Saturday 20 July 2013

Peguam Negara Jangan Aniaya Najib?


Berikutan tindakan yang sudah diambil oleh Peguam Negara terhadap pasangan blogger seks, Alvin Tan dan Vivian Lee yang didapati menghina Islam dan memuatkan perlakuan berunsur lucah mereka dalam internet, pihak kerajaan khususnya kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak sedang diasak untuk mengambil tindakan yang serupa terhadap pihak-pihak lain yang juga didapati menghina agama selain Islam.

Antara yang tersohor agar diambil tindakan oleh Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mahu membakar kitab Injil berbahasa Melayu yang menggunakan perkataan Allah dan Zulkifli Nordin yang didapati mempersenda penganut agama Hindu dengan mengejek tuhan agama itu tidak mempunyai kuasa walau untuk menghalang banjir sekali pun.

Sementara semua rakyat berbilang kaum dan agama mengalu-alukan tindakan tegas dan pantas yang diambil terhadap pasangan Alvin dan Vivian, rakyat juga sebenarnya mengharapkan tindakan yang serupa seharusnya diambil terhadap Ibrahim dan Zulkifli. Walaupun penghinaan yang dilakukan oleh Ibrahim dan Zulkifli mungkin tidak seserius dan seberat yang dilakukan oleh Alvin dan Vivian tetapi penghinaan walau dalam apa bentuk dan cara sekali pun, tetap merupakan penghinaan dan tidak boleh diterima sama-sekali.

Lebih-lebih lagi Ibrahim dan Zulkifli adalah "public figure" yang dikenali ramai dan mempunyai banyak pengikut, sudah tentu perbuatan mereka itu boleh mempengaruhi ramai orang.

Dalam hal ini, ketegasan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi semalam yang memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa saja dan yang menghina agama apa pun, seharusnya dibuktikan dengan perbuatan dan bukan sekadar amaran semata-mata.

Ini kerana mengambil tindakan yang menyeluruh dan sama rata bukan saja mencerminkan keadilan Islam yang menjadi agama rasmi negara tetapi juga mampu menyerlahkan cantiknya wajah Islam sendiri di mata rakyat pelbagai kaum. Dalam hal ini, Najib yang merupakan Perdana Menteri mempunyai tugas yang amat penting untuk memperlihatkan wajah Islam yang sebenar dan kepimpinannya yang adil itu kepada umum, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kegagalan mengambil tindakan yang tegas dan menyeluruh kepada semua kelompok yang didapati menghina agama akan memperlihatkan cacatnya Islam yang diamalkan di negara ini dan juga menampakkan kegagalan Najib sebagai pemimpin yang beragama Islam.

Desakan pelbagai pihak juga membuatkan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bersuara bahawa siasatan terhadap Zulkifli sudah dilakukan oleh pihak polis dan telah diserahkan kepada Peguam Negara tetapi diberi respon NFA atau "no further action" (tiada tindakan lanjut) manakala bagi kes Ibrahim juga siasatan sudah dibuat tetapi tiada jawapan diberikan oleh Peguam Negara sehingga kini.

Dalam hal ini, maknanya pihak polis sudah menjalankan tanggungjawabnya, cuma Peguam Negara yang tidak melaksanakannya.

Soalnya kenapa kes itu NFA dan senyap? Apakah penilaian Peguam Negara berdasarkan keadilan sejagat atau kerana faktor-faktor lain?

Jika Peguam Negara boleh bertindak begitu tegas terhadap pasangan Alvin dan Vivian sehingga mereka tidak dibenarkan ikat jamin dan terpaksa bermalam di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang, walaupun kesalahan hanyalah dibawah akta SKMM dan Akta Hasutan, tidak ada sebab sebenarnya sebarang tindakan, walaupun lebih ringan, tidak boleh diambil terhadap Ibrahim dan Zulkifli.

Penghinaan Zulkifli terhadap agama Hindu sudah dilakukan 10 tahun yang lalu dan baru didedahkan dua atau tiga tahun yang lalu, sementara kes Ibrahim mahu membakar kitab Injil pula berlaku setahun yang lalu. Sekiranya Peguam Negara dapat bertindak tegas lebih awal keatas kedua-dua kes ini, mungkin penghinaan Alvin dan Vivian kepada Islam tidak muncul.

Keberanian dan kebiadapan mereka melakukan penghinaan kepada agama lain ialah kerana mereka melihat orang lain juga bebas melakukan perkara yang sama sebelum ini dan tidak diambil apa-apa tindakan.

Dalam usaha menegakkan keadilan dan menunjukkan kemurnian Islam itu sendiri, Peguam Negara tidak seharusnya bertindak memilih bulu. Tindakan harus sama rata dan menyeluruh, barulah semua orang takut untuk melakukannya.

Sekiranya Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara, Ghani Patail asyik dengan NFA saja dalam banyak cara kerjanya, terutama dalam kes-kes seperti Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin, tindakan beliau akan dilihat seperti menganiaya Perdana Menteri dan kepimpinan politik yang sentiasa cuba mewujudkan keharmonian kaum dan agama serta mahu melihat hubungan kaum kekal harmoni dan aman sepanjang masa.

Kepimpinan politik dan kerajaan sepanjang masa bercakap tentang keadilan Islam dan sikap kerajaan yang tidak memilih bulu walau melibatkan apa kaum dan agama sekali pun, namun banyak perkara tersekat apabila sampai ke Jabatan Peguam Negara.

Lainlah jika Peguam Negara memang mahu menyusahkan Perdana Menteri dan orang-orang politik. (SH 20/07/2013)

5 comments:

  1. Anda seorang penulis berani yang kritis. Akan bertambah hebat anda sebagi seorang kritikus sekiranya anda berjaya menguasai bahasa Melayu dengan sebaik-baik mungkin.

    Berusahalah mengatasi kelemahan anda dalam berbahasa Melayu yang persis.
    Wassalam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau tuan dah rasa pandai sangat, bagilah tahu kat mana salah tata bahasa blogger ni...Lagi pun dalam berblog ni....pembaca tak pentingkan sangat bahasa, tapi "substance" (dengan izin Tuan Yang Di Pertua)...Nak pentingkan bahasa hang pi la jadi editor kat DBP woit!!!!

      Delete
  2. Sejak bila Islam dgn agama lain sama?

    Saya andaikan anda beragama Islam.

    1)Sejak bila berkata Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan tiada yg layak disembah melainkan Allah berdosa? Adakah otak anda sama mcm Namrud yg mahu Nabi Ibrahim dibakar krn menghina "Tuhan" mereka?

    2)Maksud Zulkifli hendak membakar Bible utk menghalang dakyah Kristian. Salah?

    Kalau mengikut kepala anda, lebih baik kita penuhkan TV kita dgn rancangan kuliah agama Hindu dll, sebarluaskan segala buku ajaran sesat, dll. Mereka bertindak berani sedemikian spya anda, keluarga dan anak2 anda tak terkena fitnah.

    Saya tak sangka hatI anda segelap ini, cuba menjuarai wakil agama taghut.. :(

    ReplyDelete
  3. en shabudin, salaam. sekali lagi saya baca islam adalah agama resmi negara. saya baca dalam perlembagaan malaysia, islam ialah agama persekutuan. dari mana datang perkataan 'resmi'? tolong jelaskan. terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Benar Tajudin. masaelahnya orang Islam suka mengheret perkara lain jika sesuatu itu berlaku. Dlm kes 2 budak cina terang-terangan menghina Islam diheretnya Ibrahim Ali & Zulkifly Nordin. Penulis, YB Mahfus & YB Dr. Mariah tidak terkecuali.
    Apakah Melayu/Islam sudah Liberal hingga agama sendiri sudah tidak penting lagi. Bercakap pasal keadilan, sejauh ini dah beraapa ramai menghina Islam sehingga bagai nak pecah dada kita dibuatnya. Lihat dan perhatilah sehingga bab Tamadud Islam dalam IPT dah mereka berani pertikaikan, ianya cuma hendak memberi maklumat kepada yang bukan Islam & Islam. Kita yang Islam menjadi jika sudah tidak ada kekuataan akidah cuma bercakap atas Politik semata-mata akhir yan ruginya orang Islam.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...