak begitu saja oleh ketuanya sendiri? (SH 23/03/2015)

Sunday 22 March 2015

Tangguh Saja, Usul Persendirian Jadikan Pas Akhirnya Sendirian


Usul persendirian Pas mengenai hudud di Parlimen benar-benar menjadikan parti itu bersendirian akhirnya. Setelah DAP secara terbuka menyatakan tidak akan menyokongnya, PKR pula semalam turut menyatakan pendirian yang sama.

Bagi PKR, tindakan mereka tidak menyokong usul itu ialah kerana berpendapat Pas membuat keputusan secara unilateral atau sebelah pihak tanpa memberitahu rakan-rakan dalam PR terlebih dahulu dan juga disebabkan ia bercanggah dengan keputusan Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari lalu.

Lebih dari itu, tindakan Presiden Pas, Haji Hadi Awang menghantar notis kepada Setiausaha Parlimen berkaitan pembentangan usul persendirian itu juga dianggap tindakannya secara bersendirian.

Ini kerana beberapa pemimpin Pas yang ditanya mengenai notis tersebut seperti Setiausaha Agung, Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Mahfuz Omar, turut menyatakan tidak tahu menahu mengenainya.

Tanpa sokongan PKR dan DAP, jika Pas meneruskan juga membawa usul berkenaan hudud itu di Parlimen, ia hanya disokong oleh 21 Ahli Parlimen daripada parti itu saja.

Oleh kerana pembentangan enakmen pindaan hudud di Dun Kelantan minggu lalu mendapat sokongan daripada UMNO, Pas mungkin mengharapkan semua 88 Ahli Parlimen UMNO akan menyokongnya dalam usul persendirian nanti.

Tetapi mengharapkan sokongan UMNO dalam usul hudud ini mungkin umpama impian menyentuh bintang di langit atau seperti harapan mengggunung ingin berjumpa bidadari dari kayangan saja.

Ia boleh dianggap sesuatu yang mustahil.

Selain sejarah membuktikan UMNO lebih selesa dengan undang-undang sekular,  Najib Razak sendiri pernah mengungkapkan penegasan tidak  akan melaksanakan hudud di negara ini. Dalam pada itu, UMNO juga terkepung dengan penolakan rakan-rakan dalam BN seperti MCA, Gerakan serta komponen Sabah dan Sarawak terhadap hukum itu.

Sukar untuk membayangkan UMNO sanggup menyokong usul persendirian hudud yang bakal dibawa Haji Hadi nanti dan dalam masa yang sama menyebabkannya berhadapan risiko ditinggalkan oleh MCA, Gerakan dan komponen di Sabah dan Sarawak yang merupakan antara penyumbang kekalnya kuasa BN itu sendiri.

Lebih ramai yang percaya tindakan "main mata"  UMNO terhadap Pas dalam isu hudud ini, termasuk sokongan di Dun Kelantan baru-baru ini, lebih bertujuan untuk memecah-belahkan PR semata-mata.

Dan kalau pun Najib atau UMNO tiba-tiba "hilang akal" dan mahu menyokong usul hudud di Parlimen itu nanti, ia juga tidak mencukupi untuk memperolehi majoriti iaitu hanya menjadikan perolehan kepada 109 undian saja (88 UMNO + 21 Pas).

Berdasarkan jumlah Ahli Parlimen seramai 222 orang, majoriti mudah sekurang-kurangnya memerlukan sokongan 112 Ahli Parlimen.

Dalam keadaan ini, usul persendirian Pas mengenai hudud ini sebenarnya tidak bermakna langsung jika diteruskan juga pembentangannya. Ia sama ada menjadikan Pas hanya mampu memperolehi 21 undi atau 109 undi saja. 

Kedua-duanya bermakna suatu tindakan "bunuh diri" atau umpama melompat keluar dari kapal terbang tanpa menggunakan payung terjun.

Tindakan terbaik bagi Pas sekarang ialah kembali kepada realiti yang ada di depan mereka. Parti itu seharusnya menarik balik notis dan menangguhkan hasrat mahu membentangkan usul persendirian itu di Parlimen.

Tidak guna meneruskan usul persendirian yang sudah bertukar menjadi tindakan bersendirian itu kerana ia jelas tidak boleh membawa kemenangan, bahkan risiko perpecahan dalam PR dan penolakan rakyat juga lebih besar kerananya.

Dengan menangguhkan usul itu, Pas boleh memulihkan semula hubungannya dalam PR dan kembali berganding tangan untuk menghadapi cabaran masa depan secara bersama dengan PKR dan DAP. Ini lebih merupakan perjuangan boleh menang bagi Pas berbanding meneruskan agenda hudud yang sudah pasti akan kecundang.

Pas boleh meneruskan semula hudud di Kelantan setelah PR memperolehi kuasa dalam pilihanraya akan datang dengan cara meyakinkan rakan-rakan dalam gabungan itu terlebih dahulu mengenai kebaikan dan kelebihan undang-undang Tuhan tersebut.

Belum terlambat sebenarnya untuk Pas kembali ke pangkal jalan setelah "terlena" dan "tersesat" seketika. (SH 22/03/2015)

Saturday 21 March 2015

Saranan Perubahan Nizar Jamaluddin Harus Disambut Baik


Pas adalah sebuah parti politik Islam dan bukannya badan dakwah sukarela. Sebagai parti politik, matlamat Pas tentunya ialah kuasa dan daripada kuasa itulah dijadikan landasan mencari keredaan Tuhan.

Ia sama-sekali berbeza dengan badan dakwah sukarela yang hanya mencari keredaan Tuhan tetapi tidak bergantung kepada kuasa. 

Penyertaan Pas dalam banyak pilihanraya sejak penubuhannya dan gerak kerja kempennya yang bersungguh-sungguh dalam merebut kuasa atau mengekalkan kuasa adalah petanda jelas bahawa kuasa memang keutamaan dalam perjuangannya.

Disebabkan kepentingan kuasa, walaupun Pas sejak lama memperjuangkan hudud, ia pernah merehatkan agenda itu dengan menjadikan konsep negara kebajikan sebagai gantinya sejak 2008 apabila bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Konsep negara kebajikan ini menjadikan Pas semakin dekat dengan pengundi bukan Islam sehingga mampu menang di banyak kawasan pilihanraya di Selangor, Perak, Johor dan lain-lainnya.

Presiden Pas, Haji Hadi Awang dalam video yang boleh ditemui dalam youtube pernah menyebut bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan selagi masalah pengangguran tidak diselesaikan kerana kejadian curi misalnya ada hubung kait dengannya.

Tetapi kenyataan mutakhir beberapa pemimpin Pas setelah isu hudud bangkit kembali sekarang ini barangkali memeningkan kepala ahli-ahli parti itu sendiri. Haji Hadi berkata, wawasan Pas ialah akhirat dan bukannya setakat 2020 saja.

Ia adalah jawapan beliau sehari selepas Dun Kelantan meluluskan pindaan enakmen bagi melaksanakan hudud di negeri itu. Kenyataan ini memberi gambaran bahawa Pas lebih  mementingkan akhirat dan sanggup kehilangan undi, sokongan dan kuasa semata-mata kerana ingin melaksanakan hudud.

Kenyataan ini tentunya tidak selari dengan sejarah bagaimana undang-undang hudud ini telah tertangguh untuk dilaksanakan sejak lebih 22 tahun lalu, bahkan ia juga pernah direhatkan untuk digantikan dengan negara kebajikan. Lebih dari itu, Haji Hadi pernah menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan selagi ada masalah pengangguran.

Mursyidul Am Pas yang baru, Dr Harun Din pula berkata, parti itu meletakkan perjuangan menegakkan hukum hudud jauh lebih penting daripada kerjasama dalam PR.

Katanya, perjuangan menegakkan hukum hudud sudah sebati dengan Pas dan tidak akan berganjak daripadanya.

Kenyataan Dr Harun Din ini juga memberi erti bahawa Pas lebih rela kehilangan undi, sokongan dan tidak lagi memikirkan kuasa di masa depanndemi untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Sebagai parti politik yang dalam masa sama mahu mencari keredaan Tuhan, Pas tidak seharusnya lupa atau malu-malu kepada kuasa yang mahu dikejarnya. Berbanding ada kuasa dengan tiada kuasa, lebih banyak keredaan boleh dilakukan jika kuasa dalam genggaman.

Malangnya, Haji Hadi dan Dr Harun seperti tidak ingin kuasa sekarang ini. Ia secara langsung bertentangan dengan matlamat Pas itu sendiri sebagai sebuah parti politik.

Mungkin ini juga menyebabkan ahli Pas sendiri berpecah. Lebih ramai rasanya dalam Pas yang ingin mengambih alih kuasa UMNO bagi menyelamatkan negara dan rakyat dari terus dirompak di siang hari sebagaimana yang berlaku sekarang.

Menyelamatkan negara juga adalah jihad dan mungkin lebih besar keredaannya daripada Tuhan. Keberanian yang sedang dilakukan oleh banyak pihak terhadap kerajaan sekarang juga bertujuan untuk menyelamatkan masa depan negara. Mungkin Haji Hadi dan Dr Harun tidak nampak  perkara ini, sebaliknya hanya melihat hudud satu-satunya punca keredaan Tuhan.

Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya adalah sepertimana yang dinyatakan dengan berani oleh bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin  bahawa Pas memerlukan perubahan kepimpinan sekarang ini.

Katanya, krisis yang dihadapi Pas sekarang ialah berkaitan pemikiran kepimpinannya dan jika kepimpinan sekarang menunjukkan ada unsur-unsur kelemahan, maka ia perlu diubah sesuai dengan hak yang diberi kepada perwakilan serta dibenarkan oleh perlembagaan parti.

Tidak syak lagi bahawa Nizar menyedari pimpinan Pas sedia ada sudah tidak relevan lagi untuk meneruskan perjuangan parti itu sebagai sebuah parti politik. Keberanian beliau menyatakan perkara penting ini seharusnya disambut baik demi masa depan dan survival Pas sendiri.

Dengan keadaan lebih terbuka untuk meraih kuasa, Pas memang selayaknya dipimpin dan dikemudi oleh watak yang betul pemikiran dan perjuangannya, bukan lagi oleh sosok dan pemikiran seperti Haji Hadi dan Dr Harun Din. 

Nizar sudah membuka jalan dan memulakan langkah beraninya, maka yang lain tidak seharusnya berlengah lagi. (SH 21/03/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...