Wednesday 20 November 2013

Putrajaya Lubuk Penyamun Pecah Rumah?


Kewujudan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan dengan rekabentuk bangunan yang indah-indah memang mengkagumkan sesiapa saja, tidak kira rakyat tempatan mahu pun pelancong luar negara. Ramai rakyat tempatan yang bangga dengan kewujudannya dan menjadikannya sebagai salah satu tempat yang sering dikunjungi untuk bersiar-siar bersama ahli keluarga.

Bagi pelancong luar pula, Putrajaya hampir menjadi destinasi wajib untuk dikunjungi. Bukan saja keindahan senibina dan rekabentuk bangunannya yang menjadi tarikan tetapi tasik-tasik buatan, jambatan yang unik dan berbagai bentuk, taman-taman dan sebagainya turut menjadi tarikan tambahan untuk sesiapa tidak melepaskan peluang berkunjung ke sana.

Bagaimanapun, di sebalik keindahan dan gahnya nama Putrajaya itu, pegawai-pegawai kerajaan yang tinggal di kawasan perumahan di situ sebenarnya tidaklah tenang jiwa dan kehidupan mereka sebagaimana tenangnya jiwa pelawat atau pelancong luar menikmati keindahannya. Mereka kini sentiasa diburu kebimbangan berikutan kes pecah rumah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Kes pecah rumah bukan saja berkaku di kawasan kediaman yang menempatkan rumah-rumah teres tetapi juga di kawasan perumahan berbentuk apartment. Lebih membimbangkan ialah kejadian pecah rumah ini bukan saja berlaku pada waktu malam ketika penghuninya sedang tidur atau ketika rumah tidak berpenghuni tetapi juga berlaku di waktu siang ketika penghuninya sibuk bertugas di pejabat.

Kejadian pecah rumah di waktu siang ini dilaporkan banyak berlaku di kawasan perumahan berbentuk apartment. Beberapa kes dilaporkan sudah berlaku dan terdapat pengadu yang dimaklumkan oleh pihak polis bahawa di kawasan-kawasan tertentu, kes kejadian pecah rumah memang agak tinggi dan penghuni dinasihatkan mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat.

Dilaporkan kawasan yang kerap menjadi sasaran ialah apartment kos sederhana yang agak terpencil di mana pegawai kerajaan yang tinggal di situ ialah mereka yang berjawatan pegawai dan keatas.

Walaupun apartment ini mempunyai pengawal keselamatan tetapi tahap kawalannya didapati agak mininum dan boleh dikatakan sesiapa saja boleh memasuki kawasan kediaman itu tanpa banyak soal. Di kawasan inilah kes pecah rumah di waktu siang hari itu kerap berlaku.

Ramai pegawai kerajaan yang ditemui mengharapkan agar Putrajaya Holding dapat menyediakan sistem kawalan keselamatan yang lebih ketat di semua kawasan di kediaman di Putrajaya ini. Bagi kawasan perumahan teres atau berkembar, sistem kawalan yang lebih ketat selama 24 jam amat diperlukan memandangkan semua rumah di situ berkonsep terbuka dan tidak berpagar.

Bagi kediaman jenis apartment pula, ramai mengharapkan agar sistem kawalan keselamatan yang lebih ketat atau menyamai seperti yang digunakan di kondo-kondo mewah dapat dilaksanakan bagi mengelakkan terus berlakunya kejadian pecah rumah terutama di waktu siang iaitu ketika penghuninya sibuk menjalankan tugas di pejabat untuk kepentingan negara.

Adalah penting bagi pihak berwajib, terutamanya Putrajaya Holding dan Kementerian Wilayah Persekutuan mengambil langkah-langkah segera mengatasi masalah ini bagi mengelakkan Putrajaya terus menjadi "lubuk emas" bagi penyamun-penyamun pecah rumah menjalankan aktiviti mereka.

Dipercayai kawasan Putrajaya menjadi tumpuan penyamun pecah rumah bukan saja kerana tanggapan mereka bahawa di kebanyakan kediaman itu mempunyai barangan berharga seperti komputer riba, barang kemas dan sebagainya tetapi juga kerana ia terletak berhampiran dengan Sepang di mana banyak pendatang asing bertumpu di sana.

Adalah amat merugikan sekiranya Putrajaya yang menjadi kebanggaan semua ini dicemari dengan kejadian-kejadian jenayah seperti ini dan dalam masa yang sama meletakkan kakitangan kerajaan sentiasa dalam kebimbangan dan ketakutan ketika berada di pejabat. (SH 20/11/2013)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...