Friday 7 June 2013

Transformasi Palsu, Baik Dikembalikan Peraturan Pertandingan Dulu


Menjelang Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini, isu pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO paling banyak diperkatakan. Ia bukan saja kerana Najib dianggap gagal dalam pilihanraya lalu bahkan keputusan pilihanraya 2013 adalah yang terburuk dalam sejarah BN tetapi juga kerana Najib sebelum itu telah menjanjikan transformasi politik dengan meminda perlembagaan dan peraturan pertandingan dalam UMNO.

Najib telah menghapuskan kouta pencalonan daripada bahagian-bahagian dan sesiapa yang hendak bertanding hanya perlu mendaftarkan nama saja. Orang yang mengundi pula tidak lagi perwakilan seramai 2,500 orang saja tetapi diperluaskan kepada 146,500 orang daripada cawangan-cawangan UMNO seluruh negara.

Lantas Najib terlihat seperti seorang pemimpin yang  berjiwa besar dan tidak takut dengan pertandingan, walaupun hakikatnya sejarah politik Najib dalam UMNO menyaksikan beliau mendapat hampir semua jawatannya secara percuma dan tanpa pertandingan. Hanya jawatan Naib Presiden yang memerlukan 3 pemenang beliau pernah bertanding.

Dengan pindaan itu juga menyebabkan ramai yang tidak sabar-sabar mahu menggunakan hak mereka untuk memilih pemimpin, lebih-lebih lagi apabila pemimpin atasan UMNO terlihat begitu mengheboh-hebohkan mengenai 146,500  orang perwakilan cawangan yang boleh mengundi kali ini.

Namun, tragisnya menjelang makin hampir Perhimpunan Agung UMNO, transformasi yang dulu begitu diuar-uarkan seperti ingin dibakulsampahkan dengan silih berganti pemimpin peringkat atasan mencadangkan agar  jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. UMNO Negeri Sembilan telah menjadikannya resolusi manakala Pemuda UMNO pula menjadikannya ketetapan mesyuarat mereka.

Berbagai hujah dan justifikasi pula direka untuk mewajarkan kedua-kedua jawatan itu tidak dipertandingkan, walaupun difahami bahawa yang ingin sangat diselamatkan  sebenarnya ialah kedudukan Najib. Dengan keputusan pilihanraya yang begitu buruk, ramai yang menyedari bahawa kemungkinan Najib akan kecundang adalah tinggi jika pertandingan dibenarkan. Maka untuk menyelamatkan Najib, pertandingan cuba dihalang dan jawatan Muhyiddin dipakejkan sekali.

Pemimpin akar umbi cuba dinafikan hak mereka sekali lagi. Seharusnya dengan adanya pindaan perlembagaan dan peraturan baru ini, biarlah pemimpin akar umbi yang menentukan sama ada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu mahu diadakan atau sebaliknya. Berilah muka kepada mereka, sesuai dengan semangat pindan itu dilakukan.

Apakah Najib dan semua yang menyokong pindaan itu dulu sudah lupa perkara ini?

Tetapi dengan berebut-rebut pemimpin, sama ada yang baru disambung jawatan dan mendapat jawatan baru,  mencadangkan agar tiada pertandingan, transformasi Najib ternyata hanya palsu. Keterbukaan dan inklusifnya UMNO dengan 146,500 orang boleh memilih pemimpin berbanding 2,500 sebelum hanya indah khabar dari rupa kerana mereka tidak diberikan peluang menunaikan tanggungjawab itu.
Entah bila 146,500 orang ini berpeluang memilih pemimpin, kita pun tak tahu.

Jika demikianlah keadaannya wajah sebenar pemimpin UMNO, takut dengan persaingan dan pertandingan sedangkan dalam mana-mana dunia  sekarang ini demokrasi semakin dijunjung dan persaingan digalakkan untuk membentuk kekuatan,  sempena Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun ini juga,  eloklah dikembalikan semula perlembagaan dan peraturan dulu yang memuatkan sekatan untuk bertanding seperti kouta pencalonan dan sebagainya.

Biarlah Presiden, Timbalan Presiden dan lain-lain pemegang jawatan selesa dengan jawatan selagi mahu, kecuali digulingkan apabila berlaku tragedi atau kalah pilihanraya.

Tak perlukan berpura-pura mengenai transformasi sedangkan semuanya seperti sudah direncanakan menjadi  wal hasil balik asal. (SH 07/07/2013)

1 comment:

  1. UMNO Baru adalah ciptaan Tun Mahathir dan beliau juga orang yang bertanggongjawab menyusun strategi menghalang ahli bangkit mencabar kedudukan beliau selaku presiden parti selama 22 tahun.

    Penilaian pemerhati tentang jawatan presiden dan timbalan disuarakan oleh individu tertentu agar tidak dipertandingkan adalah dikalangan orang yang termakan budi dan selebihnya telah menerima rasuah dalam pelbagai bentuk. Mereka bertindak seolah-olah amat prihatin agar parti tidak bergolak tapi mereka sebenarnya hipokrit.

    Tun Mahathir adalah guru dalam hal ini. Pewaris seperti Najib juga ingin menguasai parti selama mungkin. Oleh kerana itu bukan pekara mustahil jika jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak akan dipertandingkan sehingga hari kiamat.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...