Wednesday 31 July 2013

Sistem Pemilihan Baru UMNO Suatu Transformasi Palsu


UMNO sudah menetapkan tarikh pemilihan pucuk pimpinannya tahun ini pada 5 Oktober depan. Kali ini pemilihan pemimpin di peringkat bahagian akan diadakan serentak dengan pemilihan pemimpin di peringkat nasional. Ia sesuai dengan kaedah pemilihan baru yang diperkenalkan Najib sebaik mengambil alih teraju kepimpinan UMNO pada 2009 lalu dengan tujuan menjadikan ruang demokrasi dalam parti menjadi lebih subur dan supaya UMNO lebih diminati oleh lebih ramai orang Melayu.

Sebelum UMNO diharamkan pada 1988, sesiapa yang ingin bertanding hanya memerlukan dua pencalonan daripada bahagian-bahagian UMNO tetapi sejk Mahathir menang hanya dengan kelebihan 43 undi ditangan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 dan kemudian menubuhkan UMNO Baru, beberapa peraturan untuk mengetatkan pertandingan telah diperkenalkan.

Antaranya ialah dengan memperkenalkan kouta pertandingan di mana mereka yang ingin bertanding apa-apa jawatan diperlukan melepasi kouta tertentu terlebih dahulu sebelum dibenarkan bertanding. Kouta pencalonan bagi jawatan Presiden ialah 30 peratus, Timbalan Presiden 25 peratus, Naib Presiden 20 peratus manakala Ahli MT 10 peratus. Bagi jawatan lain di peringkat sayap dan bahagian juga ada peratusan tertentu yang ditetapkan sebelum layak bertanding. Itulah yang menjadi antara sebab Mahathir mampu kekal selama 22 tahun sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Berikutuan keputusan buruk pilihanraya 2008 yang kemudian diikuti dengan pengunduran Pak Lah dan Najib mengambil alih teraju parti dan negara, beliau telah memperkenalkan peraturan baru dengan menghapuskan sistem kouta dan memberi ruang kepada lebih ramai ahli UMNO di peringkat bawahan hak memilih pemimpin. Ia sebahagian daripada transformasi politik Najib yang diperkenalkan oleh Najib.

Jika dulu pemilihan pemimpin hanya ditentukan oleh kira-kira 2,500 perwakilan sahaja tetapi kini ia lebih meluas dengan melibatkan seramai 146,500 perwakilan cawangan dari seluruh negara. Pemilihan juga diadakan serentak di seluruh negara untuk menjadikannya lebih adil dan tidak saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Pemimpin-pemimpin UMNO, terutamanya Najib sering menjaja sistem baru ini menunjukkan keterbukaannya terhadap pertandingan serta pendirian yang tidak takut terhadap cabaran, selain sebagai usaha untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang lebih inklusif dan subur sistem demokrasinya.

Ahli dan pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bawahan pula bagaikan tidak sabar untuk melaksanakan sistem baru kerana sebelum ini sebahagian besar mereka hanya menjadi golongan tumpang tengok saja dalam pemilihan pucuk pimpinan, malah ada yang hanya mengenali pemimpin melalui tatapan wajahnya di akhbar dan tv saja.

Dengan sistem pemilihan baru yang diperkenalkan Najib, ramai yang tidak sabar untuk menggunakan hak mengundi masing-masing, selain merasakan inilah masanya untuk mereka mengenali pemimpin kerana percaya ramai pemimpin atasan akan turun ke peringkat bawahan atau cawangan untuk melobi undi serta sokongan daripada perwakilan.

Soalnya benarkah sistem baru ini menjadikan demokrasi dalam UMNO lebih subur dan pewakilan seramai 146,500 itu benar-benar bebas memilih pemiimpin?

Apakah 146,500 itu boleh mengundi secara langsung pemimpin pilihan mereka sebagaimana tanggapan ramai?

Jika ditanya kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO peringkat cawangan mengenai sistem pemilihan baru itu, ramai diantaranya yang masih kabur, keliru dan tidak pasti bagaimanakah kaedah pemilihan baru itu berfungsi. Apa yang mereka tahu, kali ini bukan lagi 2,500 perwakilan yang menentukan kedudukan pemimpin diatas tetapi sudah menjadi 146,500. Kebanyakannya hanya mempunyai pengetahuan setakat itu saja.

Walaupun UMNO telah mengadakan siri taklimat ke negeri-negeri mengenai sistem pemilihan baru ini tetapi tidak semua ketua-ketua cawangan menghadirinya. Yang hadir pula kadangkala mempunyai pemahaman yang terbatas, lalu usaha untuk menerangkannya dengan lebih jelas kepada ahli-ahli menjadi terhalang.

Media-media pula seperti tidak memberi liputan atau huraian yang sejelas-jelasnya mengenai sistem baru ini. Pemimpin UMNO juga tidak bercakap banyak mengenainya, sekadar suka menyebut angka 146,500 perwakilan sebagai bukti keterbukaan dan transformasi yang mahu dibawa oleh Najib.

Hakikatnya, ramai yang tidak sedar bahawa walaupun 146,500 perwakilan diberi ruang mengundi atau memilih pemimpin dalam sistem baru ini tetapi mereka bukanlah boleh mengundi secara langsung pemimpin pilihan mereka. Meskipun mempunyai 146,500 perwakilan kali ini tetapi sistem yang digunakan ialah satu bahagian satu undi dan bukannya undian langsung perwakilan cawangan-cawangan.

Ini bermaksud jika sekiranya calon A dan B bertanding jawatan Presiden UMNO dan sebagai contoh UMNO Bahagian Pekan mempunyai perwakilan seramai 500 orang, sekiranya calon A memperolehi 400 undi manakala calon B memperolehi 100 undi, bermakna calon A telah memperolehi satu undi. Begitulah seterusnya berlaku di semua 191 bahagian-bahagian UMNO.

Sistem baru ini dikatakan adalah campuran daripada sistem pilihanraya di Amerika Syarikat dan United Kingdom atau dipanggil "electoral college".

Difahamkan juga, sistem baru ini hasil daripada beberapa pencarian serta pengubahsuaian dan hanya dimuktamadkan baru-baru ini sahaja. Yang nyatanya, sistem ini tetap memberi ruang kepada Ketua Bahagian melakukan kawalan dan Presiden atau sesiapa yang ingin kemenangan pula hanya perlu menjaga tembolok Ketua-Ketua Bahagian untuk memastikan survivalnya terjamin.

Isunya ialah adakah kaedah satu bahagian satu undi ini benar-benar menunjukkan keterbukaan dan keinginan melihat demokrasi lebih subur atau sekadar transformasi palsu sedangkan matlamatnya tetap untuk melindungi mereka yang diatas terus kekal sebagai pemimpin.

Melalui satu bahagian satu undi, kawalan oleh mereka yang berjawatan lebih mudah terhadap bahagian-bahagian. Untuk mempertahankan jawatannya, Presiden atau Timbalan Presiden misalnya, perlu menemui semua 146,500 perwakilan cawangan-cawangan untuk mendapatkan undi tetapi cukup sekadar menjaga dan memberi jawatan atau habuan kepada Ketua-Ketua Bahagian saja.

Itulah antara sebabnya, walaupun tarikh pemilihan hanya tinggal kira-kira 2 bulan saja lagi tetapi kemeriahan dan kesibukan pemimpin turun ke peringkat bawahan masih tidak kelihatan lagi. Hanya Ketua-Ketua Bahagian yang sibuk turun naik ke Kuala Lumpur menemui pemimpin atasan sambil diberikan pelbagai jenis habuan, kontrak dan jawatan.

Walaupun sistem ini dikatakan untuk memberi keadilan kepada bahagian-bahagian kerana jumlah cawangan setiap bahagian adalah berbeza-beza tetapi hakikat yang nyata ialah sistem "electoral college" ini juga bertujuan melindungi penyandang jawatan daripada digugat kedudukannya.

Kaedah ini nampak macam terbuka tetapi sebenarnya bukaannya hanya kecil saja. Ia tidak terbuka sepenuhnya sebagaimana yang disangka. Di sebalik transformasi dan keterbukaan yang dijaja, maksud tersiratnya untuk melindungi kepentingan sendiri nampaknya tetap lebih utama. (SH 31/07/2013)

Tuesday 30 July 2013

Kenapa SPRM Membisu Skandal RM80 Juta Manifesto BN?


Beberapa hari selepas kemenangan tipis BN dalam pilihanraya umum 5 Mei lalu, terdedah suatu skandal yang melibatkan beberapa nama yang rapat dengan Najib yang didakwa mengaut keuntungan atas angin lebih RM80 juta berkaitan urusan pencetakan manifesto pilihanraya BN.

Pendedahkan skandal itu menggambarkan bahawa di ketika UMNO, BN dan para pemimpinnya sedang bergelut antara hidup dan mati untuk memenangi pilihanraya, rupa-rupanya ada segelintir mereka yang diamanahkan sedikit kuasa telah bertindak rakus mengambil "kesempatan dalam kesempitan" semata-mata untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Isu itu mula timbul apabila seorang yang menamakan dirinya "Hamba Allah Yang Prihatin Dan Anti Rasuah" telah menulis surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, meminta agar suatu siasatan dapat dilakukan terhadap syarikat di mana beliau bekerja iaitu Zeal Hitech Solution Sdn Bhd yang dikatakan mendapat pembekalan mencetak manifesto pilihanraya untuk BN yang berjumlah 7 juta unit.

Pengadu mendakwa, pada mulanya kontrak itu diarahkan oleh Najib untuk diberikan kepada Utusan tetapi melalui permainan orang-orang tertntu di ibu pejabat UMNO serta di sekeliling Najib, kontrak itu kemudiannya diberikan kepada Zeal Hitech Solution Sdn Bhd.

Beliau mendakwa, perencanaan untuk mengalihkan kontrak yang pada mulanya diberikan kepada Utusan ke Zeal Hitech Solution Sdn Bhd itu didalangi oleh beberapa nama yang rapat dengan Najib, antaranya Ketua War Room UMNO, Alies Nor, Setiausaha Kerja UNNO, Raof Jusoh, dua penasihat media Najib, Farid Ridzwan, Khalid Mohd serta beberapa nama yang lain.

Apa yang diketahui pengadu, setelah kontrak itu diberikan kepada syarikat terbabit, urusan pencetakan manisfesto itu diserahkan juga kepada Utusan. Namun, pengadu yang mendawa diarahkan oleh Zeal Hitech Solution Sdn Bhd untuk membuat tuntutan pembayaran mendapati, kos pencetakan kepada Utusan hanyalah RM1.17 seunit sedangkan syarikatnya membuat tuntutan kepada UMNO pada kadar RM12.83 seunit.

Pengadu juga mendakwanya, Zeal Hitech Solution Sdn Bhd juga bukanlah sebuah syarikat percetakan atau penerbitan dan tidak mempunyai sebarang lesen percetakan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Menyedari bahawa kemungkinan terdapat kecurangan dalam urusniaga itu dan adanya pihak yang mengaut keuntungan atas angin lebih RM80 juta daripadanya, pengadu telah menulis surat kepada SPRM meminta agar suatu siasatan dapat dibuat untuk merungkai segala salah laku yang mungkin wujud di sebaliknya.

Namun sehingga ini, setelah hampir tiga bulan selepas pilihanraya umum berlalu, khabar berita mengenai perkembangan siasatan kes itu oleh SPRM masih tidak diketahui statusnya. Sama ada kes itu sedang disiasat, telah disiasat, akan disiasat atau sebenarnya sudah dibakulsampahkan, tiada siapa yang tahu.

Namun keresahan ahli-ahli UMNO yang mengetahui tentang perkara itu, mereka sering bercakap mengenainya dan akhirnya cenderung menyalahkan kelemahan Perdana Menteri kerana membiarkan orang-orang di sekelilingnya mengkhianati perjuangan UMNO semata-mata kerana wang dan kemudian seperti melindungi mereka yang terbabit pula.

Ini berikutan ramai yang menyedari bahawa mereka yang terbabit dan disebut namanya dalam aduan kepada SPRM itu masih berada bersama Najib dan UMNO serta sering dilihat kemunculannya dalam majlis-majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri sepanjang Ramadan ini.

Keadaan ini tentunya memeranjatkan kerana sebelum ini banyak blog dan laman sosial mendedahkan mengenai perkara itu sambil ada diantaranya yang mendakwa, beberapa nama yang disebut itu juga bergaya mewah ke sana-sini memandu Porsche, Lamborghini, memiliki kondo mewah di tengah-tengah ibukota serta mengubahsuai rumah dengan kos yang tinggi.

Bahkan, penerima Anugerah Wartawan Negara, A Kadir Jasin juga pernah menulis mengenainya dalam blog beliau.

Bagi kebanyakan ahli UMNO, mereka mahu perkara ini disiasat dengan telus dan berdasarkan fakta serta sekurang-kurangnya menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini, ada jawapan mengenainya.

Bagi mereka ini, mustahil Najib yang begitu meminati dunia internet dan laman sosial serta menggalakkan rakyat menggunakan media itu untuk berhubung, langsung tidak mengetahui mengenai apa yang dipercakapkan oleh kebanyakan rakyat dan ahli UMNO mengenai kecurangan orang-orang yang rapat dengannya.

Keengganan atau kelambatan Najib mengambil tindakan bukan saja memberi erti seolah-olah beliau merestui perbuatan salah mereka itu, bahkan menambahkan lagi siri kebencian dan pertikaian terhadap kepimpinannya yang dianggap lemah, lembik serta tidak tegas.

Kegagalan SPRM bertindak juga mengundang persoalan. Jika dalam kes-kes yang melibatkan "ikan bilis" mereka didapati begitu pantas bertindak tetapi dalam kes yang diadukan oleh Hamba Allah Yang Prihatin Dan Anti Rasuah dan melibatkan orang-orang kepercayaan Najib ini, SPRM didapati seperti membisu seribu bahawa sedangkan segala fakta mengenai apa yang didakwa, sudah cukup jelas dan mencukupi untuk memulakan siasatan.

Pengadu telah menyebut mengenai kes ini dengan jelas, nama-nama yang didakwa terbabit, syarikat yang terlibat dan jumlah penyelewengan atau penipuan yang dilakukan terhadap UMNO. Semuanya telah lengkap.

Ia hanya terpulang kepada SPRM sama ada mereka mahu bertindak atau tidak. (SH 30/07/2013)



Monday 29 July 2013

Satu Demi Satu Mahathir Menyanggah Najib, Tapi Kesudahannya Apa?


Apabila Mahathir terus menunjukkan sikap perkaumannya, dengan terbaru menyatakan mengenai dilema orang Cina sama ada mahu berkongsi kuasa atau merebut kuasa, bekas Perdana Menteri itu secara jelasnya menunnjukkan beliau semakin berbeza dengan Najib. Najib yang memperkenallan 1Malaysia untuk mendapatkan undi kaum Cina, setelah ditolak oleh mereka pun tetap dengan sikap toleransi dan merintih terhadap sokongan kaum itu.

Berbeza dengan Mahathir, bermula dengan buku Dilema Melayu yang memperlihatkan sikap ultra Melayunya, kemudian 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan dan kini menjadi pesara paling berkuasa, sikapnya terhadap Melayu tidak banyak berubah. Walaupun memperjuangkan Melayu tetapi semasa menjadi Perdana Menteri, beliau sentiasa mendapat sokongan daripada pelbagai kaum termasuk Cina.

Tulisan terbaru Mahathir mengenai dilema kaum Cina negara ini yang telah menguasai ekonomi dan perniagaan dan kini berada dalam dilema sama ada mahu berkongsi kuasa atau merebut kuasa daripada Melayu, boleh dibaca dengan tafsiran yang pelbagai tetapi yang jelasnya ia menunjukkan perbezaannya yang makin ketara dengan Najib.

Mahathir juga tidak menyetujui dasar 1Malaysia yang diperkenalkan Najib sebelum ini dan beberapa kritikannya terhadap sikap pengundi kaum Cina sebelum kni menguatkan perbezaannya dengan Najib.

Meskipun dalam pilihanraya lalu Mahathir berkempen kuat untuk kemenangan BN tetapi selepas itu, beliau mula meunjukkan sikap kritikalnya. Beberapa pendekatan dan pembaharuan yang cuba diperkenalkan Najib mengundang kritikan terbuka daripadanya.

Antaranya, Mahathir tidak bersetuju dengan cadangan Najib mahu memansuhkan Akta Hasutan kerana berpendapat akta itu masih perlu untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia ini. Beliau juga tidak setuju dengan penghapusan Ordinan Darurat dan mengaitkannya dengan kadar peningkataka jenayah dan jenayah berulang.

Mahathir juga mengkritik perjanjian TPPA yang dianggapnya sebagai penjajahan bentuk baru kuasa besar kepada negara serta lebih merugikan berbanding untung yang bakal diharapkan sedangkan Najib lebih melihat keuntungannya semata-mata.

Ayah kepada Menteri Besar Kedah, Mukhriz itu juga tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal berbilang kaum dan berpendapat parti berasaskan kaum masih relevan lagi bagi negara ini. Najib bagaimanapun meneruskan penubuhan makmal untuk mengkaji perkara itu dan seperti tidak memperdulikan pendirian Mahathir.

Mahathir juga tidak bersetuju dengan pemberian tunai BR1M bernilai RM500 yang diperkenalkan Najib kerana katanya, ia merupakan pendekatan yang tidak baik untuk pertumbuhan negara, selain menyebabkan rakyat tidak berterima kasih dengan pemberian itu kerana menganggapnya sebagai wang kerajaan yang diperolehi melalui cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat. Bagi Mahathir juga, pemberian BR1M adalah bentuk kempen Najib yang gagal.

Sekali lagi kritikan Mahathir itu sedikit-sebanyak mengundang dilema kepada Najib menjelang pembentangan Belanjawan 2014 Oktober depan, sama ada mahu menerus atau menghentikan pemberian tunai itu sedangkan dalam kempen pilihanraya lalu, BN juga berjanji untuk menaikkan BR1M kepada RM1,200 setahun jika terus diberi mandat oleh rakyat.

Hakikatnya Mahathir tidak saja menunjukkan perbezaan dan penyanggahannya terhadap beberapa pendekatan Najib, bahkan penentangan dan sikap kritikalnya terhadap Najib juga diluahkan kepada orang-orang berkunjung menemuinya.

Antara kritikan Mahathir yang dipercakapkan oleh ramai orang ialah mengenai kepimpinan yang lemah, mengabaikan Melayu serta cenderung meniru gaya kepimpinan Pak Lah yang menyerahkan banyak perkara mengenai pentadbiran kerajaan untuk dinilai dan diputuskan oleh penasihat-penasihat yang dipercayainya.

Ada kumpulan tertentu bertemu dengan Mahathir dikatakan telah bertanya kepadanya sama ada elemen "Tingkat 4" ketika pentadbiran Pak Lah sedang berulang dalam pentadbiran Najib sekarang, Mahathir dengan tegas dan yakin berkata, "yes".

Kumpulan penasihat Najib ini turut dikritik oleh Daim Zainuddin, sekutu rapat Mahathir dan menegaskan mereka perlu berundur kerana sering memberi nasihat yang salah kepada Perdana Menteri. Selepas pilihanraya, antara penasihat Najib yang terus menjadi sasaran ialah Omar Ong yang dikatakan banyak memberi cadangan mengenai keperluan Najib untuk terus bersikap liberal dan terbuka, terutamanya kepada kaum Cina.

Malah dalam perjumpaan Perkasa dengan Mahathir minggu lalu, dikhabarkan juga beliau banyak menyentuh mengenai kelemahan kepimpinan dan pentadbiran Najib serta mahukan NGO yang sudah berubah menjadi Perkasa 1Malaysia itu memainkan peranan lebih lebih aktif menyerang dan mengkritik Najib.

Namun demikian, persoalan yang timbul mengenai sikap Mahathir itu, terutamanya di kalangan rakyat dan ahli-ahli UMNO ialah apakah penyudahnya? Apakah kritikan dan sanggahan itu hanya sekadar kritikan dan sanggahan semata-mata? Apakah ianya bakal membuatkan Najib tersingkir dari kerusi Perdana Menteri sebagaimana yang dilakukan terhadap Pak Lah dulu?

Apakah kepimpinan tertinggi UMNO yang bakal mengadakan pemilihannya pada 5 Oktober depan bakal berubah dengan adanya kritikan dan sanggahan Mahathir itu?

Rata-rata ramai yang keliru dengan sanggahan Mahathir terhadap Najib dan apakah tujuan sebenar beliau melakukannya. Kekeliruan itu tambah mengukuh apabila Mahathir juga sebelum ini menyokong agar tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Mahathir dikatakan keberatan untuk mengasak Muhyiddin agar mencabar Najib kerana menyedari Timbalan Perdana Menteri itu tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi berbanding Najib yang mempunyai rangkaian penyokong tegar di berbagai peringkat dalam UMNO berbanding Muhyiddin yang hanya mempunyai penyokong bermusim dan silih berganti. Selain ketiga-tiga Naib Presiden UMNO sekarang adalah orang Najib, di dalam barisan Majlis Tertinggi pula mereka yang dikenali sebagai orang Muhyiddin juga hanyalah boleh dibilang dengan jari.

Dalam hal ini, walaupun Muhyiddin belum memutuskan jawatan yang bakal ditandinginya dan terus menyebabkan timbulnya spekulasi beliau bakal mencabar Najib, laluan Muhyiddin sebenarnya tidaklah mudah jika beliau memutuskan untuk menentang Najib, kecuali jika dibantu oleh keajaiban Tuhan.

Seorang lagi pemimpin UMNO yang berpotensi mencabar Najib ialah Tengku Razaleigh tetapi Mahathir memang tidak sekata dengannya sejak Ahli Parlimen Gua Musang itu mencabar beliau pada 1987 dan agak mustahil Mahathir mahu menyokong beliau.

Dengan hanya dua bulan lebih saja lagi sebelum tarikh pemilihan UMNO, sikap dan pendirian Mahathir dan kaitannya dengan kedudukan Najib terus menjadi bualan di mana-mana. Dalam masa yang sama, Najib pula dilihat terus tidak memperdulikan kritikan Mahathir dan meneruskan apa juga yang sedang dirancangnya seolah-olah suara Mahathir hanyalah umpama gangguan nyamuk di tepi telinga.

Selain meneruskan pemansuhan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat serta meneruskan kajian untuk menjadikan BN parti tunggal pelbagai kaum, Najib juga terus meminta dan mendengar cadangan daripada para penasihatnya yang dikritik itu.

Najib juga, walaupun dengan sistem pemilihan yang baru diperkenalkan disamping adanya kritikan daripada Mahathir, nampaknya tidak tergugat dan mempunyai keyakinan untuk terus mempertahankan kerusi Presiden UMNOnya itu.

Ke manakah seterusnya kritikan dan sanggahan Mahathir itu? Mungkinkah ianya hanya untuk menyedarkan Najib dan bukan untuk menjatuhkannya? Atau mungkinkah Najib akan diundurkan dengan cara yang lain selepas pemilihan UMNO nanti, tetapi sebelum PRU 14 menjelang tiba? (SH 29/07/2013)

Saturday 27 July 2013

Daripada Merajuk Dengan Najib, Kini Menjadi Perkasa 1Malaysia


Ibrahim Ali hari ini mengumumkan penubuhan Majlis NGO Antara Kaum atau Mirac yang menandakan keterbukaan pertubuhan itu dalam perjuangannya yang selama ini memperjuangkan kepentingan Melayu, Bumiputera dan Islam. Melalui penggabungan dengan Perinban atau Persatuan Amal dan Kebajian India Baru dan Percisma atau Persatuan Cina Era Baru, Mirac kini menjadi landasan baru perjuangan Perkasa.

Dengan bergabung dengan pertubuhan Cina dan India, tidak dipastikan setebal mana perjuangan Melayu, Bumiputera dan Islam yang akan diperjuangkan oleh Perkasa.

Sikap dan keterbukaan yang secara tiba-tiba ditunjukkan oleh Perkasa ini menimbulkan persoalan ramai, apa sudah jadi dengan perjuangan Perkasa sekarang ini? Kenapa secara mengejut menukar hala tuju perjuangannya?

Walaupun beliau bertegas bahawa Perkasa akan terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi ramai yang ragu-ragu dengan keupayaannya untuk terus bertahan sekiranya timbul isu-isu yang menggugat kepentingan Melayu selepas ini.

Lebih-lebih lagi kerapuhan benteng pertahanan Perkasa itu amat terserlah bilamana belum pun apa-apa lagi sudah tercetus perbalahan kecil di hari pertama penubuhan Mirac ini berikutan Perinban tidak setuju dengan kenyataan Zulkifli Nordin, Naib Presiden Perkasa mengenai sokongannya terhadap guru besar Sri Pristina berhubung isu murid-murid makan di bilik persalinan sekolah.

Ia berakhir dengan Zulkifli meninggalkan majlis manakala Ibrahim pula terpaksa memujuk Perinban supaya terus berada di majlis berbuka puasa itu. Zulkifli pula mungkin hanya berbuka puasa di dalam kereta atau di gerai tepi jalan berikutan tiada sesiapa yang memujuknya.

Hanya dalam isu kecil seperti isu kantin pun mereka sudah berbalah, bagaimana nanti jika timbul isu-isu yang lebih besar yang memerlukan suara Perkasa lebih lantang? Mungkin selepas ini suara Perkasa akan menjadi seperti kebanyakan pemimpin UMNO juga yang semakin hilang aura kemelayuannya berikutan Najib lebih cenderung kepada perjuangan bercorak 1Malaysia.

Selama ini ramai orang Melayu terpana dengan perjuangan Melayu dan Islam yang dibawa oleh Perkasa sehingga ramai ahli UMNO yang menjadi ahlinya walaupun Ibrahim Ali yang menjadi presidennya bukanlah ahli UMNO, malahan pernah menentang UMNO dengan bertanding atas tiket Bebas dan juga PAS.

Namun atas keyakinan terhadap perjuangan Melayunya, mereka menyertai Perkasa. Tambahan pula dengan menyertai Perkasa, mereka merasakan dapat meneruskan perjuangan untuk Melayu berikutan UMNO sejak dipimpin oleh Najib lebih gigih melaungkan semangat 1Malaysia berbanding untuk kepentingan Melayu, selain menunjukkan sikap tolak ansur dan lunak terhadap tuntutan kaum-kaum lain.

Walaupun tindakan Najib itu dilihat untuk kepentingan undi dan sokongan, namun dalam banyak hal sikap yang ditunjukkan beliau dilihat berlebih-lebihan dan di luar kewajarannya. Lantaran itulah Perkasa menjadi pilihan.

Perkasa sendiri, sebaik pilihanraya berakhir pernah meluahkan kekecewaannya terhadap Najib yang lebih memberi muka kepada kumpulan-kumpulan yang membuat tuntutuan secara mengugut seperti Dong Ziong dan Hindraf dengan sedia mengadakan pertemuan serta memenuhi permintaan mereka sedangkan pandangan Perkasa langsung tidak diberi perhatian.

Ibrahim yang pernah mencadangkan untuk membakar kitab Injil berbahasa Melayu sebagai protes terhadap penggunaan kalimah Allah, juga kecewa dengan Najib kerana menjemput paderi-paderi untuk berdialog di Seri Perdana sedangkan Perkasa tidak pernah dilayan sebegitu rupa.

Sebelum pilihanraya, walaupun menyokong UMNO dan Najib, Ibrahim dan Perkasa tetap lantang memperjuangkan isu-isu Melayu dan Islam. Suara mereka jarang ketinggalan dalam kebanyakan isu yang berbangkit.

Selepas pilihanraya dan hampir diketepikan Najib sebagai calon dan kemudian kalah di Pasir Mas, Ibrahim tidak menyimpan lagi rasa kecewanya dengan Najib. Selain mengungkit bahawa Najib lebih memberi perhatian kepada tuntutan kaum lain dan mengabaikan padangan Perkasa, Ibrahim juga seperti mengugut mahu mengambil sesuatu langkah yang dianggapnya drastik terhadap kepimpinan Najib.

Tidak lama selepas itu pula, Perkasa mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir dan mengumumkan mereka kini mengambil sikap berkecuali dan tidak lagi terikat dengan UMNO, kerajaan atau Najib. Ternampak bahawa Perkasa benar-benar kecewa dengan Perdana Menteri.

Bagaimanapun tiga hari lalu, Ibrahim dan 10 pimpinan tertinggi Perkasa telah dijemput ke Seri Perdana oleh Najib untuk bersemuka dan meluahkan pandangannya. Sebaik selesai, Ibrahim dilaporkan berpuas hati dengan pertemuan itu serta melahirkan rasa gembiranya dapat bertemu dengan Najib.

Dan semalam tiba-tiba Ibrahim mengumumkan penubuhan Mirac yang menandakan arah baru perjuangannya selepas ini. Walau apa pun penafian Ibrahim mengenai kaitan penubuhan Mirac dengan pertemuannya dengan Najib, kesimpulan ramai ialah "takkan burung tempua tiba-tiba bersarang rendah". Dan di sebalik mee yang sedap selalunya ada udang galah atau ketam tersorok dibawahnya.

Itulah pandangan atau tanggapan ramai mengenai Perkasa dan Ibrahim Ali sekarang ini.

Luahan kata-kata kecewa, ugutan untuk melakukan sesuatu tindakan yang drastik kononnya dan mengumumkan sikap berkecuali kemudiannya, rupa-rupanya hanyalah "langkah silat pengantin" untuk lebih dekat dan rapat dengan Perdana Menteri.

Perkasa kini, melalui Mirac, bukan saja semakin mendekati halatuju perjuangan yang sedang diperjuangkan oleh Najib, bahkan Perkasa kini sudah boleh dikenali sebagai Perkasa 1Malaysia. (SH 27/07/2013)

Friday 26 July 2013

Kuala Besut Dapat RM500 Juta, Kawasan Lain Dapat Apa?


Keputusan pilihanraya kecil DUN Kuala Besut terus menjadi perbualan di mana-mana dan ia dijangka berlarutan menjadi basahan mulut rakyat dalam tempoh seminggu dua ini. Pelbagai analisis, hujah dan justifikasi dapat didengar, baik mengenai kemenangan BN mahupun mengenai kekalahan PAS.

Tetapi perkara yang paling banyak diperkatakan ialah mengenai limpahan projek pembangunan di Kuala Besut yang dianggarkan mencecah RM500 juta melalui 15 projek yang dicurahkan oleh BN selama 12 hari kempen pilihanraya kecil itu berjalan. Dengan perbelanjaan sebesar itu, pilihanraya kecil Kuala Besut dianggap paling mahal dan mewah serta menjadikan nilai seorang pengundinya kira-kira RM27.000.

Walapun ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan BN seperti  mainan hubungan PAS dengan DAP, ditakut-takutkan dengan Cina dan Lim Kit Siang akan menguasai negara dan pelbagai isu lain yang bersifat perkauman, hakikatnya faktor terbesar yang menyumbang kepada kemenangan itu ialah kuasa wang ringgit yang dimiliki oleh BN.

Dengan perbelanjaan sebesar RM500 juta, adalah mustahil untuk melihat BN mengalami kekalahan. Nikmat pembangunan yang diterima bakal mengubah landskap kehidupan mereka  di situ yang rata-rata masih miskin dan berpendapatan rendah. Iman politik kebanyakan orang boleh berubah mendengar nilai wang sebesar itu walaupun belum tahu bila pembangunan yang dijanjikan itu akan dilaksanakan.

Dalam masa yang sama, ada juga yang berhujah bahawa dengan dana sebenar RM500 juta itu, bukan saja mustahil BN akan kalah bahkan sesiapa juga pun, waima calon 'cap ayam' sekalipun boleh memperolehi kemenangan.

Persoalan lain ialah, bolehkah BN boleh menang jika semata-mata menjual idelogi perjuangan tanpa disertai dengan curahan projek dan wang ringgit?

Namun demikian, persoalan mengenai belanja pembangunan RM500 juta untuk Kuala Besut ini juga sebenarnya bakal menimbulkan masalah kepada BN Terengganu dalam menghadapi pilihanraya akan datang. Oleh kerana Kuala Besut begitu mewah dengan curahan projek, ianya akan menyebabkan pengundi di kawasan DUN yang lain juga bakal menuntut pelbagai projek pembangunan daripada kerajaan atas alasan untuk mempertahankan kedudukan BN dalam pilihanraya akan datang.

Sekiranya BN boleh mencurahkan peruntukan sebesar hampir RM500 juta dalam tempoh tidak sampai dua minggu untuk sebuah kawasan DUN, tiada  sebab kerajaan tidak boleh memberi projek bernilai RM200 juta atau RM300 juta kepada sesebuah kawasan yang lain  dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ini sekaligus akan memaksa BN Terengganu menumpukan perhatian yang sama rata kepada semua DUN di negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang dari segi pengagihan projek-projek pembangunan. Projek kecil-kecilan mungkin tidak dipandang lagi. Kali ini mereka mahukan yang nilainya puluh atau ratus juta juga.

Kegagalan berbuat demikian akan mengundang lebih risiko untuk kehilangan sokongan rakyat kerana pasti ada yang merasakan kerajaan bersikap pilih bulu dan tidak adil kepada rakyat. Yang lebih sinis akan berkata, kalau Kuala Besut boleh, kenapa kami tak boleh?

Lebih-lebih lagi dengan kedudukan kerusi 17-15, kuasa tawar-menawar rakyat terhadap kerajaan sebenarnya tetap tinggi walaupun tidak sebaik jika 16-16. Mereka tidak perlu lagi menunggu ada pilihanraya kecil atau wakil rakyat meninggal dunia untuk menuntut dan meminta pelbagai projek pembangunan daripada kerajaan, bahkan permintaan boleh dibuat dengan segera sambil memberi contoh kemewahan yang diperolehi yang penduduk Kuala Besut berbanding mereka di kawasan-kawasan yang lain.

Sebenarnya dengan kemenangan BN di Kuala Besut, terdapat juga hikmah untuk seluruh rakyat dan pengundi di negeri Terengganu. Inilah masanya untuk mereka merebut peluang supaya kerajaan negeri turut bersikap pemurah dan prihatin untuk semua rakyatnya pula.

Meskipun hikmah dan faedahnya tidak sebesar jika kedudukan menjadi 16-16, tetapi pengundi di kawasan lain selain  Kuala Besut tidak seharusnya melepaskan peluang ini. Mereka harus cerdik mulai sekarang tanpa menunggu ada pilihanraya kecil kerana kematian wakil rakyat bukannya boleh diminta-minta. (SH 26/07/2013)

Thursday 25 July 2013

Kuala Besut: Hanya Ahmad Said Yang Wajar Bergembira


Seperti yang dijangka, pilihanraya kecil DUN Kuala Besut adalah kawasan yang sukar bagi Pas. Walaupun Pas turun bertanding dengan semangat yang tinggi ingin membawa perubahan dan mencipta sejarah Terengganu seri, Kuala Bssut nampaknya bukanlah medan yang sesuai bagi tujuan itu.

Meski Pas kali terakhir pernah memenangi DUN Kuala Besut pada 1999 tetapi sejak 2004, kawasan itu merupakan kubu ampuh bagi UMNO dan BN. Sejak kepimpinan Idris Jusoh di Besut di mana beliau juga pernah menjadi Menteri Besar daripada 2004 hingga 2008, kawasan itu sudah beralih menjadi kubu yang selamat bagi UMNO dan BN.

Tambahan pula dalam pilihanraya kecil kali ini, BN juga melambakkan projek pembangunan bernilai hampir RM500 juta yang meliputi 15 projek untuk kepentingan nelayan dan pelancongan di kawasan itu. Dengan tempoh kempen hanya 11 hari tetapi 15 projek dicurahkan, bermakna dalam sehari penduduk di situ diberi lebih daripada satu projek pembangunan.

Ini merupakan suatu hakikat bahawa kerajaan sebenarnya amat pemurah dalam mencurahkan projek jika kedudukannya hampir tergugat.

Dalam keadaan itu, tidak menghairankan jika BN terus menang di Kuala Bssut. Bagaimanapun, kemenangan ini sebenarnya tidak boleh terlalu dibanggakan jika dikira dengan nilai wang yang dicurahkan berbanding dengan undi yang diperolehi. Meskipun mengekalkan kedudukan 17-15 di DUN Terengganu, kemenangan di Kuala Besut hanyalah dengan majoriti 2592 undi berbanding 2434 pada pilihanraya umum 5 Mei lalu.

Ini bermakna dengan hampir RM500 juta dicurahkan, 15 projek pembangunan dilambakkan dan hampir semua menteri dan pemimpin UMNO serta kerajaan berkampung atau berulang-alik ke Kuala Besut, peningkatan undi yang diperolehi hanyalah 158 sahaja. Terlalu mahal kos yang perlu dibayar untuk kemenangan ini dan hampir tidak berbaloi dengan nilai kemenangan yang diperolehi.

Kalaupun kemenangan ini mahu juga dibanggakan dan membuatkan hati gembira, barangkali yang layak berbuat demikian hanyalah Menteri Besar, Ahmad Said saja. Dengan kemenangan ini dan mengekalkan sttaus quo 17-15, Ahmad Said sekurang-kurangnya akan kekal lagi sebagai Menyeri Besar sehingga 2018.

Jika BN kalah dan kedudukan menjadi 16-16, kedudukan beliau sebagai Menteri Besar tentunya akan tergugat. Tetapi sekarang beliau tentunya boleh tersenyum panjang sehingga tarikh pilihanraya umum akan datang. Kerusi Menteri Besarnya pasti selamat dan tidak tergugat lagi, kecuali kalau ada lagi ADUN BN yang meninggal dunia selepas ini.

Bagi Muhyiddin dan Idris Jusoh yang menjadi Pengarah dan Timbalan Pengarah pilihanraya pula, kemenangan ini tidak mengubah apa-apa kedudukan mereka. Mungkin sekadar menerima pujian dan kata-kata ucapan tahniah saja.

Kedudukan Najib juga tidak berubah. Kemenangan di Kuala Besut ini juga tidak mungkin menjadikan kerusi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang didudukinya bertambah kukuh atau kebal. Isu pilihanraya kecil jelas berbeza dengan isu dalam pemilihan UMNO. Sekiranya ditakdirkan ada pertandingan bagi jawatan Presiden UMNO hujung tahun ini, kemenangan di Kuala Besut ini sama-sekali tidak menjadikan geraf politiknya menaik, bertambah baik atau menjadikan beliau takut ditandingi.

Sokongan pengundi Melayu luar bandar terhadap UMNO yang dicapai dalam kemenangan di Kuala Besut ini tidaklah terlalu menghairankan. Kemenangan 133 kerusi dalam pilihanraya umum lalu pun disumbangkan oleh pengundi Melayu di kampung-kampung, luar bandar dan pedalaman. Sokongan mereka kepada UMNO dan BN adalah kerana keyakinan mereka UMNO masih memperjuangkan kepentingan Melayu di samping adanya pemimpin seperti Muhyiddin yang masih kuat jiwa Melayunya.

Iulah sandaran sokongan pengundi Melayu luar bandar kepada UMNO.

Dalam erti kata yang lain, pengundi Melayu rata-ratanya menolak sikap liberal, terbuka dan jiwa 1Malaysia yang cuba diterapkan oleh Najib. Hanya kerana masih adanya Muhyiddin dan lain-lain pemimpin yang meletakkan "Melayu dahulu" yang masih ada dalam UMNO yang masih menambat hati mereka ini terhadap UMNO.

Meskipun Muhyiddin menyifatkan kemenangan di Kuala Besut adalah hadiah hari jadi kepada Najib yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke 60, hakikatnya hadiah ini tidaklah begitu berharga kepada Najib. Berbanding Ahmad Said yang dihadiahkan dengan kekal sebagai Menteri Besar melalui Kuala Besut dan Muhyiddin yang lebih diberi pujian atas kedudukannya sebagai Pengarah Pilihanraya, Kuala Besut sebenarnya hanya memberi makna yang kecil bagi Najib.

Bahkan yang lebih dibimbangi Najib kiranya aura kemenangan Kuala Besut ini lebih menyerlahkan kehebatan Muhyiddin berbanding dirinya menjelang Perhimpunan UMNO hujung tahun ini. (SH 25/07/2013)


Wednesday 24 July 2013

Ketua Pemuda UMNO: Proksi Anak Bekas PM Lawan Menantu Bekas PM


Apabila Pemuda UMNO Johor membuat keputusan agar jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia terbuka untuk dipertandingkan, maksud tersiratnya tidaklah sukar difahami. Meskipun mereka memberi alasan untuk menyuburkan sistem demokrasi, alasan pokoknya ialah untuk memberi ruang kepada Naib Ketua Pemudanya, Razali Ibrahim bertanding jawatan itu menentang Khairy Jamaluddin.

Razali kini sudah pun melebihi usia 40 tahun dan tidak boleh berada lagi dalam Pemuda UMNO, kecuali menjadi Ketua Pemuda kerana Perlembagaan UMNO menetapkan hanya bagi jawatan ketuanya yang tidak tua-tua dan sentiasa digelar "pemuda".

Sementara KJ mengalu-alukan sesiapa juga yang mahu mencabarnya, Razali pula masih berdiam diri lagi dan akan memberi keputusan dalam masa yang sesuai nanti. Beliau mungkin sedang memikirkan semasak-masaknya apakah mahu mencabar KJ atau meninggalkan dunia Pemuda UMNO begitu saja tetapi secara logiknya jika beliau tidak mahu bertanding, beliau sudah boleh memberi jawapan lebih awal.

Namun dengan menangguh-nangguh untuk memberi jawapan yang pasti menunjukkan keinginan untuk bertanding itu ada dalam dirinya.

Dalam hubungan ini, langkah yang diambil oleh Pemuda Johor yang mahukan jawatan Ketua Pemuda terbuka untuk dipertandingkan sebenarnya tidak lebih sebagai usaha merisik khabar dan meninjau-ninjau respon daripada Pemuda bahagian-bahagian seluruh negara.

Sekiranya respon yang diperolehi memuaskan hati dan boleh dijadikan asas untuk menyertai persaingan, tidak ada sebab Razali tidak mahu bertanding menentang KJ, walaupun dalam kerajaan jawatannya hanyalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala KJ pula adalah Menteri Belia dan Sukan.

Perbezaan jawatan dalam kerajaan tidak menjadi masalah kerana ia boleh ditampung melalui sokongan daripada pihak-pihak atasan yang menaunginya. Ini pernah berlaku ketika Zahid Hamidi yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan tetapi menang jawatan Ketua Pemuda pada 1996 walaupun pencabarnya ketika itu mempunyai jawatan menteri dan menteri besar. Zahid menang kerana Anwar yang menjadi Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri menaunginya ketika itu.

Dalam politik UMNO, Razali juga mempunyai penauntnya. Razali dikenali sebagai anak didik kepada Hishammuddin Hussein, Naib Presdien UMNO dan Menteri Pertahanan sekarang ini. Beliau pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Hishammuddin dan kemudian bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Muar pada tahun 2000 tetapi tewas.

Bagaimanapun kerana hubungan Hishammuddin yang rapat dengan Menteri Besar Johor ketika itu, Ghani Othman, beliau dikatakan telah melobi agar Razali dipilih sebagai calon pilihanraya bagi kerusi Parlimen Muar pada tahun 2004. Selepas pilihanraya itu, Hishammuddin yang ketika itu menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah melantik Razali sebagai Ketua Pemuda UMNO Johor.

Sejak itu bintangnya menyinar dalam Pemuda UMNO dan kemudian menang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan 2009 menewaskan Reezal Merican.

Apa pun tanggapan ramai mengenai Razali, kedudukannya sebagai anak didik Hishammuddin adalah sesuatu yang sukar ditanggalkan sehingga ada yang berkata, dikerat 14 pun Razali tetap akan menganggap Hishammuddin sebagai bos dan mentornya dalam politik.

Jika Razali bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, pemilihan UMNO hujung tahun ini akan menyaksikan paling ramai pemimpin dari Johor menawarkan diri untuk bertanding. Dengan Muhyiddin dan Hishammuddin sudah sedia ada sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden dari Johor, Razali sebagai calon Ketua Pemuda juga dari Johor, bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pula kemungkinan dua tokoh dari Johor iaitu Halimah Siddique dan Azalina Othman Said akan turut menyertai pertandingan kali ini.

Andainya Menteri Besar Johor, Khaled Nordin mahu mencuba lagi bertanding jawatan Naib Presiden UMNO di mana beliau hanya kalah tipis pada 2009 lalu, bermakna lebih ramai pembesar-pembesar dari Johor mahu menguasai UMNO melalui pemilihan kali ini. Itu belum dikira lagi yang bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Kebarangkalian Razali bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO sukar ditolak bukan saja kerana faktor umurnya yang tidak boleh lagi berada dalam dunia kepemudaan selain menjadi ketua, tetapi juga untuk kepentingan mengukuhkan lagi kedudukan bos dan mentornya Hishammuddin dalam hireaki UMNO. Dengan Razali sebagai protegenya menjadi Ketua Pemuda, secara automatik kedudukan Hishammudin dalam UMNO menjadi lebih kukuh berbanding Naib-Naib Presiden yang lain, bahkan peluangnya mengekalkan jawatan itu menjadi lebih mudah lagi kali ini.

Selain dilihat penyertaannya dalam pertandingan itu sebagai proksi kepada Hishammuddin, untuk mencabar KJ yang berjawatan menteri penuh, Razali juga mungkin terpaksa memohon sokongan daripada penyokong-penyokong Mukhriz Mahathir yang kini sudah menjadi Menteri Besar Kedah.

Mukhriz yang kalah bersama Khir Toyo ditangan KJ dalam pemilihan 2009 lalu dikatakan mahu mencuba kerusi Naib Presiden pula kali ini. Atas perkiraan menang-menang, Mukhriz tentunya akan meminta para penyokongnya dalam Pemuda supaya menyokong Razali untuk menewaskan KJ dan seterusnya akan membuka laluannya lebih mudah kepadanya untuk memenangi jawatan Naib Presiden UMNO bersama-sama dengan Hishammuddin.

Dengan kedudukan ini, penyertaan Razali dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda ini sebenarnya adalah menjadi proksi kepada dua anak bekas Perdana Menteri iaitu Hishammuddin dan Mukhriz manakala KJ yang bakal dilawannya pula adalah menantu bekas Perdana Menteri.

Ini sekaligus menjadikan perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO kali ini paling glamour, berprestij dan mempunyai nilai pasaran paling tinggi. (SH 24/07/2013)

Tuesday 23 July 2013

Terengganu Seri, Rakyat Berseri-Seri....


Kempen Pas di Kuala Besut yang berslogankan 16-16 Terengganu Baru semakin menimbulkan kebimbangan kepada UMNO dan BN. Terlihat bahawa mereka amat bimbang kiranya perkara itu menjadi kenyataan. Di hari-hari terakhir ini isu itu menjadi percakapan semua orang dan mungkin menusuk ke dalam kalbu para pengundi.

Selepas Najib Presiden Pas, Husam Musa menyatakan keddudukan seri tidak akan menggugat kerajaan BN di Terengganu sebaliknya hanya menjadikan Pas mempunyai suara yang lebih kuat untuk memastikan kepentingan rakyat terpelihara dan kemudian diikuti dengan kenyataan Presiden Pas bahawa parti itu tidak mahu jawatan Menteri Besar, kebimbangan para pemimpin UMNO mulai menyerlah.

Sebelum ini dilontarkan persepsi bahawa Pas ingin memenangi Kuala Besut kerana mengidamkan kerusi Menteri Besar dan kedudukan 16-16 akan dijadikan laluan ke arah itu. Rupa-rupanya Pas tak ingin jawatan Menteri Besar, mereka hanya mahukan lebih kuasa untuk menjaga kepentingan rakyat terutam kerana negeri itu merupakan negeri yang kaya dengan royalti minyak.

Menjelang hari-hari terakhir kempen sebelum pembungan undi pada 24 Julai, semakin ramai pemimpin dan menteri UMNO datang ke Kuala Besut. Semuanya bercakap tentang 16-16 dan Terengganu seri. Pelbagai hujah dan analogi dilontarkan kepada pengundi Kuala Besut agar tidak terpedaya dengan kempen Pas mengenai kedudukan 16-16 dalam DUN Terengganu serta hujah-hujah sampingan lainnya.

Zahid Hamidi mengingatkan pengundi agar jangan terpedaya dengan perangkap Pas mengenai 16-16, sambil mengingatkan kedudukan DUN Terengganu yang mungkin tergantung kerananya. Muhyiddin, Ahmad Maslan, KJ, Idris Jusoh dan lain-lain pemimpin yang kerap turun ke Kuala Besut juga bercakap isu yang sama. Mereka mahu kedudukan 16-16 dielakkan dan dikekalkan kedudukan 17-15 dengan terus memberi kemenangan kepada calon BN.

Hakikatnya, kempen untuk menjadikan Terengganu seri mula mendatangkan kerisauan kepada UMNO dan BN. Bukan saja curahan projek dan pembangunan melimpah di Kuala Besut, dijangkakan juga kebanjiran pemimpin UMNO daripada Kuala Lumpur akan turut berlaku di hari-hari terakhir kempen ini.

Jika mengikut laporan media, sehingga semalam saja sudah sejumlah RM337 juta projek dicurahkan di Kuala Besut yang meliputi peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertanian, kerajaan negeri Tengganu dan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Dengan lebih ramai menteri dijangka turun, bermakna akan ada lagi projek tambahan untuk Kuala Besut. Nilainya mungkin mencecah atau melebihi RM500 juta. Limpahan dan curahan projek ini, walau apa pun tafsirannya, ia adalah menguntungkan penduduk Kuala Besut.

Bayangkan, belum pun kedudukan Terengganu seri dicapai, sudah begitu banyak projek pembangunan dan wang dicurahkan. Tentulah jika kedudukan seri 16-16 dijadikan kenyataan, lebih banyak lagi wang akan dicurahkan, bukan saja untuk Kuala Besut tetapi juga untuk seluruh negeri Terengganu.

Walaupun mengikut rakan-rakan yang pergi ke Kuala Besut, keadaan kempen agak tenang tetapi mereka juga tidak berani menjangkakan secara pasti siapa yang akan menang ketika ini. Mood pengundi bila-bila masa boleh berubah dan sesuatu yang diluar jangkaan tidak mustahil boleh berlaku.

Hakikatnya, BN tidak boleh terlalu yakin dan Pas pula tidak seharusnya mudah putus harapan.

Namun jika pengundi bijak dan berfikir secara menyeluruh untuk kepentingan rakyat Terengganu, menjadikan kedudukan seri 16-16 tidak seharusnya diabaikan begitu saja. Rahmat dan nikmatnya untuk rakyat sudah nyata di depan mata sekarang ini dan ia akan berganda lagi di masa-masa akan datang kiranya kedudukan 16-16 itu benar-benar berlaku.

Dalam usaha mempertahankan kuasa dan kerajaannya, seluruh Terengganu pasti akan meriah dengan pelbagai projek pembangunan dan menaikkan taraf kehidupan rakyat.

Seperti kata rakan yang baru pulang dari Kuala Besut, Terengganu seri, rakyatnya pasti berseri-seri...(SH 23/07/2013)

Monday 22 July 2013

Azalina Dan Shahrizat: Pilih Satu Atau Tolak Kedua-duanya?


Menjelang pemilihan UMNO hujung tahun ini, setakat ini jawatan tertinggi yang bakal menyaksikan pertandingan hanyalah Ketua Pergerakan Wanita UMNO bilamana bekas Ketua Puteri UMNO, Azalina Othman Said mengumumkan kesediaannya untuk mencabar kedudukan Shahrizat Jalil bagi jawatan itu. Bagi jawatan penting lain seperti Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri, belum ternampak kemungkinan akan berlaku pertandingan walaupun keinginan akar umbi untuk melihat berlakunya pertandingan semakin meninggi.

Mungkin kerana terlalu awal atau masing-masing ingin menumpukan kepada pilihanraya kecil Kuala Besut terlebih dahulu, maka semua orang menyimpan dulu hasrat untuk bertanding itu.

Tetapi berbeza bagi jawatan Ketua Wanita, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, telah awal-awal mengumumkan hasratnya itu dan beliau menjadi individu terawal mengumumkan hasrat untuk bertanding.

Keinginan Azalina merebut jawatan Shahrizat, walaupun disebarluaskan sebagai hasrat untuk berkhidmat kepada Wanita UMNO dan memberi nafas baru kepada pergerakan itu, hakikat bahawa Azalina turut ingin menjadi menteri semula melalui kouta Wanita UMNO tidaklah boleh dinafikan begitu saja.

Setelah sekian lama terpinggir daripada kedudukan kabinet sejak 2009, Azalina tentunya membayangkan jika beliau menang mengisi jawatan Ketua Wanita, peluangnya untuk dilantik sebagai menteri lebih cerah berbanding jika hanya kekal tercongok sebagai Ahli Parlimen Pengerang dan mengharapkan ehsan Perdana Menteri sahaja.

Tambahan pula, tidak ada daripada kalangan Wanita UMNO yang diberikan jawatan menteri dalam pembentukan kabinet selepas pilihanraya 5 Mei lalu. Dengan kedudukan Shahrizat yang dibelenggu dengan isu NFC dan kedudukannya yang bukan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negara, tidak dinafikan lorongan untuk Azalina kembali ke kabinet lebih terbuka.

Lagi pula, tiada kerugian apa-apa untuk Azalina mencuba nasib, untung-untung sabut boleh timbul.

Sehingga ini hanya ada dua wakil Wanita sebagai timbalan menteri iaitu Ahli Parlimen Tenggara, Halimah Siddique dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Norian Kasnon dan jika Wanita ingin kebarangkalian seorang ketua pergerakan itu dilantik sebagai menteri, Azalina mungkin pilihan yang lebih tepat, lebih-lebih lagi beliau juga pernah menjadi menteri sebelum ini.

Jika Shahrizat terus terpilih menerajui Wanita, beliau hanya akan kekal berada di luar kabinet dan Wanita UMNO juga terpaksa berpuas hati dengan dua jawatan timbalan menteri sahaja.

Walaupun Shahrizat mengalu-alukan hasrat Azalina mahu merebut jawatan yang disandangnya tetapi beliau telah pun memulakan serangan secara halus dengan mengatakan keinginan bertanding itu tidak seharusnya dilihat mahu memecah-belahkan pergerakan itu dengan gambaran seolah-olah bekas pimpinan Puteri UMNO ingin mengambil alih kepimpinan Wanita UMNO pula.

Melalui serangan halus ini, tentunya makcik-makcik dalam Wanita UMNO akan menguatkan lagi kubu masing-masing dan akan berusaha memastikan kemasukan golongan puteri yang melebihi had umur 35 tahun ke dalam Pergerakan Wanita tidak akan menggugat kedudukan mereka. Dengan cara ini, Shahrizat berharap kelebihan memihak kepadanya.

Ini secara tidak langsung menggambarkan keinginan Shahrizat masih tinggi untuk mengekalkan jawatannya walaupun isu NFC yang melibatkan keluarganya merupakan isu yang paling buruk dalam sejarah pergerakan itu. Selain semua orang bercakap mengenai isu itu sebagai beban kepada UMNO, Shahrizat juga akhirnya digugurkan sebagai menteri kabinet dan tidak dipilih sebagai calon dalam pilihanraya, suatu hakikat yang membuktikan UMNO juga mengakui beratnya beban daripada isu NFC itu.

Sepatutnya dengan UMNO sendiri mengakui beliau sebagai beban, Shahrizat dengan rela hati mengundurkan diri dan membiarkan pergerakan itu memilih pemimpinnya sendiri yang lebih berwibawa dan tidak menyusahkan parti. Selagi beliau memimpin Wanita UMNO, kaitan beliau dengan skandal NFC sukar dilekangkan dan akhirnya UMNO akan terus menerima kesannya.

Azalina pula, walaupun pernah memimpin Puteri UMNO dan menjadi mengeri sebelum ini, beliau juga bukanlah pemimpin yang betul-betul sesuai untuk pergerakan itu. Selain beliau dilihat agak asing dengan lemah-lembut dan ciri-ciri kewanitaan Wanita UMNO yang mungkin menyukarkan beliau mendekati perwakilan Wanita UMNO, sisi gelapnya semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan sebelum ini, tidak seharusnya juga dipandang ringan.

Beliau pernah disiasat oleh SPRM berkaitan isu politik wang dalam pemilihan UMNO 2009 dan seorang pegawainya dikatakan pernah ditahan kerana memiliki beg yang penuh berisi wang tunai ketika itu. Pendedahan mengenai sekeping cek ratusan ribu ringgit yang didakwa diterimanya daripada seorang usahawan juga pernah memenuhi dada-dada media tidak berapa lama dulu.

Koleksi kereta-kereta mewahnya juga pernah didedahkan di blog dan laman sosial yang menggambarkan keperibadianya yang suka bermewah dan mengumpul kekayaan. Orang-orang yang mengenalinya pula tahu bahawa gaya hidup Azalina lebih mirip kebaratan dan jika ini didedahkan mungkin menjejaskan peluangnya.

Beberapa isu berkaitan kementerian yang yang pernah diterajuinya juga masih menjadi percakapan ramai. Walaupun beliau sudah dibersihkan oleh SPRM dan tidak didakwa di mahkamah, hakikatnya Azalina tidak menepati slogan popular mengenai kepimpinan iaitu seseorang itu mestilah bersih dan juga kelihatan bersih.

Sama ada mengekalkan Shahrizat atau memilih Azalina sebagai Ketua Wanita UMNO yang baru, masalah Wanita UMNO sebenarnya tidak akan selesai dan tidak juga mampu menjadi cerminan bahawa pergerakan itu menjadi lebih cantik dan menarik. Shahrizat ada bebannya yang tersendiri, begitu juga dengan Azalina.

Untuk menyolek dan menghias dirinya menjadi lebih menarik, Wanita UMNO sebenarnya perlu mencari pemimpin baru yang bukan saja berwibawa tetapi juga tidak mempunyai beban yang dibawa bersamanya ke dalam pergerakan itu. Mereka yang layak itu boleh dicari di kalangan Exco Wanita UMNO atau pun yang di luar daripadanya.

Tetapi sehingga ini rasanya gandingan Halimah Siddiqe dan Norian Kasnon yang mana kedua-duanya sudah menjadi timbalan menteri dan Ahli Parliman, boleh dipertimbangkan untuk memberi nafas baru kepada pergerakan itu. (SH 22/07/2013)

Saturday 20 July 2013

Peguam Negara Jangan Aniaya Najib?


Berikutan tindakan yang sudah diambil oleh Peguam Negara terhadap pasangan blogger seks, Alvin Tan dan Vivian Lee yang didapati menghina Islam dan memuatkan perlakuan berunsur lucah mereka dalam internet, pihak kerajaan khususnya kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak sedang diasak untuk mengambil tindakan yang serupa terhadap pihak-pihak lain yang juga didapati menghina agama selain Islam.

Antara yang tersohor agar diambil tindakan oleh Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mahu membakar kitab Injil berbahasa Melayu yang menggunakan perkataan Allah dan Zulkifli Nordin yang didapati mempersenda penganut agama Hindu dengan mengejek tuhan agama itu tidak mempunyai kuasa walau untuk menghalang banjir sekali pun.

Sementara semua rakyat berbilang kaum dan agama mengalu-alukan tindakan tegas dan pantas yang diambil terhadap pasangan Alvin dan Vivian, rakyat juga sebenarnya mengharapkan tindakan yang serupa seharusnya diambil terhadap Ibrahim dan Zulkifli. Walaupun penghinaan yang dilakukan oleh Ibrahim dan Zulkifli mungkin tidak seserius dan seberat yang dilakukan oleh Alvin dan Vivian tetapi penghinaan walau dalam apa bentuk dan cara sekali pun, tetap merupakan penghinaan dan tidak boleh diterima sama-sekali.

Lebih-lebih lagi Ibrahim dan Zulkifli adalah "public figure" yang dikenali ramai dan mempunyai banyak pengikut, sudah tentu perbuatan mereka itu boleh mempengaruhi ramai orang.

Dalam hal ini, ketegasan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi semalam yang memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa saja dan yang menghina agama apa pun, seharusnya dibuktikan dengan perbuatan dan bukan sekadar amaran semata-mata.

Ini kerana mengambil tindakan yang menyeluruh dan sama rata bukan saja mencerminkan keadilan Islam yang menjadi agama rasmi negara tetapi juga mampu menyerlahkan cantiknya wajah Islam sendiri di mata rakyat pelbagai kaum. Dalam hal ini, Najib yang merupakan Perdana Menteri mempunyai tugas yang amat penting untuk memperlihatkan wajah Islam yang sebenar dan kepimpinannya yang adil itu kepada umum, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kegagalan mengambil tindakan yang tegas dan menyeluruh kepada semua kelompok yang didapati menghina agama akan memperlihatkan cacatnya Islam yang diamalkan di negara ini dan juga menampakkan kegagalan Najib sebagai pemimpin yang beragama Islam.

Desakan pelbagai pihak juga membuatkan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bersuara bahawa siasatan terhadap Zulkifli sudah dilakukan oleh pihak polis dan telah diserahkan kepada Peguam Negara tetapi diberi respon NFA atau "no further action" (tiada tindakan lanjut) manakala bagi kes Ibrahim juga siasatan sudah dibuat tetapi tiada jawapan diberikan oleh Peguam Negara sehingga kini.

Dalam hal ini, maknanya pihak polis sudah menjalankan tanggungjawabnya, cuma Peguam Negara yang tidak melaksanakannya.

Soalnya kenapa kes itu NFA dan senyap? Apakah penilaian Peguam Negara berdasarkan keadilan sejagat atau kerana faktor-faktor lain?

Jika Peguam Negara boleh bertindak begitu tegas terhadap pasangan Alvin dan Vivian sehingga mereka tidak dibenarkan ikat jamin dan terpaksa bermalam di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang, walaupun kesalahan hanyalah dibawah akta SKMM dan Akta Hasutan, tidak ada sebab sebenarnya sebarang tindakan, walaupun lebih ringan, tidak boleh diambil terhadap Ibrahim dan Zulkifli.

Penghinaan Zulkifli terhadap agama Hindu sudah dilakukan 10 tahun yang lalu dan baru didedahkan dua atau tiga tahun yang lalu, sementara kes Ibrahim mahu membakar kitab Injil pula berlaku setahun yang lalu. Sekiranya Peguam Negara dapat bertindak tegas lebih awal keatas kedua-dua kes ini, mungkin penghinaan Alvin dan Vivian kepada Islam tidak muncul.

Keberanian dan kebiadapan mereka melakukan penghinaan kepada agama lain ialah kerana mereka melihat orang lain juga bebas melakukan perkara yang sama sebelum ini dan tidak diambil apa-apa tindakan.

Dalam usaha menegakkan keadilan dan menunjukkan kemurnian Islam itu sendiri, Peguam Negara tidak seharusnya bertindak memilih bulu. Tindakan harus sama rata dan menyeluruh, barulah semua orang takut untuk melakukannya.

Sekiranya Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara, Ghani Patail asyik dengan NFA saja dalam banyak cara kerjanya, terutama dalam kes-kes seperti Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin, tindakan beliau akan dilihat seperti menganiaya Perdana Menteri dan kepimpinan politik yang sentiasa cuba mewujudkan keharmonian kaum dan agama serta mahu melihat hubungan kaum kekal harmoni dan aman sepanjang masa.

Kepimpinan politik dan kerajaan sepanjang masa bercakap tentang keadilan Islam dan sikap kerajaan yang tidak memilih bulu walau melibatkan apa kaum dan agama sekali pun, namun banyak perkara tersekat apabila sampai ke Jabatan Peguam Negara.

Lainlah jika Peguam Negara memang mahu menyusahkan Perdana Menteri dan orang-orang politik. (SH 20/07/2013)

Friday 19 July 2013

Apa Ditunggu Lagi Wahai SPR, Samanlah...


Isu pembekal dakwat kekal terus masuk ke episod yang makin menarik. Selepas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan nama syarikat pembekal dakwat itu yang didakwanya mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi SPR dan memperolehi projek bernilai RM7.1 juta itu melalui rundingan terus, Pengerusi SPR Aziz Yusof melenting menafikan sama ada beliau atau timbalannya, Wah Ahmad Omar, mengenali atau mempunyai hubungan dengan pemilik syarikat itu.

Sambil menyifatkan pendedahan yang dibuat Rafizi di dalam Parlimen itu sebagai fitnah di bulan Ramadan dan kecewa mereka difitnah sedemikian rupa, beliau juga menafikan terlibat dalam urusan pembelian dakwat itu sambil mengatakan ianya diuruskan oleh urusetia SPR yang diketuai oleh Setiausaha badan itu, Kamaruddin Baria.

Kamaruddin Baria pula kemudiannya turut menafikan mengenali pemilik syarikat Intergrated Challenger (M) Sdn Bhd iaitu Mohamad Salleh Mohamad Ali, yang didakwa Rafizi sebagai pembekal dakwat itu sambil menuduh Rafizi sengaja membuat pendedahan mengenainya di dalam Parlimen kerana mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang.

Dengan membuat dakwaan bahawa Rafizi sengaja berselindung di sebalik kekebalan undang-undang sebagai Ahli Parlimen, Kamaruddin seolah-olah memperkecilkan butiran pendedahan yang dibuat oleh Rafizi itu dan dalam masa yang sama takut diambil tindakan mahkamah jika pendedahan itu tidak benar.

Dalam erti kata lain atau secara halusnya, Kamaruddin seolah-olah mencabar Rafizi agar membuat dakwaan yang serupa di luar Parlimen agar beliau boleh mempertahankan dirinya daripada segala dakwaan itu dengan mengambil tindakan undang-undang.

Dalam masa beberapa hari, isu pembekalan dakwat kekal itu juga menjadi panas dalam perbahasan di Parlimen. Sambil ada Ahli Parlimen yang mahu membawa Rafizi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa membuat dakwaan tidak benar, Speaker Pandikar Amin Haji Mulia akhirnya membuat keputusan agar Rafizi mengulangi apa yang didedahkannya di dalam Parlimen itu di luar Parlimen pula supaya orang yang dituduhnya dapat mempertahankan diri dan menjawab segala dakwaan yang dibuatnya.

Semalam Rafizi telah menunjukkan keberaniannya dengan memenuhi permintaan Speaker itu dan membuat sidang akhbar di luar Parlimen bahawa Mohamad Salleh Mohamad Ali dan syarikat miliknya, Intergrated Challenger (M) Sdn Bhd adalah pembekal dakwat kekal kepada SPR untuk kegunaan dalam pilihanraya umum lalu dan memperolehi kontrak tersebut kerana mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi badan itu.

Beliau juga membuat pendedahan bahawa sebuah lagi syarikat yang dikawal oleh Mohamad Salleh iaitu Nash Ventures Sdn Bhd, turut mendapat kontrak membekalkan topi kepada SPR. Kedua-dua syarikat itu juga didakwa Rafizi memperolehi kontrak-kontrak tersebut melalui rundingan terus dengan SPR.

Nah, sekarang Rafizi sudah memberi peluang kepada SPR yang sebelum ini menafikan segala dakwaan itu dan menuduh Rafizi berselindung di sebalik kekebalan sebagai Ahli Parlimen, untuk menjawab, menceritakan kebenaran dan mengambil tindakan mahkamah sekiranya dakwaan itu tidak benar.

SPR melalui Aziz Yusof, Wan Ahmad atau Kamaruddin tidak seharusnya berlengah lagi untuk mengambil tindakan undang-undang jika segala dakwaan Rafizi itu tidak benar. Tiada ruang lagi untuk mereka sekadar menafi tanpa bukti atau berdiam diri selepas ini.

Sekarang adalah waktunya untuk mereka mengembalikan keyakinan dan kewibawaan SPR sebagai badan bebas yang betul-betul mempunyai intergeriti di mata rakyat. Setelah SPR begitu banyak dipertikaikan dalam urusan pengendalian pilihanraya tetapi pemberian kontrak dakwat kekal yang akhirnya didapati tidak kekal dan hanya mempunyai campuran pewarna makanan, adalah episod malang dan memalukan bagi SPR. Keyakinan rakyat luntur sebagaimana lunturnya dakwat yang tidak kekal itu.

Bagaimana rakyat hendak percaya dan yakin dengan kewubawaan SPR sedangkan untuk memilih dakwat kekal yang cukup mudah itu pun tidak mampu dilakukan dengan sempurna.

SPR tiada pilihan lagi sekarang ini. Jika segala dakwaan Rafizi itu tidak benar, saman dan tuntutlah permohonan maaf, gantirugi atau apa saja daripada Rafizi. Berdiam diri atau sekadar menafikan dalam sidang akhbar bukan lagi jawapannya di peringkat ini.

Jika SPR terus berdiam diri selepas ini dan tidak juga mahu mengambil tindakan undang-undang, persepsi rakyat amat jelas bahawa mereka adalah dipihak yang salah dan Rafizi dipihak yang benar. Hanya tindakan undang-undang boleh membersihkan nama SPR.

Tetapi jika kebenaran tidak mampu dipertahankan lagi, langkah terakhir yang boleh dibuat hanyalah dengan mengundur diri atau menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai pengendali badan itu. Berdiam diri dan di ketika yang sama sama terus berada dalam SPR, merupakan tindakan paling memalukan dan tidak bermaruah.

Semua pilihan ditangan SPR sepenuhnya sekarang. (SH 19/07/2013)

Thursday 18 July 2013

Apa Tujuan KJ Mengaitkan Kuala Besut Dengan Kedudukan Najib?


Dalam usaha kempen untuk memastikan kemenangan calon BN di Kuala Besut, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin telah mengaitkan kemungkinan kedudukan Perdana Menteri, Najib Razak akan tergugat jika BN tewas dalam pilihanraya kecil ini.

Menurut beliau, jika BN tewas di Kuala Besut dan kedudukan jumlah kerusi DUN Terengganu menjadi seri serta kemungkinan akan diadakan pilihanraya peringkat negeri, suatu gelombng, gerakan dan goncangan yang akan menggugat kedudukan Najib akan berlaku.

Sehubungan itu, beliau beberapa kali merayu anak-anak muda Kuala Besut agar memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya kecil ini bagi mengelakkan kedudukan Najib ssbagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN daripada tergugat.

Sekali imbas ternampak macam KJ mahu mempertahankan kedudukan Najib apabila beliau menyebut mengenai perkara itu tetapi siapa yang dimaksudkan oleh KJ boleh menggugat kedudukan Perdana Menteri itu? Selama ini orangramai hanya selalu mengaitkan keputusan pilihanraya Kuala Besut dengan kedudukan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said saja kerana jika PAS menang, kedudukan jumlah kerusi BN dengan PR menjadi seri dan akan membuat Ahmad Said menjadi goyah.

PAS sendiri dalam kempennya menggunakan slogan 16-16 Terengganu Baru iaitu mengenai kemungkinan mereka mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub juga yakin jika kedudukan menjadi 16-16, kerusi Menteri Besar Terengganu akan menjadi milik mereka.

Dalam kempen-kempen yang lain juga, PAS lebih banyak menyerang pentadbiran kerajaan negeri terutama berkaitan tanah, pembangunan, rasuah dan sebagainya. PAS sendiri tidak melihat ada kaitan keputusan di Kuala Besut ini dengan kedudukan dan masa depan politik Najib dan menjatuhkan Perdana Menteri melalui Kuala Besut bukanlah matlamat PAS. Matlamat Pas dan PR memenangi Kuala Besut ialah untuk mengambil alih kerusi Menteri Besar saja.

Jadi, siapa yang dimaksudkan KJ boleh menggugat kedudukan Najib itu?

Kalau dengan kedudukan seri dan kemudian diadakan pilihanraya negeri pula, kalau pun PAS dan PR memenanginya, yang tumbang hanyalah kerajaan negeri dan hilang jawatan pula hanya Ahmad Said. Dengan jatuhnya negeri Terengganu, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri tidak tergugat sama-sekali kerana kalah di peringkat negeri tidak menjejaskan 133 kerusi BN di Parlimen.

Kalau begitu, siapa yang sebenarnya boleh menggugat Najib seperti yang dimaksudkan KJ?

Mungkinkah dengan kekalahan BN di Kuala Besut dan jika diadakan pilihanraya peringkat negeri dan BN juga kalah kemudiannya, akan berlaku undi tidak percaya terhadap Najib di Parlimen? Nampak macam tidak logik perkara itu akan berlaku kerana kekalahan di satu kerusi DUN atau kehilangan satu negeri tidak merupakan alasan yang kuat untuk membawa undi tidak percaya terhadap Najib.

Habis, siapa lagi yang boleh menggugat Najib?

Mungkinkah KJ sebenarnya ingin memberitahu bahawa kekalahan BN di Kuala Besut bermakna penolakan terhadap kepimpinan Najib sebagai Presiden UMNO dan ia seharusnya dilanjutkan kepada pemilihan UMNO yang akan diadakan hujung tahun ini. Desas-desus memang sudah lama bertiup bahawa Muhyiddin atau Tengku Razaleigh akan masuk gelanggang untuk mencabar Najib kali ini.

Tetapi menjadi persoalan juga jika KJ mengaitkan kekalahan BN di Kuala Besut dengan pertandingan jawatan Presiden UMNO sedangkan Pemuda UMNO sudah membuat keputusan sebaik saja PRU 13 lalu agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan. Kalau sudah bersetuju jawatan Najib tidak ditandingi, apa yang ditakutkan dengan kedudukan Najib akan tergugat?

Atau adakah ini bermakna KJ sudah mengubah keputusan dan bersetuju jawatan Presiden UMNO ditandingi pula? Atau juga ini merupakan signal beliau bahawa sekiranya BN kalah di Kuala Besut, maka bermakna kedudukan Najib wajar menjadi pertimbangan semula 146,500 perwakilan UMNO yang akan mengundi pada kali ini?

Secara logiknya, apabila KJ mengaitkan Kuala Besut dengan kedudukan Najib yang bakal tergugat, ia tentunya lebih menjurus kepada pemilihan UMNo berbanding gugatan daripada PR dan Anwar Ibrahim. Dalam waktu yang terdekat ini juga, bahang pemilihan UMNO lebih memanas sementara ancaman daripada PR dan Anwar sudah kelihatan mulai sejuk. Anwar dan PR selain menumpukan kepada proses membantah keputusan pilihanraya di mahkamah, mereka juga sudah mulai bergerak untuk memenangi PRU 14 lima tahun akan datang. Maknanya, Anwar bukan lagi ancaman kepada Najib.

Apabila KJ mengatakan kedudukan Najib bakal tergugat, apakah juga bermakna situasi Najib sekarang makin lemah? Apakah kedudukan Muhyiddin yang dikatakan akan mencabar Najib makin kuat dalam pemerhatian KJ? Kemenangan BN di Kuala Besut mungkin mampu menyelamatkan Najib tetapi harus diingat kemenangan yang sama juga akan melonjakkan nama Muhyiddin kerana beliau merupakan Pengarah pilihanraya dan menghabiskan banyak masanya, bukan saja menemui rakyat, menjadi imam bahkan juga memberi banyak projek pembangunan segera untuk Kuala Besut.

Kuala Besut lebih menaikkan nama Muhyiddin, walaupun kemenangannya menggembirakan Najib dan Ahmad Said.

Dengan KJ secara tiba-tiba mengaitkan Kuala Besut dengan kedudukan dan masa depan Najib sedangkan PAS hanya ingin menumbangkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar, bahang kempen mungkin akan menjadi bersimpang-siur dalam hari-hari terakhir menjelang 24 Julai ini. Kempen untuk calon BN akan menjadi bercampur-campur dengan kempen untuk mempertahan atau menyingkirkan Ahmad Said dan Najib.

Sama ada gelombang kempen untuk menukar kepimpinan Ahmad Said akan bertaut dengan usaha untuk menyingkirkan Najib atau gelombang menolak Najib menjadi lebih kuat akhirnya dan turut meresapi pemikiran pengundi Kuala Besut atau pengundi Kuala Besut tidak terkesan dengan semua permainan itu, kebarangkalian Kuala Besut bakal mencipta pelbagai arus politik untuk UMNO dan negara selepas ini tidak boleh dinafikan begitu saja.

Dan KJ mungkin sedang memerhati semua arus itu dan memikir-mikir arus manakah yang tidak akan menyebabkan hanyut dan kelemasan.(SH 18/07/2013)






Wednesday 17 July 2013

Kalau Nak Tahu Apa Terjadi Bila Kedudukan 16-16, Jadikanlah Ia Kenyataan


Pilihanraya kecil DUN Kuala Besut mula membahang panas kempennya. Tidak saja panas dengan isu tempatan dan pembangunan segera yang didatangkan ke kawasan itu, malah isu-isu peribadi turut mula mengambil tempatnya. Tidak dipedulikan sama ada bulan Ramadan atau tidak, kempen pilihanraya tetap sama rentak dan iramanya selagi matlamatnya ialah untuk mencari kemenangan.

Di Kuala Besut ini, tidak saja BN yang mula menggunakan kelemahan peribadi dan keluarga calon lawan sebagai bahan kempen, sebaliknya Pas juga turut mengguna kelemahan dan sisi tidak baik calon BN untuk mencari kemenangan. Hakikatnya, kedua-dua pihak lebih kurang sama dalam strategi kempennya.

Tetapi yang paling menarik ialah berkenaan dengan kedudukan kerusi di DUN Terengganu jika Pas berjaya memenangi pilihanrayaa kecil ini. Dalam pilihanraya lalu BN memenangi 17 kerusi manakala PR menang 15 dan dalam pilihanraya kecil ini Pas berusaha untuk memenanginya bagi menjadikan kedudukan 16-16.

Kedudukan jumlah kerusi seri tidak pernah berlaku sebelum ini di mana-mana negeri. Ramai yang ingin tahu apa akan berlaku selepas itu. Apakah Menteri Besar akan bertukar? Apakah Sultan Terengganu boleh menentukan siapa Menteri Besar pilihan baginda? Atau adakah kedudukan DUN Terengganu akan tergantung? Mungkinkah pilihanraya negeri akan diadakan untuk mencari pemenang sebenar?

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku bila kedudukan menjadi 16-16 tetapi sehingga ini tiada siapa yang pasti apa keadaannya yang sebenar. Sementara Pas menjadikan 16-16 Terengganu Baru sebagai antara bahan kempennya, BN pula nampaknya sangat berusaha keras untuk memastikan Kuala Besut ini kekal ditangan mereka dan kedudukan kekal 17-15.

Pas melalui Naib Presidennnya, Sallahuddin Ayub menaruh keyakinan bahawa kedudukan Menteri Besar akan bertukar tangan dan memihak kepada mereka jika kedudukan menjadi 16-16. Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai perkara itu, cuma memberi jaminan jika kerusi Menteri Besar berjaya diperolehi banyak permasalahan tanah di negeri itu akan diselesaikan.

Tetapi bagi Idris Jusoh, Ketua UMNO Besut dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Kuala Besut pula mempunyai tafsiran lain. Beliau berkata, jika kedudukan 16-16, kerusi Menteri Besar akan kekal ditangan BN kerana kelebihan undi Speaker yang memihak kepada mereka. Namun hujah itu ditentang oleh Dr Zulkifli Ahmad dari Pas yang menyatakan undi Speaker tidak boleh dipakai dalam penentuan kedudukan Menteri Besar.

Ahmad Maslan pula meminta pengundi Kuala Besut supaya terus memilih BN bagi mengelakkan DUN Terengganu menjadi tergantung dan membawa kepada ketidakstabilan politik di negeri itu.

SPR yang menguruskan perjalanan pilihanraya juga tiada jawapan jika kedudukan menjadi 16-16. Pengerusinya, Aziz Yusof dilaporkan berkata, jika kedudukan menjadi seri, ia bukan lagi tanggungjawab mereka menentukan apa yang berlaku selepas itu.

Najib dan Muhyiddin pula tidak memberi ulasan setakat ini jika kedudukan menjadi 16-16 itu. Muhyiddin yang menjadi Pengarah pilihanraya kecil ini hanya mahukan kemenangan dan seolah-olah tidak mahu memikirkan mengenai kedudukan 16-16 itu. Walaupun pemimpin UMNO yang lain banyak yang bercakap mengenainya tetapi tiada yang sekata. Pandangan mereka berbeza-beza dan ini menunjukkan mereka bercakap ikut sedap mulut saja tanpa memahami tafsiran sebenar mengenai undang-undang dan Perlembagaan.

Apa pun, sehingga ini tafsiran mengenai kedudukan 16-16 ini adalah lebih mengikut kepentingan parti masing-masing. Pas mentafsirkan dengan menjuruskannya kepada keadaan yang mungkin memihak kepada mereka, begitu juga dengan BN lebih memberi tafsiran yang turut menyebelahi mereka.

Hakikatnya tiada siapa yang jelas dan pasti mengenai apa yang bakal berlaku jika kedudukan DUN menjadi seri. Tiada rujukan yang boleh diguna kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Sama ada ia terpulang kepada kuasa Sultan Terengganu atau tafsiran undang-undang dan Perlembagaan akan dibuat oleh Peguam Negara atau Perdana Menteri mempunyai kuasa memberi nasihat kepada Sultan atau pelbagai kemungkinan lain, semuanya tiada kepastian.

Semuanya masih kabur dan tidak jelas. Tetapi yang jelas dan pastinya PAS sangat mahukan keddukan 16-16 itu menjadi kenyataan manakala UMNO dan BN pula jelas dan pasti tidak mahu kedudukan seri itu berlaku.

Tanpa ada niat untuk menyebelahi mana-mana pihak tetapi sekadar untuk menguji sistem demokrasi dan menambah kematangan dalam berpolitik di negara ini, ada baiknya jika kedudukan 16-16 ini dijadikan kenyataan. Hanya setelah itu barulah kita tahu apa sebenarnya yang berlaku supaya ia boleh menjadi rujukan di lain-lain masa.

Ia juga akan memberi ruang untuk undang-undang dan Perlembagaan diberi tafsiran yang lebih jelas dan ini merupakan sesuatu yang amat berguna untuk generasi akan datang. Sama ada selepas kedudukan 16-16 itu, Sultan mempunyai kuasa memilih Menteri Besar, Menteri Besar sedia ada akan kekal atau perlu pilihanraya negeri atau sebagainya, semuanya akan terjawab dengan sendirinya.

Dalam hal ini pengundi Kuala Besut pada 24 Julai ini sebenarnya mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar mengundi untuk memilih seorang ADUN saja. Mereka mampu memberi sumbangan besar kepada rakyat dan negara dari segi kematangan berpolitik dan pengamalan sistem demokrasi dan Raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.(SH 17/07/2013)

Tuesday 16 July 2013

Ini Semua Ah Jib Gor Punya Salah Maa...


Dalam bulan Ramadan kali ini, umat Islam negara ini menghadapi dua cabaran yang tidak pernah dihadapi sebelum ini. Pertama, penghinaan dan kebiadapan pasangan bukan Islam yang lebih dikenali dengan blogger seks, Alvin Tan dan Vivian Lee yang memaparkan juadah bak kut teh ( sup tulang babi) sebagai hidangan berbuka puasa dalam laman Facebook mereka. Kedua pula, tindakan duta Vatican City, Joseph Marino yang menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian negara ini.

Kedua-dua perkara itu jelas menghina dan mencabar kesabaran umat Islam negara ini kerana ia sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Umat Islam tidak boleh menerima promosi biadap yang cuba dilakukan oleh Alvin dan Vivian walaupun untuk maksud melawak dan bergurau senda. Begitu juga kita tidak boleh menerima tindakan duta negara asing yang cuba mencampuri urusan negara ini, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan agama Islam.

Bagi blogger seks itu, mereka kini sudah pun disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan juga polis setelah begitu banyak protes, bantahan serta laporan polis dibuat. Terbaru ini, pasangan itu juga turut menerima ugutan bunuh dan kecederaan sehingga mereka terpaksa membuat rayuan agar dihentikan semua tindakan itu dengan alasan sudah meminta maaf.

Kini semuanya terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya sama ada mahu dihukum atau dibiarkan terlepas sebagaimana Namewee yang sebelum ini juga memghina orang Melayu dan lagu Negaraku. Tetapi sementara Peguam Negara memikirkan langkah selanjutnya, yang nyata bahawa kesabaran umat Islam negara ini ada hadnya. Tidak selamanya mereka boleh dihina dan dipijak kepala sebegitu rupa.

Bagi keceluparan mulut duta Vatican City itu pula, beberapa protes dan bantahan turut dilakukan oleh beberapa NGO dan pemimpin kerajaan dan juga parti-parti politik. Ada yang menyarankan kedutaan itu ditutup, dutanya yang tak sayang mulut itu dihantar pulang, mengemukakan nota bantahan dan sebagainya. Teti sehingga ini kerajaan hanya berdiam diri saja.

Selepas ini kita tidak tahu apa lagi bentuk penghinaan kepada agama yang terpaksa kita hadapi pula.

Tetapi sementara kita bersedih dan mendidih darah dengan semua kejadian itu, elok kita merenung punca segala kejadian itu boleh berlaku. Orang-orang tua sendiri selalu berkata, sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan atau untuk membuka benang yang kusut, carilah pangkalnya untuk membukanya.

Begitu juga dalam dua kejadian ini, kebiadaan Alvin dan Vivian serta keceluparan Joseph Marino terhadap umat dan agama Islam. Ia tidak mungkin berlaku begitu saja tanpa ada punca dan sebab-musababnya. Sebelum ini pula, tidak pernah kejadian seburuk itu berlaku. Kenapa hanya sekarang ianya berlaku?

Sejak Najib memimpin negara, beliau telah memperkenalkan dasar 1Malaysia yang memperlihatkan sikap bertolak-ansur kerajaan terhadap bukan Melayu. Dalam masa yang sama, Najib juga menunjukkan sikap berlembut, pemurah, baik hati serta merintih terhadap kaum Cina dengan tujuan mendapat sokongan daripada kaum itu. Sebelum pilihanraya, pelbagai tolak ansur telah dilakukan oleh kerajaan terhadap kaum Cina dan di masa yang sama muncul pula individu seperti Namewee yang menghina orang Melayu dan lagu Negaraku, kejadian memaling kepala babi ke dalam masjid dan sebagainya.

Malangnya, walaupun banyak desakan tetapi tiada tindakan yang sewajarnya diambil. Namewee yang menjadi kemarahan orang Melayu, sebaliknya telah dijemput ke Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz walaupun beliau hadir dengan pakaian seperti mahu ke konsert rock. Namawee diraikan dan dipuja oleh pemimpin Melayu kerana takut kehilangan undi Cina. Jauh sekali mahu diambil tindakan undang-undang.

Semua ini secara halus merangsang kebangkitan elemen untuk terus mencuit dan mencabar hati serta perasaan orang Melayu. Mungkin wujud kelompok ekstremis Cina yang mahu terus mencabar kerana merasakan kerajaan tidak mungkin mengambil tindakan disebabkan takut kehilangan sokongan, selain ingin membuktikan inilah 1Malaysia sebenarnya.

Dalam tindakan lunak kerajaan yang lain, walaupun yang banyak diprotes ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, Najib juga bersikap pemurah dengan menawarkan untuk memansuhkan sekali Ordinan Darurat dan Akta Hasutan 1948. Semuanya kerana Najib mahu dilihat baik hati, liberal, mempunyai tolerasi yang tinggi dan mengharapkan ia dibalas dengan undi dan sokongan.

Lebih dari itu, untuk menunjukkan pro Cinanya, Najib juga mewujudkan laman Facebook dalam bahasa Mandarin dengan menukar namanya kepada Ah Jib Gor. Tindakan ini memperlihatkan Najib turut mahu menjadi sebahagian daripada orang Cina di kalangan masyarakat itu. Ini bukan saja sesuatu yang luar biasa, bahkan tidak pernah dibuat oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Sikap terlalu lembut dan kekurangan jati diri dalam diri seorang Perdana Menteri dan diikuti oleh pemimpin yang lain inilah akhirnya yang menyebabkan munculnya kelompok ekstemis dalam masyarakat Cina di mana Alvin dan Vivian adalah sebahagian daripadanya. Mereka tidak takut kerana pemimpin sendiri tunduk dan takut dengan mereka. Sebelum ini mereka juga memuatkan video seks dalam blog dan mempersenda bendera BN tetapi oleh kerana ia dilakukan sebelum pilihanraya dan Najib masih mengharapkan keajabaiban sokongan kelompok itu, maka mereka terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang.

Tidak diragui lagi bahawa kemunculan Alvin dan Vivian adalah produk sampingan 1Malaysia yang gagal ditangani oleh kerajaan dan Najib kerana terlalu memikirkan undi dan sokongan. Slogan itu dicipta semata-mata untuk mendapatkan undi tetapi akhirnya semua yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Bersikap pemurah, baik hati, liberal bahkan menjadi Ah Jib Gor pun tidak dibalas dengan undi. Undi Cina ke laut akhirnya, yang muncul ialah elemen seperti Namewee dan Alvin serta Vivian. Ini semua salah Ah Jib Gor maa...

Mengenai komen oleh duta Vatican City tentang kalimah Allah, tidak perlu berselindung juga ianya adalah salah dan silap Najib sendiri. Dalam usaha Najib menunjukkan keterbukaan dan sikap liberalnya terhadap agama Kristian sambil mengharapkan pengundi Kristian terutama di Sabah dan Sarawak terus menyokong kerajaan, beliau telah mengadakan lawatan ke Vatican City pada Julai 2011.

Dalam lawatan itu beliau telah mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan Pope Benedict, kononnya untuk kepentingan dan kerjasama antara Islam dan Kristian, yang kemudian disusuli dengan persetujuan negara terkecil dalam dunia itu membuka kedutaannya di negara kita.

Ketika itu, semua pengampu dan pembodek memuji lawatan Najib itu. Najib digambarkan sebagai pemimpin berjiwa besar dan mengutamakan keharmonian antara agama dan tidak semua pemimpin dikatakan mempunyai jiwa seperti beliau. Sebahagian daripada NGO yang mengecam kenyataan duta Vatican City hari ini adalah juga mereka yang memuji ketika Najib berkunjung ke Vatican City dulu.

Amat jelas bahawa adanya kedutaan Vatican City adalah kerana Najib. Najib yang mengadakan lawatan ke negara itu dan menjemput mereka membuka kedutaannya. Vatican City adalah sebuah negara agama, ia tidak ada produk lain selain agama Ktistian. Bila ia dibenarkan membuka kedutaannya di negara kita, tentulah promosinya juga agama Kristian. Sebab itu, apabila ia memberi komen megenai kalimah Allah dan walaupun dianggap mencampuri kedaulatan negara, ia sebenarnya tidak menghairankan kerana ia memang sebahagian daripada peranannya. Dutanya yang bertugas di sini pun orang agama, bukannya orang diplomatik.

Dalam dua kejadian yang sedang menjadi perbualan serta kemarahan umat Islam ini, tidak diragui lagi bahawa semuanya berpunca daripada Perdana Menteri sendiri. Beliaulah yang mencampak benih sehingga wujudnya Alvin, Vivian dan Vatican City di negara ini.

Diulang sekali, semunya salah Najib maa...(SH 16/07/2013)

Monday 15 July 2013

Bila Menteri Cap Ayam Mahu Selesaikan Isu Ayam...


Setiap kali musim perayaan, rakyat pasti menghadapi masalah kenaikan harga barang-barang keperluan harian. Semua barang menaik harganya. Antara yang tidak pernah terlepas dari mengalami kenaikan harga setiap kali musim perayaan ialah ayam. Meskipun menteri silih berganti tetapi harga ayam tidak pernah dapat diselesaikan seolah-olah peniaga ayam lebih cerdik daripada menteri.

Tahun ini harga ayam naik lagi. Di sesetengah tempat ia mencecah sehingga RM9.00 sekilo. Bagaimanapun bagi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hassan Malek, beliau mempunyai cara yang amat mudah untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam ini iaitu dengan mencadangkan supaya rakyat beralih kepada menu lain seperti ikan atau daging bagi mengekang kenaikan harga itu.

Orang Kuala Pilah di mana Hassan Malek menjadi Ahli Parlimen tentunya menjerit membaca berita ini. Gilo apo montori ni...

Nampaknya senang sangat kerja menteri di Malaysia, bila ayam naik disuruhnya makan menu lain walaupun sepatutnya tugas beliau beliau mencari jalan menstabilkan harga ayam di pasaran. Berbagai cara boleh dilakukan seperti menemui pengeluar atau penternak, menambah bekalan melalui pengimportan, melakukan tindakan penguatkuasaan dan seumpamanya. Tetapi semua itu tidak dilakukan, yang disuruhnya rakyat tukar menu makanan.

Lagi pula tindakan beliau memberi pilihan supaya makan ikan atau daging itu juga tidak logik sama-sekali kerana harga ikan sebenarnya lebih mahal daripada ayam. Ikan yang paling biasa menjadi menu rakyat Malaysia iaitu ikan kembung saja sudah berharga RM12.00 hingga RM15.00 sekilo. Belum lagi dikira ikan lain seperti ikan siakap, bawal atau tenggiri yang menjadi santapan orang-orang yang lebih berada.

Nampaknya menteri ini tidak pernah ambil tahu harga pasaran barangan pengguna di pasaran atau barangkali tidak pernah turun ke pasar sebelumi ini. Beliau seperti bercakap ikut sedap mulut saja bila jumpa mikrofon atau kamera tv.

Selain itu, jika ayam mahu ditukar dengan daging pula, kedua-duanya mempunyai khasiat yang berbeza dan dari sudut kesihatan pula, daging putih lebih baik berbanding daging merah. Sebab itulah ayam lebih menjadi pilihan, selain rasanya yang lebih sedap dan kanak-kanak juga lebih menyukai ayam berbanding daging atau ikan.

Sebab itulah ayam menjadi pilihan semua golongan dan bangsa. Dan tugas menteri yang gajinya dibayar melalui cukai rakyat ialah mesti memastikan harga pasaran keperluan rakyat ini sentiasa berada di paras yang stabil dan tidak terlalu membebankan, bukannya mencadangkan rakyat menukar menu makanan.

Kenaikan ayam di musim perayaan orang Islam juga, selain ia menjadi pilihan semua peringkat umur untuk berbuka puasa, ia juga sesuai dibuat rendang ketika Hari Raya untuk dimakan dengan lemang atau ketupat. Walaupun daging boleh juga dibuat rendang tetapi ayam lebih menjadi pilihan kerana ia lebih enak.

Tetapi ikan tidak boleh dibuat rendang. Sudahlah harganya lebih mahal daripada ayam, penggunaannya untuk masakan juga agak terhad. Mungkin jamuan raya Hassan Malek pada tahun ini ada menu rendang Negeri Sembilan ikan kembung agaknya!

Kenyataan Hassan Malek mengenai kenaikan harga ayam ini mendapat ulasan paling banyak di laman-laman sosial di mana rata-rata rakyat tidak setuju dengan pandangan yang diberinya. Memang sesiapa pun akan geleng kepala membaca keyataan separuh masak menteri itu. Beliau bercakap seolah-olah tidak tahu apa-apa mengenai kedudukan harga barang keperluan harian di pasaran sekarang.

Selain itu, ramai juga yang mengecam beliau seolah-olah begitu senang kerja seorang menteri di negara ini. Harga ayam naik disuruh makan ikan atau daging, nanti kalau semua ayam, ikan dan daging naik, disuruhnya pula makan lauk kicap saja. Atau kalau beras naik, mungkin disarankannya makan bubur nasi atau mee maggi saja.

Kenyataan Hassan Malek ini mendedahkan standard beliau sebagai menteri hanya cap ayam saja. Jika begitu senanglah kerja seorang menteri, pastinya lebih ramai daripada 3.2 juta ahli UMNO yang jauh lebih layak daripada beliau.

Sebelum ini seorang lagi menteri, Shahidan Kassim juga memberi jawapan ala-ala cap ayam mengenai kerahsiaan pembekal dakwat kekal untuk SPR. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, nama pembekal itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana jika diketahui nama dan alamat pembekalnya akan menyebabkan rakyat beratur panjang untuk membeli dakwat itu dan akhirnya akan mengganggu perjalanan pilihanraya di negara ini.

Kalau dihalusi, kenyataan itu bukan saja tidak logik, bahkan juga menunjukkan Shahidan tidak kurang cap ayamnya dengan Hassan Malek.

Tolongnya Najib, berilah panduan dan nasihat kepada menteri-menteri agar janganlah mengeluarkan kenyataan atau bercakap seolah-olah mereka itu cap ayam, nanti Perdana Menteri atau kerajaan pun dikata rakyat cap ayam juga. (SH 15/07/2013)

Sunday 14 July 2013

Pengundi Kuala Besut Mula Dibanjiri Bantuan Dan Habuan


Sebagaimana selalu, setiap kali ada pilihanraya kecil maka turunlah pelbagai jenis bantuan dan habuan untuk rakyat. Menteri dan timbalan menteri juga berebut-rebut turun membawa pelbagai jenis buah tangan dan jajan. Ketika pilihanraya kecil jugalah diketahui banyak orang miskin, orang susah, orang tidak berumah, orang kelaparan, hidup melarat, tiada bekalan letrik dan air bersih serta pelbagai kepincangan lain dalam masyarakat.

Semua golongan yang terpinggir ini dikunjungi dan diberi bantuan untuk menunjukkan baik hatinya kerajaan yang ada.

Seolah-olah ketika pilihanraya kecil sajalah kerajaan menjadi sangat prihatin dan baik hati. Semua masalah cuba diselesaikan, apa kesusahan pun cuba dibantu. Kadangkala bantuan diberi tanpa diminta dan ianya datang seperti rezeki yang tiba-tiba turun dari langit.

Itulah fenomena biasa setiap kali pilihanraya kecil di Malaysia ini. Kuala Besut yang sedang hangat dengan kempen pilihanraya kecil pada 24 Julai ini juga tidak terkecuali, bahkan suasananya lebih membara daripada mana-mana pilihanraya kecil sebelum ini.

Pilihanraya kecil Kuala Besut penting kepada UMNO dan BN berbanding beberapa pilihanraya kecil sebelum ini kerana sekiranya keputusan 24 Julai nanti memihak kepada Pas, ia akan menjadikan kedudukan ADUN di Terengganu menjadi 16-16. Dewan Undangan Negeri Terengganu boleh jadi tergantung dan kedudukan Ahmad Said sebagai Menteri Besar tidak lagi selamat. Sultan Terengganu mungkin ada kuasa untuk memilih mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri, sama ada dari UMNO atau Pas sebagai Menteri Besar yang baru.

Kalau pun Ahmad Said terus kekal sebagai Menteri Besar, kedudukannya umpama di hujung tanduk, bila-bila boleh jatuh atau dijatuhkan. Dengan kedudukan 16-16, undang-undang dan Perlembagaan akan diuji keberkesanannya dan ia sesuatu yang baik untuk masa depan rakyat dan negara. Ia akan memberi ruang untuk mana-mana kelemahan dalam undang-undang dan Perlembagaan diperbaiki serta diperkemaskan. SPR yang selama ini lalai dan terlepas pandang dengan membiarkan jumlah kerusi menjadi genap, bukan saja di Terengganu tetapi di banyak negeri lain juga, bukan saja terpaksa mengakui kelemahan selama ini tetapi harus juga mencari jalan untuk menjadikan jumlah kerusi itu diganjilkan bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.

Tetapi sementara undang-undang dan Perlembagaan mahu diperbaiki, kedudukan 16-16 adalah tidak selamat bagi UMNO dan BN. Ia juga tidak selamat bagi Ahmad Said yang baru sepenggal duduk di kerusi empuk Menteri Besar, walaupun sebenarnya kedudukan 16-16 adalah pilihan yang terbaik untuk menjadikan seluruh rakyat Terengganu menjadi perhatian dan anak emas kerajaan selama lima tahun akan datang.

Disebabkan pentingnya Kuala Besut ini kepada UMNO dan BN secara keseluruhannya, maka pelbagai bantuan dan habuan dicurahkan untuk memastikan kerusi itu kekal ditangan BN. Sehingga ini durian runtuh paling besar yang diterima ialah pembinaan 72 unit pangsapuri tiga bilik di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut. Majlis pecah tanahnya dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah pilihanraya kecil ini, hanya sehari selepas hari penamaan calon.

Betapa pentingnya kerusi Kuala Besut ini sehingga Ahmad Said ketika berucap di majlis itu berkata, pangsapuri itu mungkin diberi percuma kepada penduduk Kampung Pengkalan Atap, Besut yang sering dilanda air pasang dan bahaya ombak tinggi sehingga mencecah atap rumah.

Muhyiddin sendiri menyifatkan pemberian rumah secara percuma itu agak istimewa dan mereka yang terbabit seharusnya bersyukur kepada Allah SWT.

Betapa pentingnya Kuala Besut kepada Ahmad Said sehingga rumah pun mahu diberi percuma. Ini merupakan cara kempen yang bukan saja tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan negeri sebelum ini, bahkan juga tiada mana-mana kerajaan di dunia ini yang berupaya memberi rumah percuma kepada rakyatnya.

Namun kerana pentingnya kerusi Kuala Besut, sejarah dunia telah tercipta di Terengganu. Selepas ini mungkin lebih ramai penduduk berpelung mendapat rumah percuma atas kepimpinan murah hati Ahmad Said ini.

Selain durian runtuh dalam bentuk rumah, habuan dan bantuan lain turut mulai melimpah. Ada yang menerima bantuan anak ayam kampung, anak kambing, anak lembu, makanan ternakan dan sebagainya daripada Kementerian Pertanian yang disampaikan oleh timbalan menterinya yang baru dilantik, Tajuddin Abdul Rahman.

Selepas ini, beberapa menteri dan timbalan menteri lagi akan turun ke Kuala Besut membawa buah tangan dari kementerian masing-masing. Meriahlah orang Kuala Besut dengan berbagai jenis bantuan dan habuan. Semuanya datang tanpa diminta dan tanpa perlu memgisi borang pun. Tidak juga ditanya sama ada layak atau tidak, pernah atau tidak memelihara ayam atau kambing sebelum ini tidak juga diambil kira, semuanya mahu diberi percuma.

Tidak cukup dengan bantuan dan habuan, jamuan makan minum, berbuka puasa serta bersahur juga meriah semeriahnya sehingga 24 Julai ini. Mungkin kalau bernasib baik dan pandai mengecek, duit untuk Hari Raya pun boleh dapat sekali.

Itulah kemeriahan di Kuala Besut sekarang ini.

Selain kerusi Kuala Besut penting untuk UMNO dan BN secara keseluruhannya dan juga penting untuk hidup mati Ahmad Said sebagai Menteri Besar, kemenangan di Kuala Besut turut signifikan untuk Muhyiddin yang menjadi Pengarah bagi pilihanraya kecil ini. Dengan kemenangan BN, ia akan melonjakkan nama Muhyiddin dan mengekalkan sokongan orang Melayu di luar bandar kepada UMNO dan BN.

Muhyiddin yang masih berteka-teki dan tidak mahu memberi jawapan pasti sama ada akan mencabar Najib bagi jawatan Presiden UMNO atau sekadar mengekalkan kedudukan Timbalan Presidennya, tentunya mengharapkan keputusan di Kuala Besut ini mampu memberi markah tambahan kepadanya. Jika BN menang di Kuala Besut, bukan saja UMNO dan BN selamat, Ahmad Said terselamat dan Muhyiddin pun boleh menumpang rahmat.

Untuk mencapai semua matlamat yang berbeza-beza itu, menjelang hari pengundian nanti, bukan saja Muhyiddin dan Ahmad Said akan menumpukan lebih banyak masa di Kuala Besut, bahkan beberapa menteri dan timbalan menteri yang lain juga akan terus turun silih berganti membawa habuan dan buah tangan untuk pengundi di kawasan itu. (SH 14/07/2013)




Saturday 13 July 2013

Akta Hasutan 1948 - Apa Pendirian Zahid Selepas Ini?


Mesyuarat kabinet semalam memutuskan untuk kekal dengan pendirian mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional yang kini sedang digubal. Ini bermakna tiada apa-apa yang berubah berhubung keputusan pemansuhan akta itu sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri pada Julai 2012 lalu.

Menteri Kesihatan, S Subramanian ketika memberitahu demikian berkata, Akta Keharmonian Nasional yang menggantikannya akan memastikan kestabilan politik dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Dengan keputusan kabinet ini, orangramai tentunya tertanya-tanya apakah pendirian Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi mengenai perkara itu selepas ini? Apakah beliau bersetuju dengan keputusan kabinet itu atau akan terus menentangnya sebagaimana kelantangan yang dipamerkan dua tiga hari sebelum ini?

Orangramai juga tentunya ingin tahu, apakah dalam mesyuarat kabinet semalam, Zahid Hamidi turut bersetuju bersama-sama pendirian kabinet itu atau beliau ada menyuarakan bantahan akta itu daripada dimansuhkan atau beliau hanya berdiam diri saja?

Semua ini menimbulkan persoalan. Zahid sebelum ini merupakan menteri yang paling ke depan membantah pemansuhan Akta Hasutan dengan menyelar sikap pihak-pihak tertentu yang mahu memansukan akta tersebut tanpa memikirkan kesan negatifnya walaupun sebenarnya perkara itu datang daripada mulut Najib sendiri.

Bahkan Zahid Hamidi juga mengingatkan dengan pemansuhan Akta Hasutan 1948 itu ia akan mendedahkan empat aspek dalam Perlembagaan kepada pertikaian umum iaitu kedudukan hak istimewa orang-orang Melayu, kedudukan Raja-Raja, agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Zahid juga menyatakan ketegasannya untuk tidak berkompromi dan akan terus mempertahankan Akta Hasutan 1948 itu.

Pelbagai pihak dalam UMNO termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir juga memberi pandangan bahawa akta itu perlu dikekalkan namun pihak pembangkang pula mahukan Najib menunjukkan ketegasan dan tidak mengubah janji mahu memansuhkan akta itu. Najib diingatkan agar mengekalkan slogan Janji Ditepati dan tidak menukarnya menjadi Janji Dicapati!

Sementara Zahid Hamidi menunjukkan ketegasannya mahu mempertahankan akta itu, ramai yang skeptikal dengan pendirian Menteri Dalam Negeri itu yang seolah-olah menyanggah keputusan Perdana Menteri sendiri dan melihatnya tidak lebih daripada tindakan Zahid memainkan emosi orang Melayu dan perwakilan UMNO menjelang pemilihan parti hujung tahun ini.

Selain Zahid Hamidi tidak dikenali sangat sebagai pemimpin yang benar-benar tegas sebelum ini, malah tindakan beliau membangkitkan bantahan mengenai Akta Hasutan secara tiba-tiba sekarang ini juga menimbulkan persoalan memandangkan ketika Najib melontarkan cadangan mahu memansuhkan akta itu sejak Julai 2012 lalu, Zahid Hamidi tidak pula bersuara mengenainya.

Ramai yang melihatnya sekadar permainan emosi di media untuk melonjakkan populariti menjelang pemilihan UMNO semata-mata.

Lalu dengan keputusan kabinet ini,  apakah sebenarnya pendirian Zahid Hamidi selepas ini?

Jika beliau terus bersuara dan komited dengan pendiriannya dan dalam mesyuarat kabinet semalam juga diketahui beliau didapati menyuarakan bantahannya tetapi terpaksa akur dengan keputusan majoriti,   barangkali orangramai akan meyakini keikhlasannya tetapi jika beliau hanya berdiam diri saja seperti tikus yang berada dalam tong beras, tidak diragui lagi bahawa riuh-rendahnya selama ini hanyalah sandiwara saja.

Rakyat kini sedang menunggu Zahid Hamidi menyatakan jati dirinya. (SH 13/07/2013)

Wednesday 10 July 2013

Lagi Dua Ahli Parlimen UMNO Dapat Habuan Dari Najib


Proses pemberian habuan jawatan dan kedudukan kepada Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang tercicir dalam perlantikan kabinet kini diteruskan dengan dua lagi Ahli Parlimen diberikan jawatan dalam syarikat GLC. Mereka yang terbaru menerima habuan ialah Ahli Parlimen Pulai, Nurjazlan Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Telekom Malaysia dan Othman Abdul, Ahli Parlimen Pendang dilantik sebagai Pengerusi Menara Kuala Lumpur.

Nurjazlan sudah tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Pulai dan merupakan anak sulung Allahyarham Mohamed Rahmat, bekas Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Penerangan yang begitu dikenali dalam UMNO manakala Othman Abdul pula adalah ahli politik veteran di Kedah tetapi dibawa semula bertanding dalam pilihanraya baru-baru ini dengan misi untuk menewaskan Mat Sabu di Pendang.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut bahawa Najib akan mengagih-agihkan pemberian jawatan dalam GLC dan agensi kerajaan kepada Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang tidak dilantik ke jawatan kabinet sebagai sebahagian daripada proses membalas budi dan juga untuk memastikan kesetiaan mereka tidak berbelah bagi terhadapnya.

Ia bukan saja dari kemungkinan beliau ditentang dalam pemilihan UMNO hujung tahun ini tetapi juga kebarangkalian berlakunya undi tidak percaya di Parlimen. Untuk jawatan Presiden UMNO, Najib kemungkinan disebut-sebut akan dicabar sama ada oleh Muhyiddin atau pun Tengku Razaleigh Hamzah manakala undi tidak percaya juga kemungkinannya akan memunculkan Tengku Razaleigh sebagai pilihan untuk ditonjolkan sebagai Perdana Menteri melalui sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang berasa dipingggirkan oleh Najib terutama dari Sabah dan Sarawak serta dengan sokongan 89 undi Pakatan yang sedia di Parlimen.

Antara Ahli Parlimen yang sudah dilantik ialah Ahli Parlimen Mersing, Dr Latif sebagai Pengerusi SPNB, Azeez Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji, Rais Yatim sebagai Presiden UIA dan penasihat bertaraf menteri bagi kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan, Annuar Musa sebagai Pengerusi MARA serta Ng Yen Yen sebagai Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan dan juga penasihat pelancongan kerajaan bertaraf menteri.

Dipercayai Najib akan terus mengagih-agihkan habuan dan ganjaran ini kepada ramai Ahli Parlimen lagi untuk mencapai matlamat melindungi kepentingan politik dan masa depannya itu.

Beberapa perlantikan sebelum ini, terutamanya Azeez Rahim dikecam oleh banyak pihak kerana kelayakannya yang diragui manakala peribadinya pula disifatkan tidak sesuai untuk menerajui institusi besar seperti Tabung Haji yang mempunyai aset sejumlah RM35 billion dan terlibat dalam urusan berkaitan ibadah umat Islam. Perlantikan penasihat kerajaan bertaraf menteri pula dipertikai kerana ia dianggap suatu pembaziran dan menambahkan lagi beban perbelanjaan kerajaan.

Semalam Pakatan Rakyat juga membangkitkan isu yang sama dan mahukan Perdana Menteri melihat dari segi keperluannnya kepada kepentingan kerajaan serta beban perbelanjaan, dan tidak semata-mata kepada keuntungan dari segi politik sahaja.

Perlantikan Nurjazalan sebagai Pengerusi Telekom dan Othman Abdul sebagai Pengerusi Menara Kuala Lumpur adalah yang terbaru dibuat oleh Najib. Nurjazlan difahamkan sudah menerima surat perlantikan dan akan memulakan tugasnya awal Julai depan manakala Othman Abdul sudah pun memulakan tugasnya beberapa hari lalu.

Namun tidak seperti perlantikan Azeez Rahim yang dipertikaikan kerana kelayakannya serta Rais Yatim dan Ng Yen Yen yang dianggap pembaziran, perlantikan Nurjazlan dan Othman Abdul diterima dengan baik oleh banyak pihak.

Nurjazlan, seorang akauntan bertauliah yang sudah tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Pulai di Johor dianggap berpatutan diberikan jawatan itu berikutan senioritinya sebagai Ahli Parlimen dan kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Telekom Malaysia sebelum ini. Perlantikan sebagai Pengerusi umpama kenaikan pangkat saja.

Dari sudut politik pula, Nurjazlan dianggap menyumbang kemenangan berharga kepada BN dalam pilihanraya lalu berikutan kemampuannya menewaskan Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub di kerusi Parlimen Pulai. Namun ada pihak juga merasakan berikutan kelayakan dan sumbangan besarnya itu, Nurjazlan sepatutnya lebih awal diberikan ganjaran oleh Najib dengan dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri sebaik BN memenangi PRU 13 lalu.

Begitu juga dengan Othman Abdul, selain kelayakan dan senioritinya tidak dipertikaikan dengan perlantikannya sebagai Pengerusi Menara Kuala Lumpur, sumbangannya kepada politik BN juga dianggap besar kerana beliau dibawa keluar daripada dunia persaraan dan ditawarkan menjadi calon sekali lagi di Pendang ialah menahan kemaraan orang nombor PAS, Mat Sabu daripada menang di kerusi itu. Othman Abdul akhirnya berjaya menewaskan Mat Sabu dan kekal menjadikan Timbalan Presiden PAS itu tidak mampu membawa suaranya ke dalam Parlimen sejak dua penggal yang lalu.

Bagaimanapun sumbangannya yang agak besar itu dilihat tidak sepadan dengan sumbangan politiknya kepada BN berikutan Menara Kuala Lumpur yang dipengerusikannya hanyalah sebuah anak syarikat kecil milik Telekom Malaysia yang menguruskan Menara KL yang merupakan salah satu kawasan kunjungan popular untuk pelancong. Meskipun Menara KL popular di mata pelancong tetapi syarikat yang menguruskannya itu dianggap "syarikat miskin" saja dalam Telekom Malaysia.

Mungkin juga perlantikan sebagai Pengerusi Manara Kuala Lumpur ini hanyalah permulaan dan ganjaran kedua yang lebih besar sedang menunggunya selepas ini. (SH 10/07/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...