Wednesday 29 February 2012

Mahathir - Aset Atau Liabiliti Buat Najib?

Sejak akhir-akhir Tun Mahathir dilihat begitu aktif dan banyak bersuara. Cuma kalau dulu beliau agak kritikal dalam banyak perkara, mutakhir ini bekas Perdana Menteri itu mula menjadi pendokong nombor satu kepada kepimpinan Najib dan seperti turut bergelut untuk memastikan BN tidak tumbang dalam pilihanraya akan datang, sekaligus mengelakkan musuh politik utamanya Anwar Ibrahim bersama Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Jika di zaman Pak Lah beliau tidak bersetuju dengan semua perkara, di peringkat awal kepimpinan Najib juga beliau tidak setuju dengan banyak perkara seperti 1Malaysia, pembinaan Menara Warisan 100 tingkat, dasar ekonomi berasaskan merit yang mahu diperkenalkan Najib, perlantikan beberapa menteri dan timbalan menteri yang diaggapnya terlibat dengan rasuah serta pelbagai lagi. Pendeknya ada saja kritikannya terhadap dasar dan benda baru yang mahu diperkenalkan Najib.

Dalam masa yang sama, nada dan kritikannya terhadap pembangkang tidak pula berubah. Beliau tetap keras, pedas dan kadang-kadang sinis terhadap pembangkang.

Namun kebelakangan ini, Mahathir seperti menyimpang kukunya yang sebenar terhadap Najib. Beliau bukan saja banyak menyokong Najib, bahkan meneruskan serangan kerasnya terhadap pembangkang. Kalau ada pun dasar baru Najib yang dijangka rakyat beliau akan bersuara menentangnya, sebaliknya beliau hanya berdiam diri. Lebih dari itu dalam usaha Najib mahu menawan kembali Selangor, Mahathir sudah dibawa sebanyak dua kali untuk memberi kata-kata semangat kepada jentera UMNO dan BN Selangor.

Dalam usahanya membantu Najib dan mengelakkan BN tumbang, Mahathir juga turut membuat andaian buruk tentang masa depan negara jika Pakatan Rakyat memenangi piihanraya dan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Beliau mengaitkan pertukaran kerajaan dengan agenda Amerika dan kaitannya dengan Israel dengan harapan rakyat akan terus mempertahankan kerajaan BN yang ada sekarang serta menolak Pakatan Rakyat yang berhasrat menggantikan BN.

Soalnya apakah watak Mahathir sekarang masih merupakan aset atau bakal menjadi liabiliti bagi Najib dalam menghadapi PRU 13 akan datang ini?

Harus diakui bahawa Mahathir adalah pemimpin yang hebat dan mampu mempertahankan kuasanya selama 22 tahun. Beliau mempunyai banyak sumbangan kepada pembangunan negara tetapi peranannya kepada perpecahan Melayu juga bukan sedikit. Pengharaman UMNO pada 1988, diikuti penubuhan UMNO Baru dan halangan kepada Tengku Razaleigh serta pengikutnya daripada menyertai parti itu sehingga mengakibatkan penubuhan Semangat 46 adalah dipercayai agenda Mahathir untuk mempertahankan kuasa dan sekaligus menyebabkan Melayu berpecah.

Atas nama perpaduan Melayu, beliau kemudiannya menjemput Ku Li kembali kepada UMNO tetapi kemudian memecah-belahkan kembali orang-orang Melayu dengan memecat Anwar Ibrahim pada 1998. Ia tidak lain untuk mengelakkan Anwar merampas kedudukannya. Ekoran pemecatan itu, PKR ditubuhkan dan orang-orang Melayu berpecah serta tidak lagi bulat seperti dulu.

Kalau dulu Melayu hanya berpecah kepada UMNO dan Pas tetapi Mahathir telah menjadikan cabang perpecahan berpecah tiga - suatu ketika berpecah melalui UMNO, PAS dan Semangat 46, sekarang UMNO, PAS dan PKR pula.

Dari segi pembangunan negara, Mahathir memang banyak membawa pembangunan dann pembaharuan tetapi dalam masa yang sama beliau juga memberi banyak kekayaan kepada keluarga, anak-anak dan kroninya. Di sebaliknya wujudnya KLIA dan KLCC di zaman Mahathir, kekayaan kroni dan anak-anaknya juga meningkat sama dalam pelbagai bidang perniagaan.

Hakikatnya Mahathir mungkin bagus sebagai Perdana Menteri tetapi agak "zalim" sebagai Presiden UMNO dan pemimpin bangsa Melayu. Beliau tidak akan berkompromi terhadap musuh-musuhnya yang mahu menggugat kuasanya dan tidak kisah Melayu berpecah asalkan kuasa kekal dalam genggaman.

Meskipun di zamannya beliau tetap berjaya membawa UMNO dan BN kekal dengan majoriti dua pertiga kuasa di Parlimen, tetapi kejayaannya itu banyak disumbangkan oleh peranan media massa dan budaya takut yang dimekarkan dalam sanubari rakyat andainya pembangkang mengambil alih kuasa. Namun dengan keterbukaan rakyat dan ruang maya yang lebih terbuka seperti sekarang, senjata yang pernah digunakan Mahathir itu sudah tidak setajam dulu lagi.

Dalam isu Israel yang dikaitkan dengan Anwar misalnya, hari ini terdedah juga bahawa Mahathir sendiri pernah berutus surat dengan Perdana Menteri negara itu. Sementara kerajaan akan mendedahkan kandungan surat itu pada minggu depan, di ruang-ruang internet sudah pun terdedah antara kandungan surat itu yang mana Mahathir didapati mengucapkan tahniah kepada Ehud Barak, Perdana Menteri Israel atas kejayaan memenangi pilihanraya.

Begitu juga dalam isu pinjaman kepada Bank Dunia, walaupun Mahathir seakan bersikap keras dan bermusuh dengan Bank Dunia untuk menunjukkan sikap gentlemannya yang tidak bergantung kepada Barat, akhirnya didapati beliau juga pernah meminjamnya.

Dalam isu kehakiman juga baru-baru ini, Mahathir diserang oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Dzaiddin Abdullah yang menyebut dasar dan pindaan perlembagaan oeh Mahathir telah menjadikan sistem kehakiman menjadi pincang dan tunduk kepada kuasa Parlimen.

Meskipun tuduhan itu dinafikan sebagai tidak benar oleh Mahathir, hakikatnya tentulah rakyat lebih mempercayai Tun Dzaiddin sebagai bekas Ketua Hakim berbanding Mahathir sebagai orang politik.

Terbaru ini muncul pula isu MAS yang turut dikaitkan dengan Mahathir sehingga menyebabkan kerajaan mengambil keputusan menyelesaikan di luar mahkamah kes hutang bekas Pengerusi MAS, Tajuddin Ramli dengan kerajaan yang berjumlah RM580 juta. Ia menyusul ekoran dakwaan Tajuddin bahawa pengambilalihan MAS olehnya adalah kerana dipaksa oleh Mahathir atas nama khidmat negara untuk menampung kerugian Bank Negara.

Dalam kes ini, Mahathir sudah banyak diasak untuk bercakap benar tentang penswastaan MAS yang dilakukannya sehingga menyebabkan kerajaan rugi RM1.8 billion. Mahathir bukan sahaja mengelak untuk menjawab tetapi mengaitkan kerugian adalah perkara biasa dalam mengurus kerajaan dengan mengambil contoh Pak Lah juga menyebabkan kerugian RM8 billion apabila membatalkan projek rel berkembar daripada Johor Bahru ke Perlis.

Ternampak bahawa akhir-akhir ini semakin banyak perkara-perkara yang dilakukan Mahathir yang dulunya hanya didiamkan, kini sudah mula dibongkar satu demi satu. Meskipun beliau terus menjawab dan menangkis pelbagai perkara yang dibangkitkan itu, hakikatnya imej serta kredebiliti beliau sebagai bekas Perdana Menteri dan seorang Negarawan sudah banyak tercalar.

Walaupun mungkin masih ada yang mengaguminya tetapi generasi muda rata-ratanya lebih suka melihat sisi kerosakan yang dilakukan oleh Mahathir sama ada kepada negara mahupun bangsa Melayu, berbanding kebaikan yang dilakukannya. Anak-anak muda lebih melihat bahawa sokongan Mahathir kepada Najib yang turut melakukan banyak kesilapan hanya menambahkan lagi kerosakan yang ada.

Lagi pula gaya kepimpinan Mahathir kurang secocok dengan selera anak-anak muda sekarang yang penuh idealisme dan impian. Anak-anak muda secara semulajadinya menolak amalan kronisme dan memberi kekayaan kepada anak-anak. Berbanding Anwar, dari segi menjadi idola kepada generasi muda, Mahathir agak jauh ketinggalan. Kelompok yang sesuai dengan Mahathir hanyalah generasi tua dan pertengahan yang masih bergantung kepada media tradisional sebagai sumber maklumat.

Keaktifan Mahathir bersuara akhir-akhir ini bukan sangat untuk mempetahankan BN tetapi lebih kepada memastikan Anwar gagal menjadi Perdana Menteri. Mahathir sendiri tidak suka BN menang terlalu cemerlang. Ketika Pak Lah berjaya mencapai kemenangan 198 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihanraya 2004, Mahathir menyebut kerajaan yang terlalu kuat adalah tidak baik kepada rakyat. Lantas beliau berkempen untuk menjatuhkan Pak Lah dan BN sehingga akhirnya berlakulah keputusan buruk pada 2008. Tidak dapat tidak, Mahathir ada sahamnya menjadikan keputusan buruk 2008 itu.

Sekarang Mahathir mempertahankan Najib adalah kerana musuh yang sama-sama ditentang ialah Anwar Ibrahim. Jika selepas PRU 13 di mana nanti BN akan mencapai keputusan yang buruk, tidak ada jaminan Mahathir akan terus berada disisi Najib. Beliau mungkin menyokong pemimpin lain dan mahu Najib ditukar pula. Sejarah politiknya menunjukkan bahawa Mahathir adalah penganut falsafah Barat iaitu "tiada kawan dan musuh yang kekal dalam politik, yang kekal hanyalah kepentingan peribadi".

Dengan beberapa episod seperti hubungan dengan Israel, Bank Dunia, kemelut MAS dan sistem kehakiman yang kini muncul dan dikaitkan dengan Mahathir, adalah dipercayai beberapa isu lain berkaitan kepimpinannya selama 22 tahun akan muncul satu demi satu selepas ini. Ini sekaligus menjadikan beliau terus diperbualkan, diperdebat malahan dipertikaikan. Rakyat terutama generasi muda mungkin melihatnya sebagai objek kebencian pula.

Mungkinkah ini hukum karma yang datang menimpanya umpama boomerang?

Oleh kerana Najib dilihat banyak bergantung dan membiarkan Mahathir semakin kerap bersuara, dibimbangi karma itu akan turut terpercik sama kepadanya dalam PRU 13 ini. (SH 29/02/2012).

Tuesday 28 February 2012

Kes Badrul Amin - PR Lebih Telus Daripada BN

Kes khalwat yang dikaitkan dengan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dan Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Badrul Amin Baharom kini bagaikan badai baru yang melanda parti itu dan juga Pakatan Rakyat secara keseluruhannya.

Pelbagai cerita dan versi boleh diperolehi mengenai kes itu sama ada melalui media massa tradisional mahupun melalui media internet.

Meskipun kes tersebut masih dalam proses siasatan dan mengumpul bukti tetapi dari segi politiknya Pakatan Rakyat terutamanya PKR menerima tamparan paling hebat dan mungkin menjejaskan sedikit keyakinan rakyat menjelang pilihanraya umum akan datang.

Rakyat yang selama ini sudah muak dengan cara pentadbiran UMNO dan BN dan mengharapkan sebuah kerajaan baru selepas PRU 13 dengan sandaran utama diharapkan kepada Anwar Ibrahim serta Pakatan Rakyat yang diyakini mampu membawa nafas segar kepada negara dengan pengenalan ciri-ciri pentadbiran yang lebih baik, telus, mengutamakan rakyat, tidak rasuah serta tata kelola yang lebih meyakinkan, mungkin sedikit goyang dengan kes Badrul Amin ini.

Meskipun kes ini belum dibuktikan kesahihannya dan masih dalam proses siasatan sama ada akan dilakukan pendakwaan atau sebaliknya, hakikat yang nyata ialah wujudnya kecuaian di pihak Badrul Amin sendiri.

Sebagai seorang yang sudah matang dan berpendidikan agama pula, beliau sepatutnya boleh mengelakkan diri daripada terjebak dalam kes ini lebih awal lagi jika lebih berhati-hati dan tidak membiarkan dirinya terlalu terdedah kepada unsur-unsur syak wasangka serta fitnah.

Kalau pun terlalu ingin bertanggungjawab dalam menghulurkan bantuan serta menunjukkan sikap budiman sebagai seorang lelaki, Badrul Amin sepatutnya boleh mengelakkan daripada bertemu dengan bukan muhrim di waktu yang tidak sesuai seperti tengah malam atau awal pagi.

Begitu juga untuk menguruskan pendaftaran bilik hotel, beliau sepatutnya hanya menguruskan setakat di kaunter pendaftaran sahaja dan tidak terlajak sampai memasuki bilik hotel wanita yang bukan muhrim dan masih bersuami itu.

Bagaimanapun kerana kecuaian dan kealpaan dalam menjaga maruah diri, keluarga serta jemaah, Badrul Amin akhirnya terperangkap. Walaupun belum didakwa serta belum dibuktikan bersalah atau tidak, hakikatnya rasa malu dan aib sudah pun terhentak ke bahu beliau, keluarganya, PKR serta Pakatan Rakyat seluruhnya.

Dalam hal ini mujurlah Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor telah bertindak pantas menyelamatkan maruah parti dan gabungan pembangkang degan segera memberikan cuti sebulan kepada Badrul Amin untuk menyelesaikan masalahnya itu.

Sebagai Ketua Penerangan kerajaan Selangor dan penasihat agama kepada Menteri Besar Selangor, tugas Badrul Amin adalah penting bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat tetapi juga memberi imej baik kepada kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Tindakan Khalid yang segera mengarahkan Badrul Amin bercuti untuk menyelesaikan masalahnya itu adalah tindakan paling terpuji dan membuktikan ketelusan Pakatan Rakyat dalam berhadapan dengan sesuatu isu yang melibatkan kepentingan parti dan rakyat. Dengan tindakan ini, rakyat sekurang-kurangnya tetap menaruh keyakinan dan kepercayaan bahawa Pakatan Rakyat tidak sesekali bersekongkol dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma masyarakat. Tiada istilah melindungi atau mahu menutup kesalahan sesiapa saja disabitkan dengan sesuatu tuduhan yang melibatkan undang-undang.

Dalam kes Badrul Amin, pendirian Khalid dan Pakatan Rakyat adalah cukup jelas iaitu biarlah beliau diberi peluang membersihkan dirinya dan membuktikan sama ada beliau bersalah atau sebaliknya. Jika didapati tidak bersalah kemudiannya, beliau boleh kembali berkhidmat dengan jawatan lamanya tetapi andainya didakwa dan terbukti bersalah, Pakatan Rakyat telah memberi isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa Badrul Amin seharusnyalah mengundur diri.

Tindakan pantas Khalid ini bukan sahaja berjaya menyelamatkan maruah Kerajaan Negeri Selangor yang begitu diidam-idamkan oleh Najib untuk dirampas dalam pilihanraya akan datang tetapi juga menyelamatkan imej Pakatan Rakyat di mata umum.

Sekurang-kurangnya dengan tindakan Khalid itu, Pakatan Rakyat telah membuktikan ia jauh lebih baik dan telus berbanding BN. Dalam kes lembu NFC misalnya, Najib dan Kerajaan BN masih teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap Shahrizat meskipun pelbagai bukti sudah didedahkan dan pihak polis sendiri sudah mencadangkan kepada Peguam Negara agar tindakan undang-undang kerana pecah amanah diambil terhadap mereka yang terbabit.

Najib bukan sahaja masih menyimpan Shahrizat dalam kabinetnya tetapi cuti tiga minggu yang diberi kepada Shahrizat baru-baru ini pun hanya diambil setelah pelbagai bukti dan desakan dilakukan oleh pebagai pihak. Desakan agar Shahrizat berhenti atau diberhentikan daripada kabinet bukan saja datang daripada rakyat dan pembangkang tetapi juga daripada kalangan pimpinan UMNO sendiri. Namun Najib tetap tiada keberanian untuk bertindak.

Begitu juga dalam kes-kes lain yang melibatkan moral dan persepsi rakyat berkaitan pimpinan UMNO dan kerajaan, UMNO dan BN selalu berpegang kepada alasan klise dan lapuk iaitu seseorang tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Ini menjadikan ramai pimpinan UNMO dan kerajaan yang dituduh dan dikaitkan dengan pelbagai dakwaan tidak diambil apa-apa tindakan dan seolah-olah dilindungi pula.

Kadang-kadang dalam sesuatu kes yang didedahkan dan melibatkan pimpinan UMNO dan kerajaan, meskipun satu demi satu bukti ditunjukkan, kerapkali ia juga cuba ditutup dengan pelbagai helah dan alasan untuk mengelakkan pendakwaan seperti kes Jamil Khir dengan wang zakatnya serta beberapa kes rasuah dan salah laku yang melibatkan pemimpin-pemimpin lainnya.

Dalam hal ini, tindakan pantas Khalid dalam menangani kes Badrul Amin adalah paling tepat dan sekurang-kurangnya berjaya mengubah persepsi rakyat yang pada mulanya agak terjejas dengan kejadian itu. (SH 28/02/2012).

Sunday 26 February 2012

Felda: Sebelum Peneroka Untung, Kroni Najib Untung Dulu...

Sudah banyak yang ditulis dan diulas mengenai hasrat Perdana Menteri mahu menyenaraikan Felda Global Venture atau FGV ke Bursa Malaysia. Mereka yang bercakap tentang pro dan kontranya juga sudah banyak. Hakikat bahawa penyenaraian FGV itu sama ada membawa keuntungan atau kerugian kepada masa depan peneroka juga sudah boleh diagak sebenarnya jika diteliti kesemua pandangan-pandangan itu. Pihak mana yang untung juga sudah boleh diramal.

Menyenaraikan FGV yang mengakibatkan tanah peneroka dipajak mungkin saja memberi keuntungan jangka pendek tetapi kerugian dalam jangka panjang kepada para peneroka. Mungkin juga untung jangka panjang dan rugi jangka pendek. Atau mungkin juga untung dalam jangka pendek dan panjang dan tidak mustahil juga rugi di kedua-dua jangka pendek dan jangka panjang.

Apabila FGV disenaraikan di Bursa Malaysia, ia sudah menjadi menjadi entiti perniagaan yang sentiasa terdedah kepada untung rugi. Apatah lagi dengan kedudukan FGV sebagai sebuah syarikat yang besar dan menjadi perhatian, ia juga akan terdedah kepada spekulasi tentang turun naik harga saham-sahamnya yang diniagakan di Bursa Malaysia itu.

Kadang-kadang dalam dalam usaha mengaut keuntungan, faktor spekulasi lebih menjadi keutamaan daripada realiti sebenar perniagaan yang dijalankan. Selalunya, akan ada kelompok yang bertindak "memasak" dan "menggoreng" tentang pelbagai perkara spekulasi berkaitan urusniasa mengenai sesebuah syarikat itu supaya saham-saham yang diniagakan menjadi perhatian dan melambung harganya di pasaran. Apabila harga melambung, mereka akan menjual dan mengaut keuntungan berganda hanya dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Golongan ini juga boleh menyebabkan harga saham sesebuah syarikat itu menjunam jatuh. Mereka menjual dan membeli saham adalah berdasarkan turun naik harga di pasaran.

FGV juga akhirnya akan terdedah kepada perkara ini. Meskipun sudah pelbagai perkara berlaku dalam proses penyenaraian FGV ini termasuk menggunakan proses mahkamah untuk menghalang Mesyuarat Agung Koperasi Peneroka Felda atau KPF, Najib dan Felda nampaknya tetap berkeras mahu juga membawa FGV ke Bursa Malaysia.

Selain sebuah syarikat tujuan khas mungkin akan digunakan bagi tujuan itu setelah KPF tidak dapat digunakan untuk proses penyenaraian itu, Najib sendiri berulang kali menyatakan tentang keuntungan yang bakal diperolehi jika FGV itu disenaraikan di Bursa Malaysia. Najib dilaporkan pernah berkata dengan saham-saham yang akan dimiliki oleh peneroka, mereka akan mendapat durian runtuh daripadanya.

Nampaknya Najib tetap bertegas untuk menyenaraikan juga FGV ini walau dengan apa cara sekali pun dengan memberi umpan durian runtuh yang bakal dinikmati oleh para peneroka. Rungutan dan pandangan pelbagai pihak tentang kerugian jangka panjang atau jangka pendek akibat penyenaraian itu langsung tidak dihiraukan.

Soalnya benarkah peneroka akan benar-benar untung?

Walaupun Najib dan Felda berulangkai menyatakan tentang keuntungan dan durian runtuh yang bakal dinikmati oleh para peneroka akibat penyenaraian itu, hakikatnya apabila FGV disenaraikan, para peneroka akan mendapat sejumlah kecil lot saham sahaja. Mungkin 10 atau 20 lot saham. Kalau bernasib baik mungkin mencecah 50 lot saham. Kalau perniagaan berjalan dengan baik dan harga saham meningkat, mereka akan menikmati dividen tahunan daripada saham-saham yang dipegang itu. Itulah keuntungannya dan itulah yang cuba digambarkan selama ini. Tetapi bagaimana kalau perniagaan rugi dan harga saham menjunam jatuh. Apa yang peneroka dapat?

Selama ini tidak pernah ada mana-mana pihak termasuk Najib sendiri bercakap soal rugi dan jatuhnya harga saham ini sedangkan apabila menjadi entiti perniagaan, itulah perkara lumrah yang akan berlaku kepada FGV. Tiada jaminan FGV akan sentiasa untung. Peneroka juga tidak lagi sentiasa mendapat untung mahu pun durian runtuh.

Lebih malang, dalam dalam kes FGV ini, apabila harga sahamnya meningkat, kebarangkalian untuk peneroka menjual saham untuk mendapatkan wang tunai adalah amat besar kerana mereka adalah golongan yang miskin dan masih memerlukan banyak wang untuk pelbagai keghairahan hidup. Mula-mula mungkin hanya jual 1 atau 2 lot saham, tetapi apabila harga meningkat lagi, mustahil peneroka tidak terus menjual saham mereka. Akhirnya saham habis dijual dan tidak ada apa-apa lagi yang tinggal.

Risiko memiliki saham yang mudah dijual beli memang lebih merbahaya daripada mengekalkan hak milik tanah yang mungkin boleh diwarisi turun-temurun dari generasi ke generasi.

Rasanya kebimbangan yang diluahkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah bahawa penyenaraian FGV adalah suatu langkah yang merbahaya adalah bermaksud demikian. Beliau tidak mahu akhirnya peneroka tidak memiliki apa-apa lagi. Sebagai orang kepercayaan Tun Abdul Razak ketika Felda ditubuhkan dan barangkali sama-sama menyumbang idea kepada penubuhan Felda itu, Ku Li tentunya dapat merasakan bahawa masa depan anak cucu peneroka tidak terjamin lagi dengan membawanya ke Bursa Malaysia.

Itu cerita kalau saham FGV naik harga. Bagaimana pula kalau sahamnya tidak naik dan terus jatuh. Sudah tentunya para peneroka akan menjadi marah dan menghentam kerajaan kerana sudahlah tanah mereka dipajakkan, keuntungan yang diharapkan pula tidak kunjung tiba.

Tidak dapat tidak, penyenaraiaan FGV ini amat mendedahkan kepada kerugian daripada keuntungan sebenarnya. Kalau harga naik, pemilikan tanah mungkin terlepas, kalau harga jatuh, kerajaan akan jadi sasaran.

Selain itu, melalui penyenaraian FGV itu juga pastinya menyebabkan beberapa kelompok mereka yang rapat atau dikenali sebagai kroni Najib akan turut diperuntukkan saham-saham tersebut. Di samping para peneroka, badan-badan seperti KWSP, Tabung Haji, PNB dan lain-lain badan amanah yang biasanya akan diperuntukkan saham-saham itu, kalangan yang rapat dengan pemimpin atasan juga akan mendapat limpahan daripadanya.

Katalah beberapa orang daripada kalangan yang rapat dengan Najib diperuntukkan sejumlah 5 peratus atau 10 peratus saham FGV, tentunya mereka ini akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Itu belum lagi dikira berapa ramai kalangan kroni Najib yang mungkin dianugerahkan 100 lot atau 500 lot saham saham FGV itu. Beberapa ketua UMNO Bahagian yang rapat dengan Najib juga mungkin akan memperolehi sama.

Berbanding mereka yang dikenali sebagai kroni Najib ini yang mungkin memperolehi 5 peratus, 10 peratus atau 100 mahupun 500 lot saham FGV, mereka tentunya lebih jauh beruntung daripada para peneroka yang mungkin hanya mendapat 10,20 ataupun 50 lot saham sahaja.

Dengan saiz syarikat seperti FGV ini, pemilikan 1 peratus sahamnya saja mungkin sudah bernilai puluhan juta ringgit.

Hakikat yang sukar dinafikan dan memang menjadi amalan biasa dalam proses penyenaraian saham ialah disebalik membawa FGV ini ke Bursa Malaysia, akan ada kelompok lain yang lebih dulu dan lebih besar kawah keuntungan yang mereka kaut daripada para peneroka sendiri. Para peneroka yang selama bertahun-tahun memerah keringat berbudi pada tanah Felda hanya akan mendapat keuntungan yang sedikit berbanding mereka yang dekat dengan puncak kuasa yang tidak perlu mengeluarkan setitik peluh pun untuk menjadi jutawan segera dalam sekelip mata sahaja. (SH 26/02/2012)

Friday 24 February 2012

Mencongak Silap Mata Najib Mengenai Tarikh Pilihanraya

Selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO semalam, Najib telah mengumumkan tarikh untuk persidangan tahunan UMNO cawangan dan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian bagi tahun ini. Tarikh yang diputuskan untuk persidangan tahunan cawangan ialah 1 April hingga 15 Jun manakala mesyuarat perwakilan bahagian pula ditetapkan bermula 1 Julai hingga 15 September.

Buat pertama kalinya tempoh mesyuarat perwakilan UMNO bahagian tahun ini akan diadakan pada bulan puasa. Puasa dijangka bermula pada 21 Julai. Maknanya tahun ini orang UMNO terpaksa membahagikan masa Ramadannya antara amal ibadat dengan politik.

Turut diumumkan ialah sambutan ulangtahun UMNO ke 66 pada 11 Mei tahun ini akan diadakan secara besar-besaran di Stadium Merdeka.

Mengambil kira tarikh-tarikh yang diumumkan itu serta sambutan bulan puasa yang dijangka bermula pada 21 Julai, kemudian diikuti dengan Hari Raya Aidil Fitri dan kesibukan mengadakan majlis rumah terbuka yang biasanya memakan masa selama sebulan serta pelbagai acara di hujung tahun, persoalan yang timbul ialah bilakah tarikh pilihanraya umum sebenarnya?

Bermula April hingga pertengahan September, UMNO akan sibuk pula dengan mesyuarat cawangan dan bahagian, kemudian diikuti pula sambutan Hari Raya dan rumah terbuka. Mungkinkah selepas September pilihanraya akan diadakan?

Mengikut pengumuman tarikh-tarikh itu, Najib seolah-olah cuba bermain silap mata dengan mengajak pihak pembangkang dan rakyat untuk merasakan dan mempercayai bahawa pilihanraya akan diadakan pada hujung tahun ataupun awal tahun depan.

Tetapi biasanya pada bulan Oktober adalah tarikh pembentangan Belanjawan 2013 manakala Oktober atau November juga biasanya akan diadakan Perhimpunan Agung UMNO. Musim haji juga sekitar September dan Oktober. Musim tengkujuh dan diikuti banjir juga biasanya berlaku pada waktu ini sehingga hujung tahun.

Selain itu, pada hujung tahun juga rakyat biasanya sibuk dengan aktiviti percutian bersama keluarga dan banyak perkara tidak dapat dilakukan waktu ini. Najib sendiri kerap bercuti bersama keluarga pada hujung tahun.

Maka, bilakah Najib mahu memanggil pilihanraya umum? Mungkinkah awal tahun 2013? Harus diingat tempoh pilihanraya umum mesti diadakan ialah April 2013. Lagi pula jika sudah terheret sampai ke tahun 2013, tidak ada yang "surprise" lagi mengenai tarikh pilihanraya.

Nampaknya Najib benar-benar cuba bermain silap mata dan berteka-teki mengenai tarikh piliharaya kali ini. Beliau mahu pihak pembangkang leka sambil meneka-neka dan akan memanggil pilihanraya ketika mereka tidak bersedia. Mungkin dengan cara ini UMNO dan BN berpeluang lebih cerah untuk menang pilihanraya.

Namun demikian, melihat kepada tarikh-tarikh itu dan acara yang biasa berlangsung sehingga hujung tahun, Najib tidak mungkin memanggil pilihanraya selepas bulan puasa. Kebarangkalian pilihanraya umum kali ini akan diadakan sebelum Julai 2012.

Jika pilihanraya tidak diadakan selepas Julai 2012, pilihan lain ialah awal tahun depan. Tidak mungkin pilihanraya diadakan pada hujung tahun kerana adanya kekangan tarikh pembentangan Belanjawan 2013, Perhimpunan Agung UMNO, musim haji, cuti sekolah dan mungkin juga musim banjir.

Namun menangguhkan pilihanraya sehingga tahun 2013 memberi risiko besar kepada Najib, UMNO dan BN. Najib bukan saja terpaksa merangka sekali lagi Belanjawan 2013 untuk memancing undi rakyat tetapi juga terpaksa memberikan sekali lagi bantuan RM500 BR1M, bantuan RM100 untuk pelajar-pelajar sekolah dan juga RM200 dalam bentuk baucer buku kepada pelajar unoversiti.

Pemberian segala bantuan itu untuk tahun ini dan gula-gula dalam Belanjawan 2012 lalu sudah dianggap terlalu usang untuk dibawa sebagai modal kempen jika pilihanraya diadakan pada tahun 2013.

Dengan melaksanakan sekali lagi pelbagai jenis bantuan one-off itu, kerajaan dijangka tidak akan mampu berbuat demikian kerana sekali saja pun pemberian segala jenis bantuan itu sudah cukup membuatkan kerajaan "senget poket". Bantuan BR1M bernilai RM500 itu saja kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berjumlah RM1.8 billion, itu belum termasuk bantuan RM100 dan RM200 untuk pelajar sekolah dan universiti. Jika pada tahun 2013 pilihanraya diadakan, bantuan one-off itu mesti diberikan lagi, jika tidak risiko kalah amat besar. Andainya pilihanraya diadakan ada pada aqal 2013 dan bantuan one-off diteruskan lagi, mungkin Najib terpaksa meminjam kepada Bank Dunia ataupun IMF.

Melihat kepada situasai ekonomi semasa, Najib dijangka tidak mengambil risiko itu. Jadi, bilakah tarikh piliharaya umum yang sebenarnya?

Walaupun Najib cuba berteka-teki dan bermain silap mata dengan mengumumkan tarikh itu dan ini, pilihanraya dijangka akan tetap diadakan tahun ini. Tarikh sebelum bulan Julai atau sebelum ketibaan puasa adalah dirasakan paling sesuai untuk diadakan pilihanraya. Tarikh tepatnya ialah sekitar penghujung Mei hingga pertengahan Jun.

Tarikh tersebut dirasakan amat sesuai untuk diadakan pilihanraya kerana terdapat cuti sekolah selama dua minggu ketika itu yang membolehkan sekolah dan dewan sekolah digunakan untuk keperluan pilihanraya.

Jika tempoh penghujung Mei hingga pertengahan Jun yang dipilih Najib untuk mengadakan pilihanraya, maka sambutan besar-besaran ulangtahun UMNO di Stadium Merdeka akan digunakan sepenuhnya untuk merangsang serta melonjakkan semangat ahli UMNO terhadap perjuangan parti dan persiapan menghadapi plihanraya. Ia juga akan digunakan untuk mengimbas nostalgia rakyat tentang kemerdekaan negara yang diumumkan di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj serta kaitannya dengan perjuangan UMNO.

Najib merasakan peristiwa itu akan memberi sedikit kelebihan kepadanya dalam menghadapi pilihanraya kali ini.

Ini bermakna pilihanraya kali ini adakah diadakan dalam tempoh cawangan-cawangan UMNO mengadakan persidangannya iaitu antara 1 April hingga 15 Jun. Dan Najib nampaknya sengaja menyebut tarikh persidangan cawangan, tarikh mesyuarat perwakilan bahagian, sambutan ulangtahun UMNO dan pertembungannya dengan bulan puasa, Hari Raya, rumah terbuka, pembentangan Belanjawan 2013, Perhimpunan Agung UMNO, musim haji, musim banjir dan cuti sekolah pada hujung tahun semata-mata untuk bermain teka-teki dan membuatkan pihak pembangkang leka sambil merasakan pilihanraya akan diadakan pada awal 2013.

Pilihanraya kemudiannya akan diumumkan secara tiba-tiba dan pembangkang dilihat tidak bersedia.

Bagaimanapun seorang Ketua UMNO Cawangan memberitahu, silap mata dan teka-teki ini tidak akan menjadi kerana tidak mungkin Anwar Ibrahim, Hadi Awang atau Lim Kit Siang tidak mengkaji sejauh itu. Maknanya, mereka akan tetap bersedia sepanjang masa.

"Kalau ahli UMNO bawahan pun boleh mencongak sedemikian, pastinya Anwar, Hadi dan Lim Kit Siang lebih bijak lagi," tambahnya ketua cawangan itu lagi. (SH 24/02/2012).

Thursday 23 February 2012

Dr. Rosmah Wajar Dijadikan Menteri

Setelah kita dihebohkan dengan berita-berita kurang enak mengenai isteri Perdana Menteri, Dr. Rosmah Mansor sejak sekian lama, mutakhir ini menyusul pula berita yang agak mengagumkan mengenai beliau. Baru-baru ini beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Curtin, Australia dan diberikan Anugerah Wanita Peneraju Kebajikan Asia oleh NASEBA atas pelbagai sumbangannya dalam dunia kebajikan selama ini.

Perkasa yang dipimpin oleh Ibrahim Ali juga turut memberikan gelaran Serikandi kepada Rosmah atas ketabahannya menghadapi pelbagai cabaran, fitnah serta tohmahan daripada pelbagai pihak. Gelaran ini diberikan dalam sebuah majlis makan malam yang turut dihadiri Rosmah, baru-baru ini.

Sejak Najib mengambil alih kepimpinan UMNO dan kerajaan, nama Rosmah dilihat sama naik dengan suaminya. Permata yang ditubuhkannya telah menimbulkan kegemparan kepada rakyat berikutan tindakan Najib memberikan bajet yang besar kepada Permata dalam dua belanjawan iaitu 2009 dan 2010 yang dibentangkannya di Parlimen.

Beliau bukan sahaja menjadikan Permata begitu aktif dan diperkatakan tetapi keaktifannya dalam pelbagai program lain seperti berkempen dalam pilihanraya kecil turut mencetuskan fenomena baru dalam politik negara. Ia sesuatu yang janggal sebelum ini tetapi Rosmah telah membuka laluan baru mengenainya.

Tidak cukup bergelar isteri Perdana Menteri, beliau mahu digelar pula Wanita Pertama Malaysia meskipun hakikatnya gelaran itu tidak terpakai dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen seperti Malaysia. Gelaran Wanita Pertama biasanya hanya digunakan untuk negara repuplik. Najib kemudiannya terpaksa menjawab di Parlimen bahawa gelaran Wanita Pertama yang digunakan oleh isterinya adalah dibenarkan kerana ia tidak mengatasi status dan kedudukan Raja Permaisuri Agong yang sepatutnya merupakan wanita berstatus palng tinggi dalam negara.

Tidak cukup dengan itu, Rosmah juga kemudian mengadakan Sidang Puncak Wanita-Wanita Pertama Dunia di Kuala Lumpur serta banyak melakukan lawatan ke luar negara menggunakan bajet kerajaan dengan membawa sama isteri-isteri menteri mengiringinya. Sudah tentu isu perbelanjaan mengenainya dibangkit dan diperkatakan oleh rakyat dari pelbagai peringkat.

Berselang-seli dengan itu, pelbagai pendedahan mengenai perbelanjaan, kemewahan dan pemborosan Rosmah didedahkan media satu persatu dan ini menjadikan namanya sentiasa basah dibibir hampir setiap rakyat negara ini. Dari pakaian, hiasan, permata, cincin, gelang, beg tangan, kos penginapan bilik hotel dan sebagainya didedahkan satu demi satu dan semua ini menjadikan beliau terus popular serta diperbualkan.

Sesuatu yang mengagumkan tentang Rosmah ialah beliau tidak peduli tentang semua cakap-cakap orang mengenainya. Beliau tetap terus dengan agendanya, kalau dia mahu menonjol diri, dia akan terus menonjol diri, kalau dia mahu bershopping sakan, dia juga akan terus berbuat demikian. Kalau dia mahu bercuti mewah, dia tetap juga bercuti mewah di Dubai, Australia, Monaco dan sebagainya. Ketidakpeduliannya terhadap cakap-cakap orang amat mengagumkan dan luar biasa.

Di sudut yang lain, harus diakui Rosmah juga mempunyai stamina dan gaya hidup yang berbeza berbanding isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini. Beliau nampaknya tidak mahu sekadar menjadi peneman suami di acara-acara rasmi atau mempunyai rutin menghantar dan menyambut di muka pintu setiap kali Najib pergi dan pulang dari pejabat. Beliau mahu lebih dari itu. Beliau mahu kelihatan berkuasa dan memiliki kuasa.

Penonjolannya yang ketara di khalayak ramai berbanding isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini adalah bertujuan ke arah itu. Dengan banyak memberi ucapan, melontarkan idea serta memberi pendapat di pelbagai acara dan kerapkali kali pula wajahnya muncul di media-media, secara langsung dan tidak langsung menjadikan beliau kelihatan penting dan berkuasa.

Dan Rosmah juga tidak menyembunyikan keghairahannya itu. Dia ternyata wanita yang suka kepada kuasa dan gembira bila khalayak menganggapnya demikian. Ramai pemimpin UMNO sendiri yang amat menghormati Rosmah berbanding rasa hormat terhadap menteri-menteri kabinet lain. Ramai pula yang cuba mendekatinya dan tunduk apabila bercakap atau berpeluang bersalam dengannya. Malahan terdapat mereka yang bersalam sambil mencium tangannya.

Ibrahim Ali, pengasas Perkasa yang lebih berusia daripada Rosmah pun bersalam mencium tangannya baru-baru ini. Nampaknya Ibrahim Ali yang mengasaskan Perkasa untuk memperjuangkan ketuanan Melayu turut tunduk kepada ketuanan Rosmah.

Dari wajahnya jelas terpamer kegembiran apabila dihormati, disanjung dan diperakui tentang kuasa yang ada adanya. Rosmah tidak pernah menolak sesiapa pun mahu mencium tangannya.

Oleh itu, melihat kepada kegigihan Rosmah muncul di khalayak ramai, ketidakpedualiannya terhadap cemuhan awam dan kesukaannya kepada kuasa, rasanya wajar untuk Najib memikirkan untuk meletakkan isterinya itu di kedudukan yang sesuai selepas pilihanraya nanti. Berilah peluang beliau bertanding dalam pilihanraya akan datang dan jika BN terus diberi mandat oleh rakyat, berilah juga jawatan menteri kepadanya.

Dengan kedudukan Shahrizat Jalil yang begitu nazak di mata rakyat berkaitan skandal NFC, Rosmah adalah calon yang sesuai diberikan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kepimpinan Rosmah yang hebat mungkin boleh mengelakkan Wanita UMNO daripada berpecah dan lemah semangat kiranya Shahrizat tidak dipilih sebagai calon dalam pilihanraya nanti.

Dengan memberikan Rosmah kedudukan dalam kabinet, tiada lagi isu jika beliau rajin bertemu rakyat dan menjelajah ke serata pelosok dunia atas kapasiti menterinya. Isu perbelanjaan dan menggunakan bajet kerajaan juga tidak akan berbangkit lagi.

Ataupun beliau juga boleh dijadikan peneraju kepada mana-mana agensi kerajaan atau GLC bagi membolehkannya kerap bertemu rakyat, tampil bergaya dan menggunakan peruntukan kerajaan. Barangkali menjadi peneraju sayap pelaburan utama kerajaan iaitu Danaharta amat bersesuaian dengan Rosmah dan jika ini berlaku, beliau setaraf dengan isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching yang mengetuai Temasik Holding, sayap pelaburan Singapura.

Jika Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri hanya berjaya menjadikan anaknya Mokhzani sebagai Bendahari Pemuda UMNO Malaysia manakala Pak Lah pula hanya berjaya menjadikan menantunya Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Rembau, kejayaan Najib meletakkan isterinya di tahap yang lebih tinggi daripada itu, pastinya ia sesuatu yang membanggakan rakyat Malaysia dan dikenang dalam lipatan sejarah sepanjang zaman.

Najib pastinya menyedari bakat kepimpinan dan keghairahan yang ada dalam diri isterinya itu. Mudah-mudahan disebaliknya merudumnya sokongan rakyat kepada UMNO dan BN berikutan pelbagai isu dan skandal yang bertali arus sejak sekian lama, dengan menguar-uarkan bahawa Rosmah adalah salah seorang "winnable candidate" dan akan dijadikan menteri selepas itu, ia berupaya menjadikan sokongan rakyat membuak-buak dan BN berjaya meraih kejayaan paling gemilang dalam sejarah pilihanraya negara ini, mengatasi pencapaian cemerlang pilihanraya tahun 2004 yang dianggap paling cemerlang setakat ini. (SH 23/02/2012).

Wednesday 22 February 2012

PRU 13 - Najib Bakal Kena Kencing...

Di sebalik kekerapan Najib dan Muhyiddin turun ke negeri-negeri bertemu dengan rakyat dan dalam masa yang sama memberi isyarat bahawa tarikh pilihanraya umum semakin hampir, hakikat yang berlaku dalam UMNO sebenarnya adalah amat memalukan. UMNO seolah-olah tidak bersedia untuk menghadapi pilihanraya walaupun menyedari PRU 13 ini adalah "ibu" kepada segala piliharaya. Pilihanraya yang akan menentukan sama ada UMNO dan BN terus hidup atau kehilangan kuasanya.

Masih banyak bahagian-bahagian UMNO yang didapati belum lagi menubuhkan jentera pilihanraya di peringkat bahagian masing-masing. Mereka masih bersikap tunggu dan lihat dulu. Masing-masing mahu menunggu tarikh pilihanraya diumumkan oleh Perdana Menteri dan siapa yang dipilih sebagai calon dahulu.

Terdapat ketua bahagian yang enggan menubuhkan sebarang jawatankuasa atau jentera untuk piliharaya kerana tidak tahu kedudukan mereka sama ada dipilih sebagai calon ataupun tidak. Bagi yang berkeyakinan akan menjadi calon, memang ada yang sudah menubuhkan jentera pilihanraya malahan sudah mengadakan latihan, kursus dan persiapan yang secukupnya. Tapi jumlah kelompok ini tidak ramai.

Kelompok yang tidak pasti dan masih melobi untuk menjadi calon pilihanraya, kebanyakan mereka langsung tidak berbuat apa-apa untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang ini. Mereka beranggapan adalah membuang masa jika mereka menubuhkan jentera piliharaya sekarang dan membuat persiapan secukupnya sedangkan nanti orang lain yang dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon pilihanraya. Bagi golongan ini, biarlah sesiapa yang dipilih sebagai calon nanti menubuhkan jentera piliharaya mereka.

Bagi yang sudah putus harapan dan merasakan tidak berpeluang lagi dipilih sebagai calon pula, mereka langsung tidak berbuat apa-apa. Urusan parti hanya dilaksanakan secara ala kadar saja, selebihnya mereka menumpukan kepada bidang perniagaan saja. Persiapan atau penubuhan jentera pilihanraya hanya akan diputuskan setelah calon diketahui dan sama ada mereka dipilih sebagai pengarah pilihanraya atau pun tidak.

Bagi yang rapat dan ada hubungan dengan Najib serta pemimpin negeri dan berkeyakinan pula akan dipilih sebagai calon sahaja yang didapati sudah menubuhkan jentera piliharaya dan membuat persiapan secukupnya. Mereka ini sama ada sudah mempunyai kedudukan dalam lingkungan kuasa Najib atau sudah memperolehi banyak kontrak perniagaan. Penubuhan jentera dan persiapan pilihanraya adalah untuk membalas budi yang diperolehi.

Dalam pada itu, UMNO pusat dan negeri didapati masih belum memberi arahan secara khusus kepada bahagian-bahagian untuk membuat persiapan ke arah menghadapi pilihanraya.

Seorang ketua bahagian UMNO mengakui keadaan itu dan secara jujur berkata, beliau tidak mahu mendahului masa dengan menubuhkan jentera piliharaya dan hanya akan bertindak membuat persiapan pilihanraya apabila Parlimen sudah dibubarkan dan calon-calon sudah diketahui.

Katanya, sekarang adalah zaman duit ringgit dan biarlah sesiapa yag dipilih sebagai calon mengeluarkan perbelanjaan untuk persiapan piliharaya.

Seorang bekas menteri pula mengakui bahawa sehingga ini tidak ada arahan khusus daripada UMNO Pusat dan Negeri kepada UMNO untuk menubuhkan jentera pilihanraya di bahagian masing-masing.

Tambah beliau, lazimnya apabila menjelang piliharaya mereka akan menerima surat atau arahan daripada UMNO Pusat yang meminta membuat persiapan untuk pilihanraya, menubuhkan jawatankuasa pilihanraya serta peti undi dan menilai calon-calon untuk ditonjolkan.

Oleh kerana tidak ada arahan tersebut dan mengakui banyak bahagian-bahagian yang masih belum menubuhkan jentera pilihanraya di bahagian masing-masing, bekas menteri itu mengakui bahawa jika Najib membubarkan Parlimen dalam masa terdekat ini, ia pasti menimbulkan masalah besar kepada UMNO dan BN.

Dalam masa yang sama diakui juga bahawa sikap kebanyakan pemimpin UMNO tidak lagi seperti dahulu yang sanggup berkorban masa, wang ringgit dan tenaga demi kepentingan parti. Sekarang ini semua pemimpin lebih mengutamakan diri sendiri dan memikirkan apa yang mereka akan perolehi sebelum berbuat sesuatu. Tidak ada lagi istilah pengorbanan. Semuanya mesti diberi ganjaran sama ada wang atau jawatan.

Amatlah malang bagi Najib, dalam masa beliau sibuk turun ke negeri-negeri berkempen, bertemu rakyat dan menghulurkan pelbagai jenis bantuan serta "gula-gula", kebanyakan UMNO bahagian masih belum mempunyai persiapan secukupnya untuk menghadapi pilihanraya akan datang ini. Gendang piliharaya hanya riuh di peringkat atasan saja sedangkan tidak berlaku apa-apa di peringkat bawahan.

Dan jika jentera pilihanraya hanya ditubuhkan setelah Parlimen dibubarkan atau setelah calon pilihanraya dikenalpasti, UMNO dan BN pasti akan menghadapi laluan sukar kali ini. Sudahlah Najib berhadapan dengan pelbagai isu dan skandal di pelbagai peringkat yang menjejaskan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN, dalam masa yang sama Najib juga bagai "dikencing" oleh para pemimpin UMNO sendiri.

Ramai di antara mereka yang hanya memberi harapan palsu kepada pucuk pimpinan dengan harapan diri mereka akan dipilih sebagai calon dalam pilihanraya akan datang. Jika dipilih, baru mereka akan bekerja keras tetapi jika sebaliknya, mereka akan berdiam diri dan mungkin melakukan sabotaj kepada UMNO pula.

Terdapat wakil rakyat yang terang-terangan mengakui bahawa jika tidak dipilih semula oleh Najib untuk bertanding, beliau akan berehat terus daripada politik dan hanya menumpukan kepada perniagaan sahaja.

Selain itu, ada juga pemimpin yang bercita-cita menjadi calon piliharaya tetapi dalam masa yang sama tidak mahu menjaln hubungan baik dengan parti-parti komponen sehingga mengakibatkan adanya komponen BN yang memulaukan mesyuarat dan aktiviti yang dianjurkan oleh pemimpin tersebut.

Dalam keadaan di mana ramai pemimpin peringkat bahagian yang hanya pandai "menyanyi" kepada Najib serta memberi harapan palsu tetapi belum menubuhkan jentera pilihanraya masing-masing dalam keghairahan Najib mahu mempertahankan kuasa, sedar atau tidak, mereka sebenarnya sedang "mengencing" kedudukan Najib.

Sudahlah dalam masa yang sama, Najib terbeban dengan pelbagai isu dan skandal yang terus menghakis keyakinan rakyat, tindakan pemimpin UMNO yang terang-terang "mengencing" Najib itu menjadikan harapan UMNO dan BN untuk mempertahankan kuasa dalam PRU 13 ini menjadi semakin sukar. (SH 22/02/2012)

Monday 20 February 2012

Najib Dah Jadi Macam Pengemis!

Keghairahan Najib untuk mendapatkan undi kaum Cina dan India dalam PRU 13 ini dan seterusnya meletakkan dirinya kekal di persada kuasa sebagai Perdana Menteri, memperlihatkan bahawa tindakannya sekarang ini sudah sampai ke tahap "mengemis". Tindakannya itu bukan saja diperlihatkan melalui kata-kata dan ucapan tetapi juga melalui perbuatannya sekali.

Beliau sering merayu, memberi logik mengikut kepentingannya, mengungkit jasa dan kadang-kadang melontarkan nada berupa ugutan. Beliau juga sanggup hadir ke pelbagai sambutan yang dianjurkan kaum Cina dan India, termasuk meraikan Thaipusam di Batu Caves, siap dengan berpakaian kurta kuning. Selain Itu beliau juga sering menghulurkan "bantuan segera" kepada komuniti Cina dan India, setiap kali ada kesempatan berbuat demikian. Untuk itu, sekolah Cina, NGO, pusat kebudayaan India dan sebagainya sering menerima "durian runtuh" daripada Najib.

Kaum Cina dan India kini bagaikan "gadis pingitan" yang menjadi buruan serta igauan seorang jejaka kaya. Bukan saja kata-kata manis, pujuk rayu malahan bermacam-macam "hadiah" sanggup diberikan. Kadang-kadang apabila respon yang diharapkan tidak menjelma, taktik ugutan pula digunakan.

Begitulah perumpamaan Najib dengan pengundi Cina dan India sekarang ini. Bagi Najib, pengundi bukan Melayu adalah umpama "gadis pingitan" yang mesti direbut cintanya meskipun si gadis mempunyai pilihan lain yang lebih "handsome" serta mampu menjanjikan kebahagiaan masa depan. Pelbagai cara dan taktik digunakan asalkan apa yang dihajatkan membuahkan hasil.

Baru-baru ini Najib merayu lagi kepada kaum Cina agar terus memberi sokongan kepadanya dan BN untuk terus menerajui negara ini. Berucap di Persidangan "Cina Malaysia di Persimpangan" yang antara acaranya menyaksikan berlakunya debat antara Presiden MCA, Chua Soi Lek dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Najib memberitahu, sokongan yang dimahukannya agar BN terus berkuasa dan dirinya kekal sebagai Perdana Menteri bukanlah untuk dirinya tetapi untuk membawa negara menjadi lebih maju lagi.

Rayuanya kali ini amat jelas memperlihatkan beliau begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan kaum Cina. Najib seperti dapat merasakan dengan sokongan kaum Cina yang masih hambar kepada BN sekarang dan "cinta yang ditabur masih belum berbalas", kedudukannya di puncak kuasa kini umpama telur di hujung tanduk.

Dua minggu sebelum itu di sambutan Thaipusam di Batu Caves di mana Najib hadir dengan berpakaian kurta kuning, beliau turut melaungkan nada yang hampir serupa. Beliau mahu kaum India mempercayainya dalam membantu meningkatkan taraf kehiduan mereka.

Sambil menghulurkan sumbangan RM2 juta untuk pusat kebudayaan kaum India di Batu Caves itu, Najib kemudiannya meminta supaya apa yang dilakukannya itu dibalas dengan sokongan yang mampu memenangkan BN dalam pilihanraya umum nanti.

Dengan nada yang sedikit mengugut, beliau berkata, "awak tolong saya, saya akan tolong awak balik."

Di rumah terbuka Tahun Baru Cina di Sitiawan dan rumah terbuka anjuran Gerakan, dua minggu sebelumnya, Najib juga melontarkan nada yang sama kepada kaum Cina. Beliau berkata, kerajaan pimpinannya akan melakukan apa saja cara untuk memikat hati kaum Cina agar mereka terus meyokong BN.

Sambil mengimbas lipatan sejarah masa lalu yang memperlihatkan sokongan kaum Cina agak membanggakan kepada BN melalui MCA, Gerakan dan pelbagai parti lainnya, Najib juga berkeyakinan bahawa kaum Cina akan kekal sebagai pengundi yang setia kepada BN.

Sebenarnya tindakan Najib merayu, memujuk dan melontarkan nada berupa ugutan kepada pengundi bukan Melayu untuk memastikan BN kekal berkuasa bukanlah perkara baru. Dalam pilihanraya kecil Sibu pada 2010, Najib pertama kali melaungkan amaran serta ugutan kepada kaum Cina agar terus menyokong BN dengan mengungkapkan kata-kata "you help me, i help you".

Kata-kata itu jika diteliti dengan mendalam bermaksud bahawa bantuan dan pertolongan kepada kaum Cina dan India hanya akan diberikan setelah sokongan dan undi diberikan terlebih dahulu. Ini bukan saja berupa ugutan tetapi juga menggambarkan ketidakikhlasan Najib dalam perjuangannya selama ini.

Jika seorang jejaka, setelah gagal memujuk dan merayu, kemudian mengugut untuk mengambil semula segala hadiah pemberiannya kepada gadis pingitan yang cuba dipikatnya apabila mendapati cintanya tidak berbalas, ia bukanlah seorang jejaka budiman sebenarnya.

Dengan beberapa rentetan peristiwa itu dan mungkin banyak lagi yang diucapkan Najib kepada kaum Cina dan India secara tertutup dan tidak kita ketahui, jelas memperlihatkan beliau amat terdesak. Dari menceritakan kebaikan dan jasa BN, merayu, memberikan wang, mengugut, cuba meniru cara berpakaian dan hadir di acara agama mereka, kemudian merayu dan merintih lagi, semuanya sudah dilakukan Najib tetapi nampaknya "gadis pingitan" yang diharap-harapkan masih juga belum membalas cinta yang diluahkan.

Dengan pilihanraya yang semakin hampir, percayalah Najib akan terus merayu dan meminta-minta sokongan kaum bukan Melayu untuk memastikan dirinya kekal sebagai Perdana Menteri dan lagakya tidak ubah umpama seorang "pengemis cinta" yang begitu mengharap dan tergila-gilakan seorang "gadis pingitan". Selagi undi dan sokongan yang diharap-harapkan tidak menjelma, Najib akan terus menjadi "pengemis" kepada mereka.

Dalam masa yang sama, tidak pernah pula Najib begitu mengemis kepada orang-orang Melayu supaya terus menyokongnya walaupun golongan Melayu yang tidak menyokongnya makin bertambah hari demi hari. Apakah Najib tidak begitu mempercayai dan mengharapkan sokongan orang-orang Melayu lagi atau pun beliau merasakan sudah memadai orang-orang Melayu ini dibelai dengan bantuan RM500 melalui BR1M, RM100 bantuan untuk murid sekolah, RM200 untuk pelajar universiti serta pemberian saham dan keuntungan kepada peneroka Felda sebaik Felda Global Ventute di senaraikan di Bursa Malaysia nanti. Atau mungkin ditambah lagi dengan pemberian sedikit duit kopi, kain batik dan kain pelikat semasa hari pengundian nanti.

Dan kenapakah Najib tidak merayu, merintih serta berdoa kepada Tuhan agar kerajaan yang dipimpinnya sekarang terus diberikan kekuatan untuk menghadapi segala cabaran dan akhirnya beroleh kejayaan serta dalam masa yang sama berusaha menampilkan ciri-ciri kepimpinan yang ikhlas, telus dan amanah dalam memperjuang dan membela kehidupan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Akhirnya tindakan Najib yang berterus-terus menjadi "pengemis" kepada undi dan sokongan bukan Melayu ini hanya meletakkan dirinya semakin hilang kredibiliti sebagai pemimpin dan peneraju. Tidak pernah mana-mana pemimpin Melayu merayu, merintih dan "mengemis" sebagaimana Najib ini. Sokongan biasanya akan muncul apabila ada keikhlasan, amanah, telus dan ciri-ciri kebaikan yang ditampilkan oleh sesebuah kerajaan atau kepimpinan itu dan ini tidak pula begitu dititik-beratkan oleh Najib. Beliau hanya tahu merayu dan "mengemis". Najib juga tidak seharusnya lupa untuk sentiasa bersikap budiman walaupun kadang-kadang "cintanya tidak berbalas".

Sebelum Najib mengemis dan terus mengemis lagi, elok rasanya Presiden Perkasa, Ibrahim Ali membisikkan slogan perjuangan Perkasa kepada kedua-dua belah telinga Najib, "Biar mati berdiri, asal jangan hidup melutut". (SH 20/02/2012).

Friday 17 February 2012

PR Sibuk Nak Tawan Perak, Najib Sibuk Nak Tukar Zambry

Dalam tempoh beberapa bulan lalu Najib sudah melakukan dua kali lawatan politik ke Perak. Esok 18 Februari, Najib sekali lagi melakukan lawatan ke Perak. Kekerapan beliau melawat Perak adalah menandakan pilihanraya umum sudah semakin hampir dan juga untuk memastikan BN dapat terus berkuasa di negeri "Kejor Yob Kejor" itu.

Dalam pilihanraya 2008, BN Perak yang ketika itu dipimpin oeh Tajol Rosli telah tumbang di Perak. Bagamaimanapun dengan tiga orang ADUN Pakatan Rakyat melompat parti kemudiannya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang ketika itu dipimpin oleh Nizar Jamaluddin akhirnya tumbang. Dr Zambry kemudian mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri Perak.

Berdasarkan senario itu, politik Perak memang panas. BN yang memperolehi kuasa melalui "pintu belakang" dan "kuasa mahkamah", kali ini mahu membuktikan bahawa rakyat Perak akan terus menyokong mereka. Bagi PR pula, yang merasakan kuasa pemerintahan mereka telah "dirompak" secara tidak sah, turut mahu membuktikan gabungan Pas, DAP dan PKR benar-benar diterima rakyat Perak dalam pilihanraya kali ini. Azam PR bukan setakat untuk menang, tetapi dengan jumlah majoriti kerusi DUN yang lebih besar lagi.

Sebagaimana sibuknya Najib dan diikuti Muhyiddin juga kerap melawat Perak untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN Perak, PR juga turut sibuk dengan pelbagai program untuk menawan kembali negeri itu. Malahan kali ini, Pas Perak mensasarkan untuk menang di 15 kerusi DUN di Perak.

Kekerapan Najib melawat Perak, tidak dapat tidak, adalah untuk melihat sendiri persiapan jentera pilihanraya negeri dan sejauh mana arus sokongan rakyat benar-benar mantap serta meyakinkan.

Sehingga ini, senario semasa dan keyakinan kedua-dua belah pihak adalah agak seimbang dengan kedua-dua pihak sama ada BN mahu pun PR, masing-masing mempunyai keyakinan untuk menawan negeri itu. Kekuatan BN Perak banyak terletak pada sokongan Melayu luar bandar manakala PR banyak ditentukan oleh kemantapan sokongan bukan Melayu serta undi Melayu yang berpecah. Tetapi dengan beberapa isu semasa yang berlaku dalam negara seperti isu lembu NFC, ia mungkin menjejaskan sedikit sokongan kelompok Melayu kepada BN terutama golongan muda dan mereka yang terdedah dengan maklumat internet.

Dengan lawatan Najib ke Perak esok, antaranya bertemu dengan masyarakat Felcra di Pasir Salak, mungkin disertai dengan pemberian beberapa "gula-gula" lagi ia tidak lain ialah untuk memantapkan sokongan orang-orang Melayu Perak kepada UMNO dan BN.

Apa yang menarik juga dalam politik Perak, di sebalik kekerapan Najib turun ke negeri itu dan detik PRU 13 yang makin hampir ialah isu pengganti Dr Zambry sebagai Menteri Besar semakin kuat kedengaran dan diperkatakan di mana-mana. Najib dikatakan mahu meletakkan orang lain sebagai Menteri Besar jika BN kekal berkuasa di Perak.

Meskipun Zambry dilihat tidak menimbulkan apa-apa masalah serta tiada isu kontroversi besar yang melibatkan diri, keluarga dan kepimpinannya tetapi masalah yang dihadapinya ialah beliau agak kurang disenangi oleh orang-orang lama dalam UMNO Perak. Orang-orang lama ini sama ada masih menduduki kerusi ADUN, Ketua Bahagian atau ahli perniagaan saja, merasakan banyak pandangan dan idea mereka tidak diterima pakai oleh kepimpinan Zambry yang nampaknya suka kepada idea-idea baru lagi kontemporari serta berdasarkan kajian dan penyelidikan ilmiah.

Pendekatan politik yang berasaskan idea-idea baru itu dipraktikkan bersesuaian dengan latar belakangnya kerana sebelum menjadi Menteri Besar, Zambry pernah menjadi Ketua Eksekutif INMIND, sebuah badan pemikir untuk Dr Khir Toyo dan Pengarah CELDES, juga badan pemikir untuk Muhyiddin Yassin. Maka tidak hairan, bila menjadi Menteri Besar, beliau cuba melaksanakan beberapa idea dan pendekatan baru yang dirasakan sesuai dalam kepimpinannya.

Ada kedengaran juga cakap-cakap bahawa stail kepimpinan Zambry yang terlalu menonjol mirip Dr Khir Toyo itu tidak akan mampu menjanjikan kejayaan yang berpanjangan kepada UMNO dan BN Perak. Maka, pilihan yang logik ialah mesti didatangkan seorang calon Menteri Besar baru yang agak sederhana dan boleh diterima oleh semua pihak.

Selain tekanan daripada orang-orang lama, Najib sendiri memerlukan orang yang benar-benar dipercayainya dalam politik Perak. Zambry bukanlah orang Najib serta tidak pernah mempunyai hubungan politik yang intim dengannya sebelum ini dan beliau dipilih menjadi Menteri Besar oleh Tun Abdullah Badawi. Dalam sejarah politiknya, beliau lebih mempunyai hubungan yang rapat dengan Muhyiddin dan pernah mengetuai CELDES, sebuah badan pemikir untuk Muhyiddin ketika beliau menjadi Naib Presiden UMNO.

Orang yang menjadi kepercayaan Najib di Perak ialah Zahid Hamidi, Nazri Aziz dan Husni Hanazdlah dan ketiga-tiganya menjadi menteri di peringkat pusat sekarang ini. Dengan Nazri Aziz yang lebih sesuai berfungsi di Pusat, pilihan Najib untuk menggantikan Zambry ialah Zahid Hamidi dan Husni Hanazdlah.

Namun kebelakangan ini nama Hamzah Zainuddin, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi turut muncul sebagai antara calon yang bakal menggantikan Zambry di Perak.

Kekerapan Najib turun ke Perak adalah bersifat serampang dua mata sebenarnya, untuk memastikan BN menang dan meninjau-ninjau calon yang sesuai menggantikan Zambry di Perak. Berdasarkan pendapat semasa dan sumber yang rapat dengan kalangan UMNO Perak, kemungkinan besar calon yang menggantikan Zambry ialah antara Zahid Hamidi dan Hamzah Zainuddin. Bagi Husni pula, Najib dikatakan amat memerlukan dan selesa dengan peranannya di Kementerian Kewangan.

Berdasarkan realiti politik, Najib memang tidak ada pilihan selain menggantikan Zambry dengan orang yang benar-benar dipercayainya. Kebimbangan utama Najib ialah bilamana BN tidak memperolehi majoriti yang selesa selepas pilihanraya nanti yang memungkinkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO akan dicabar dalam pemilihan UMNO selepas itu. Dengan Perak mempunyai 25 bahagian UMNO serta menyumbang jumlah undi yang banyak dalam menentukan hidup mati sebagai Prediden UMNO, maka kawalan terhadap UMNO Perak amat-amat diperlukan.

Mengekalkan Zambry terus kekal di Perak amat merbahaya bagi Najib, lebih-lebih lagi jika selepas pilihanraya nanti timbul desakan agar Muhyiddin mengambil alih kepimpinan UMNO berdasarkan prestasi buruk UMNO dan BN dalam PRU 13.

Jika pilihan yang ada hanya antara Zahid Hamidi dan Hamzah Zainuddin, besar kemungkinan Najib akan meletakkan Zahid sebagai penggantinya Zambry. Selain bekas Setiausaha Politiknya itu agak lebih dipercayai oleh Najib berbanding Hamzah yang semasa Najib menjadi Ketua Pemuda UMNO, beliau lebih rapat dengan Annuar Musa, Zahid juga akan lebih mudah diterima oleh semua kelompok dalam UMNO Perak. Golongan lama, generasi muda dan rakyat Perak keseluruhannya lebih mudah menerima Zahid kerana PR dan budi bahasanya yang baik dengan semua orang.

Dengan meletakkan Zahid Hamidi sebagai Menteri Besar Perak, Najib bukan sahaja dapat memastikan masa depan politiknya lebih terjamin jika beliau dicabar, tetapi juga berupaya menyediakan laluan yang lebih selesa untuk sepupunya, Hishammuddin Tun Hussein mendaki puncak kuasa. Andainya Zahid menjadi Menteri Besar Perak, masa depan politik Hishammuddin tidak mempunyai saingan lagi di peringkat pusat.

Bagi Zambry pula, meskipun beliau akan dibawa di Pusat seleas pilihanraya ini tetapi tiada jaminan beliau akan diberikan jawatan menteri penuh dalam kabinet Najib Beliau mungkin mengulangi sejarah Ramli Ngah Talib yang hanya dijadikan timbalan menteri apabila dibawa ke Pusat.(SH 17/02/2012).

Thursday 16 February 2012

Isteri Muhyiddin Shopping Sakan Di KLCC?

Jika sebelum ini rakyat Malaysia hanya dihidangkan dengan berita-berita berkaitan isteri Najib iaitu Rosmah Mansor yang dianggap suka bebelanja mewah dan membeli-belah secara berlebih-lebihan sebagaimana yang sudah banyak didedahkan sebelum ini, kini nampaknya isteri Muhyiddin Yassin iaitu Puan Sri Norainee Abdul Rahman pun turut terpalit sama dengan gejala itu.

Sudah mula kedengaran cakap-cakap dan perbualan di kalangan rakyat bahawa isteri Muhyiddin yang sering bergaya anggun dan bertudug itu pun kelihatan gagal mengawal dirinya sejak akhir-akhir ini.

Dikhabarkan baru-baru ini beliau telah mengunjungi dan membeli belah di sebuah butik terkenal di KLCC. Tidaklah menjadi kesalahan bagi seorang isteri TPM yang sering muncul di khalayak ramai sama ada secara sendirian atau menemani suaminya untuk sesekali membeli belah di butik-butik mewah tetapi yang menjadi persoalan ialah bilamana beliau telah membeli sebanyak 18 pasang kasut di butik itu.

Kalau pun beliau begitu kerap muncul di khalayak ramai dan ingin kelihatan tampil berbeza serta bergaya, pembelian sebanyak 18 pasang kasut sekaligus tentulah agak tidak munasabah. Tidak bolehkah dibeli hanya tiga atau empat pasang saja? Atau tidak bolehkah ditunggu sehingga selepas pilihanraya dan selepas BN menang cemerlang dulu?

Diberitakan juga bahawa selain "memborong" sebanyak 18 pasang kasut, isteri TPM itu juga membeli beberapa beg tangan yang turut mencecah puluhan ribu ringgit jumlah keseluruhannya.

Jika benarlah perkhabaran yang kini mula dibualkan secara meluas ini, ia adalah episod malang bagi UMNO, BN dan rakyat Malaysia kerana dalam suasana negara menghadapi piliharaya dan negara pula berhadapan dengan pelbagai macam masalah serta skandal, kita terus juga dihidangkan dengan cerita-cerita pembaziran dan pemborosan begini.

Rakyat pada umumnya sudah muak dengan berita-berita sebegini dan ia pastinya sedikit-sebanyak makin menghakis kepercayaan rakyat kepada UMNO, BN, kerajaan yang sedang memerinrah sekarang ini. Dalam suasana kesedaran rakyat makin tinggi sekarang ini, apa saja perilaku pemimpin dan keluarga mereka sering menjadi perhatian dan jika keterlaluan, pastinya bahana besar sedang menunggu.

Sebelum ini beberapa siri kemewahan isteri Najib iaitu Rosmah Mansor yang banyak didedahkan media dalam dan luar negara, pelbagai skandal dan penyelewengan yang melibatkan pemimpin termausk isu lembu NFC, sudah cukup meletakkan UMNO, BN dan kerajaan terperosok dan begitu hodoh di mata rakyat. Dan perkhabaran mengenai isteri Muhyiddin ini hanya menambahkan lagi titik hitam pada wajah politik negara.

Sebelum ini, di pelbagai negara seperti Filipina, Mesir dan Tunisa, perbuatan isteri pemimpin yang bergaya mewah, membazir dan bernampilan berlebih-lebihan sudah banyak dicatatkan dan menjadi antara sebab kepada penolakan rakyat terhadap sesebuah kerajaan itu dan akhirnya ditolak jatuh oleh rakyat.

Apa-apa pun, sebelum lebih banyak berita-berita lain didedahkan, adalah penting untuk Muhyiddin membuat penjelasan mengenai perkara ini kerana sebelum ini penglibatan anak dan menantunya dalam pelbagai perniagaan yang berkaitan bidang kuasa Timbalan Perdana Menteri serta dakwaan seorang setiausaha di kementeriannya menerima sogokan, turut didedahkan kepada umum dan menjadi perbualan ramai. (SH 16/02/2012)

Wednesday 15 February 2012

Ketakutan Mahathir Jika Anwar Jadi PM Makin Menggila

Tulisan terbaru Tun Mahathir yang mengatakan Amerika dan Israel memang mahu melihat berlakunya pertukaran kerajaan di Malaysia sebagaimana yang berlaku di Asia Barat, memang menarik untuk dilihat dalam konteks negara yang sedang "panas" menuju PRU 13, lebih-lebih lagi pilihanraya kali ini juga dianggap oleh banyak pihak sebagai ibu kepada segala pilihanraya.

Dalam tulisannya, Mahathir juga tanpa berselindung menyebut bahawa Amerika dan Israel tidak menyenangi kerajaan yang dipimpin Najib sekarang kerana bersikap berkecuali serta menjalin hubungan dengan China dan Rusia.

Menurut beliau lagi, calon Amerika dan Israel untuk dijadikan kerajaan boneka mereka ialah Anwar Ibrahim.

Meneliti tulisan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun ini lantas mengingatkan kita bahawa Mahathir juga pernah berbaik-baik dengan Amerika dan Israel, malahan pernah membayar pelobi Zionis, Jack Abramovich sebanyak AS1.2 juta untuk bertemu dengan Presiden Amerika George Bush. Di zaman Najib pula, hubungan Malaysia dengan Amerika serta kaitan dengan Israel lebih dahsyat lagi.

Selain melantik rakan baiknya, Jamaluddin Jarjis sebagai duta khas bertaraf menteri ke Amerika untuk menjalin hubungan yang lebih akrab dengan Amerika, Najib juga lebih kerap mengunjungi Amerika dan sering menjadikan pertemuan denfan Barack Obama sebagai bahan kempen untuk menaikkan namanya di persada dunia dan di mata rakyat.

Lebih dari itu, Najib juga melantik syarikat Amerika yang ada kaitan dengan Israel iaitu APCO sebagai penasihat medianya di peringkat antarabangsa, melaksanakan hubungan dagang yang lebih aktif serta membenarkan beberapa delegasi sukan Israel datang ke Malaysia dan membiarkan kurma Israel dibawa masuk serta dinikmati oleh umat Islam negara ini.

Meneliti semua senario itu, maka timbul persoalan, apakah sebenarnya niat Mahathir membangkitkan kaitan antara Anwar dengan Amerika dan Israel sekarang ini?

Jawapannya tidak lain ialah kerana Mahathir kini mula mempunyai ketakutan yang menggila andainya BN tumbang dalam pilihanraya akan datang dan seterusnya Anwar menjadi Perdana Menteri. Sebagai orang yang pernah melatih Anwar sebagai penggantinya tetapi kemudiannya membuangnya dengan pelbagai tuduhan dan dengan harapan Anwar akhirnya akan "reput" dalam penjara, logiknya tentulah beliau tidak mahu Anwar menduduki kerusi yang pernah diempukinya selama 22 tahun itu.

Sebelum ini juga beberapa serangan telah dilakukan oleh Mahathir terhadap Anwar dengan tujuan menghakis sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap Ketua Pembangkang itu. Apa saja yang boleh dilakukan untuk menghalang kemaraan Anwar, pasti akan dilakukannya.

Mahathir tidak akan sanggup melihat musuh politik nombor satunya itu berkuasa semula. Permusuhan Mahathir dengan Anwar nampaknya hanya berakhir bila salah seorang dari mereka bersemadi di pusara yang abadi. Dengan pendakian Anwar bersama Pakatan Rakyat makin hampir menuju Putrajaya, Mahathir tentunya tidak lena tidur dan sering diganggu oleh igauan ngeri berkaitan dosa-dosa silamnya. Mahathir dalam hal ini akan terus mendendami Anwar serta berusaha menghalangnya sedaya mungkin daripada menjadi Perdana Menteri.

Dendam dan kesumat Mahathir tidak akan padam selagi beliau bernyawa. Meskipun Anwar yang menanggung pelbagai derita dan aib sejak bersengketa dengan Mahathir bermula 1998 hingga kini, Mahathir tidak pernah menyatakan kata maaf kepada Anwar. Berbeza dengan Anwar, dalam ceramahnya beliau sering menyebut sudah memaafkan Mahathir atas perlakuan bekas bossnya itu dan langsung tidak menyimpan apa-apa dendam lagi.

Selain tidak pernah mengungkapkan perkataan maaf ataupun apa-apa perkataan yang baik tentang Anwar sejak beliau memecatnya pada 2 Setember 1998, Mahathir juga memperlihatkan permusuhan yang jelas serta berusaha menghalang Anwar daripada bangun semula dalam politik. Sebab itu tidak menghairankan apabila Mahathir juga bermusuh dan mendendami Tun Abdullah Badawi kerana penggantinya sebagai Perdana Menteri itulah yang dianggap telah membebaskan Anwar dari penjara.

Dengan prestasi UMNO dan BN yang kian merudum hari demi hari di samping Najib sendiri terus menjadi subjek ketidakyakinan rakyat, Mahathir seperti dapat merasakan bahawa hayat BN sebagai parti yang berkuasa di negara ini sejak sebelum merdeka mungkin sudah di penghujungnya. Maka beliau perlu melakukan sesuatu, bukan sangat untuk mengelakkan BN tumbang tetapi lebih kepada memastikan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri.

Jika Anwar menjadi Perdana Menteri selepas PRU 13 ini, bukan saja ego Mahathir akan tercabar tetapi yang lebih ditakutinya ialah kerana banyak kepentingan-kepentingan lain yang melibatkan anak-anak, kaum keluarga, kroni dan sebagainya akan terbongkar. Inilah yang paling ditakuti dan digeruni oleh Mahathir.

Beliau seperti tidak sanggup melibat bagaimana sejarah ramai pemimpin dunia yang apabila hilang kuasa, segala perbuatan dan salah laku sepanjang berkuasa sama ada melibatkan diri sendiri, anak-anak dan kaum keluarga akan diselongkar semula serta dibawa ke muka pengadilan, turut berlaku kepada dirinya pula.

Dengan situasi politik semasa yang memperlihatkan UMNO dan BN dibelenggu pelbagai masalah, sokongan bukan Melayu lebih memihak kepada Pakatan Rakyat sementara orang Melayu terus berpecah kepada pelbagai puak, Mahathir tentulah mengharapkan dengan serangannya terhadap Anwar dan mengaitkannya dengan kerajaan bomeka yang ditaja oleh Amerika dan Israel, sokongan orang-orang Melayu akan kembali bulat kepada BN.

Dalam masa yang sama, pelbagai isu perkauman cuba diapi-apikan dengan harapan undi bukan Melayu akan berpecah dan menjadikan mereka akhirnya juga kembali menyokong BN.

Meskipun Mahathir berjaya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan sepanjang pemerintahannya, BN sentiasa mendapat kemenangan majoriti dua pertiga, hakikatnya dunia politik Malaysia sudah banyak berubah, bukan saja dari segi pemikiran tetapi juga kecepatan memperolehi maklumat. Orang Melayu yang diharap-harapkan oleh Mahathir menjadi takut untuk menyokong Anwar dan Palatan Rakyat apabila ditimbulkan isu kerajaan boneka, Amerika dan Israel mungkin sudah memperolehi jawapan yang sebenar di sebaik saja semua dakwaan itu dibuat.

Selain jawapan dalam bentuk kaitan kepimpinan zamannya sendiri dengan Amerika dan Israel yang boleh diperolehi dengan cepat dan pantas, bahkan pelbagai maklumat tambahan lain boleh diperolehi dengan mudah dan hanya melalui hijung jari saja sekarang ini.

Hakikatnya isu yang ditimbulkan Mahathir itu tidak akan menggugat keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa dalam apa keadaan sekali pun, perubahan adalah jalan terbaik untuk masa depan politik negara yang berbilang kaum ini. Bagi rakyat, banyak isu lain yang lebih besar yang perlu mereka ambil kira seperti kepimpinan, rasuah, urus tadbir, ketirisan, pembaziran, penyelewengan, derita rakyat, kepedulian kepada rakyat yang selama ini bermusim, kenaikan harga barang serta banyak lagi untuk menentukan sama ada sesebuah parti perlu dikekal atau ditumbangkan.

Dalam masa Mahathir membangkitkan isu Amerika, Israel dan kerajaan boneka, mungkin beliau terlupa perkara itu. Tetapi kita pun tidak boleh menyalahkan Mahathir serayus-peratus kerana beliau mungkin terlupa bahawa eranya berkuasa dan menang pilihanraya dunia maya dan internet baru mula berkembang dan rakyat kebanyakannya masih memperolehi maklumat melalui akhbar dan berita tv tetapi sekarang adalah zaman Unifi, broadband dan smartphone sudah menjadi santapan biasa kebanyakan rakyat. (SH 15/02/2012).

Tuesday 14 February 2012

Undang-Undang Baru Ganti ISA Ditangguh?

Ketika sambutan Hari Malaysia 16 Setember tahun lalu, Najib telah mengumumkan beberapa pemansuhan undang-undang negara dalam usaha menjadikan negara lebih dinamik dan sesuai dengan tuntutan semasa. Antaranya ialah memansuhkan ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri dan akan digantikan dengan dua rang undang-undang baru untuk tujuan menangani aktiviti yang berkaitan terrorisme.

Undang-undang lain yang turut dimansuhkan ialah Ordinan Darurat, Akta Kediaman Terhad dan Buang Daerah.

Meskipun penerimaan rakyat terhadap langkah Najib berkaitan ISA itu agak berbelah bagi tetapi secara umumnya kehendak rakyat dalam rang undang-undang baru yang dirangka bagi menggantikan ISA itu mestilah lebih menjamin hak asasi manusia dengan tiada penahanan tanpa bicara, tiada penahanan berunsur politik dan kuasa menteri yang tidak terlalu luas yang memungknkan ia disalahguna akhirnya.

Mengikut perancangan, undang-undang baru itu yang dikatakan mirip dengan undang-undang anti keganasan Amerika Syarikat, akan dibentangkan di Parlimen Mac ini untuk bacaan, perbahasan dan seterusnya kelulusan.

Bagaimanapun difahamkan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein agak keberatan untuk membentangkannya pada sessi Parlimen Mac ini setelah beliau membaca draf yang disediakan oleh kakitangan Kementerian Dalam Negeri. Ini kerana masih terdapat beberapa eleman dalam draf undang-undang baru itu yang menyerupai beberapa peruntukan dalam ISA yang dipertikaikan rakyat selama ini.

Hishammuddin difahamkan bimbang kiranya rang undang-undang itu dibentangkan juga, ia pasti akan memberi kesan buruk kepada kerajaan dan seterusnya memberi harapan tipis kepada UMNO dan BN untuk menang dalam pilihanraya kiranya ianya dipertikaikan rakyat dan seterusnya menjadi polemik yang berpanjangan.

Sehingga ini belum ada kepastian sama ada draf itu akan dipinda lagi atau hanya akan dibentangkan selepas PRU 13 nanti. Dilema kerajaan ialah kiranya draf undang-undang itu dipinda semula dan menjadi terlalu longgar, dibimbangi ia tidak cukup berkesan untuk menangani aktiviti keganasan yang semakin mencabar kebelakangan ini.

Tetapi kiranya pembentangan draf itu dilewatkan sehingga selepas PRU 13 (itu pun kalau BN terus berkuasa), kebimbangan paling utama ialah ia akan menyebabkan Najib dianggap sebagai "pembohong" oleh rakyat kerana telah berjanji sebelum ini bahawa ia akan dibentangkan di Parlimen Mac tahun ini. Jika demikian tanggapan rakyat terhadap pembaharuan Najib, ia pasti memberi kesan besar kepada keputusan piihanraya nanti.

Hishammuddin difahamkan sudah memberitahu Najib tentang perkara itu dan penelitian peringkat tertinggi sedang difikirkan untuk menyelesaikan masalah itu.

Kiranya draf yang sudah siap sekarang akhirnya diputuskan untuk dibentangkan juga dengan kebanyakannya meniru kandungan undang-undang anti keganasan yang digunapakai oleh Amerika Syarikat, maka pemansuhan ISA yang dijanjikan Najib kononnya untuk menjadikan Malaysia lebih dinamik dan maju ke hadapan, hanya tinggal omong kosong sahaja.

Ini kerana dengan beberapa elemen yang lebih ketat dan keras dalam draf undang-undang baru itu, ia seperti mengesahkan tanggapan ramai sebelum ini bahawa "Najib memansuhkan satu ISA tetapi sebenarnya berhasrat mewujudkan dua ISA". (SH 14/02/2012)

Monday 13 February 2012

Mana Lebih Bahaya: Anwar Yang Pluralisme Atau Najib Yang Akidahnya Sudah Tergadai?

Tindakan Najib menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves bersama jutaan penganut agama Hindu dengan berpakaian Kurta kuning baru-baru ini, yang kemudian disifatkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai perbuatan yang menggadai akidah dan ke arah syirik, kini menjadi isu baru yang memalukan Najib dan umat Islam seluruhnya.

Jika mengikut pandangan Harussani itu bahawa nasihat mengenai perkara itu sudah diberikannya sebelum ini tetapi tidak didengari oleh Najib, jelas memberi gambaran bahawa Najib tahu tindakannya hadir ke Batu Caves itu adakah suatu yang salah dan bertentangan dengan kehendak agama.

Apakah semata-mata Najib memikirkan kepentingan politik dan undi yang mungkin boleh diperolehi bagi meneruskan tempoh hayat UMNO dan BN sebagai parti pemerintah, maka soal akidah dan pegangan hidup boleh diketepikan begitu saja?

Jika itulah pendirian dan mazhab politik yang cuba diamalkan oleh Najib, sebenarnya tidak ada apa-apa lagi yang boleh kita harapkan daripada Perdana Menteri Keenam ini? Ini kerana akidah dan pegangan hidup adalah nilai yang paling tinggi dalam kehidupan seseorang sebelum mereka mahu bercakap soal-soal lain seperti kepentingan keluarga, kasih sayang, membela rakyat, keharmonian, kekeluargaan, agama dan sebagainya.

Keikhlasan dan kejujuran seseorang akan segera diragui apabila pegangan agamanya tidak kuat dan mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor lain yang bersifat sementara dan keduniaan.

Apa yang boleh kita rasakan sebagai orang Melayu dan Islam bila Najib dikata oleh mufti telah menggadai akidahnya ialah hanya perasaan sedih dan malu kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang begitu lemah iman sehingga sanggup tunduk kepada hal-hal sebegitu.

Di merata tempat dan di pelbagai kelompok masyarakat Melayu sekarang ini memperkatakan tentang tindakan Najib itu dan tidak ada satu pun kedengaran suara yang memuji dan menyokong beliau. Rata-rata sedih dan kecewa.

Dengan kesediaan Najib menggadaikan akidah (sebagaimana yang disebut oleh Harussani sendiri) kerana politik bermakna kebolehpercayaan rakyat terhadapnya dalam soal membantu rakyat dan memperjuangkan hak orang-orang Melayu dengan automatik terpadam sama sekali. Bagaimana kita mahu percaya Najib betul-betul serius mahu menolong rakyat dan memperjuangkan nasib masa depan Melayu sedangkan nilai paling tinggi yang ada dalam dirinya pun boleh ditolakansur dengan kepentingan lain untuk mendapatkan undi serta sokongan.

Adakah Najib berfikir bahawa nilai paling penting dalam hidup ini hanya semata-mata dapat mengekalkan jawatan Perdana Menterinya sahaja tanpa memikirkan bahawa ada kehidupan lain selepas kematian nanti?

Dalam hal ini umat Islam dan orang Melayu memang berhak berasa malu dengan tindakan Najib itu, lebih-lebih lagi beliau baru saja menunaikan haji di Mekah tahun lalu.

Dalam soal ini turut dipersoalkan ialah ke manakah perginya penasihat-penasihat agama di sekeliling beliau seperti Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom, timbalannya yang petah berbicara Mashitah Ibrahim, penasihat agama di Jabatan Perdana Menteri, Dr Abdullah Md Zain dan para mufti yang semuanya berkelulusan tinggi dalam bidang agama.

Turut ditanya ialah di manakah suara Dr Hasan Ali yang baru dipecat dari PAS yang kononnya salah satu asas perjuangannya ialah berkaitan dengan Islam dan murtad?

Adakah mereka takut menegur dan menasihati Najib kerana takut kehilangan jawatan dan kemewahan dunia yang dinikmati selama ini? Atau apakah mereka beranggapan oleh kerana Najib Perdana Menteri kepada semua kaum, maka dia berhak melakukan apa saja dan tidak perlu ditegur?

Kalau sebelum ini sebahagian daripada mereka ini begitu lantang bercakap dan mengkritik Anwar Ibrahim berkaitan isu pluralisme yang kononnya diucapkan oleh Anwar di sebuah persidangan di London, apakah tindakan Najib yang dianggap menggadaikan akidah ini hanya perkara remeh dan isu kecil oleh mereka berbanding pluralisme. Lebih-lebih lagi pluralisme yang dikaitkan dengan Anwar itu pula hanya tafsiran mereka sahaja dan Anwar sendiri sudah menjelaskan pendiriannya yang tidak bermaksud demikian. Ini berbeza dengan Najib yang terang lagi nyata hadir di Batu Caves bersama-sama kaum India sambil berpakaian Kurta dan sedia pula dikalungkan dengan bunga manggar paling besar. Dalam masa yang sama, ramai juga rakyat ingin melihat sesekali Najib berjubah dan berserban ketika ke masjid pada hari Jumaat.

Jika dalam isu pluralisme, Jamil Khir begitu lantang bersuara dan mahu menyiasatnya dan meluahkan pelbagai kecaman terhadap Anwar, tidak mahukah isu akidah Najib ini turut disiasat atau ditubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menilai mengenainya pula.

Berbanding Anwar yang tampil berani menafikan ucapannya sebagai berunsur pluralisme, Najib sebaliknya memilih hanya berdiam diri dan bungkam seribu bahasa dalam hal ini. Ketakutan Najib untuk bersuara sama ada mengakui keterlanjurannya atau tampil dengan hujah-hujah yang menghalalkan kehadiran meraikan Thaipusam itu, tidak lain memperlihatkan bahawa Najib memang mengakui kesilapannya tetapi dalam masa yang sama juga taksub kepada undi dan kepentingan politik.

Maka berdiam diri adalah jalan terbaik sambil mengharapkan isu ini akan reda dengan sendirinya ditelan masa dan dalam masa yang sama undi kaum India yang diharap-harapkan tidak pula berkurangan. Namun hakikatnya ini memperlihatkan keperibadian Najib yang sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan politiknya. Orang Melayu mesti menghadkan sokongan kepada Najib mulai sekarang ini.

Lebih-lebih lagi dalam soal kehidupan, perbuatan menggadai akidah dan syirik adalah jauh lebih besar daripada pluralisme. Akidah bukanlah komoditi dagangan yang boleh dinilai dan ada tanda harganya. Apakah rupa manusia kalau akidah dan pegangan hidupnya sudah boleh digadai dan dijualbeli? (SH 13/02/2012).

Saturday 11 February 2012

Adakah Najib Seorang Yang Sentiasa Dan Semulajadi Bersifat Pemurah?

Sejak penghujung tahun lalu, Najib bersifat begitu pemurah kepada rakyat Malaysia. Bermula dengan pengumuman dalam Belanjawan 2012 di mana beliau memberikan bantuan RM100 kepada setiap pelajar sekolah, RM200 berupa baucer buku kepada pelajar universiti dan bantuan RM500 kepada setiap isi rumah yang berpendapatan RM3000 dan ke bawah, Najib juga kerap menghulurkan pelbagai jenis bantuan dalam bentuk wang tunai kepada pelbagai jenis institusi dan kelompok masyarakat.

Dalam lawatannya ke Perak, beliau telah menghulurkan RM500 ribu kepada sebuah masjid, di Wilayah pula sebuah sekolah Cina diberikan sumbangan RM2 juta dan baru-baru ini ketika menghadiri perayaan Thaipusam di Batu Caves, Najib terus dengan pemurahnya bilamana menyumbangkan RM1.5 juta untuk pusat kebudayaan kaum India di situ.

Dengan jadualnya yang semakin padat melawat ke negeri-negeri dan bertemu rakyat, adalah dipercayai Najib akan menyumbang lagi beberapa ratus ribu atau juta kepada kelompok-kelompok masyarakat yang ditemui dan dilawatinya.

Tiba-tiba sahaja Najib menjadi begitu pemurah kepada rakyat Malaysia dari pelbagai kaum. Ke mana saja beliau berkunjung, akan sering diselitkan dengan pemberian pelbagai jenis bantuan dan pemberian wang. Kalau dulu setiap kali menjelang piliharaya, Perdana Menteri atau pemimpin kerajaan hanya menawarkan pelbagai jenis janji pembangunan seperti sekolah, jalanraya, dewan orangramai, bekalan air dan api serta pelbagai jenis infrastruktur lain yang memberi kemudahan jangka panjang kepada orangramai, Najib kelihatannya lebih "advance" dan melakukan anjakan paradigma dengan melakukan pemberian dalam bentuk tunai pula.

Ini sekaligus menjadikan amalan politik untuk meraih undi turut berubah daripada "politik pembangunan" kepada "politik ala santa claus" di bawah kepimpinan Najib.

Memang diakui bahawa sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan, tiada undang-undang yang boleh melarang seseorang pemimpin yang sedang mengetuai kerajaan daripada menawarkan pelbagai jenis projek pembangunan atau bantuan sepertimana yang biasa berlaku sejak dulu tetapi pemberian dalam bentuk tunai sepertimana yang dilakukan oleh Najib melalui pemberian RM100, RM200 dan RM500 adalah tidak baik dari sudut moral dan perkembangan generasi masa depan yang sihat.

Di ketika kita ingin membanteras budaya rasuah, menyogok, memberi wang pelincir, memberi duit bawah meja dan sebagainya, Najib sebalikya seperti menggalakkannya pula.

Sikap pemurah Najib yang begitu mendadak ini nampaknya tidak lain kerana pilihanaraya. Sebelum ini beliau begitu "mendera" rakyat dengan pemotongan pelbagai jenis subsidi sehingga gula dinaikkan empat kali sejak 2009, minyak dan gas dinaikkan tidak kurang lima kali, kenaikan tarif letrik, harga setem, minyak masak, tepung serta bonus kakitangan kerajaan tidak diberi pada 2009 dan 2010, menyebabkan ramai rakyat hidup agak tertekan.

Kenaikan pelbagai jenis harga barang begitu meresahkan rakyat. Mereka mengeluh dan merintih, malah ada yang sampai melakukan protes tetapi semuanya tidak dipedulikan. Malah suatu ketika, Najib menyebut bahawa pemotongan subsidi dilakukan kerana ketidakmampuan kerajaan menanggung beban yang banyak setiap tahun dan untuk mengelakkan negara bankrap seperti Greece.

Tetapi menjelang pilihanraya ini, mintalah apa saja. Dengan mengamalkan budaya "politik santa claus" ini, Najib akan memberi apa saja yang diminta.

Namun dengan sikap Najib yang tiba-tiba bersikap pemurah ini memberi gambaran bahawa ianya dilakukan tidak ikhlas dan semata-mata untuk menang pilihanraya saja. Sikap pemurah sebenarnya bukanlah sifat semulajadi Najib. Tetapi pemberian dan umpanan dalam bentuk tunai yang diberikannya kepada rakyat itu hanya memperlihatkan bahawa Najib hanya tahu "kaedah membeli untuk mendapatkan sesuatu".

Tidak adakah kaedah lain untuk menolong rakyat selain memberi RM500 untuk orang miskin, RM200 untuk pelajar universiti dan RM100 untuk budak-budak sekolah? Kenapa diberi dalam bentuk tunai? Bukankah ia mirip rasuah saja?

Selain itu jika Najib ikhlas juga ingin membantu rakyat dan begitu prihatin sehingga kepada budah-budak sekolah sekalipun, kenapa semua bentuk pemberian itu tidak dijadikan suatu pemberian yang tetap setiap tahun. Kenapa hanya tahun ini diberikan dan waktu dekat pilihanraya saja tetapi tiada jaminan akan terus diberi tahun hadapan?

Kalaulah kaedah pemberian dalam bentuk tunai ini berjaya memberi kemenangan kepada BN dalam pilihanraya akan datang, dibimbangi tahun depan dan tahun-tahun seterusnya ia tidak akan diberikan lagi. Ia hanya akan diberikan lima tahun lagi dan menjadi agenda tetap menjelang pilihanraya saja. Pastinya Najib akan memberikan pelbagai alasan seperti ketidakmampuan dan kekangan kewangan kerajaan untuk menghalalkan keputusan tidak lagi memberikan bantuan itu pada tahun-tahun mendatang.

Dan jika RM500 itu pula hanya diberikan lima tahun sekaii, bermakna nilainya setahun hanya RM100 sahaja dan apalah yang boleh dibeli dengan nilai itu untuk belanja setahun. Ada juga yang memperlekeh kerajaan BN kerana hanya mampu memberikan RM500 setelah lebih 50 tahun memerintah. Pelbagai momokan lain juga kedengaran, bukan saja berkaitan BR1M bernilai RM500 itu tetapi juga pemberian RM100 dan RM200 turut dijadikan bahan persendaan. Tetapi inilah stail politik Najib, beliau hanya tahu membeli untuk mendapatkan sesuatu yang dihajatinya.

Najib seperti berkeyakinan bahawa wang sebanyak yang diberikannya itu mampu mengubah hati rakyat. Mungkin ada yang terpengaruh tetapi melihat kepada meluasnya momokan dan persendaan terhadap langkah yang dilakukan Najib itu, tidak mustahil rakyat beranggapan "duit mereka ambil tapi undi tidak akan diberi".

Rakyat tahu bahana yang menunggu jika kerana RM500 itu mampu memberi kemenangan selesa kepada Najib dan BN. Rakyat juga semakin cerdik menilai bahawa jika mereka menggunakan undi mereka dengan bijaksana dan tidak semata-mata gelap mata dengan pujukan serendah RM500 itu, mereka akan memperolehi pelbagai kemudahan dan faedah lain dalam bentuk jangka panjang daripada kerajaan yang memerintah nanti.

Kiranya rakyat dapat menilai dari sudut keikhlasan Najib disebalik semua pemberian itu dan menyedari bahawa ia juga tidak menggambarkan sifat semulajadinya yang pemurah dan mementingkan kebajikan rakyat kerana sebelum ini beliau mempersenda konsep negara kebajikan yang mahu dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya memilih jalan singkat untuk memancing undi, tidak syak lagi Najib tidak memperolehi apa-apa keuntungan daripadanya. Malahan mungkin beliau akan dihukum lebih teruk oleh rakyat. (SH 11/02/2012).

Thursday 9 February 2012

Kerakusan Mahathir Punca UMNO Tandus Pemimpin Berwibawa

Salah satu isu yang masih membelenggu UMNO hari ini ialah tandusnya pemimpin berwibawa dalam parti itu. Selain berbagai macam skandal dan penyelewengan bertamu di depan mata setiap hari berkaitan dengan UMNO dan para pemimpinnya, ketiadaan pemimpin yang benar-benar berwibawa, bersih daripada skandal dan boleh diterima ramai, menambahburukkan lagi sokongan rakyat terhadap UMNO.

Hari ini dengan Najib menjadi Preiden UMNO dan Perdana Menteri yang disaluti dengan pelbagai cerita skandal, salah guna kuasa, pembaziran dan sebagainya menjadikan kedudukan UMNO makin goyah dan terhakis sokongan rakyat hari demi hari. Najib dilihat tidak berwibawa dan kurang iman sehingga membiarkan dirinya terdedah kepada pelbagai macam perkara.

Muhyiddin sebagai timbalannya, walaupun dilihat sedikit tegas dan ada sedikit wibawa tetapi wataknya yang sombongnya serta cerita-cerita berkenaan penglibatan anak dan menantunya dalam beberapa kontrak kerajaan sejak akhir-akhir ini, turut menjadikan beliau sasaran kecaman dan simbol ketidakyakinan rakyat. Akhirnya Muhyiddin juga dilihat tidak berwibawa dan kurang iman dalam mengendalikan dirinya ketika berhadapan dengan kuasa dan persepsi rakyat.

Di barisan Naib Presiden UMNO yang sepatutnya menjadi pelapis kepada kepimpinan UMNO, turut menimbulkan persoalan dan wajah yang tidak menampakkan keyakinan bahawa mereka itu benar-benar mampu membawa UMNO jauh lebih gemilang dan diterima ramai.

Zahid Hamidi mungkin pemimpin yang baik di kalangan perwakilan UMNO dan PRnya yang mudah tersenyum, ketawa dan suka menghulur bantuan, menjadikannya amat disenangi di kalangan banyak peringkat dalam UMNO. Namun demikian, prestasi beliau sebagai menteri dan pemimpin kepada pelbagai lapisan rakyat, tidak menyerlah sama sekali. Markahnya sebagai Menteri Pertahanan jauh lebih merudum lagi.

Hishammuddin, anak bekas Perdana Menteri ketiga iaitu Tun Hussein Onn, juga dilihat masih jauh dari sasaran dan amat lemah terutamanya dengan kedudukannya sekarang sebagai Menteri Dalam Negeri. Beliau dilihat lebih banyak memberi amaran, menyebut perkataan "sedang dipantau" dan beretorik daripada bertindak. Tuahnya dalam politik dilihat lebih banyak ditentukan oleh kedudukannya sebagai anak bekas Perdana Menteri serta PRnya yang juga boleh tahan dengan pihak yang mempunyai undi dalam UMNO.

Shafie Afdal turut tidak diyakini sebagai pemimpin pelapis yang berwibawa untuk menerajui UMNO di tahun-tahun mendatang. Wataknya sebagai Naib Presiden dan kepimpinan hadapan UMNO serta kerajaan langsung tidak menyerlah kerana beliau hanya mirip Hang Lekir, Hang Kasturi atau Hang Lekiu saja - tidak ada bezanya sama ada beliau wujud atau pun tidak. Malahan cerita-cerita skandal peribadi dan kementerian yang diterajuinya lebih banyak menghiasi dada-dada media alternatif berbanding sumbangannya dalam UNMO dan kerajaan.

Dalam menilai watak kepimpinan masa depan UMNO, mereka yang menduduki kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden adalah subjek utama berbanding mereka yang menduduki kerusi Majlis Tertinggi, Pemuda,Wanita mahupun Puteri. Sejarah UMNO sendiri telah membuktikan pendakian ke takhta kuasa dalam UMNO dan kerajaan biasanya bermula dengan jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden.

Soalnya bolehkah wajah dan watak yang ada dalam UMNO sekarang sebagai pemimpin dan idola harapan? Semakin yakin serta bertambahkah sokongan rakyat jika mereka mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan nanti?

Dengan Najib dan Muhyiddin yang terus-menerus dipertikaikan dan menjadi antara penyebab UMNO dan BN dalam keadaan terumbang-ambing seperti sekarang, bolehkah kita membayangkan jika UMNO dan kerajaan pada masa hadapan, misalnya diterajui oleh gandingan Zahid-Hishammuddin atau Zahid-Shafie Afdal atau Hishammuddin-Shafie Afdal atau Hishammudin-Zahid atau Shafie Afdal-Hishammuddin. Fikirkanlah dengan tenang dan rasional!

Jawapannya amat jelas bahawa gandingan-gandingan yang dibayangkan itu amat lemah, bahkan ada yang tidak mahu membayangkannya pun. Ia merupakan bayangan yang menakutkan masa depan parti dan negara berdasarkan watak dan perilaku pemimpin-pemimpin tersebut sekarang ini. Tidak ada satu pun di kalangan Naib Presiden sekarang benar-benar diyakini dan berwibawa untuk masa depan UMNO.

Kenapakah UMNO begitu tandus pemimpin berwibawa dan kalau ada pun yang baik, mereka tidak berwibawa, tidak tegas dan kurang karismatik serta boleh diharapkan bukan sahaja oleh ahli UMNO, malahan rakyat keseluruhannya?

Jika disingkap sejarah masa lalu UMNO, tidak dapat dinafikan bahawa punca utama ketandusan pemimpin berwibawa dalam UMNO ini ialah kerana kerakusan Tun Mahathir mahu mempertahankan kuasa. Selepas hanya menang 43 undi dalam pemilihan 1987 bertanding dengan Tengku Razaleigh, Mahathir kemudiannya memulakan keicikan politiknya demi mempertahankan kuasa.

Apabila UMNO dibawa ke mahkamah dan kemudian diisytiharkan haram pada 1988, UMNO tidak merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi terhadap keputusan itu, malahan Mahathir selaku Menteri Dalam Negeri yang turut mempunyai kuasa dibawah Akta Pertubuhan untuk menghidupkan semula UMNO, juga tidak berbuat demikian. Mahathir dan UMNO nampaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan haram itu.

Tembelang daripada keengganan Mahathir membuat rayuan dan menggunakan kuasa yang ada itu terserlah kemudiannya apabila Mahathir menubuhkan UMNO Baru dan menghalang Ku Li serta pengikutnya dalam Team B daripada menyertai parti itu. Oleh kerana dihalang menyertai UMNO Baru, Ku Li kemudian menubuhkan Semangat 46.

Namun tindakan itu menyerlahkan watak sebenar Mahathir yang rakus untuk mempertahankan kuasa. Mahathir kemudian dapat berkuasa dalam UMNO kerana tiada lagi penentang-penentangnya dalam parti itu. Dalam pemilihan 1987, bukan sahaja Mahathir hampir tewas malahan hampir separuh menteri dan timbalan menteri tidak memihak kepadanya.

Kemudian dari itu, demi mempertahankan kuasa juga, Mahathir memperkenalkan beberapa peraturan baru dalam UMNO seperti undi bonus dan kouta pencalonan. Untuk seketika beliau dapat berkuasa dengan selesa. Apabila dilihatnya peraturan itu juga hampir memakan dirinya berdasarkan Tun Ghafar dapat disingkirkan oleh Anwar Ibrahim pada 1993 untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO, Mahathir kemudiannya menyingkirkan Anwar daripada UMNO dan kabinet pada 2 September 1998 atas beberapa pertuduhan yang dikaitkan dengan liwat dan rasuah.

Tetapi mengimbas kembali segala peristiwa itu dan kekerasan yang dilakukan terhadap Anwar termasuk dipukul dalam penjara dan diaibkan, rakyat pada umumnya menyedari bahawa motifnya adalah politik semata-mata. Mahathir berandaian jika Anwar tidak segera disingkirkan pada 1998 itu, beliau akhirnya yang akan disingkirkan oleh Anwar memandangkan cengkaman dan pengaruh politik Anwar selepas menjadi Timbalan Perdana Menteri didapati semakin meluas dan para penyokongnya pula ada yang tidak sabar lagi mahu melihat Anwar segera menjadi Perdana Menteri.

Di sebalik kejayaan Mahathir mengekalkan kuasa daripada peristiwa 1987 dan 1998 itu ialah beliau telah berjaya menjauhkan ramai pemimpin-pemimpin yang berwibawa daripada UMNO. Bersama Ku Li pada 1987 dan Anwar pada 1998 itu, ramai pemimpin dan ahli UMNO yang dilihat berwibawa dan bakal menjadi pemimpin masa depan sama ada di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan telah turut sama terpnggir atau meninggalkan UMNO.

Golongan profesional dan mahasiswa yang ingin mencurah bakti dan mempunyai idealisme perjuangan juga mulai jauh hati dan membenci UMNO. Natijahnya sejak itu hinggalah hari ini ramai kalangan profesional memilih parti lain seperti Pas untuk meneruskan perjuangan mereka.

Di dalam UMNO pula, akibat tindakan keras Mahathir menyingkirkan musuh-musuh politiknya sejak berlakunya krisis dengan Musa Hitam yang membawa kepada pertandingan 1987 dengan Ku Li serta pemecatan Anwar pada 1998, secara nyatanya Mahathir telah berjaya memupuk budaya takut dalam UNNO. Sejak itu budaya ampu dan bodek mula berleluasa dan dilihat sebagai satu-satunya kaedah untuk terus hidup dan bernyawa dalam UMNO. Penonjolan diri melalui gerak kerja dan sumbangan idea tidak lagi dilihat penting kerana ia dianggap tidak menjamin survival berbanding kelebihan mengampu dan membodek.

Sejak itu juga UMNO tidak mempunyai ruang lagi untuk mereka yang kritis dan berani bercakap benar. Genarasi baru yang menyertai UMNO dan kemudian berjaya memanjat tingkat kejayaan dalam UNNO serta memperolehi pelbagai kejayaan dan nikmat kemudiannya hanyalah daripada kalangan yang sedia mengamalkan budaya ampu dan bodek serta mereka yang dinanungi oleh pimpinan atasan. Golongan yang ikhlas dan berpendirian akhirnya menjadi semakin mengecil dalam UMNO, dan kalau ada pun mereka ini sering tertewas ditangan mereka yang bermulut manis, mereka yang sanggup bertunggu tangga di pejabat pemimpin serta mereka yang sanggup mengendeng sehingga ke pintu kereta.

Akhirnya oleh kerana kerakusan dan ketamakan Mahathir untuk mempertahankan kuasanya itu telah menyebabkan UMNO menerima padahnya pada hari ini. Jika Mahathir bersikap "gentleman" dan demokratik selepas pemilihan 1987 iaitu sama ada dengan menghidupkan semula UMNO yang telah diharamkan atau dalam proses penubuhan UMNO Baru itu, beliau tidak bersikap pilih-pilih dan membuka ruang kepada semua ahli UMNO menyertainya, senario politik UMNO dan negara mungkin jauh berbeza jadinya. UMNO mungkin terus dibarisi oleh ramai pemimpin berwibawa dan karismatik.

Begitu juga jika dalam berhadapan dengan pengaruh Anwar yang makin menyerlah pada 1998, Mahathir sekali lagi bersikap terbuka dan "gentleman" serta sedia untuk dicabar oleh Anwar, banyak episod sedih yang melibatkan bangsa Melayu dan negara dapat dielakkan sebenarnya. UMNO juga diyakini akan terus berwibawa dan ramai pemimpinnya yang berwibawa masih kekal walaupun mungkin Mahathir tidak berjaya mencecah tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

Walaupun ramai pemimpin yang sedang berkuasa hari ini dilihat mendapat nikmat bukan atas kewibawaan mereka tetapi kerana kesan tidak langsung atas kejayaan Mahathir menyingkirkan musuh-musuh politiknya secara licik sehingga ramai pemimpin yang sebenarnya berwibawa diketepikan, hakikatnya UMNO menjadi semakin kelam dan kelabu di mata rakyat. Ketiadaan "kepala" yang baik dan berwibawa menjadikan UMNO ditolak dan berkecamuk.

Oleh kerana ketiadaan pemimpin yang berwibawa untuk masa depan UMNO dan mereka yang memegang kuasa pula gagal menonjolkan imej-imej baik serta sering terdedah kepada pelbagai jenis skandal dan salah laku, natijahnya semakin ramai rakyat kini mahu melihat UMNO direhatkan daripada terus mentadbir negara ini. (SH 9/02/2012)

Tuesday 7 February 2012

Kenapa Najib Susah Sangat Nak Berhentikan Shahrizat?

Minggu ini Shahrizat Jalil dijangka memasuki semula pejabatnya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setelah habis bercuti selama tiga minggu untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan keatas beliau. Namun dalam tempoh tiga minggu itu, Shahrizat khabarnya masih belum juga disoal oleh SPRM sebaliknya Ketua Wanita UMNO itu menggunakan jangka waktu itu untuk bercuti dan menunaikan umrah serta memohon hidayah Allah. Hanya pejabat NFC yang dilaporkan telah dikunjungi oleh SPRM dan beberapa komputer serta dokumen telah diambil.

Isu Shahrizat yang melibatkan suaminya dalam projek NFC yang menggunakan dana rakyat sebanyak RM250 juta menjadi isu besar bilamana satu persatu kepincangan didedahkan bahawa wang itu turut digunakan untuk membeli pelbagai jenis hartanah, kereta serta perbelanjaan lain yang tidak ada kaitan langsung dengan penternakan lembu.

Rentetan daripada itu, desakan demi desakan agar Shahrizat meletakkan jawatan segera muncul, bukan sahaja daripada rakyat yang semakin mual melihat skandal berterusan dalam kerajaan serta daripada pihak pembangkang malahan daripada kalangan UMNO sendiri. Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution dan Zuraida Kamarudin daripada PKR dilihat amat aktif mendedahkan satu persatu kepincangan dalam NFC manakala Syed Ali Alhabshee dan Bung Mokhtar Radin daripada UMNO antara yang terus mendesak agak Shahrizat berundur dari kabinet. Terbaru Rafidah Aziz turut bersuara dalam nada yang sama.

Khabarnya dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini iaitu sejak isu lembu ini muncul, Shahrizat sudah tiga kali menunaikan umrah dan minggu lalu sekembalinya dari umrah terbaru, beliau dengan pantas bertegas tidak akan meletakkan jawatan, bahkan menuduh ada pihak yang begitu berhajat mahukan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO. Beliau juga sudah mengadakan beberapa siri roadshow untuk menangkis serangan terhadapnya sambil menegaskan hanya Perdana Menteri yang boleh menentukan kedudukannya dalam kabinet.

Dalam hal ini nampaknya Shahrizat masih belum mendapat hidayah daripada tiga kali kunjungannya ke Mekah itu. Jika hidayah sudah diperolehi sudah tentu beliau akan segera meletakan jawatan kerana isu NFC dan kaitan dengan kedudukannya beliau sebagai menteri dan Ketua Wanita UMNO sudah menjadi isu besar dan diakui oleh hampir semua orang bahawa ia akan menjadi beban dan punca utama kekalahan UMNO dan BN dalam PRU 13 nanti. Yang memintanya undur juga semakin ramai. Kalau hidayah sudah ditemui, Shahrizat pastinya akur dengan semua tuntutan itu.

Selain menjadikan Wanita UMNO sebagai perisainya, Shahrizat juga terus membebankan Najib dengan mengatakan hanya Najib yang boleh menentukan kedudukannya. Najib pula sebagaimana yang diketahui sejak isu NFC ini muncul, beliau lebih banyak berdiam diri dan mengelak daripada bersuara. Ketika mengumumkan Shahrizat bercuti tiga minggu baru-baru ini pun, beliau tidak bercakap banyak sambil berkata timbalannya, Muhyiddin Yassin akan memberikan butiran lanjut mengenainya.

Sementara desakan demi desakan makin kuat agar Shahrizat berundur, Najib tetap juga membisu. Bahkan apabila Shahrizat sendiri mengatakan hanya Perdana Menteri yang boleh menentukan masa depan politiknya, Najib terus juga membisu. Kenapa Najib begitu takut untuk bersuara mengenai Shahrizat? Apakah yang Najib takutkan sebenarnya? Apakah beliau takut kepada ahli wanita UMNO seramai 1.3 juta orang itu?

Dalam hal ini adalah mustahak Najib segera bertindak jika tidak mahu UMNO terus terbeban dengan isu Shahrizat ini dalam pilihanraya umum akan datang. Najib sudah tidak ada pilihan selain meminta Shahrizat berundur daripada kabinet dan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO. Berundur sebagai menteri sahaja tidak memadai lagi kerana isu ini sudah begitu membarah dan merebak ke segala urat saraf rakyat. Shahrizat harus juga melepaskan jawatannya dalam Wanita UMNO. Kemudian biarlah pihak berkuasa menyiasat seadil-adilnya kes NFC ini.

Hanya dengan tindakan itu Najib dilihat benar-benar berwibawa dalam membersihkan UMNO keseluruhannya daripada terpalit dengan isu NFC ini. Dengan berundurnya Shahrizat, biarlah Wanita UMNO dipimpin oleh orang lain untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang, sekurang-kurangnya isu NFC tidak akan dikumandangkan lagi dan Wanita UNNO juga dapat turun berkempen dengan lebih selesa.

Jika Najib terus membisu dan seolah-olah takut untuk meminta Shahrizat berundur,ia bukan sahaja meletakkan Najib dalam kedudukan sukar yang berterusan dan dianggap sebagai Perdana Menteri paling lemah, malahan akan timbul juga tanggapan-tanggapan lain yang bersifat peribadi terhadap diri beliau. Sekarang ini pun sudah agak meluas percakapan orang di mana-mana bahawa dikatakan Najib tidak akan berani mengambil apa-apa tindakan kepada Shahrizat sehingga pilihanraya umum akan datang. Malah ada yang berkata Shahrizat akan terus dilindungi Najib.

Dikatakan Shahrizat menyimpan sesuatu rahsia yang melibatkan Najib dan keluarganya. Ia sebenarnya bukanlah rahsia yang memalukan Najib tetapi dikatakan lebih kepada budi dan jasa yang pernah Shahrizat lakukan kepada Najib suami isteri yang membuatkan Najib dan isterinya, Rosmah begitu terhutang budi kepada Shahrizat.

Percakapan orang mengenai hal ini sudah begitu meluas sekarang, dari kedai kopi, lobi hotel, orang biasa, orang UMNO, ahli pembangkang malahan golongan kenamaan pun turut bercakap perkara yang sama. Kebenarannya belum dapat dipastilan tetapi melihat kepada ketakutan Najib untuk bertindak terhadap Shahrizat meskipun setelah pelbagai pihak bersuara dan Shahrizat sendiri seolah-olah mencabar Najib dengan mengatakan hanya Perdana Menteri yang boleh menyingkirkannya, nampak seperti ada kebenarannya.

Hanya Najib yang boleh memberhentikan segala percakapan ramai mengenai perkara ini iaitu dengan segera meminta Shahrizat berundur daripada kabinet dan juga Ketua Wanita UMNO. (SH 7/02/2012)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...