Tuesday 26 June 2012

Tema Bajet 2013 28 September: Kekalkanlah Saya Sebagai PM...



Jika mahu dikatakan transformasi, barangkali inilah transformasi yang sebenarnya yang mahu dibawa oleh Najib. Sejak menjadi Perdana Menteri, Najib ternyata paling banyak melakukan pelbagai perkara baru semata-mata untuk mendapatkan undi dan memastikan dirinya terus kekal berada di puncak kuasa.

Dari memberi wang kepada rakyat, budak sekolah, pelajar universiti, durian runtuh kepada peneroka Felda sehinggalah kepada memberi baucer tayar kepada pemandu teksi - adalah antara pembaharuan politik yang diperkenalkan Najib. Najib dilihat sebagai pemimpin yang pemurah dengan wang tunai dan ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini, jia ada pun pemberian tunai hanyalah pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan.

Kali ini beliau melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menjadikan sambutan Hari Merdeka sebagai medan kempen bagi UMNO dan BN pula melalui persetujuan kerajaan menggunakan ungkapan 1Malaysia Janji Ditepati sebagai tema sambutannya pada tahun ini.

Pengumuman tema ini diumumkan oleh Dr Rais Yatim, menteri yang bertanggungjawab terhadap sambutan hari kemerdekaan itu.

Sesiapa pun yang membaca tema itu dengan pantas menyedari bahawa ia bertemakan kempen politik, lebih-lebih lagi Program Janji Ditepati adalah sebuah program mendekati rakyat anjuran Media Prima yang sudah diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara dengan Najib sendiri hadir dan bercakap mengenai politik, pilihanraya dan mempertahankan kuasa di program-program tersebut.

Oleh itu, dengan menggunakan tema yang sama, tentulah ia juga bermotifkan politik dan seolah-olah mahu memberitahu rakyat bahawa UMNO dan BN adalah penunai janji terbaik yang mesti terus dikekalkan kuasanya.

Sambutan Hari Merdeka sepatutnya diraikan dengan mengajak rakyat menghargai kemerdekaan, kecintaan kepada negara, memupuk perpaduan dan lain-lain nilai baik yang meliputi semua kaum dan golongan kerana ia diraikan oleh semua lapisan rakyat. Ia seharusnya merentasi batas politik dan untuk semua orang.

Tetapi dengan Najib ingin melakukan transformasinya mahu menjadikan Hari Merdeka sebagai medan kempen politik, ia bukan saja menyerlahkan keghairahan yang terlampau terhadap kuasa dan kemenangan malahan di sisi lain menggambarkan kebimbangan Najib yang sedang berada di tahap maksima.

Tidak pernah mana-mana pemimpin sebelum ini menjadikan sambutan Hari Merdeka sebagai medan kempen, walau bagaimana gelora sekali pun kemelut politk yang sedang dihadapi. Mahathir sendiri ketika menghadapi tentangan sengit Semangat 46 pada pilihanraya 1990 dan selepas pemecatan Anwar pada piliharaya 1999, tidak tergamak menjadikan sambutan hari kemerdekaan di mana-mana tahun sekali pun sebagai medan untuk kempen politiknya.

Untuk renungan bersama, elok kita imbas kembali tema-tema sambutan Hari Merdeka sejak 1970 untuk melihat kematangan pemimpin sebelum itu berbanding Najib yang kelihatan cukup pendek akalnya. Tema sambutan kemerdekaan hanya diperkenalkan mulai tahun 1970 dan sebelum itu is tidak mempunyai tema dan lebih menjurus kepada erti kemerdekaan sahaja.

1970 - Muhibbah dan perpaduan
1971 - Masyarakat progresif
1972 - Masyarakat adil
1973 - Masyarakat berkebudayaan Malaysia
1974 - Sains dan teknologi alat perpaduan
1975 - Masyarakat berdikari
1976 - Ketahanan rakyat
1977 - Bersatu maju
1978 - Kebudayaan sendi perpaduan
1979 - Bersatu berdisiplin
1980 - Berdisiplin berbakti
1981 - Berdisiplin berharmoni
1982 - Berdisiplin giat maju
1983 - Bersama ke arah kemajuan
1984 - Amanah asas kejayaan
1985 - Nasionalisme teras perpaduan
1986 - Bangsa tegas negara teguh
1987 - Setia bersatu berusaha maju
1988/1989 - Bersatu
1990 - Berjaya
1991 - Wawasan 2020
1992 - Wawasan asas kemajuan
1993 - Bersatu menuju wawasan
1994 - Nilai murni jayakan wawasan
1995 - Jatidiri penggerak wawasan
1996 - Budaya penentu kecapaian
1997 - Akhlak mulia masyarakat jaya
1998 - Negara kita, tanggungjawab kita
1999 - Bersatu ke alaf baru
2000 - 2006 - Keranamu Malaysia
2007 - Malaysiaku gemilang
2008 - Perpaduan teras kejayaan
2009 - 1Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan
2010 - 1Malaysia menjana transformasi
2011 - 1Malaysia, transformasi berjaya, rakyat sejahtera
2012 - 1Malaysia janji ditepati

Jelas dapat dilihat bahawa tema-tema hari kemerdekaan sebelum ini adalah bersifat menyeluruh dan mengajak kepada kebaikan untuk semua orang serta tidak pernah digunakan untuk matlamat politik.

Bagaimanapun sejak Najib menjadi Perdana Menteri, kecenderungan kepada mempromosi pendekatan politiknya mulai terserlah melalui tema yang digunakan sejak 2009 itu.

Tetapi buat pertama kalinya tahun ini ia jelas bersifat politik, untuk memenangi piihanraya dan untuk kepentingan Najib mempertahankan kuasa. Sambutan hari kemerdekaan tahun ini juga buat pertama kali juga akan diadakan sambutan malam yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan tentunya akan disiarkan secara langsung melalui tv ke seluruh negara.

Sekali lagi, Najib pastinya akan menggunakan acara itu untuk berkempen politik dan menyerang pembangkang. Sambutan Hari Merdeka tahun ini akan menjadi hari kempen yang meriah untuk Najib, UMNO dan BN.

Dan selepas 31 Ogos ini akan diadakan pula sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Sarawak. Najib tentunya juga tidak mahu melepaskan peluang menggunakan acara itu sekali lagi sebagai medan kempen politiknya, tambahan pula Sabah dan Sarawak yang dulunya dikenali sebagai "fixed deposit" untuk BN, kini sudah mula ditembusi oleh Pakatan Rakyat.

Jika pilihanraya tidak diadakan lagi selepas sambutan Hari Malaysia itu, Najib mempunyai satu lagi peluang untuk berkempen iaitu melalui pembentangan Bajet 2013 yang sudah ditetapkan pada 28 September depan. Najib pastinya juga akan menggunakan peluang dalam pembentangan Bajet 2013 itu untuk menawarkan pelbagai habuan, gula-gula dan janji politiknya. Seperti biasa, oleh kerana ia disiarkan secara langsung melalui tv, Najib tentunya akan mengggunakan kesempatan itu untuk menyerang Anwar dan pembangkang melalui pembentangan bajet itu nanti.

Oleh kerana Najib sudah begitu jauh menyimpang dari landasan berpolitik yang sewajarnya sehingga sanggup menjadikan sambutan hari kemerdekaan sekali pun untuk kepentingan politiknya, janganlah terkejut jika Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Najib nanti bertemakan "Kekalkanlah Saya Sebagai Perdana Menteri". (26/06/2012)

Sunday 24 June 2012

Najib Kafankan Transformasinya Sendiri


Semakin hampir detik pilihanraya, semakin banyak percakapan mengenai transformasi politik Najib diperkatakan orang. Meskipun Najib nampaknya mahu rakyat menilai transformasi yang cuba dilaksanakannya sebagai sesuatu yang baru dan penting untuk masa negara, masih ramai yang ragu-ragu dengannya.

Keraguan rakyat tidak sukar difahami. Isunya ialah kerana antara cakap dan dan perbuatan Najib seringkali berbeza, malah banyak kali berlawanan.

Ketika beliau berbangga mengumumkan penghapusan ISA ketika sambutan Hari Malaysia tahun lalu, hakikatnya masih ada tahanan ISA yang kekal disimpan dalam penjara dan tidak tahu bila akan dibebaskan.

Di ketika melaungkan kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman dengan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman, sekatan-sekatan tertentu masih dikenakan melalui penggunaan kuasa polis dan sebagainya sebagaimana terpamer dalam Bersih 2.0 dan Bersih 3.0.

Kebebasan bersuara dan menyuarakan bantahan juga bagai tidak diterima sepenuhnya oleh Najib bila beliau secara terbuka menyifatkan mereka yang menentang penyenaraian Felda Global Venture sebagai "haram jadah" dan tidak redha mereka menerima durian runtuh RM15 ribu yang diberikan oleh kerajaan.

Itu hanya sebahagian contoh bagaimana di ketika Najib melaung dan menjerit tentang transformasi politiknya, hakikatnya perlakuan beliau amat bertentangan sekali.

Bagaimanapun sebagai Perdana Menteri yang gajinya dibayar melalui cukai rakyat, rakyat masih mengharapkan Najib benar-benar ikhlas melaksanakan transformasi yang dijanjikannya itu.

Tetapi perkembangan terbaru yang ditunjukkan oleh Najib baru-baru ini menyebabkan rakyat benar-benar tidak yakin terhadap transformssi atau pembaharuan yang pernah dijanjikannya itu. Beliau bukan saja menolak untuk melakukan sesuatu yang baik untuk kepentingan rakyat dan negara serta menggembirakan semua orang, malah keangkuhannya makin menyerlah.

Dalam isu pilihanraya pada musim haji, walaupun semua pihak, kecuali golongan pengampu, tidak setuju ia diadakan pada musim haji dan mahukan Najib memberi jaminan beliau tidak akan mengadakan pilihanraya pada musim haji, beliau nampaknya menolak idea itu.

Malahan tindakannya mengaitkan bahawa piihanraya juga pernah diadakan diadakan musim haji sebelum ini iaitu pada 1986 (Najib kata ketika itu Perdana Menteri Hussein Onn, sebenarnya Tun Mahathir) tidak lebih membayangkan bahawa Najib sanggup melakukan apa saja untuk mempertahankan kuasanya.

Sebelum ini sudah ada beberapa ulama seperti Mufti Perlis, Dr Juanda yang mengatakan pilihanraya di musim haji akan melemahkan undi orang Melayu dan Islam manakala Dr Mohd Asri pula menyifatkan pilihanraya di musim haji umpama memilih untuk bersembahyang di tempat orang lalu-lintas.

Walaupun benar pilihanraya pernah diadakan pada musim haji oleh Mahathir tetapi apakah contoh buruk itu mahu diikuti? Kekal mahu mencontohi sesuatu yang buruk bermakna menghumban transformasi sendiri ke lubang kubur.

Jika benar mahu melakukan transformasi, jaminan bahawa pilihanraya tidak diadakan pada musim haji atau di ketika yang boleh menyusahkan orang lain adalah sebahagian daripada ciri-ciri transformasi itu sendiri. Beliau harus ada keberanian jika ikhlas mahu melakukan transformasi.

Dalam masa yang sama Najib juga menolak bulat-bulat idea Nazri Aziz yang mahu menjadi orang tengah bagi merundingkan dengan pihak pembangkang agar pilihanraya umum diadakan selepas tempoh lima tahun. Idea Nazri ini memang sangat bagus dan mendapat persetujuan banyak pihak. Ini kerana jika pilihanraya diadakan selepas tempoh lima tahun, politiking dapat dikurangkan dan tumpuan kepada rakyat dapat dimaksimumkan.

Dengan memberi alasan bahawa idea itu memerlukan pindaan perlembagaan, Najib juga langsung tidak mahu menerimanya sebagai idea yang baik dan menguntungkan semua pihak. Beliau juga tidak membayangkan mahu melaksanakan idea itu selepas ini jika terus diberi mandat oleh rakyat.

Sekali lagi Najib menolak transformasi yang boleh membawa kebaikan kepada iklim politik negara.

Najib juga terus bersilat untuk menolak berdebat dengan Anwar Ibrahim sambil mengatakan bahawa debat bukanlah budaya kita. Dalam masa yang sama Najib mungkin terlupa bahawa debat sudah diadakan di sekolah dan IPTA sejak sekian lama bahkan debat Piala Perdana Menteri juga sudah lama diadakan dan kerapkali disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Dalam menyembunyikan ketakutannya untuk berdebat dengan Anwar, Najib juga terlupa keangkuhannya sebelum ini yang menyatakan Anwar akan demam jika berdebat dengannya kerana sebagai Perdana Menteri, beliau boleh memperolehi pelbagai maklumat mengenai Ketua Pembangkang itu.

Debat telah diterima sebagai budaya dan ciri penting dalam politik beberapa negara maju dan dalam usaha Malaysia menuju menjadi negara maju, ia juga wajar dibudayakan dalam politik negara. Lagi pula, majoriti rakyat terutama golongan muda amat meminati budaya debat ini. Mereka juga mengalukan debat Najib - Anwar itu diadakan.

Jika mahu melengkapkan transformasi politiknya dan menyemai budaya sihat dalam negara, beliau tidak seharusnya menolak untuk berdebat, jauh sekali untuk mengatakan debat bukan budaya kita. Sekali lagi Najib tidak serius dalam transformasi politiknya.

Melihat beberapa gerak langkah Najib dalam konteks transfomasi politik ini, beliau hanya mahu melaksanakan sesuatu yang menguntungkan dirinya sahaja, sebaliknya menolak sesuatu transformasi yang diterima rakyat atau yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat.

Ini menjadikan semakin banyak beliau bercakap tentang transformasi, di mata rakyat beliau sebenarnya sedang mengkafankan transformasi itu sendiri. (SH 24/06/2012)


Thursday 21 June 2012

UMNO Haramkan Debat


IMPIAN MUSNAH! Barangkali itulah perkataan yang paling sesuai ditujukan kepada sebahagian besar rakyat Malaysia yang masih menaruh harapan untuk melihat debat terbuka antara Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim menjadi kenyataan. Hakikatnya, debat itu tidak akan menjadi realiti sama-sekali.

Tidak setakat itu saja, malahan debat-debat lain yang melibatkan pemimpin UMNO juga tidak akan muncul lagi selepas ini.

Debat yang berlangsung pada 19 Julai lalu antara Ahli MT UMNO, Saifuddin Abdullah dengan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub juga adalah merupakan debat terakhir yang melibatkan pemimpin UMNO, sekurang-kurangnya di era UMNO berpresidenkan Najib.

Selepas ini, pemimpin UMNO dilarang sama-sekali berdebat dengan pemimpin pembangkang.

Ini berikutan UMNO difahamkan telah mengambil langkah mengharamkan para pemimpinnya daripada berdebat dengan para pemimpin pembangkang atas apa juga isu atau topik.

Sebelum Saifuddin berdebat dengan Salahuddin atas tajuk demonstrasi jalanan, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO juga telah berdebat dengan Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkenaan tajuk piliharaya yang bersih dan tabung pendidikan TPTN.

Khairy dan Rafizi juga pernah berdebat di London di hadapan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

Langkah terbaru mengharamkan debat kepada pemimpin UMNO ini dipercayai atas inisiatif Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Rais Yatim berikutan respon daripada sebahagian pimpinan UMNO yang melihat debat yang telah berlangsung itu lebih banyak memberi kesan buruk kepada UMNO, lebih-lebih lagi kerana ianya disiarkan secara langsung melalui tv.

Ini berikutan ia dilihat telah memberi ruang kepada pihak pembangkang untuk berkempen dan membangkitkan pelbagai perkara mengenai UMNO dan kerajaan serta ditonton oleh jutaan orang.

Bagi UMNO pula, debat itu tidak memberi kesan yang banyak kepada rakyat kerana tanpa debat pun mereka masih boleh menyampaikan pelbagai perkara berikutaan penguasaan yang meluas terhadap media cetak dan elektronik.

Lebih dari itu, oleh kerana Najib sendiri kelihatan tidak berani berdebat walaupun berkali-kali dicabar oleh Anwar, sudah tentu langkah membiarkan pemimpin lain pula berdebat bagaikan suatu penghinaan dan perlekehan kepada Najib.

Atas asas-asas tersebutlah debat yang melibatkan pemimpin UMNO dengan pihak pembangkang dicadangkan untuk diharamkan.

Dalam hubungan ini, Rais difahamkan telah memaklumkan secara lisan kepada KJ dan Saifuddin, dua pemimpin UMNO yang masih ghairah dengan idea debat, agar tidak lagi menyahut atau terlibat dengan mana-mana debat dengan pembangkang selepas ini.

Dijangkakan Rais Yatim sendiri akan membentangkan langkah megharamkan debat ini dalam Mesyuarat MT UMNO yang akan diadakan pada Jumaat, 22 Jun ini agar ia menjadi peraturan rasmi yang mesti dipatuhi oleh semua pemimpin UMNO.

Langkah ke belakang yang dibawa Rais ini, walaupun mungkin mendapat sokongan ahli-ahli MT UMNO tetapi ianya pasti memberi kesan kepada undi yang bakal diperolehi oleh UMNO dan BN, khususnya daripada pengundi muda dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Bagi generasi muda, langkah mengharamkan debat adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara, keterbukaan, keberanian berhujah serta kepintaran bermain dengan hujah dan kata-kata dalam mempertahankan idealisme perjuangan.

Lebih dari itu, dalam usaha Malaysia menuju negara maju juga, langkah UMNO mengharamkan debat ini langsung tidak seiring dengan perjalanan sebuah negara yang sedang menuju kemajuan dan kematangan sebagaimana yang telah terpamer dalam budaya sebahagian besar negara-negara maju yang menghalalkan debat terbuka diadakan.

Di Amerika dan Britain misalnya, debat dalam pemilihan pucuk pimpinan kedua negara itu sudah menjadi budaya yang bukan saja ditunggu-tunggu oleh rakyatnya sebelum mereka membuang undi malahan menjadi perhatian seluruh dunia. (SH 21/06/2012)

Wednesday 20 June 2012

Keberanian KJ Dan Saifuddin Bakal Memakan Diri



Meminjam kata-kata moderator debat, Prof Mohamad Abu Bakar yang menyifatkan Saifuddin Abdullah, Ahli MT UMNO adalah suara siuman di antara suara yang sumbang, tidak syak lagi menyerlahkan hakikat bahawa beliau adalah antara pemimpin UMNO yang berani, terbuka dan sesuai dengan kehendak semasa.

Saifuddin adalah pemimpin kedua UMNO yang berani berdebat dengan pembangkang setelah Ketua Pemuda UNNO, Khairy Jamaluddin menunjukkan keberanian berdebat dengan Pengerusi Bersih, S Ambiga dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli sebelum ini.

KJ telah berdebat mengenai sistem pilihanraya dengan S Ambiga manakala dengan Rafizi pula berkenaan tabung pendidikan, PTPTN.

Saifuddin pula pada malam 19 Jun lalu telah berdebat dengan Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayob dengan tajuk "demonstrasi jalanan, meruntuh atau mengukuhkan demokrasi"

Dalam situasi gelora anak muda begitu membara dan pelbagai isu meledak di atmosfera politik, debat antara dua parti yang berbeza pandangan mampu melahirkan kematangan dan penunjuk arah yang jelas kepada rakyat dalam membuat pilihan terhadap parti dan pemimpin yang terbaik.

Di Amerika dan beberapa negara Eropah, debat sudah menjadi antara medium yang diterima rakyat mereka dalam memilih pemimpin.

Di ketika semua pemimpin UMNO takut untuk diajak berdebat,termasuk Perdana Menteri sendiri, KJ dan Saifuddin yang berani berdebat adalah penyelamat dan pembawa suara yang menunjukkan UMNO masih dilihat siuman dengan sikap terbuka, matang dan berani meskipun pemimpin lain gemar memperlihatkan watak sumbang di mata rakyat.

Soal menang atau kalah dan siapa yang dilihat lebih berwibawa bukanlah soal penting dalam debat tetapi yang lebih mustahak ialah keberanian dan kematangan yang ditunjukkan dalam debat tersebut.

KJ dan Saifuddin mungkin telah memenuhi selera anak muda dan rakyat kebanyakannya. Mereka juga mungkin digambarkan sebagai antara pemimpin masa depan yang masih ideal untuk negara ini.

Cumanya, masih idealkah mereka di hati UMNO?

Seperti KJ, sejak keberaniannya berdebat, perdebatannya tentang masa depan politiknya mulai diperkatakan. Ramai yang mengatakan beliau mungkin akan digugurkan dalam pilihanraya akan datang ini.

KJ sendiri menyedari hakikat itu. Sementara kedudukannya masih 50-50 antara menjadi calon atau tidak, KJ secara terbuka mengakui beliau masih mahu bertanding di Rembau. Beliau juga lebih rela tidak bertanding jika pucuk pimpinan mahu meletakkannya di tenpat lain. Ini berikutan terdapat ura-ura mahu meletakkan KJ di Kepala Batas menggantikan Pak Lah yang sudah pun mengumumkan akan mengundur diri.

Dengan menyebut masih mahu bertanding di Rembau, bermakna KJ tahu ada usaha mahu meminggir atau meletakkannya bertanding di tempat lain dengan maksud yang sama.

Walaupun KJ juga secara terbuka berkata akan terus mempertahankan jawatan Ketua Pemuda yang sedang disandangnya dan memerlukan sepenggal lagi bagi meneruskan segala perancangan yang sudah diatur dalam Pemuda UMNO, ini sama-sekali tidak menjamin beliau akan dicalonkan lagi untuk penggal kedua.

Kekangan KJ ialah kerana beliau menunjukkan aksi beraninya di kalangan pemimpin UMNO yang penakut. Najib, Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Afdal, Ahmad Maslan dan lain-lain pemimpin UMNO adalah pemimpin penakut yang terang-terang menolak debat. Dalam komuniti penakut, orang berani tidak akan diterima.

Sebab lain yang memungkinkan KJ kecundang di tengah jalan ialah faktor Mahathir. Dengan Mahathir kini memainkan peranan utama untuk memenangkan Najib dan UMNO dalam pilihanraya ini, harapan KJ untuk terus bernafas dengan selesa tentunya amat tipis.

Kekerapan Mahathir mengungkit-ungkit punca kelemahan UMNO yang dikaitkan dengan era pentadbiran Pak Lah adalah lontaran "pukul bapa sindir menantu" yang ditujukan kepada KJ supaya orangramai melihat punca kelemahan UMNO di zaman Pak Lah juga berpunca daripada campurtangan KJ melalui apa yang dipanggil "budak-budak tingkat 4" yang sering disebut oleh Mahathir sebelum ini.

Jika ini difahami oleh Najib, tindakan mencalonkan semula KJ pastinya mengundang bahaya kepada Najib sendiri, terutamanya jika UMNO dan BN hanya mendapat kemenangan tips dalam pilihanraya nanti.

Najib mungkin lebih disenangi Mahathir jika akur kepada bekas PM itu dan sedia menggugurkan KJ sebagai calon pilihanraya. Jika berdebat pun takut, beranikah Najib menyanggah Mahathir?

Sebagaimana KJ, masa depan politik Saifuddin di Temerloh juga mulai diperkatakan selepas debatnya dengan Salahuddin. Terdapat ura-ura bahawa beliau akan digugurkan sebagai calon oleh UMNO dalam pilihanraya akan datang ini dan gerakan meminggirkan beliau dikatakan sudah pun bermula.

Jika sebelum ini Saifuddin dilihat sebagai pemimpin yang terbuka dan disenangi oleh orang muda serta mahasiswa dan beberapa tindakannya sebelum ini sudah pun menimbulkan kecurigaan banyak pihak dalam UMNO, keberaniannya berdebat bagai meletakkan dirinya dalam kedudukan yang lebih meruncing.

UMNO Temerloh yang diketuai oleh Sharkar Shamsuddin dikatakan sudah mulai mencantas beberapa aktiviti yang sepatutnya dihadiri oleh Saifuddin. Blog-blog pro UMNO pula sudah sekian lama menyerang Saifuddin dengan pelbagai andaian dan analisa yang menggambarkan seolah-olah beliau tidak sesuai lagi menjadi Ahli Parlimen UMNO.

Saifuddin juga dituduh sebagai suara PKR dalam UMNO. Keberaniannya berdebat adalah alasan terbaik untuk pihak yang penakut untuk mengenepikannya.

Jika debat telah mengangkat Saifuddin dan KJ sebagai antara pemimpin UMNO yang masih disukai, ideal dengan kehendak zaman, berani serta matang, debat yang sama juga mungkin membawa malapetaka kepada masa depan mereka berdua.

Dengan berani berdebat sedangkan Najib sendiri masih takut untuk berdebat dengan Anwar, mereka berdua mungkin makin jauh di hati Najib. (SH 20/06/12)

Tuesday 19 June 2012

Mahathir - Pesara Yang Tidak Tenang Jiwanya


Mahathir mungkin satu-satunya pesara jawatan tertinggi di Malaysia dan dunia, yang tetap memenuhkan setiap hari yang dilaluinya dengan kesibukan mengkritik dan memikirkan tentang politik.

Jika pesara lain yang pernah menjadi Perdana Menteri atau Presiden mana-mana negara, mereka hanya lebih banyak menjalani kehidupan santai bersama keluarga dan anak cucu serta sesekali menghadiri jamuan selepas meletakkan jawatan, ini tidak berlaku kepada Mahathir.

Sejak melepaskan jawatan pada 2003 dan kemudian berlaku episod Anwar dibebaskan dari penjara, perselisihannya dengan pengganti yang dipilihnya sendiri iaitu Pak Lah dan keputusan buruk pilihanraya 2008, Mahathir menjadi seorang pesara yang tidak pernah duduk diam.

Menjelang pilihanraya akan datang ini di mana musuh utamanya, Anwar sedang mengintai untuk menuju ke Putrajaya dan dalam masa yang sama UMNO semakin ditolak rakyat, Mahathir kelihatan semakin sibuk dan menjadi tidak tenang jiwanya. Pelbagai pandangan, tulisan, kritikan dan ucapan mengenai politik, masa depan negara, UMNO, Anwar dan sebagainya sudah diluahkannya. Matlamatnya tidak lain, mengelak impian Anwar menjadi Perdana Menteri menjadi kenyataan.

Baru-baru ini beliau bercakap tentang demokrasi, pembaharuan dalam pentadbiran Najib yang disifatkannya menggalakkan ekstremisme dan kebimbangannya jika Anwar menyalahgunakan kuasa setelah berjaya menjadi Perdana Menteri dan seterusnya memungkinkannya di bawa ke muka pengadilan dan dipenjarakan.

Jelas bahawa Mahathir mulai bimbang dengan kebangkitan rakyat yang mahukan pembaharuan sebagaimana yang telah berlaku di beberapa negara sebelum ini.Namun dengan membuat andaian bahawa kemungkinan beliau akan menjadi mangsa balas dendam Anwar, beliau mengharapkan rakyat menolak perubahan dan lebih melihat kesan buruknya berbanding kebaikannya.

Mahathir akan terus mengkritik Anwar dan pembangkang sehingga tarikh pilihanraya diumumkan dan ketika tempoh kempen, keaktifannya mungkin berganda lagi. Jiwa pencennya tidak akan tenang selagi Anwar masih bernafsu untuk merebut kuasa. Beliau ghairah mempertahankan UMNO bukan sangat kerana sayangkan Najib tetapi semata-mata mahu mengelak rakyat memilih Anwar sebagai Perdana Menteri.

Jika diimbas pencapaian dan kejayaan Mahathir menundukkan musuh-musuh politiknya, beliau sepatutnya sudah boleh menggunakan tempoh persaraan ini dengan jiwa lebih tenang. Semua musuh politiknya berjaya ditunduk dan dijinakkan. Beliau memang boleh berbangga dengan pencapaian itu.

Tetapi putaran kehidupan menjadikan beliau lebih serabut dan kalut berbanding bekas musuh-musuh yang pernah dikalahkannya itu.

Musa Hitam, musuh politiknya yang pertama, kelihatan lebih enjoy dan tenang di usia persaraan ini dengan menceburi dunia korporat dan banyak menghabiskan masa di luar negara. Tengku Razaleigh yang ditewaskannya pada 1987, walaupun masih aktif dan bernyawa dalam politik tetapi jiwanya kini juga pasti lebih tenang dan santai berbanding Mahathir. Begitu juga dengan Pak Lah, sejak bersara pada 2009, beliau mengambil keputusan bersara sepenuhnya dan tidak pernah menyusahkan penggantinya iaitu Najib. Masanya banyak dipenuhkan bersama keluarga dan hanya sesekali muncul di khalayak ramai.

Hanya Anwar, musuhnya yang turut tidak tenang tetapi Anwar belum bersara dan sedang gigih mendaki tangga untuk menawan Putrajaya.

Kenapakah Mahathir tidak setenang Musa Hitam, Ku Li dan Pak Lah?

Mahathir menjadi sedemikian rupa tentunya ada kaitan dengan langkah-langkah politik yang dilakukannya sepanjang 22 tahun berkuasa yang kadang-kadang dilihat zalim dan keterlaluan. Beliau tidak pernah ada perikemanusiaan terhadap penentang yang mahu menggugat kuasa yang sedang disandangnya.

Apabila melantik Pak Lah sebagai penggantinya, beliau antara lainnya tentulah mengharapkan dapat bersara dengan aman dan tenang. Tetapi bermula dengan pembebasan Anwar dari penjara dan kemunculan pengaruh KJ menyebabkan Mahathir kembali menyingsing lengannya. Dan sejak itu, sekitar tahun 2004 sehinggalah sekarang, Mahathir menjadi seorang pesara yang tidak tenang jiwanya.

Mahathir kini bagai diburu oleh dosa-dosa silamnya. Kerakusan untuk mempertahankan kuasanya suatu ketika dahulu sehingga tiada perasaan belas terhadap orang lain menyebabkan beliau kini sentiasa dibayangi ketakutan dan kebimbangan.

Walaupun mengakui tidak bimbang jika nasibnya menjadi seperti Hosni Mubarak atau Muammar Gaddafi tetapi keaktifannya bersuara akhir-akhir dan mahu rakyat mengelak perubahan berlaku dalam politik negara seperti di beberapa negara Arab, jelas bahawa Mahathir mempunyai kebimbangan itu.

Jika UMNO dan BN tumbang, bukan sahaja legasinya akan musnah malahan kedudukan dirinya sendiri juga menjadi tidak menentu. Masa depan anak-anaknya dalam politik dan perniagaan juga menjadi buntu. Bolehkah kita membayangkan bagaimana kehidupan Mahathir jika Anwar menjadi Perdana Menteri?

Dengan kita pun tidak mampu membayangkannya, maka tentulah Mahathir sendiri tidak mahu membayangkan nasib dirinya ketika itu nanti.

Kiranya apa yang sedang dilaluinya kini dinamakan pembalasan, Mahathir tentunya sedang meniti detik-detik sengsara akibat dosa-dosa silamnya. Sementara menjalani kehidupan hari tua tidak sebagaimana bekas Perdana Menteri lainnya di mana-mana di dunia ini, dan jika sesekali terbayang di kepalanya kemungkinan UMNO kehilangan kuasa dan Anwar pula menduduki kerusi Perdana Menteri yang pernah didudukinyan selepas pilihanraya akan datang ini, derita jiwanya pasti lebih parah lagi.

Mahathir kini sedang bertarung mengelakkan semua itu. (SH 19/06/2012)

Saturday 16 June 2012

Mubarak Pun Tak Berubah Rupanya!!


Ketika Majlis Bekas Wakil Rakyat BN atau Mubarak menyatakan hasrat kepada Najib beberapa bulan lalu agar bekas-bekas wakil rakyat turut dipertimbangkan sebagai calon pilihanraya akan datang ini, ramai yang menyangka ianya sekadar gurauan atau cakap-cakap main-main sahaja.

Tidak ramai yang menyangka ia perkara serius kerana Mubarak ini dianggotai oleh mereka yang sudah pernah merasai nikmat menjadi wakil rakyat. Takkan mahu menjadi wakil rakyat lagi.

Tetapi apabila Presiden Mubarak, Aziz Abdul Rahman baru-baru ini menyatakan bahawa mereka sudah menghantar 21 nama kepada Najib untuk dipertimbangkan sebagai calon BN, ternyata mereka ini benar-benar serius ingin bergelar YB semula.

Walaupun semua orang mengakui, termasuk Najib sendiri bahawa pilihanraya akan datang ini adalah medan orang muda kerana selera orang muda yang merupakan majoriti pengundi dijangka menjadi penentu siapa menang dan siapa kalah, Mubarak nampaknya tetap merasakan orang tua harus diberikan tempat.

Pemikiran dan keghairahan Mubarak untuk turut sama dipilih sebagai calon pilihanraya sebenarnya tidak lebih menggambarkan mereka ini masih lagi golongan yang tak sedar diri, tak berubah dan kadang-kadang juga syok sendiri.

Tidakkah mereka sedar walaupun tafsiran "winnable" itu cukup terbuka sifatnya dan tiada penentuan had umur, tetapi dengan Mubarak sendiri menawarkan diri sebagai calon, dengan jumlah 21 orang pula, benar-benar suatu perbuatan yang memalukan.

Ini kerana ahli-ahli Mubarak relatifnya adalah orang-orang tua dan pernah pula menjadi wakil rakyat, EXCO Kerajaan Negeri, timbalan menteri, menteri dan sebagainya.

Trend pemimpin pilihan rakyat sekarang ialah orang muda, berpelajaran, bijaksana dan berani dalam memperjuangkan rakyat. Dengan sebahagian besar wakil rakyat BN sedia ada pun sepatutnya sudah ditukar dengan golongan muda, sebenarnya amatlah tidak logik untuk menempatkan semula bekas-bekas wakil ini untuk bertanding semula. Apatah lagi untuk meminta-minta.

Jika mereka dicalonkan semula, ia memberi gambaran bahawa UMNO dan BN bukan saja ketandusan calon tetapi juga tidak menghargai golongan muda yang menjadi penentu pilihanraya.

Sepatutnya dalam soal pilihanraya ini, Mubarak lebih sedar diri siapa diri mereka. Mereka adalah golongan yang sudah merasai nikmat menjadi wakil rakyat. Kalau pun ada di kalagan ahli Mubarak yang dirasakan sesuai, biarlah ia dipilih oleh pucuk pimpinan sendiri dan bukannya mereka yang meminta-minta.

Tugas yang sepatutnya dilakukan oleh Mubarak ialah membantu parti, bukannya turut sama sibuk melobi jadi calon.

Dengan keghairahan Mubarak sehingga mahu meminta 21 ahlinya sebagai calon pilihanraya juga menunjukkan Mubarak sebenarnya tidak pernah berubah meskipun sudah pernah digugurkan sebagai calon pilihanraya sebelum ini. Jika dipilih lagi, tiada jaminan mereka ini mampu memberi khidmat yang baik dan cemerlang kepada rakyat. Mungkin hanya menambahkan kekayaan sendiri sahaja.

Sudahlah Najib dan UMNO sebelum ini dikata tidak pernah mahu berubah walaupun hari-hari melaungkan ingin berubah, sikap yang ditunjukkan oleh Mubarak ini menyerlahkan lagi hakikat bahawa UMNO secara keseluruhannya memang tidak pernah mahu berubah.

Pemimpin tidak berubah. Ahli UMNO tidak berubah. Bekas wakil rakyat UMNO pun tidak berubah juga rupanya.

Sepatutnya bekas-bekas wakil rakyat ini lebih menumpukan kepada hal-hal lain saja setelah tidak lagi menjadi wakil rakyat. Jika tiada apa yang nak dibuat, melayan anak cucu dan menjadikan kekerapan ke surau serta mendalami ilmu agama jauh lebih baik daripada secara terbuka menyatakan keinginan untuk dipilih semula sebagai calon pilihanraya.

Berhentilah berimaginasi untuk kembali muda dan kerap-keraplah memandang cermin. (SH 16/06/2012)





Tuesday 12 June 2012

Mahathir Ingin Berkongsi Kejayaan, Najib Pula Ingin Berkongsi Kegagalan


Sejak kebelakangan ini Mahathir dilihat begitu kerap bersuara dan memberi pandangan tentang politik negara. Daripada mencadangkan tentang tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihanraya, mengupas tentang demokrasi, kebangkitan rakyat dan demonstrasi jalanan sehinggalah kepada kemungkinan Anwar dan Pakatan Rakyat akan mencetuskan huru-hara selepas pilihanraya umum akan datang ini.

Selain itu, hampir semua isu semasa yang panas akan mendapat reaksi daripada bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu. Seperti biasa komen Mahathir tetap mempunyai nada sindiran dan kritikan yang tajam.

Ternampak bahawa menjelang pilihanraya ini, Mahathir mahu memainkan peranannya sebagai mentor kepada Najib. Oleh kerana musuh yang bakal dihadapi oleh Najib ialah Anwar Ibrahim yang juga merupakan musuh yang hampir menyingkirkannya jika tidak dipecat pada 1998, Mahathir seolah-olah terpanggil untuk sama-sama menyingsing lengan.

Tujuannya hanya satu - menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Mahathir adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang paling tidak sanggup melihat Malaysia ini berperdana-menterikan individu yang bernama Anwar Ibrahim. Bagi Mahathir, dunia ini akan menjadi gelap segelap-gelapnya jika Anwar jadi Perdana Menteri.

Bukan saja kepentingan keluarga dan legasi yang dibina bertahun-tahun bakal musnah, malah ego dan maruah Mahathir juga akan turut ranap kerana Anwar yang sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai salah laku seks sehingga akhirnya dipecat daripada UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, tiba-tiba menjadi pilihan rakyat untuk menerajui negara pula.

Atas sebab itu, Mahathir sedaya upayanya akan menghalang kemaraan Anwar. Bersama dengan Najib yang dilihat masih bergelut untuk meraih sokongan secukupnya bagi menubuhkan kerajaan selepas PRU 13 ini, Mahathir tentunya merasakan beliau masih mempunyai pengaruh serta kekuatan untuk membantu UMNO dan BN.

Memang tidak dinafikan, di kalangan ahli dan penyokong UMNO serta sebilangan rakyat, Mahathir masih mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Dengan kelebihan menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan pelbagai rekod menyingkirkan musuh politiknya, Mahathir seakan mahu menggunakan pengalamannya itu untuk mengetepikan Anwar sekali lagi setelah berjaya menyingkirkannya kali pertama pada 1998 lalu.

Kiranya dalam pilihanraya umum nanti, Mahathir berjaya membantu Najib mencipta kemenangan, walaupun mungkin dengan cuma kemenangan tipis, Mahathir sebenarnya mahukan kejayaan itu dikongsi bersamanya. Ia bukan saja bagi memelihara maruah dan egonya tetapi juga bagi memastikan legasinya terus kekal. Dalam masa yang sama, pastinya satu-satunya kepentingan Mahathir yang masih tinggal iaitu masa depan anaknya, Mukhriz akan terus terpelihara.

Jika Najib sedia memberi laluan kepada peranan Mahathir dalam pilihanraya ini, sudah barang tentu juga Mukhriz akan diberikan laluan yang lebih selesa untuk terus mendaki tangga kejayaan dalam UMNO. Jika tidak dijadikan Menteri Besar Kedah, Mukhriz juga mungkin bakal menjadi menteri penuh selepas pilihanraya ini.

Soal apa yang bakal berlaku kepada masa depan UMNO adalah perkara kedua. Jika Mahathir sudah memainkan peranan penting dalam pilihanraya ini, tentunya sukar juga untuk memastikan Mahathir daripada tidak campurtangan dalam pemilihan UMNO selepas itu. Jika UMNO dan BN menang tipis, masa depan Najib bukan lagi perkiraan utama Mahathir. Beliau mungkin menonjolkan Muhyiddin dan seterusnya menyediakan laluan "smart tag" untuk Mukhriz sebagai pelapis seterusnya.

Tetapi bagi Najib pula, kebergantungannya kepada bantuan Mahathir bukan saja untuk menciptakan kemenangan malahan juga untuk berkongsi kegagalan. Dengan prestasi Najib yang sentiasa merosot di mata rakyat serta ratingnya yang menurun daripada 69 peratus kepada 65 peratus dan keyakinan untuk menang masih goyah, Najib juga sebenarnya memerlukan Mahathir untuk disandarkan kesalahan jika berlaku kekalahan.

Jika Najib benar-benar cukup kuat untuk menjelmakan kemenangan bagi UMNO dan BN, beliau tentunya mahukan kemenangan itu miliknya seorang supaya lebih mudah mencatur perjalanan politik UMNO dan negara selepas itu tanpa campurtangan sesiapa. Tindakan Najib menangguh beberapa kali untuk mengadakan pilihanraya adalah dipercayai kerana beliau masih diberi laporan yang tidak memihak kepadanya.

Dengan keyakinan Pakatan Rakyat untuk menang sekurang-kurangnya 105 kerusi, ditambah dengan suara kebangkitan rakyat terutama generasi muda sentiasa meningkat, harapan Najib untuk membawa UMNO dan BN mencapai kemenangan memang dilihat masih sukar. Kadangkala insting kepada kekalahan lebih dekat berbanding kemenangan.

Dengan membiarkan Mahathir banyak berperanan, Najib sedang mempertaruhkan dirinya. Mungkin menang dan mungkin kalah. Tetapi jika kalah, kelebihan Najib ialah beliau ada Mahathir untuk dikongsi kekalahan itu. (SH 12/06/2012)

Sunday 10 June 2012

BR1M Akhirnya Jadi Program Beli Rakyat Satu Malaysia


Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini dilaporkan telah membentangkan kepada kabinet agar program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M bernilai RM500 kepada rakyat yang berpendapatan bawah RM3000 diberikan lagi untuk kali kedua. Kemudian Najib telah menyambut saranan itu dengan berkata, kerajaan sedia menimbangnya demi kepentingan rakyat yang didapati banyak terbeban dengan kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang meningkat.

Jika BR1M ini mahu diberikan lagi, ia tentunya akan dilaksanakan sebelum pilihanraya umum yang dijangka akan diadakan September atau mungkin awal tahun hadapan.

Kesediaan Najib mahu memberikan lagi bantuan RM500 kepada rakyat tentunya memberi gambaran bahawa bantuan sebelum ini tidak cukup berkesan untuk menarik sokongan rakyat.

Dengan tindakan Najib menaikkan harga minyak beberapa kali, menaikkan harga gula sebanyak empat kali, menaikkan tarif letrik serta memotong subsidi beberapa barangan pengguna sejak tiga tahun lalu, memanglah diakui bahawa pemberian RM500 tidak banyak meringankan beban rakyat. Dengan nilai RM500 itu di ketika harga ikan, sayur dan semua barangan keperluan harian lainnya sentiasa meningkat, ia mungkin habis untuk sekali atau dua kali mengunjungi hyper market sahaja.

Ia juga mungkin hanya cukup untuk perbelanjaan dapur bagi tempoh tidak sampai sebulan bagi sebuah keluarga miskin yang mempunyai anak seramai lima atau enam orang.

Bukanlah rakyat tidak bersyukur dengan pemberian itu tetapi oleh kerana di ketika rakyat diberikan hanya RM500 sejak lebih 50 tahun UMNO memerintah, pelbagai berita mengenai amalan rasuah, penyelewengan dan pembaziran yang meibatkan pemimpin termasuk Najib dan keluarganya juga, lantas menjadikan pemberian itu yang diharapkan mampu menjelmakan sokongan kepada UMNO dan BN tidak menjadi kenyataan.

In kerana rakyat merasakan nilai itu terlalu kecil atau sekadar untuk menutup kepincangan yang kian bermaharajalela sahaja. Najib yang kini sedang berkira-kira memilih tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya tentunya kebingungan kerana BR1M kali pertama tidak mendatangkan impak seperti yang diharapkan.

Lantaran itu, timbullah idea untuk melaksanakan BR1M kali kedua meskipun tidak diketahui dari mana Najib mahu mengorek wang kali ini.

Jika BR1M kali pertama berjumlah RM500 dilihat tidak mendatangkan hasil seperti yang diharapkan, tidak mustahil BR1M kali kedua ini ditambah jumlahnya. Mungkin menjadi RM1000 atau RM2000. Jika RM500 juga jumlahnya pemberian kali kedua ini, hasilnya mungkin tidak seberapa.

Dengan pelbagai musim perayaan bakal menjelang tiba, BR1M kali kedua ini bukan saja bertambah jumlahnya tetapi ia juga menandakan tarikh pilihanraya bakal ditangguh lagi. Mungkin selepas Hari Raya atau awal tahun 2013. Yang penting piliharaya hanya akan diadakan selepas sejumlah wang tunai lagi dimasukkan ke dalam poket rakyat.

Untuk menang pilihanraya, Najib dipercayai sanggup bergolok bergadai dan berbuat apa saja.

Sejak kebelakangan ini, rating Najib di mata rakyat juga didapati merudum dengan teruknya. Selepas Bersih 3.0 dan perkhabaran perbicaraan kes kapal selam Scorpene akan diadakan di Perancis, rating Najib di mata rakya telah menurun daripada 69 peratus pada bulan Februari kepada 65 peratus.

Jika dibandingkan rating Pak Lah ketika mengadakan pilihanraya umum 2008, kedudukan beliau ketika itu ialah 72 peratus sebagaimana yang dikaji oleh Merdeka Center. Dengan rating 72 peratus Pak Lah hilang majoriti dua pertiga, logiknya dengan rating hanya 65 peratus sekarang, sudah tentulah kedudukan Najib lebih parah lagi.

Ditambah dengan pelbagai isu, kebarangkalian untuk UMNO dan BN tumbang amat besar sekali.

Dengan kesediaan Najib untuk menimbang pemberian BR1M kali kedua ini mengesahkan bahawa kedudukan Najib, UMNO dan BN masih belum selamat lagi. BR1M kini dilihat sebagai satu-satunya talian hayat untuk menyelamatkan nasib dan masa depan UMNO.

BR1M kini sudah dianggap "rasuah yang halal" untuk membeli undi dan sokongan demi kepentingan UMNO walaupun wang itu adalah wang rakyat. UMNO memberi BR1M kepada rakyat seolah-olah wang itu datangnya daripada poket Najib atau kantung UMNO. Pemimpin UMNO berebut-rebut dengan masa mengadakan program untuk menyampaikan sumbangan itu sedangkan ia boleh disalurkan secara mudah melalui jentera kerajaan seperti Pejabat Daerah jika pemberian itu benar-benar diberi secara ikhlas dan tidak bersalut muslihat politik.

BR1M kini tidak lebih menjadi program "Beli Rakyat Satu Malaysia" menjelang pilihanraya dan jika rakyat menerima program ini dengan terus mengekalkan UMNO dan BN sebagai sebuah kerajaan, BR1M yang seterusnya hanya akan muncul kembali lima tahun akan datang sahaja. Tepuk dada tanyalah iman!!(SH 10/06/2012)





Thursday 7 June 2012

Apakah Melayu Mati Tak Makan Jika UMNO Tumbang?


Kebimbangan tentang kemungkinan UMNO bakal tumbang dan kehilangan kuasa makin terserlah daripada beberapa kenyataan yang diluahkan oleh pimpinan tertinggi parti itu sejak kebelakangan ini. Perdana Menteri, Najib Razak beberapa kali menyatakan tentang kedudukan orang-orang Melayu yang bakal terancam jika UMNO tumbang dan Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa. Pelbagai bentuk kemungkinan yang berupa ancaman kepada kedudukan dan masa depan orang Melayu disuarakan oleh Najib seolah-olah di Malaysia ini UMNOlah pemberi rezeki dan penentu takdir bangsa Melayu.

Muhyiddin, Tun Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO yang lain juga mengeluarkan kenyataan dengan nada yang hampir serupa. Tun Mahathir secara terang-terang menyatakan negara tidak akan aman jika Pakatan Rakyat memperolehi kuasa sambil membandingkannya dengan keadaan di beberapa negara Arab seperti Mesir, Libya dan Tunisia yang terus bergolak meskipun baru bertukar kepimpinan kerajaannya.

Dalam masa yang sama Tun Mahathir juga menyatakan huru-hara akan tercetus kiranya Pakatan Rakyat kalah dalam pilihanraya kali ini dan menganggap beberapa demonstrasi seperti Perhimpunan Bersih adalah persediaan pembangkang ke arah itu. Idea itu kemudiannya disambut pula oleh Muhyiddin yang nampaknya bersetuju seratus-peratus dengan pandangan Tun Mahathir itu.

Sebenarnya pembangkang sudah biasa menerima kekalahan sejak 12 kali pilihanraya diadakan tetapi UMNO memang tidak biasa menerima kekalahan. Kebimbangan Mahathir dan Muhyiddin tentang kemungkinan huru-hara itu sebenarnya adalah naluri kebimbangan UMNO yang cuba disembunyikannya. Secara logiknya, huru-hara juga lebih mungkin tercetus jika UMNO kalah berbanding pembangkang yang kalah.

Tetapi Muhyiddin tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya tentang masa depan UMNO apabila mengatakan pilihanraya akan datang ini adalah penentuan hidup dan mati bagi UMNO. Jika menang, UMNO akan terus hidup tetapi jika kalah bukan sahaja UMNO akan mati malahan harapan Muhyiddin untuk mengempuki kerusi Perdana Menteri juga akan turut mati sama.

Beberapa kenyataan lain seperti Melayu akan kehilangan kuasa, Melayu akan merempat, negara akan dikuasai oleh Cina, Cina akan jadi Perdana Menteri, bahasa Melayu terhapus, Raja-Raja Melayu turut terhapus, peristiwa 13 Mei 1969 akan berulang dan berbagai kenyataan yang menakutkan serta berupa ugutan kepada orang-orang Melayu telah dikeluarkan dengan harapan orang Melayu akan kembali menyokong serta memilih UMNO dan BN.

Walaupun secara umumnya orang Melayu semakin cerdik dan dapat menilai antara kebenaran dan kepalsuan tetapi pemimpin UMNO terus juga melontarkan ugutan-ugutan seperti itu. Bagi sebahagian orang Melayu ungkapan tersebut tidak lebih hanyalah ugutan untuk meraih sokongan semata-mata dan agak mustahil menjadi kenyataan. Kedudukan Raja-Raja, bangsa Melayu, bahasa Melayu serta hak istimewanya perkara yang termaktub dalam Perlembagaan dan semua pihak baik Melayu, Cina dan India menghormati kedudukan itu. Malahan kedudukan Perdana Menteri yang terdiri daripada bangsa Melayu juga sudah disepakati, bukan saja oleh BN tetapi juga Pakatan Rakyat.

Sebenarnya siapakah yang bimbang jika UMNO kehilangan kuasa? Adakah orang Melayu yang bimbang atau pemimpin UMNO sahaja yang berasa demikian? Adakah jika UMNO tumbang, orang Melayu akan kebulur dan mati tak makan?

Jika dilihat realiti politik masa kini di mana orang Melayu terbahagi kepada UMNO, Pas, PKR serta sebahagian besarnya tidak memihak kepada mana-mana parti, hakikatnya UMNO tidak boleh mendakwa mereka mewakili majoriti orang-orang Melayu. Orang Melayu yang tidak berparti malahan lebih besar jumlahnya daripada yang menjadi ahli UMNO. Yang menyertai Pas dan PKR juga makin ramai jumlahnya. Yang sudah berada dalam UMNO dan mengambil keputusan keluar UMNO juga makin bertambah bilangannya. Yang masih bersama UMNO tapi makin benci dengan UMNO juga tak terkira jumlahnya. Hakikatnya UNNO makin mengecil statusnya.

Jika tanpa UMNO, mereka ini menjadi kebulur dan mati tak makan, sudah tentu mereka ini kekal bersama UMNO, tidak menjadi berkecuali dan jauh sekali menyertai Pas dan PKR.

Sebaliknya yang tidak bersama UMNO ini dapat pula hidup gembira, berkeluarga dan menjalani kehidupan yang tidak jauh berbeza dengan mereka yang menjadi pemimpin dan ahli UMNO. Malahan ramai juga orang Melayu yang tidak menjadi ahli UMNO menjadi lebih kaya dan berjaya dalam hidupnya.

Jadi, Melayu manakah yang bimbang jika UMNO tumbang dan kehilangan kuasanya?

Bagi orang Melayu yang mempunyai pekerjaan, karier, perniagaan serta kemahiran dalam pelbagai bidang kerjaya, sama ada UMNO berkuasa atau tidak, bezanya hampir tidak ada. Kakitangan kerajaan serta swasta yang mempunyai kelulusan dan kemahiran juga tidak bimbang jika UMNO tumbang. Orang Melayu yang mempunyai keyakinan dan rajin berusaha juga tidak bimbang sama ada UMNO berkuasa atau tidak. Kesemua golongan ini meyakini bahawa rezeki dan pendapatan akan hadir dalam hidup jika mereka rajin berusaha dan tahu merebut peluang.

Orang Melayu secara majoritinya akan terus hidup seperti biasa dan makan seperti biasa sama ada UMNO berkuasa atau sebaliknya.

Rezeki tidak ditentukan oleh UMNO dan kedudukan Melayu juga sebenarnya bukan hak eksklusif UMNO untuk memperjuangkannya. Pas juga sebenarnya memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam. PKR juga meletakkan kedudukan Melayu ditarafnya yang tinggi sesuai dengan Perlembagaan Negara walaupun ia parti berbilang kaum. DAP sendiri menghormati orang Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ini dan kini semakin ramai orang Melayu yang menyertai DAP.

Sebenarnya pihak yang bimbang jika UMNO tumbang bukanlah orang Melayu secara keseluruhannya tetapi hanyalah segelintir Melayu dalam UMNO yang agak malas berusaha dan lebih mengharapkan rezeki daripada tapak tangan pemimpin UMNO itu sendiri. Mereka ini sentiasa mengharapkan ehsan pemimpin UMNO yang berkuasa untuk memperolehi projek dan peuang perniagaan dengan meletakkan diri sendiri sebagai kroni kepada seseorang pemimpin itu. Mereka inilah yang meletakkan rezeki itu ada kaitannya dengan UMNO. Lagi besar jawatan pemimpin yang dipuja itu lagi besarlah perniagaan atau kontrak yang boleh diperolehi dan begitulah sebaliknya.

Pihak lain yang bimbang ialah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri tetapi kebimbangan mereka bukanlah kerana masa depan Melayu, kebimbangan tentang bahasa Melayu atau kerisauan tentang kedudukan Raja-Raja Melayu, sebaliknya hanyalah bimbang kerana kuasa untuk memperkaya diri sendiri,keluarga dan kroni yang terlepas dari genggaman. Lebih dari itu, mereka juga bimbang jika kemungkaran yang dilakukan selama ini akan dibawa ke muka pengadilan sebagaimana kes salah laku pemimpin di beberapa negara yang akhirnya menghuni penjara sebaik kehilangan kuasa.

Selama ini pemimpin-pemimpin UMNO ini terlalu asyik menggunakan kuasa yang ada untuk kemewahan diri sendiri dan mereka nampaknya belum bersedia untuk kehilangan kuasa tersebut. Ini kerana walaupun kekayaan dan kemewahan untuk anak, isteri dan keluarga sudah dikaut tetapi ketamakan dalam hati mereka tidak pernah ada surutnya.

Ahli UMNO sendiri tidak semuanya bimbang jika UMNO tumbang, malahan semakin ramai yang merasakan lebih baiklah UMNO yang kelihatan begitu hodoh sekarang dek perangai pemimpin-pemimpinnya yang rasuah dam penuh skandal dibiarkan tumbang seketika supaya ia dapat menimbulkan keinsafan serta mampu bangkit dengan lebih kuat lagi di masa depan.

Jika Najib, Mahathir, Muhyiddin dan lain-lain pemimpin UMNO tidak henti-henti merayu supaya kuasa UMNO dikekalkan sambil mengeluarkan pelbagai kata-kata yang berupa ancaman kepada kedudukan Melayu,ia sebenarnya hanyalah mewakili kepentingan diri masing-masing sementara orang Melayu selebihnya dan rakyat sebahagian besarnya tetap yakin bahawa negara ini akan menjadi lebih baik jika UMNO kehilangan kuasanya kali ini. (SH 07/06/2012)
















Sunday 3 June 2012

Ketua UMNO Bahagian Bakal Jadi Kuasa Ketiga?


Walaupun kedua-dua pihak iaitu BN dan PR masing-masing menaruh keyakinan untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang ini, hakikatnya kemenangan yang mungkin dicapai adalah kemenangan yang tipis sahaja. Dengan pelbagai isu dan pergolakan yang berlaku dalam kedua-dua gabungan itu menyebabkan kedudukan sokongan rakyat juga sering berubah-ubah. Sekejap UMNO dan BN dilihat berada diatas tetapi di masa yang lain mereka pula ke bawah dan PR pula berada diatas.

Rating Najib dan Anwar, pengemudi BN dan PR juga sering turun naik serta tidak menentu dan ini pastinya membawa pengaruh juga kepada sokongan rakyat.

Kajian terbaru yang dibuat memperlihatkan PR hanya mampu memenangi sejumlah 104 kerusi Parlimen sahaja. Sebelum itu, terdapat juga kajian bahawa kerusi Parlimen yang mungkin selamat bagi BN ialah antara 90 hingga 105 kerusi. Tetapi ramalan banyak pihak ialah kerusi yang selesa untuk dimenangi sama ada oleh BN atau PR ialah sekitar 100 kerusi sahaja.

Dengan mengambil kira jumlah kerusi Parlimen ialah sebanyak 222 kerusi dan kemenangan mudah untuk membentuk kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan 112 kerusi, ini bermakna dengan BN dan PR secara puratanya hanya mampu memperolehi sekitar 100 hingga 105 kerusi, kemunculan kuasa ketiga adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Kiranya masing-masing BN dan PR hanya mampu memenangi sejumlah kerusi sebagaimana yang disebutkan itu dan terdapat pihak lain yang menang kerusi selebihnya, kedudukan Parlimen tergantung akan berlaku di mana tiada mana-mana pihak yang boleh menubuhkan kerajaan kecuali setelah memperolehi sokongan daripada pihak ketiga terlebih dahulu dan menjadikan jumlah kerusi terkumpul menjadi sekurang-kurangnya 112 atau lebih.

Soalnya siapakah pihak ketiga yang akan muncul dalam politik Malaysia buat kali pertama ini?

Para peringkat awal dulu, Perkasa pernah diramalkan akan muncul sebagai kuasa ketiga berikutan keaktifannya memperjuangkan isu-isu Melayu sementara UMNO yang dipimpin Najib lebih suka berlembut dan bertoleransi dengan isu-isu melibatkan kepentingan Melayu. Harapan yang tinggi juga diletakkan kepada Perkasa kerana kesediaannya menyingsing lengan menentang kumpulan yang mempertikaikan hak istimewa Melayu termasuk MCA dan MIC. Namun semakin lama kedudukan Perkasa sebagai kuasa ketiga semakin tenggelam berikutan NGO itu dilihat lebih gemar mengampu Najib dan UMNO semata-mata. Perkasa lebih terghairah dengan kuasa yang ada pada Najib dan UMNO.

Malahan Presidennnya, Ibrahim Ali sendiri dikhabarkan akan bertanding sebagai calon Bebas yang disokong oleh UMNO di Pasir Mas.

Kemudian apabila Dr Hassan Ali dipecat daripada Pas dan menubuhkan NGO Jati, beliau juga diramalkan mampu muncul sebagai kuasa ketiga jika meletakkan calon-calon Melayu bertanding di kerusi Parlimen yang majoritinya Melayu tetapi calon BN terdiri daripada bukan Melayu.

Namun Jati juga akhirnya terkulai daripada peranan yang diharapkan itu. Ini kerana Jati dilihat lebih gemar menyerang Pas dan dalam masa yang sama membela UMNO. Malah laporan terbaru hampir mengesahkan bahawa Dr Hassan Ali lebih diperlukan oleh UMNO dan mungkin diletakkan sebagai calonnya di Parlimen Gombak, Selangor untuk berhadapan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Dalam masa yang sama, pergolakan politik yang berlaku di Sabah dan Sarawak dengan kemunculan beberapa parti kecil serta tindakan beberapa pihak menanggalkan sokongan kepada kerajaan negeri yang sedang memerintah kedua-dua negeri itu, kebarangkalian kuasa ketiga ini adalah daripada Sabah dan Sarawak nampaknya lebih mudah diterima logik akal.

Politik di Sabah memang diketahui sejak dulu sering berubah-ubah dan tindakan mengalih sokongan adalah perkara biasa. Rakyatnya lebih mudah terpengaruh dengan isu serta kemunculan parti baru sebagaimana yang pernah tergambar melalui sejarah tumbangnya Usno, Berjaya dan PBS sebelum ini.

Di Sarawak pula angin perubahan sudah melanda sejak pilihanraya umum negeri tahun 2010 dulu di samping pengundi kawasan bandar yang memang memperlihatkan sokongan kepada pembangkang. Jika angin perubahan ini kekal sehingga hari ini di samping wujudnya pelbagai isu berkaitan Ketua Menterinya Taib Mahmud, adalah dijangkakan jumlah kerusi yang mampu direbut oleh pembangkang dan lain-lain parti mungkin melebihi jangkaan.

Sejak sekian lama juga, politik Sarawak telah menyaksikan beberapa calon Bebas mampu mencapai kemenangan bersandarkan kekuatan peribadi dan hubungan yang mesra dengan masyarakat.

Jika ini terus berlaku, piliharaya kali ini akan menyaksikan beberapa kerusi di Sawarak akan dimenangi sama ada oleh calon Bebas ataupun calon daripada parti yang tidak terikat dengan BN atau PR.

Bagi UMNO dan BN pula, masalah yang akan timbul ialah apabila berlaku pertembungan di antara keinginan Ketua-Ketua UMNO Bahagian untuk terus bertanding dan bertakhta di singgahsana kuasa dengan transformasi politik yang cuba diterapkan oleh Najib iaitu meletakkan calon-calon baru yang dianggap "winnable" untuk menang di sesuatu kawasan itu. Calon-calon "winnable" ini terdiri daripada pemimpin muda dan profesional yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti tetapi boleh diterima oleh pengundi.

Masalahnya tidak semua calon baru ini dapat diterima dengan baik oleh UMNO dan pimpinan bahagian.

Halangan Najib untuk melaksanakan transformasi politik kali ini ialah sebahagiannya daripada Ketua-ketua UMNO Bahagian dan pimpinan UMNO bahagian yang mungkin tidak bersedia digugurkan sebagai calon. Di Sabah misalnya, sudah kedengaran beberapa Ketua UMNO Bahagian yang popular dan dianggap sebagai "raja" di sesebuah kawasan tetapi sudah menduduki kerusi Parlimen selama beberapa penggal, akan bertanding sebagai calon Bebas jika tidak dipilih sebagai calon kali ini.

Sama ada mereka bertanding sebagai calon Bebas atau dilamar oleh parti-parti lain, berdasarkan populartiti yang dimiliki, harapan mereka untuk menang adalah cerah. Jika bilangan mereka yang digugurkan ini ramai jumlahnya, tidak mustahil mereka mampu mencetuskan gelombang baru yang boleh menggugat kedudukan UMNO dan BN.

Seperti di Sabah, di Semenanjung juga sudah kedengaran kemungkinan beberapa Ketua UMNO Bahagian dan lain-lain pimpinan kanan UMNO yang akan bertanding sebagai calon Bebas jika kali ini nama mereka digugurkan atau tidak dipilih sebagai calon.

Di Johor, Selangor dan beberapa negeri di utara di mana dikhabarkan Najib akan meletakkan ramai calon-calon baru yang dianggap "winnable" dan meminggirkan pimpinan UMNO Bahagian, perkhabaran bahawa mereka akan muncul sebagai calon Bebas semakin kuat kedengaran sejak akhir-akhir ini. Bagi mereka dalam suasana politik yang bergolak dan kedudukan adalah 50-50 antara BN dan PR, percubaan mempertaruhkan nasib sebagai calon Bebas tidaklah terlalu merugikan, malah mungkin mendatangkan laba yang berpanjangan.

Oleh itu, beberapa kemungkinan boleh berlaku dalam pilihanraya umum kali ini. Sementara kuasa ketiga diramal banyak pihak datangnya dari Sabah dan Sarawak yang akan menentukan pihak mana mampu membentuk kerajaan selepas pilihanraya nanti, kemungkinan lain ialah munculnya Ketua dan pimpinan UMNO Bahagian yang bertanding calon Bebas, juga sebagai kuasa ketiga.

Berdasarkan realiti di atas kertas, jika benar kuasa ketiga ini mampu muncul sebagai kuasa penentu, harapan Najib untuk memujuk mereka menyokong BN pastinya melalui jalan yang sukar atau setidak-tidaknya melibatkan kos yang mahal. (SH 03/06/2012).











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...