Sunday 14 October 2012

Tuhan Pun Nampaknya Sudah Bersama PR...


Semakin hampir waktu edah pilihanraya, pergelutan merebut kuasa antara BN dan PR nampaknya makin memuncak. Saban hari ada saja isu baru muncul di atmosfera politik negara, sekaligus menjadikan rating kedua-dua parti itu menjadi tidak menentu. Sekejap BN diatas, tapi sekejap kemudian dipintas kembali oleh PR. Begitu juga sebaliknya bila PR di atas, BN akan berusaha menariknya ke bawah semula.

Rating Najib dan Anwar, dua sosok yang berebut kerusi empuk Perdana Menteri juga turut tidak menentu. Kedua mereka saling berebut kasih sayang dan kepercayaan daripada rakyat.

Tetapi dalam beberapa isu besar yang muncul, terutamanya yang mahu dijadikan modal utama oleh BN, seringkali ia menjadi seperti boomerang, berpatah balik dan merosakkan tubuh badan UMNO sendiri. Berulangkalinya berlaku senjata makan tuan ini seolah-olah menunjukkan Tuhan juga bersama-sama PR dan merestui perjuangan PR untuk menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datang.

Kaitan George Soros dengan perubahan kepimpinan dalam banyak negara di dunia ini telah digunakan oleh UMNO untuk mengaitkan dana sumbangan Soros dengan pembangkang, khususnya PKR dan Anwar Ibrahim. Yang dihebohkan menerima dana daripada sebuah yayasan yang dikaitkan dengan Soros pada mulanya hanyalah Suaram dan portal berita Malaysiakini tetapi ia kemudiannya dibakulkan juga dengan PR yang kelihatan berpotensi menumbangkan BN walaupun tiada bukti sahih dikemukakan PR ada menerima mana-mana sumbangan dana asing.

Mahathir kemudiannya mempopularkan ungkapan satu undi kepada PR bermakna satu undi untuk Soros, dengan tujuannya mengingatkan rakyat supaya menolak PR. Tetapi malangnya tidak lama kemudian didedahkan bukan sahaja Mahathir yang mengadakan pertemuan dengan Soros, malahan Najib juga secara sembunyi-sembunyi ada bertemu dengan Soros.

Pertemuan Najib dengan Soros pada 2010 itu cuba disembunyikan selama ini kerana UMNO tahu kesan pertemuan itu kepada rakyat. Jika sebelum ini mana-mana pertemuan Najib dengan individu terkenal di seluruh dunia sentiasa diberi liputan meluas, pertemuan dengan Soros sebaliknya telah disembunyikan serapatnya.

Hanya setelah serangan UMNO terhadap PR dengan menggunakan isu Soros, pertemuan itu terdedah. Najib sendiri terpaksa mengaku akhirnya. Anwar dan pemimpin PR yang sering dikaitkan menerima dana Soros, tidak terbukti pun pernah bertemu dengan peniaga matawang itu, sebaliknya Mahathir dan Najib pula yang terbukti membuka ruang bertemu dan bertukar-tukar fikiran dengan Soros.

Maka dengan sendirinya isu Soros menjadi isu yang tidak laku dan menikam diri UMNO sendiri. Ungkapan juga sudah berubah menjadi satu undi kepada Najib sama dengan satu undi untuk Soros. Tuhan nampaknya ingin menunjukkan kebenaran.

Dalam isu yang sama, ketika Suaram, Malaysiakini dan PR dikaitkan ada menerima dana asing, akhirnya terdedah juga bagaimana Ketua Menteri Sabah, Musa Aman menerima sumbangan politik daripada seorang tauke Cina berjumlah RM40 juta. Tauke itu, Michael Chia ditahan ketika membawa wang tunai RM40 juta dalam bentuk mata wang Singapura ketika dalam perjalanan dari Hong Kong ke Malaysia.

Nazri Aziz akhirnya terpaksa menjawab di Parlimen bahawa SPRM sudah menjalankan siasatan dan mengesahkan tiada unsur rasuah kerana sumbangan itu untuk UNNO dan bukannya untuk kegunaan peribadi Musa Aman.

Najib juga akhirnya mengakui suci dan halalnya wang RM40 juta itu dengan berkata tiada salahnya mana-mana parti politik menerima sumbangan walaupun sebenarnya begitu banyak keraguan yang boleh ditimbulkan. Jika benar sumbangan itu untuk UMNO, kenapa mesti dibawa dalam bentuk tunai, bukankah boleh dimasukkan terus ke akaun bank UMNO Sabah saja?

Yang turut menimbulkan persoalan ialah wang itu datangnya dari Hong Kong dan dalam bentuk matawang Singapura. Apa kaitan Singapura dan Hong Kong dalam hal ini sedangkan kita tahu kedua negara itu mempunyai hubungan rapat dengan Amerika dan Yahudi.

Apakah ini bermakna UMNO juga ada menerima dana asing dari luar yang ada kaitan dengan Amerika, Yahudi dan Soros?

Sekali lagi senjata makan tuan dan kebesaran kuasa Tuhan mengambil tempatnya. PR yang dituduh menerima dana asing tetapi akhirnya yang terbukti menerimanya ialah UMNO. Tuhan juga, dalam isu ini seperti merestui perjuangan PR.

Sebelum ini ketika Mahathir mengaitkan Anwar dengan Israel dan Yahudi, terbukti juga akhirnya Mahathir yang sering berutus surat dengan Perdana Menteri Israel sehingga melahirkan hasrat untuk menjalinkan hubungan yang kekal sebagaimana yang terdedah dalam tiga pucuk surat Mahathir kepada Ehud Barak, Benjamin Netanyahu dan Yitzak Rabin.

Malahan Najib juga melantik perunding media yang ada kaitan dengan Israel iaitu APCO sebagai penasihat medianya sebaik menjadi PM.

Jika Anwar dan PR sering dikaitkan dengan Israel dan Yahudi lantaran hubungan peribadi dengan beberapa tokoh di Amerika, apa yang terdedah membuktikan bahawa Mahathir, Najib dan UMNO pula sebenarnya saling berpeluk erat dan menjalin kerjasama dengan musuh Islam itu.

Apa saja isu yang dibangkitkan oleh UMNO untuk menyerang PR dengan tujuan menghakis kepercayaan rakyat, seringkali ia berakhir dengan senapang yang dihalakan kepada pihak musuh itu berbalik kepada UMNO sendiri.

Begitu besar kuasa Tuhan sebenarnya.

Terserahlah kepada kita sama ada mahu menilai semua itu sama ada hanya kebetulan atau bukti nyata bahawa Tuhan juga bersma-sama PR. Tetapi yang perlu direnungkan ialah sejak UMNO memerintah lebih 50 tahun lalu, begitu banyak kebusukan yang dilakukannya sama ada yang melibatkan maruah agama, pecah amanah, rasuah, penyelewengan, membolot kekayaan dan sebagainya.

Sejak Najib menjadi PM, amalan buruk yang bersarang sejak lama makin menjadi-jadinya. Pembaziran, pemborosan dan bergaya mewah Najib sekeluarga bukan saja menjadi tatapan rakyat biasa negara, malahan juga diperbualkan di seluruh dunia.

Ketidaktegasan dan kelemahan Najib sebagai pemimpin sekaligus menjadikan semua keburukan bertambah parah, bukannya menjadi bertambah baik. Hukum agama dan adu domba pula sering menjadi mainan untuk meraih keuntungan politik.

Restu Tuhan kepada PR mungkin dengan maksud Tuhan merestui perubahan untuk mewujudkan suatu sistem yang terbaik untuk Malaysia selepas pilihanraya nanti dan mengelakkan UMNO dan para pemimpinnya daripada terus bergelumang dengan perkara-perkara yang salah.

Ia umpama ungkapan anak-anak muda sekarang, "Yang baik datang dari Allah, yang tak baik datang dari Najib dan Rosmah" (SH 13/10/2012)




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...