Saturday 27 July 2013

Daripada Merajuk Dengan Najib, Kini Menjadi Perkasa 1Malaysia


Ibrahim Ali hari ini mengumumkan penubuhan Majlis NGO Antara Kaum atau Mirac yang menandakan keterbukaan pertubuhan itu dalam perjuangannya yang selama ini memperjuangkan kepentingan Melayu, Bumiputera dan Islam. Melalui penggabungan dengan Perinban atau Persatuan Amal dan Kebajian India Baru dan Percisma atau Persatuan Cina Era Baru, Mirac kini menjadi landasan baru perjuangan Perkasa.

Dengan bergabung dengan pertubuhan Cina dan India, tidak dipastikan setebal mana perjuangan Melayu, Bumiputera dan Islam yang akan diperjuangkan oleh Perkasa.

Sikap dan keterbukaan yang secara tiba-tiba ditunjukkan oleh Perkasa ini menimbulkan persoalan ramai, apa sudah jadi dengan perjuangan Perkasa sekarang ini? Kenapa secara mengejut menukar hala tuju perjuangannya?

Walaupun beliau bertegas bahawa Perkasa akan terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi ramai yang ragu-ragu dengan keupayaannya untuk terus bertahan sekiranya timbul isu-isu yang menggugat kepentingan Melayu selepas ini.

Lebih-lebih lagi kerapuhan benteng pertahanan Perkasa itu amat terserlah bilamana belum pun apa-apa lagi sudah tercetus perbalahan kecil di hari pertama penubuhan Mirac ini berikutan Perinban tidak setuju dengan kenyataan Zulkifli Nordin, Naib Presiden Perkasa mengenai sokongannya terhadap guru besar Sri Pristina berhubung isu murid-murid makan di bilik persalinan sekolah.

Ia berakhir dengan Zulkifli meninggalkan majlis manakala Ibrahim pula terpaksa memujuk Perinban supaya terus berada di majlis berbuka puasa itu. Zulkifli pula mungkin hanya berbuka puasa di dalam kereta atau di gerai tepi jalan berikutan tiada sesiapa yang memujuknya.

Hanya dalam isu kecil seperti isu kantin pun mereka sudah berbalah, bagaimana nanti jika timbul isu-isu yang lebih besar yang memerlukan suara Perkasa lebih lantang? Mungkin selepas ini suara Perkasa akan menjadi seperti kebanyakan pemimpin UMNO juga yang semakin hilang aura kemelayuannya berikutan Najib lebih cenderung kepada perjuangan bercorak 1Malaysia.

Selama ini ramai orang Melayu terpana dengan perjuangan Melayu dan Islam yang dibawa oleh Perkasa sehingga ramai ahli UMNO yang menjadi ahlinya walaupun Ibrahim Ali yang menjadi presidennya bukanlah ahli UMNO, malahan pernah menentang UMNO dengan bertanding atas tiket Bebas dan juga PAS.

Namun atas keyakinan terhadap perjuangan Melayunya, mereka menyertai Perkasa. Tambahan pula dengan menyertai Perkasa, mereka merasakan dapat meneruskan perjuangan untuk Melayu berikutan UMNO sejak dipimpin oleh Najib lebih gigih melaungkan semangat 1Malaysia berbanding untuk kepentingan Melayu, selain menunjukkan sikap tolak ansur dan lunak terhadap tuntutan kaum-kaum lain.

Walaupun tindakan Najib itu dilihat untuk kepentingan undi dan sokongan, namun dalam banyak hal sikap yang ditunjukkan beliau dilihat berlebih-lebihan dan di luar kewajarannya. Lantaran itulah Perkasa menjadi pilihan.

Perkasa sendiri, sebaik pilihanraya berakhir pernah meluahkan kekecewaannya terhadap Najib yang lebih memberi muka kepada kumpulan-kumpulan yang membuat tuntutuan secara mengugut seperti Dong Ziong dan Hindraf dengan sedia mengadakan pertemuan serta memenuhi permintaan mereka sedangkan pandangan Perkasa langsung tidak diberi perhatian.

Ibrahim yang pernah mencadangkan untuk membakar kitab Injil berbahasa Melayu sebagai protes terhadap penggunaan kalimah Allah, juga kecewa dengan Najib kerana menjemput paderi-paderi untuk berdialog di Seri Perdana sedangkan Perkasa tidak pernah dilayan sebegitu rupa.

Sebelum pilihanraya, walaupun menyokong UMNO dan Najib, Ibrahim dan Perkasa tetap lantang memperjuangkan isu-isu Melayu dan Islam. Suara mereka jarang ketinggalan dalam kebanyakan isu yang berbangkit.

Selepas pilihanraya dan hampir diketepikan Najib sebagai calon dan kemudian kalah di Pasir Mas, Ibrahim tidak menyimpan lagi rasa kecewanya dengan Najib. Selain mengungkit bahawa Najib lebih memberi perhatian kepada tuntutan kaum lain dan mengabaikan padangan Perkasa, Ibrahim juga seperti mengugut mahu mengambil sesuatu langkah yang dianggapnya drastik terhadap kepimpinan Najib.

Tidak lama selepas itu pula, Perkasa mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir dan mengumumkan mereka kini mengambil sikap berkecuali dan tidak lagi terikat dengan UMNO, kerajaan atau Najib. Ternampak bahawa Perkasa benar-benar kecewa dengan Perdana Menteri.

Bagaimanapun tiga hari lalu, Ibrahim dan 10 pimpinan tertinggi Perkasa telah dijemput ke Seri Perdana oleh Najib untuk bersemuka dan meluahkan pandangannya. Sebaik selesai, Ibrahim dilaporkan berpuas hati dengan pertemuan itu serta melahirkan rasa gembiranya dapat bertemu dengan Najib.

Dan semalam tiba-tiba Ibrahim mengumumkan penubuhan Mirac yang menandakan arah baru perjuangannya selepas ini. Walau apa pun penafian Ibrahim mengenai kaitan penubuhan Mirac dengan pertemuannya dengan Najib, kesimpulan ramai ialah "takkan burung tempua tiba-tiba bersarang rendah". Dan di sebalik mee yang sedap selalunya ada udang galah atau ketam tersorok dibawahnya.

Itulah pandangan atau tanggapan ramai mengenai Perkasa dan Ibrahim Ali sekarang ini.

Luahan kata-kata kecewa, ugutan untuk melakukan sesuatu tindakan yang drastik kononnya dan mengumumkan sikap berkecuali kemudiannya, rupa-rupanya hanyalah "langkah silat pengantin" untuk lebih dekat dan rapat dengan Perdana Menteri.

Perkasa kini, melalui Mirac, bukan saja semakin mendekati halatuju perjuangan yang sedang diperjuangkan oleh Najib, bahkan Perkasa kini sudah boleh dikenali sebagai Perkasa 1Malaysia. (SH 27/07/2013)

4 comments:

  1. Cari makan...
    Kah kah kah....C

    ReplyDelete
  2. Nampaknya kalau itulah sikap mutakhir perkasa , nampaknya tiadalah lagi satu wadah yang boleh diharapkan oleh umat Islam Melayu!

    Amat malang!

    ReplyDelete
  3. Bakal jadi PERKASAM.Gambaran dan tamsilan yang telah dijelaskan dalam al-Quran tentang sifat golongan munafik dapat menjelaskan keadaan ini

    ReplyDelete
  4. Anon 08:52,

    Menaruh harapan kepada Berahim Ali untuk memperjuangkan nasib orang melayu?...jawapan orang yang kenal Berahim Ali ialah...KAHKAHKAHKAH!

    Bagi orang yang kenal dengan politik Berahim Ali, mereka sudah tahu dan dah tengok apakah perjuangan Berahim Ali ni sejak tahun 80an lagi. Perjuangan Berahim Ali hanyalah satu sahaja sejak dari zaman menjadi pemimpin Pelajar ITM ialaitu - PERJUANGAN UNTUK TEMBOLOK DIA SORANG JE!

    Satu perngai buruk sesetengah kita orang melayu adalah malas untuk memperjuangkan nasib kita sendiri. Kita lebih suka dok bersantai sambil mengelamun dengan angan-angan mat jenin dan menyerah bulat-bulat nasib kita untu orang lain perjuangkan. Kita lebih selesa dok buat tahi mata kat rumah dari take charge kehidupan kita sendiri.

    Apabila harapan itu kita letakkan ketangan orang yang tidak sepatutnya, ini le jadinya.

    saya tidak mengatakan semua orang melayu bersikap begitu tetapi segelintir. Yang senang lenang si oportunis tu jugak sedangkan nasib orang yang menyerahkan nasib mereka itu dok tahap lama juga, berpuluh tahun tak berubah-ubah nasib.

    Jadi bagi golongan ini, kita ucapkan " padan mukaaaaa"

    bat8

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...