Sunday 29 April 2012

Jika Lelaki Sudah Jadi Menteri Wanita, Berilah Pula Wanita Jadi Menteri KDN


Himpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu menyerlah satu perkara yang sangat memalukan iaitu bagaimana Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein melalui tindakan yang dilakukan pihak polis telah gagal untuk melihat ke hadapan berkenaan perhimpunan itu. Sebagaimana perhimpunan Bersih sebelum ini yang dicemari tindakan tidak sewajarnya oleh pihak polis, kali ini ia berulang kembali.

Di sebalik Hishammuddin sering mempamer wajah 'serius yang dibuat-buat' dan mengatakan himpunan Bersih kali ini tiada kaitan dengan isu keselamatan, yang nyatanya beberapa insiden yang memalukan pihak polis dapat ditatap dengan jelas melalui rakaman-rakaman video yang tersebar meluas melalui internet.

Ia bukan saja memaparkan tindakan polis menyembur air dan gas pemedih mata malahan terdapat juga insiden bagaimana 6 orang polis membelasah seorang rakyat yang menyertai tunjuk perasaan itu. Kalau ia pun terlalu marah dan ingin membeasah, janganlah sampai 6 lawan 1, gajah pun tumbang.

Insiden kereta polis yang seakan-akan hilang kawalan dan cuba merempuh orang awam pula, didapati pemandunya siap memakai topi keledar. Apakah tujuannya? Apakah polis memang bersiap sedia dan sengaja berbuat demikian seperti kata pepatah moden "siapkan helmet sebelum rempuh orang".

Sebagai anggota polis yang menjaga keselamatan rakyat dan siap dengan senjata, mereka separutnya lebih berhemah, dapat mengawal perasaan dan profesional. Mereka yang menyertai himpunan memang biasa bersikap provokasi kerana semangat yang membara tetapi pihak polis seharusnya dapat mengawal perasaan. Rakyat yang mungkin membuat provokasi tidak membawa apa-apa senjata, jika polis yang bersenjata menjadi tidak profesional dan mudah hilang kawalan, tentulah sesuatu yang buruk akan berlaku.

Di sinilah kelemahan nyata telah dilakukan oleh polis dan Menteri KDN. Sudah tiga kali himpunan Bersih diadakan, baik polis mahukan Hishammuddin nampaknya tidak belajar apa-apa daripadanya. Hishammuddin sudah hilang wibawanya sama-sekali. Tidak tahu apa difikirkannya sebagai Menteri KDN. Kalau diimbas ucapan-ucapan beliau sepanjang dua tiga minggu lalu berkenaan Bersih 3.0 yang seolah-olah menunjukkan tolerasi dan ingin menyahut transformasi Najib, tentulah bukan tindakan ganas polis ini yang kita harapkan.

Sementara beliau menyatakan himpunan Bersih tiada kaitan dengan keselamatan tetapi dalam masa yang sama pihak polis dipersiapkan seolah-olah hendak pergi berperang. Jika polis bertindak profesional dan hanya memantau keadaan, huru-hara dan tindakan ganas tidak mungkin berlaku. Lihat saja himpunan Bersih di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru dan beberapa negara luar seperti Australia, New Zealand, Dublin dan lain-lainnya yang diadakan serentak, semuanya berjalan dengan aman dan tiada kacau-bilau. Ini polis di semua tempat itu hanya memantau keadaan dan bersikap seprofesional yang boleh.

Yang jelasnya, jika polis dan Menteri KDN betul-betul memahami suara rakyat dan kehendak mereka hanyalah duduk dengan jumlah seramai mungkin untuk menyatakan bantahan terhadap SPR dan perjalanan pilihanraya dan jauh sekali untuk melakukan kekacauan, perhimpunan ini dapat dijalankan dengan aman.

Selain pihak polis yang perlu profesional, menteri yang menjaga polis juga perlu jauh lebih profesional. Pihak polis bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat tetapi yang terpamer melalui Bersih 3.0 seolah-olah polis hanya ingin mempertahankan kuasa UMNO dan BN sahaja. Rakyat sesuka hati dipukul, disembur air dan dirempuh tanpa hati dan perasaan.

Kesan besar daripada kehadiran rakyat yang melebihi 300 ribu dan dipercayai hampir 500 ribu di seluruh KL yang menyatakan bantahan dan mahukan sistem pilihanraya yang adil dan bersih, ditambah pula dengan berlakunya beberapa insiden keganasan polis, imej Najib ternyata sudah calar-balar di mata rakyat dan juga di peringkat antarabangsa.

Najib tidak lagi dilihat bersih, malah dilihat sebagai pemimpin yang tidak tiada kompromi dan tidak mahu mendengar denyut nadi rakyat serta hanya ghairah untuk memenangi pilihanraya. Najib hanya memikirkan dalam keadaan rakyat kesusahan dan dibebani dengan pelbagai kos yang meningkat, mereka perlu diberikan wang tunai RM500,RM200 dan RM100 saja sedangkan kehendak rakyat bukan wang semata-mata. Bagi Najib semua masalah rakyat boleh selesai dengan wang.

Rakyat juga mahukan pemimpin yang baik, negara yang aman, ekonomi yang berkembang, anak-anak mereka dapat bekerja dengan mudah dan sebagainya. Lagi pula, tidak semua orang walaupun susah, sanggup menerima wang daripada perompak atau pun duit daripada hasil judi. Pendek kata, wang saja bukan segala-galanya.

Harapan Najib untuk memenangi pilihanraya melalui pelbagai program transformasi kini sudah hancur berkecai. Jika pilihanraya diadakan dalam tempoh terdekat, UMNO dan BN hampir pasti akan tumbang. Kemarahan rakyat yang sedang memuncak akan diterjemahkan melalui peti undi. Sebahagiannya dihempas oleh sepupunya sendiri, Hishammuddin yang bertanggungjawab terhadap polis. Melalui pelbagai insiden dalam Bersih 3.0, terbukti hak rakyat dan kebebasan bersuara tidak dihormati. Akta Perhimpunan Aman yang baru digubal juga bagai tiada ertinya lagi. Zaman menteri tidak cerdik dan hanya tahu beretorik sudah berakhir.

Lagi lama beliau mengemudi Kementerian Dalam Neteri, lagi banyak kelemahan yang akan terserlah yang bukan saja memalukan Najib tetapi juga memalukan Malaysia di persada dunia. Jika Hishammuddin enggan meletakkan jawatan sebagaimana yang didesak oleh banyak pihak, ada baiknya Najib mulai memikir untuk menukarkan beliau ke kementerian lain.

Kiranya salah satu transformasi dan pembaharuan yang dilakukan Najib sebelum ini membenarkan seorang lelaki memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ada baiknya jika transformasi dipanjangkan lagi dengan memberi peluang seorang wanita pula menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Jika Najib agak terbeban dengan banyakna tugas sekarang, serah saja jawatan Menteri Wanita itu kepada Hishammuddin.

Meskipun wanita sifat semulajadinya lemah tetapi jika dilihat watak sebahagian besar wanita dan ibu-ibu, mereka cukup matang dalam mengendalikan pelbagai urusan rumahtangga, mendidik anak dan setengahnya mencapai tahap kerjaya yang tinggi serta dikaguni. Kematangan wanita seperti menjadikan rumahtangga dan kerjaya seimbang. Najib, carilah wanita yang cerdik, berwibawa, dapat memandang lebih jauh ke hadapan dan "macho" untuk menjadi Menteri KDN pula. (SH 29/04/2012).







Friday 27 April 2012

Bersih 3.0, LGBT Dan Dataran Merdeka Yang Sudah Hilang Merdekanya


Perhimpunan aman "Duduk dan Bantah" Bersih 3.0 28 April ini rupa-rupanya amat menggusarkan Najib. Meskipun beliau tidak pernah memberi sebarang komen mengenai perhimpunan itu tetapi tindakan pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang keras dan tiada kompromi di saat-saat akhir ini menyerlahkan hakikat tersebut. Jika Najib tidak bimbang, mustahil polis dan DBKL sekeras ini.

Sehari sebelum perhimpunan itu, pihak polis telah memohon perintah mahkamah untuk melarang ianya diadakan di Dataran Merdeka manakala pihak DBKL pula telah memagar kawasan itu sejak Jumaat hingga Ahad untuk mengelakkan orangramai berhimpun dan menuju ke dataran itu. Ini bermakna jika perhimpunan diadakan juga mereka mungkin berhadapan dengan tindakan keras pihak polis sebagaimana yang berlaku dalam Bersih 1.0 dan 2.0 dulu.

Sebagai rujukan, Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap polis ialah Hishammuddin Tun Hussein iaitu sepupu Najib sendiri manakala DBKL, walaupun ia terletak di bawah Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar tetapi biasanya Datuk Bandarnya mempunyai akses langsung dengan Perdana Menteri dalam banyak perkara. Dalam hal ini, kebimbangan Najib hanya diselindungi oleh polis dan DBKL sebenarnya.

Soalnya, apakah yang dibimbangkan sangat dengan Bersih 3.0 ini?

Perhimpunan Bersih kali ketiga ini diadakan adalah untuk menuntut kerajaan dan SPR benar-benar mengendalikan pilihanraya dengan bersih dan adil dari sebarang tipu helah dan manipulasi yang hanya memguntungkan satu pihak iaitu UMNO dan BN. Beberapa pendedahan yang dibuat mengenai pelbagai perkara terutama daftar pemilih yang meragukan tidak dilayan oleh SPR. Kerajaan pula, walaupun bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk memperbaiki sistem dan perjalanan pilihanraya tetapi daripada lapan tuntutan dalam Bersih 2.0, hanya satu yang ditunaikan iaitu penggunaan dakwat celup pada jari manakala yang lain-lainnya tidak dipedulikan.

Berikutan itu dan pelbagai pendedahan lainnya yang mencakupi kekotoran dalam daftar pemilih tidak dilayan, maka kesepakatan telah dicapai oleh 84 NGO untuk mengadakan Bersih 3.0 yang kebetulannya disokong oleh pihak pembangkang kerana mereka juga mahukan sistem dan perjalanan pilihanraya yang benar-benar bersih.

Sebenarnya tidak ada sebab untuk Najib dan UMNO berasa takut dengan perhimpunan ini.Yang ingin dilakukan hanya acara duduk selama dua jam daripada pukul 2 hingga 4 petang untuk menyatakan bantahan agar kerajaan dan SPR mendengar suara rakyat. Biarlah mereka berhimpun secara aman asalkan tidak merosakkan harta awam di Dataran Merdeka itu. Apa gunanya kerajaan menggubal Akta Perhimpunan Aman jika akhirnya bermacam-macam sekatan dikenakan untuk berhimpun secara aman.

Lagi pula Dataran Merdeka adaah tempat awam yang sepatutnya tidak menjadi masalah kepada mana-mana pihak untuk datang dan berkumpul di situ. Dengan menutup Dataran Merdeka dan polis pula memohon perintah mahkamah menghalang perhimpunan itu seolah-olah Dataran Merdeka yang menjadi tempat kebanggaan rakyat dan lambang kemerdekaan negara selama ini sudah diragut kenerdekaannya. Dataran Merdeka tidak lagi merdeka.

Seharusnya Najib belajar dari pengalaman lalu di mana tindakan keras pihak polis sebagaimana perhimpunan Bersih sebelum ini hanya menjejaskan nama Najib di mata rakyat dan juga di persada dunia. Dunia akan melihat kekerasan polis sebagai kekerasan Najib juga. Penentangan Najib terhadap pihak yang menuntu pilihanraya yang bersih tidak lebih menggambarkan Najib suka kepada kekotoran. Najib harus membuktikan pelbagai janji transformasinya dengan jujur dan ikhlas. Lauangan "rakyat didahulukan" juga hendaklah benar-benar dikotakan.

Kini Kuala Lumpur sudah mula dipenuhi dengan polis dan gerombolan FRU juga sudah mula berkampung di sekitar Dataran Merdeka. Imej ini hanya meletakkan nama Najib dalam keadaan yang lebih buruk berbanding jika beliau membenarkan perhimpunan tersebut. Kerajaan seharusnya membenarkan rakyat berkumpul secara aman sebagaimana sebelum ini kebenaran untuk berkumpul diberi ketika pengumuman keputusan kes liwat Anwar di perkarangan Mahkamah Jalan Duta, KL.

Dalam kes Bersih 3.0 ini rakyat tentunya masih ingat janji Hishammudin yang pada peringkat awalnya membenarkan ianya diadakan kerana tidak dianggap menjejaskan keselamatan. Dengan tindakan pihak polis sendiri memohon perintah mahkamah terbukti Hishammuddin hanya beretorik selama ini.

Kebimbangan Najib terhadap perhimpunan Bersih ini dan mahu rakyat tidak ikut sama juga terserlah bilamana terdapat beberapa NGO dan "ulama gelandangan" yang tiba-tiba muncul bersuara dan mendapat tempat di dada media yang mengaitkan Bersih 3.0 dengan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana kebetulan Pengerusi Bersamanya, S Ambiga merupakan salah seorang penyokong kumpulan itu dan pernah menganjurkan program Seksualiti Merdeka.

Selain mengadakan perhimpunan, ulama gelandangan ini juga mengeluarkan fatwa bahawa menyertai perhimpunan Bersih 3.0 adalah haram kerana sama seperti menyokong LGBT. Ternampak bahawa Najib dan UMNO sudah begitu kelemasan sehingga sanggup mengguna apa saja cara untuk menggagalkan Bersih 3.0 meskipun secara umumnya rakyat yang waras dan berakal dapat memahami bahawa kedua-duanya tiada kaitan sama-sekali.

Marina Mahathir, anak bekas Perdana Menteri sendiri menyokong perjuangan kumpulan LGBT ini tetapi beliau menjelaskan bahawa perjuangan mereka bukan menyokong seks bebas dan seks luar tabii tetapi semata-mata untuk memberi kefahaman tentang hak-hak mereka yang dipinggirkan ini di dalam lingkungan undang-undang dan bukannya di luar undang-undang. Jika begitu, adakah Mahathir juga berdosa besar dalam hal ini kerana anaknya terlibat sama dalam menyokong perjuangan LGBT ini?

Tindakan media UMNO membesar-besarkan kaitan Bersih dengan LGBT tidak lebih menggambarkan kedangkalan serta kecetekan pemikiran untuk memahami isu yang sebenar. Janganlah ingat propaganda seperti ini dianggap masih boleh memperbodohkan rakyat.

Dengan tindakan DBKL memagar sekitar Dataran Merdeka dan pihak polis yang seperti sudah besedia dengan segala kemungkinan untuk bertindak lebih keras jika peserta perhimpunan tetap juga berkeras mahu berhimpun di tempat yang dilarang itu, sukar untuk meramalkan apa yang bakal terjadi pada esok hari. Tetapi dengan adanya perhimpunan ini yang bukan sahaja diadakan di Kuala Lumpur tetapi juga semua bandar besar di seluruh dunia, yang pastinya nama Najib akan terus kelihatan kotor serta hitam dan label itu akan terpahat dalam catatan sejarah untuk selama-lamanya.(SH 27/04/2012).


Wednesday 25 April 2012

Shafie Cuma Nafi Bayar Tapi Tak Nafi Hubungan Dengan Zahida


Setelah beberapa hari mendiamkan diri, akhirnya Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie Afdal mengeluarkan kenyataan menafian segala tuduhan yang kononnya beliau membayar hampir RM1.5 juta kepada artis Zahida Rafik sebagaimana yang heboh diperkatakan sejak seminggu lalu.

Shafie juga menyifatkan segala dakwaan yang dibuat oleh bekas pemandu peribadi Zahida, Nor Azman Azemi itu adalah berniat jahat dan berunsur politik semata-mata.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden UMNO itu, ia lebih menjurus kepada penafian bahawa beliau pernah membayar sejumlah wang atau sebagaimana yang didakwa oleh Nor Azman dalam laporan polisnya sebanyak hampir RM1.5 juta tetapi Shafie sama-sekali tidak menyentuh tentang hubungannya dengan artis tersebut.

Selain isu dakwaan terhadap Shafie yang disifatkan terlalu pemurah dengan wang ringgit dan bagaimana wang sebanyak itu boleh diberikan dengan mudah, rakyat juga tentunya ingin tahu sejauh mana hubungan beliau dengan Zahida Rafik ini. Adakah mereka berdua sekadar kawan biasa atau hanya sekadar rakan sembang di waktu petang dan sesekali terlajak hingga ke malam?

Atau adakah Zahida merupakan salah seorang ahli perniagaan yang memperolehi kontrak perniagaan dengan Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah? Atau mungkinkah Shafie dan Zahida mempunyai hubungan yang lebih daripada itu sebagaimana yang heboh diperkatakan di sana-sini sekarang.

Sebagai seorang menteri dan sesuai pula dengan dasar transformasi serta ketelusan yang ingin dibawa oleh Najib, semua perkara itu wajar diberitahu kepada rakyat. Tindakan Shafie sekadar membuat penafian tanpa disertakan dengan bukti-bukti sokongan dikira belum memadai lagi.

Sekiranya Shafie tidak menjelaskan secara telus dan terbuka tentang hubungannya dengan Zahida, ia dalam masa yang sama tentunya juga menyusahkan UMNO dan BN dalam menghadapi pilihanraya ini. Tanpa penjelasan yang betul, rakyat lebih cenderung untuk membuat tafsiran sendiri dan mempercayai khabar-khabar angin yang bertebaran di kedai-kedai kopi dan warung tepi jalan. Tambahan pula khabar angin mengenai hubungan mereka berdua begitu banyak kedengaran, termasuk ada yang mengatakan mereka sebenarnya sudah pun berkahwin sejak sekian lama dan berbagai lagi.

Jika sudah berkahwin, di mana mereka menikah? Adakah isteri pertama memberi izin atau tidak? Semua persoalan ini penting untuk dijelaskan kerana Shafie adalah seorang menteri dan pemimpin rakyat. Meskipun hukum Islam tidak memerlukan keizinan isteri pertama sebagai syarat untuk menambah isteri tetapi undang-undang syariah negara memerlukan demikian dan sebagai seorang menteri jika Shafie menikah tanpa kebenaran isteri pertamanya, bermakna beliau tidak menghormati undang-undang. Tentulah amat mengaibkan di mata rakyat jika seorang menteri sendiri tidak menghormati undang-undang negara.

Dari segi lain isu hubungan Shafie dengan Zahida ini jelas memperlihatkan seruan Najib agar pemimpin UMNO berubah untuk memenangi pilihanraya tidak mendapat respon yang sewajarnya daripada anggota kabinetnya sendiri. Seruan Perdana Menteri agar pemimpin berubah ibarat "masuk telinga kanan, keluar telinga kiri" saja. Di mata rakyat, imej ini begitu buruk dan sama-sekali tidak membantu UMNO dan BN.

Meletusnya isu ini ditambah pula dengan kedudukan Shafie sebagai Naib Presiden UMNO mungkin membuatkan Najib terpaksa menangguhkan lagi hasratnya untuk mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen. Dengan isu-isu sedia ada yang bertimbun banyaknya dan terus menghimpit beliau, isu hubungan Shafie dengan Zahida ini hanya menambahkan lagi beban sedia ada yang dipikul Najib.

Meskipun Najib dalam ucapannya sering mengusik Shafie dengan gelaran "lanun Bajau" tetapi ia tidak bermakna Shafie boleh melakukan apa saja tanpa memikirkan kesannya kepada parti.

Dalam hal ini juga, berikutan Shafie adalah menantu kepada Datuk Shuib Lazim, salah seorang anggota Datuk T yang mendedahkan video seks yang mirip Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu, ada juga yang mengatakan meletusnya isu Shafie ini merupakan kifarah yang menimpa Najib dan UMNO kerana merestui perbuatan itu. Apa yang dibimbangkan, jika benar ianya merupakan kifarah atas kesalahan mendedahkan sesuatu yang tidak betul atau mengaibkan seseorang, mungkin lebih banyak lagi kifarah yang akan meletup selepas ini. Sekarang giliran Shuib Lazim, muungkin lepas ini giliran Rahim Tamby Chik atau Datuk Eskay pula.

Perbuatan mendedahkan aib orang lain akhirnya dibalas Tuhan dengan aib yang memalukan UMNO seluruhnya. Mungkinkah dengan pendedahan berterusan pelbagai puak sekarang ini yang ternyata amat ghairah dan kemaruk untuk menceritakan keburukan Anwar Ibrahim sehingga ke tahap yang melangkaui batas tata susila agama dan budaya, akhirnya nanti akan menyebabkan UMNO dan pemimpinnya terus-menerus menerima aib yang lebih besar lagi.

Jika balasan Tuhan benar-benar ditakuti, ada baiknya semua pihak kembali kepada langkah kesederhanaan dalam berpolitik. (SH 25/04/2012).

Monday 23 April 2012

Serangan Peribadi Melampau Buat PR Menang Lebih Cemerlang

Sejak akhir-akhir ini UMNO dilihat semakin hilang punca untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang ini. Bukan saja masalah dalam negara seperti Himpunan Bersih 3.0 yang menyaksikan kebangkitan rakyat makin menyerlah, perkembangan terbaru kes perbicaraan rasuah kapal selam Scorpene di Perancis, menjadikan Najib dan UMNO makin semput dibuatnya.

Kes rasuah di Perancis itu bukan sahaja menjejaskan nama baik Malaysia  di pentas antarabangsa berikutan Najib, Zahid Hamidi dan Razak Baginda sudah dinamakan sebagai saksi yangakan  dipanggil memberi keterangan tetapi ia juga akan menyebabkan golongan muda, masyarakat bandar dan golongan  profesional makin menolak UMNO dan BN.

UMNO kini hanya boleh bergantung harap kepada rakyat luar bandar dan masyarakat kampung saja untuk mempertahankan kuasanya. Dengan memberi sedikit gula-gula seperti wang tunai RM500 dan dalam masa yang sama dijaja pula keburukan pihak lawan khususnya Anwar Ibrahim, itulah saja talian hayat yang masih ada buat UMNO.

Sebab itu, menjelang hari pengundian dan sebagaimana yang diakui oleh Muhyiddin Yassin bahawa lebih banyak bantuan tunai yang akan diumumkan oleh Najib. Tujuannya untuk mengukuhkan cengkaman di kalangan masyarakat Melayu tradisional yang kurang terdedah kepada maklumat terkini alam maya.

Cara lain Najib dan UMNO mengukuhkan cengkaman ialah dengan mengitar semula serangan isu-isu peribadi yang pernah digunakan oleh Tun Mahathir untuk menyingkirkan Anwar pada 1998 dulu. Hari ini kelompok yang sama  bertaut kembali dan  ditambah dengan penyertaan mereka yang pernah bersama dalam era reformasi 1998, sedang giat menubuh dan bergerak melalui  pelbagai NGO untuk menyerang dan menghentam Anwar.

Malahan terdapat sebuah NGO yang khusus ditubuhkan atas nama Anwar Ibrahim iaitu TIBAI atau singkatannya Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim. Tidak pernah berlaku di mana-mana bahagian di dunia ini sebuah NGO ditubuhkan khusus untuk memburukkan seseorang pemimpin.  Di Mesir dan Libya, meskipun kebencian terhadap Hosni Mubarak dan Muammar Gaddafi begitu meluap suatu ketika dahulu, tetapi tiada NGO yang ditubuhkan sempena nama kedua pemimpin itu.

Ketika rakyat Amerika marah kepada Bill Clinton dan George Bush pun, tiada rakyat Amerika yang menempelak kedua pemimpin tersebut sampai ke tahap menubuhkan NGO yang khusus. Selain kes rasuah Scorpene di Perancis, sekali lagi politik Malaysia mencatat sejarahnya yang unik dan tersendiri.

Serangan yang dilakukan oleh TIBAI, selain serangan yang serupa sudah dilakukan sebelum ini oleh Perkasa, Jati, JMM dan lain-lainnya  tidak lain bertujuan menghakis keyakinan rakyat yang semakin mengukuh terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat. Penubuhan semua NGO ini yang tentunya dalam lingkungan restu dan pengetahuan Najib, mungkin berupaya menghangatkan suhu politik negara tetapi ia tidak akan menguntungkan UMNO dan Najib.

Ini kerana serangan peribadi yang keterlaluan, lebih-lebih lagi yang melakukan serangan itu begitu dikenali dan diragui keikhlasannya, hanya akan menambahkan lagi  simpati rakyat. Dalam beberapa ceramah dan kempen yang dihadiri oleh Anwar, sangat jelas bahawa sambutan rakyat pelbagai kaum  semakin memberangsangkan. Bagi rakyat PRU 13 bukan soal Anwar semata-mata tetapi lebih kepada perlunya untuk perubahan. UMNO  dan BN dilihat sudah terlalu daif dan uzur untuk terus diberi kuasa.

Masyarakat Cina memang diketahui semakin kuat dan yakin dengan Anwar. Keraguan terhadap Pas juga semakin menghilang. Mungkin ada masyarakat Melayu yang masih suka mendengar cerita-cerita seks dan kitar semula mengenai Anwar tetapi bilangan yang mempercayai dan menterjemahkannya kepada undi setelah menghadiri ceramah Perkasa, Jati atau TIBAI mungkin hanya boleh dibilang dengan jari saja. Selebihnya, tidak kira rakyat biasa, di kampung mahu pun di bandar dan termasuk sebahagian ahli UMNO sendiri, apa yang mereka mahukan ialah perubahan.

Selain orang UMNO yang memeriahkan ceramah NGO-NGO itu, kedapatan juga ahli UMNO yang melahirkan rasa mual dan loya dan cerita-cerita seks, lucah dan sumpah seranah yang didendangkan itu. Sudahlah mereka ini dulu pernah menghentam dan memaki hamun UMNO, kini lagaknya mereka  umpama "Superman" yang kononnya mahu menyelamatkan UMNO dan negara pula. Kononnya dengan membawa cerita-cerita seks dan lucah mengenai Anwar, negara dapat diselamatkan.

Kiranya peribadi Anwar terus dihentam secara keterlaluan sementara Pakatan Rakyat pula sentiasa keluar dengan dasar-pdasar yang memberi kebaikan kepada rakyat seperti janji penurunan harga minyak, mengkaji semua tarif letrik, memberi pendidikan percuma dan menghapuskan hutang PTPTN, lambat-laun UMNO akan kelemasan kerananya.

Ini kerana, sementara peribadi pihak lawan ditelanjangkan, skandal dan penyelewengan satu demi satu terdedah di mata umum. Dari skandal lembu, skandal menteri dengan artis, pelupusan hutang Tajuddin Ramli sebanyak RM589 juta, pemberian kad pengenalan biru kepada warga asing untuk dijadikan pengundi dan berlonggok skandal lainnya tidak mungkin mampu menutup mata hati rakyat yang semakin cerdik sekarang ini untuk melihat antara kebenaran dan kepalsuan.

Melihat kepada cara politik Najib, beliau nampaknya merestui serangan peribadi yang keterlaluan ini sambil dalam masa yang sama rakyat akan diberikan umpan serta gula-gula tunai dengan harapan mereka akan terus menyokong UMNO serta mengekalkan kerusi Perdana Menteri untuknya. Setelah RM 500, RM200 dan RM100 diberikan, khabarnya ada beberapa program pemberian tunai akan dilakukan lagi. Memang itulah Najib, seperti kata Datuk Arif Sabri Abdul Aziz, bekas Ketua Penerangan UMNO Pekan yang kini menyertai DAP,  hanya tahu membeli untuk mendapatkan sokongan.

Kewujudan semakin banyak NGO yang ditubuhkan untuk menyelamatkan nyawa politik Najib secara langsung menandakan beliau semakin kelemasan sekarang ini. Lagi lambat diadakan pilihanraya, lagi banyak pekung yang melibatkan UMNO dan para pemimpinnya yang akan terdedah. Selepas Shahrizat dan Shafie Afdal, mungkin lepas ini skandal pemimpin lain pula yang akan terbongkar.

Tindakan Najib mempergunakan NGO-NGO ini untuk menyerang peribadi pihak lawan secara keterlaluan,  akhirnya akan menyebabkan Najib kehilangan semakin banyak undi meskipun mungkin NGO-NGO terbabit semakin meriah menikmati habuan. Selain undi Anwar dan pembangkang makin bertambah kerananya, kewujudan NGO-NGO ini yang terlalu aktif mengampu dan ingin menguasai Najib termasuk melobi dan menonjolkan diri untuk dipilih sebagai calon pilihanraya, secara perlahan akan menyebabkan pemimpin dan ahli  UMNO  sendiri sama ada  di peringkat bahagian dan cawangan mulai menjauhkan diri.

Akibatnya apabila tiba waktu untuk ke medan perang, seperti kata Tun Daim, Najib akan menjadi seperti Jeneral yang kekurangan askar. (SH 23/04/2012)






Saturday 21 April 2012

Najib Perlu Segera Lantik Rosmah Jadi Menteri

Agak menggelikan hati apabila baru-baru ini menyaksikan Najib yang kini pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merasmikan Hospital Bersalin Berisiko Rendah di Putrajaya. Selain merasmikannya, Najib juga bercakap mengenai kemudahan yang terdapat di hospital tersebut yang dianggap moden dan terkini untuk kaum wanita melahirkan anak tetapi kadar bayaran yang dikenakan adalah rendah sekali. Bagi Najib hospital itu menyediakan kemudahan kelas pertama dengan bayaran hanya pada tahap kelas ketiga. Apabila seorang lelaki bercakap mengenai kemudahan-kemudahan untuk bersalin, tentunya ada perasaan tidak senang di kalangan kaum wanita yang mendengarnya. Cukuplah tugas lelaki menyebabkan kaum wanita dihantar ke pusat-pusat bersalin dan melahirkan anak, tetapi 'macho' lelaki akan pudar apabila turut bercakap hal-hal yang berkaitan dengan wanita dan kewanitaan. Sejak melantik dirinya sendiri memangku jawatan menteri yang ditinggalkan oleh Shahrizat Jalil, ini adalah tugas pertama Najib. Janganlah pula lepas ini, Najib tergamak hadir merasmikan klinik kanser payu dara atau bercakap di seminar atau forum mengenai kesuburan wanita, penyakit keputihan dan sebagainya. Atau hadir melawat hospital bersalin dan menyampaikan jambangan bunga pula. Meskipun jika setiap kali hadir di program-program berkaitan wanita ini, Najib tetap ditemani oleh isterinya, Rosmah Mansor tetapi oleh kerana beliau yang bercakap dan berinteraksi dengan hadirin, persepsi orangramai tetap agak janggal terhadapnya. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan, terutama dalam masyarakat Melayu, hanya wanita sahaja yang bercakap berkenaan hal-hal kewanitaan ini. Tidak manis bagi orang lelaki untuk turut campurtangan bercakap mengenainya juga. Sejak awal lagi apabila Najib memutuskan melantik dirinya sendiri memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini, penerimaan orangramai agak sangsi dan menimbulkan pelbagai andaian. Selain ada yang beranggapan ia menggambarkan ketidakpercayaan Najib terhadap kepimpinan Wanita UMNO, ada juga yang bercakap bahawa Najib sengaja memangku jawatan itu untuk diisi oleh isterinya. Memanglah persepsi orangramai tidak dapat dihalang, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini. Semua orang berhak memberi pandangan dan tanggapan. Dalam isu ini, jika Najib terus hadir dan merasmikan pelbagai program yang berkaitan wanita, kemudian bercakap pula berkenaan hal-hal sulit kaum wanita, 'kemachoan' beliau sebagai lelaki akan hilang sedikit demi sedikit. Sebagai Perdana Menteri dan lelaki, Najib perlu dilihat sentiasa 'macho' di mata kaum lelaki dan juga kaum wanita. Dalam hal ini beliau perlu melepaskan jawatan yang sedang dipangkunya dan menumpukan kepada tugas hakikinya sahaja. Kalau pun Najib tidak mempercayai sesiapa dalam Wanita UMNO dan merasakan tidak ada yang sesuai untuk jawatan itu, beliau sebenarnya masih ada masa untuk melantik isterinya, Rosmah sebagai Senator dan kemudian memberikannya jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Adalah lebih baik memberikan jawatan itu kepada Rosmah daripada Najib terus memangkunya dan biarlah selepas ini isterinya pula merasmikan pelbagai program yang berkaitan kaum wanita pula. Rasanya Wanita UMNO pun tidak ada masalah untuk menerima jika Rosmah dilantik ke jawatan itu. Ini kerana bagi kaum wanita di negara ini serta pertubuhan-pertubuhan wanita, waima Wanita UMNO sekali pun, kehadiran Rosmah bukanlah begitu asing bagi mereka. Sudah banyak program Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang selama ia dipimpin oleh Shahrizat yang telah dihadiri oleh Rosmah seperti Sidang Puncak Wanita-Wanita Pertama yang diadakan tahun lalu. Sementara itu, dalam beberapa lawatan ke luar negara yang diketuai oleh Rosmah pula, ia juga difahamkan menggunakan peruntukan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Shahrizat hanya menjadi pengiring kepada Rosmah sahaja. Kerana itu, jika Najib melantik Rosmah sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ia bukanlah lagi sesuatu yang mengejutkan dan tidak ada sesiapa yang akan 'terperanjat beruk' dengan perlantikan itu. Najib dalam hal ini harus segera mengarahkan Perdana Menteri supaya menyegerakan perlantikan Rosmah itu, sebaik-baiknya dalam masa terdekat ini supaya apabila pilihanraya diadakan, Rosmah dapat memainkan peranan yang lebih aktif ke arah membawa kaum wanita negara menyokong kerajaan yang ada sekarang. (SH 21/04/2012).

Friday 20 April 2012

Bila Perdana Menteri Borek, Dapatkan Kita Menteri-Menteri Yang Rintik!

Selepas kita dikejutkan dengan skandal lembu NFC yang melibatkan seorang menteri, Shahrizat Jalil, kini negara terkejut lagi dengan pendedahan mengenai hubungan intim seorang menteri UMNO, Shafie Afdal yang juga Naib Presiden UMNO dengan seorang artis wanita, Zahida Rafik. Selain hubungan sulit antara menteri dengan artis yang menjadi tajuk perbualan,ia bertambah hangat lagi dengan pendedahan bagaimana menteri itu didakwa memberi antara RM100 ribu hingga RM200 ribu setiap kali bertemu. Dalam tempoh 4 bulan, jumlah yang dikatakan diberi oleh Shafie kepada Zahida mencecah RM1.5 juta. Pendedahan mengenai skandal Shafie-Zahida ini didedahkan dalam laporan polis yang dibuat oleh bekas pemandu Zahida, Nor Azman yang mana salinan laporan polis itu didedahkan kepada umum oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin. Selain skandal Shahrizat dan Shafie ini yang hangat diperbualkan, beberapa skandal lain juga berlaku dalam pentadbiran Najib sekarang ini. Ia termasuk kelakuan anak Nazri Aziz yang bergaya mewah dan mengasari seorang pengawal keselamatan, dakwaan Awang Adek Hussain menerima wang tunai, projek 6P yang dikaitkan dengan anak Tan Sri Muhyiddin, penyelewengan AP kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian Kelantan serta pelbagai skandal dan penyelewengan lain yang melibatkan pemberian kontrak perniagaan dan mengaut keuntungan peribadi. Dalam keadaan UMNO begitu tertekan menghadapi pilihanraya umum akan datang, skandal terbaru yang melibatkan Shafie Afdal ini tentunya meletakkan UMNO tambah tertekan dan Najib sendiri tambah kebingungan. Di dalam hatinya mungkin tertanya-tanya, kenapakah begitu banyak skandal yang terdedah sekarang ini? Hakikatnya di ketika Najib melaungkan transformasi di sana sini dan teriakan "rebah jika tidak berubah", nampaknya tidak ramai yang menyahut seruang itu. Menteri-menteri seolah-olah tidak takut dan segan kepada Najib untuk melakukan skandal dan merompak wang rakyat. Kenapakah ini berlaku? Sebenarnya semua ini berpunca daripada Najib sendiri. Para menteri tidak ada rasa takut dan segan untuk melakukan perkara-perkara yang keji adalah kerana Najib sendiri pada pandangan mereka turut tidak bersih dan disaluti pelbagai skandal. Selain skandal kapal selam Scorpene yang kini sudah mula dibicarakan di Perancis, pelbagai skandal lain juga telah didedahkan sama ada yang melibatkan Najib, isteri, anak, adik-beradik serta kroninya. Terlalu banyaknya skandal yang melibatkan keluarga Najib ini menyebabkan menteri-menteri tidak tidak segan untuk melakukan perkara yang sama. Lebih dari itu, Najib juga dalam hal ini sudah kehiangan kredibiliti untuk menegur anggota kabinetnya supaya menjaga moral dan berkelakuan baik. Keadaan sudah menjadi seperti kata pepatah "bapa borek, anak rintik" atau "guru kencing berdiri, murid kencing berlari". Skandal Shafie Afdal dengan Zahida tidak dapat tidak mempunyai kaitan dengan rasuah dan rompakan wang rakyat. Tentunya menjadi persoalan bagaimana seorang menteri boleh memberi wang sebanyak RM1.5 juta kepada seorang wanita dalam tempoh 4 bulan. Berapakah pula wang yang dirompak untuk diri sendiri dan keluarganya? Keyakinan rakyat tentunya berkurangan akibat terdedahnya skandal ini. UMNO dan BN akan terus dipandang hodoh dan memunyai calitan hitam yang sukar dipadamkan. Selain kes Shahrizat dan Shafie Afdal yang sudah terdedah, beberapa kes lain yang melibatkan menteri-menteri yang dikatakan mempunyai kes mirip seperti Shafie turut menjadi bualan ramai dan mungkin juga akan terdedah tidak lama lagi. Walaupun sebelum ini, baik di zaman Mahathir mahupun Pak Lah, skandal yang melibatkan menteri ada berlaku tetapi di zaman pentadbiran Najib ini, ia bagaikan begitu berleluasa dan menjadi percakapan di mana-mana. Dalam kes Shafie, meskipun Zahida dalam komen twitternya menafikan segala dakwaan skandal itu dan mengatakan beliau selama ini bekerja keras untuk memperolehi apa yang dimilikinya sekarang, tanggapan rakyat terhadap pemimpin UMNO begitu terjejas sekali. Persoalannya, kalau tidak skandal, mungkinkah Shafie dengan Zahida sudah berkahwin secara sentap-senyap? Bagi sesiapa yang mengenali Zahida, ungkapannya bahawa beliau bekerja keras untuk memiliki apa yang dimilikinya sekarang turut menimbulan persoalan. Apakah kerja keras yang dimaksudkan itu termasuk dalam konteks berdandan, menghias diri dan menggoda Shafie Afdal? Zahida yang ayahnya hanya seorang pemandu teksi serta berasal dari keluarga sederhana dan kemunculannya di kaca tv atau layar perak pula agak jarang-jarang, bukan setakat didakwa diberi RM1.5 juta tetapi juga dikatakan memiliki beberapa kereta mewah dan banglo bernilai lebih RM2 juta. Kalau setakat kerja keras berlakon semata-mata, memanglah mustahil untuk memiliki kekayaan seperti itu. Seorang bekas menteri pernah memberitahu bahawa beliau dimaklumkan oleh pekerja sebuah hotel bahawa kelibat Shafie dan Zahida ini begitu lumrah keluar masuk di sebuah hotel terkemuka di ibukota dan ia sudah menjadi percakapan sesama mereka. Dalam keadaan UMNO dan BN tiada majoriti dua pertiga pun kelakuan mereka begitu sumbang, sukar untuk menggambarkan bagaimanakah keadaannya jika UMNO dalam keadaan majoriti yang lebih selesa. Melihat kepada bertali arusnya skandal dan penyelewengan yang melibatkan pemimpin UMNO terdedah kepada khalayak umum, sukar untuk melihat ia akan berakhir dalam waktu yang singkat ini. Ketiadaan rasa takut, segan dan hormat kepada Perdana Menteri adalah sebab terbesar berlakunya semua ini. Malahan mereka melakukan semua skandal dan penyelewengan itu kerana melihat orang ditas mereka juga melakukan perkara yang sama. Selagi Najib kekal seorang yang borek, bermakna rakyat akan terus dibebankan dengan perangai menteri-menteri yang rintik ini. (SH 20/04/2012).

Wednesday 18 April 2012

Peribahasa Dulu: Menang Sorak Kampung Tergadai, Peribahasa Kini: Menang Piihanraya Negara Tergadai

Isu kebanjiran warganegara asing sebagai pengundi kini menjadi antara perkara penting menjelang PRU 13. Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan melalui media membuktikan perkara itu memang wujud meskipun SPR seperti cuba berdolak-dalik dan tidak mahu bertindak sewajarnya.

Di beberapa negeri seperti Selangor dan Pahang, ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan dan dijadikan pengundi. Mereka juga dikatakan diberikan tanah untuk mengusahakan pertanian serta disediakan rumah kediaman. Di Pahang, ada rakan yang memberitahu wujud perkampungan khas yang didiami oleh pendatang asing dari Thailand dan Kemboja yang mengusahakan tanaman nanas dan sayur-sayuran.

Pelbagai kemudahan asas disediakan di perkampungan itu. Mereka adalah warganegara asing yang diberikan kerakyatan dan dijadikan pengundi. Sebagai imbalan kepada pelbagai kemudahan dan kerakyatan yang diterima, tugas mereka ialah memberikan undi kepada UMNO dan BN.

Di Selangor pula, ada rakan yang memberitahu beberapa kenalannya dari Indonesia turut diberikan kerakyatan dan dijadikan pengundi. Mereka bebas bekerja, meniaga dan mencari rezeki. Tugas yang diberikan kepada mereka juga adalah sama, iaitu mengundi UMNO dan BN bila tiba pilihanraya.

Adalah dipercayai warga asing yang diberikan kerakyatan dan menjadi pengundi ini sentiasa dipantau dan dijaga oleh pihak tertentu untuk memastikan undi mereka tidak lari.

Selain rakyat Indonesia, Thailand dan Kemboja yang diberikan kerakyatan dan dijadikan pengundi, terdapat juga laporan yang mengatakan rakyat Myanmar dan Bangladesh turut diberikan keistimewaan yang sama.

Dalam hal ini, SPR sendiri mengakui kewujudan kira-kira seramai 42,051 pengundi yang diragui dalam daftar pemilih terbaru. Sebahagiannya adalah mereka yang dikatakan memiliki kad pengenalan dan didaftarkan sebagai pengundi tetapi tidak didaftarkan dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mungkin sebahagian warga asing yang diberi hak mengundi itu termasuk dalam jumlah 42,051 ini dan jika tidak termasuk, bermakna jumlah warga asing yang boleh mengundi tentulah lebih ramai jumlahnya.

Namun jawapan SPR yang bertegas tidak mahu menyelesaikan kedudukan pengundi yang meragukan itu dan hujah bahawa jumlah 42,051 itu hanya mewakili 0.3 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan pengundi dan dianggap peratusan yang kecil menggambarkan ketidakseriusan untuk bertindak sewajarnya. Memanglah dari segi peratusan ianya kecil tetapi jumlah lebih 42 ribu pengundi itu mungkin boleh menumbangkan sesebuah kerajaan negeri dan mengubah keputusan di banyak kawasan Parlimen atau DUN.

Jika isu warga asing menjadi pengundi ini dikaitkan dengan pendedahan Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar tentang wujudnya sebuah Task Force untuk mendaftarkan warga asing sebagai pengundi dan seterusnya berperanan memenangkan BN dalam PRU 13 ini, ia tentulah lebih membimbangkan kita.

Task Force yang didedahkan itu dikatakan diketuai oleh Datuk Osman Razak, penasihat khas Najib serta dianggotai oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Thajuddeen Abd Wahab, Datuk Jariah, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara serta tiga staff JPN iaitu Nik Norashikin Nik Mansur, Rashid Basiron dan Shahrul Anwar Ahmad Zuhdi.

Sehingga ini tidak ada penafian daripada mana-mana pihak tentang kewujudan Task Force ini sejak ia didedahkan oleh Mahfuz. Najib sendiri masih berdiam diri. Jika ianya tidak benar dan fitnah yang dibuat Mahfuz, kenapa tiada penafian dibuat?

Selain isu warga asing menjadi pengundi, soal pengundi hantu turut mebimbangkan kita. Kita tidak tahu hantu mana yang dijadikan pengundi ini tetapi mereka ini akan muncul dengan berpuluh malah mungkin beratus buah bas di hari pengundi nanti. Mungkin juga sebahagian pengundi hantu ini adalah warga asing yang diberikan kerakyatan itu.

Selain di Selangor yang dikesan mempunyai pertambahan mendadak jumlah pengundi, sesuai dengan mimpi dan igauan Najib yang bercita-cita mahu menawan kembali negeri itu ke pangkuan BN, pertambahan undi mendadak sebanyak 18 ribu orang juga berlaku di Pekan, kawasan Parlimen yang diwakili oleh Najib sendiri.

Tidakkah kita hairan bagaimana sebuah kawasan Parlimen menerima pertambahan jumlah undi sebanyak 18 ribu dalam tempoh yang begitu singkat dan tentulah ianya agak mustahil kalau terdiri daripada penduduk asal Pekan semata-mata.

Sebenarnya bukanlah rahsia umum lagi bahawa sejak Najib hanya menang tipis sebanyak 241 undi pada pilihanraya 1999, begitu ramai warga asing dari Thailand dan Kemboja telah diberikan kerakyatan dan dijadikan pengundi di Pekan. Hasilnya daripada hanya menang 241 undi pada 1999, Najib tekah menang bergaya dengan majoriti berbelas ribu undi pada pilihanraya 2004.

Dikhabarkan sebahagian besar sumber kemenangan itu ialah kerana adanya undi daripada warga asing itu.

Menjelang PRU 13 ini dan melihat hasil yang telah berjaya dilakukan di Pekan itu, ramai yang mengandaikan bahawa Najib kini ingin mengulangi taktik yang sama, kali ini bukan saja di Pekan tetapi juga di seluruh negara, bagi mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Dengan kuasa yang dimilik oleh BN, perkara ini memang tidak mustahil boleh dilakukan. Tetapi ia tentunya meletakkan kedaulatan negara dalam bahaya. Dengan meletakkan pergantungan untuk memenangi pilihanraya kepada warga asing, ia akan menyebabkan kedudukan warganegara sendiri akan tersisih. Kerajaan mungkin secara perlahan-lahan tidak mempedulikan rakyatnya sendiri, terutama di kawasan-kawasan hitam yang dikenalpasti sebagai hardcore pembangkang.

Lagi kuat cabaran yang diterima BN, lagi banyak warga asing akan diberikan kerakyatan dan dijadikan pengundi. Akhirnya bukan sahaja semakin ramai penduduk asal yang dianaktirikan bahkan juga secara perlahan-lahan akan mengancam kedaulatan negara. Kemenangan dalam pilihanraya yang disebabkan oleh undi warga asing bukan saja menyebabkan berlakunya seperti kata pepatah "menang sorak kampung tergadai" tetapi lebih sadis dari itu ia akan menjadi "menang pilihanraya negara tergadai".

Dalam masa yang sama, kedudukan UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu juga akan luntur. Kemenangan UMNO bukan lagi disumbangkan oleh bangsanya sendiri tetapi oleh warga asing daripada Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Thailand dan lain-lain negara. Sudah terdengar ejekan sekarang ini bahawa UMNO yang merupakan singkatan daripada "United Malay National Organisation" sudah bertukar menjadi "United Myanmar Nepal Organisation".

Jika ada yang masih tercari-cari jawapan tentang kewajaran menyokong Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka dan tuntutan supaya pilihanraya diadakan secara bersih, hujah-hujah mengenai kewujudan warga asing sebagai pengundi dan hantu menjadi pengundi mungkin adalah jawapan yang diperlukan oleh kita semua untuk turut serta bersama rakyat jelata pada hari tersebut. (SH 18/04/2012).

Monday 16 April 2012

Derhaka Pada Raja Mengundang Bahaya, Derhaka Pada UMNO Dapat Pahala!

Jika kita pergi ke kampung-kampung dan berbual dengan golongan berusia yang masih menyokong UMNO, kita akan mendengar hujah-hujah mereka bahawa kita sebagai orang Melayu mestilah terus menyokong UMNO dan jangan sesekali bersikap derhaka kepada parti itu. UMNO juga sering digambarkan sebagai parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu kerana kononnya telah melakukan pelbagai pembangunan dan pertolongan selama ini.

Jika berbual lebih lama lagi, mereka akan mula menggambarkan jika tanpa UMNO, bangsa Melayu akan musnah dan kehidupan akan kembali ke zaman kuno. Hanya UMNO yang digambarkan mampu memberi kemajuan serta kehidupan yang lebih baik. Parti lain tidak boleh sama-sekali. Di Malaysia ini seolah-olah UMNO adalah segala-galanya.

Bagi kebanyakan orang Melayu, terutama yang tinggal di kampung dan luar bandar, UMNO sudah dianggap seperti Raja yang tidak boleh diderhakai sama-sekali. Biarlah bagaimana buruk dan hodoh sekali pun wajah UMNO, biar bagaimana pemimpinnya mengaut kekayaan secara tidak sah dan bersikap sombong sekali pun, ia mesti terus disokong dan diberi undi. Lebih menyedihkan kadangkala orang Melayu yang bercakap seperti itu, hidup mereka pun ala kadar sahaja dan tidak lebih umpama kais pagi makan pagi. Mereka sendiri sebenarnya tidak mendapat apa-apa daripada UMNO yang boleh merubah kehidupan sekeluarga.

Soal sama ada pemimpin UMNO itu memberi khidmat yang baik atau tidak kepada rakyat, ia bukanlah soal yang penting. Yang penting, kepercayaan mereka ialah hanya UMNO yang boleh mentadbir negara ini.

Dalam soal ini, terlihat bagaimana UMNO sudah berjaya menanamkan stigma dalam kepala sebahagian besar orang-orang Melayu untuk kepentingan politik mereka. Rakyat sudah dikelabukan untuk melihat perilaku serta akhlak pemimpin yang sebenar sehingga perangai hodoh pemimpin boleh dimaafkan asalkan UMNO terus dijadikan pilihan. Mereka juga percaya tanpa UMNO kehidupan di dunia ini akan musnah sedangkan hakikat yang ada di sekeliling tidaklah sebegitu rupa.

Meskipun kita sudah hampir 55 tahun merdeka, stigma UMNO umpama Raja ini masih tertanam kuat di kepala sebahagian orang Melayu di kampung dan luar bandar. Mereka tidak mahu menerima perubahan kerana terlalu taksub dan percaya hanya UMNO yang mampu mentadbir negara ini.

Tetapi bagi orang Melayu yang agak terbuka dan menerima pelbagai maklumat terutama generasi muda dan mereka yang tinggal di bandar, stigma sedemikian sudah beransur-ansur pupus. Golongan ini lebih melihat perilaku buruk pemimpin UMNO itu berbanding jasa dan sumbangan UMNO itu sendiri. Memang diakui UMNO banyak berjasa tetapi jasa itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pemerintah. Jika parti lain yang berpeluang memerintah, mereka juga akan melakukan perkara yang sama, malahan mungkin lebih baik lagi.

Jika dilihat di negara-negara lain yang lebih maju dan bagaimana parti di negara tersebut berjuang untuk kepentingan rakyatnya, akan ternampak bahawa jasa dan sumbangan UMNO kepada rakyat negara ini masih lagi jauh ketinggalan.

Hari ini, jika dilihat begitu banyak perilaku buruk para pemimpin UMNO yang terpalit dengan pelbagai jenis skandal, rasuah, penyelewengan, pengumpulan kekayaan yang melampau dan sebagainya, ia sebenarnya sudah berada di tahap yang tidak boleh diperbaiki lagi. Oleh kerana UMNO sudah berkuasa terlalu lama dan terlalu selesa dengan keadaan itu, ini secara tidak langsung menyebabkan pemimpinnya cenderung untuk menjadi lupa diri, tamak dan sombong. Lebih memburukkan keadaan, UMNO terus juga dipilih sebagai pemerintah meskipun mereka yang menjadi pemimpin mempunyai perangai serta watak yang buruk.

Ini menyebabkan UMNO tidak belajar apa-apa atau berusaha memperbaiki diri setiap kali pilihanraya. Hanya setelah pilihanraya 2008 yang menyebabkan beberapa negeri tumbang dan UMNO sendiri hilang majoriti 2/3, barulah UMNO sedar bahawa mereka sebenarnya tidak boleh menongkat langit sampai bila-bila.

Menjelang PRU 13 ini, kedudukan UMNO dilihat amat kritikal dan goyah sekali. Ia sebahagiannya kerana kesedaran rakyat yang semakin tinggi yang disebabkan kemudahan menerima maklumat semakin meluas, pendidikan di kalangan rakyat serta pengalaman yang diperolehi daripada beberapa negara lain. UMNO secara relatifnya tidak lagi seselesa dulu.

Namun demikian, untuk terus mengekalkan kuasa, UMNO masih juga memainkan sentimen tentang jasa dan sumbangannya sejak sekian lama terutama dalam perjuagan menuntut kemerdekaan negara, selain turut juga memainkan sentimen kaum dan agama untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

Sentimen melabelkan UMNO itu umpama Raja yang tidak boleh diderhakai, meskipun tidak laku kepada generasi muda dan Melayu bandar tetapi ia masih menjadi mainan kempen di kampung-kampung dan luar bandar. Generasi lama dan sebahagian orang tua masih kuat mempercayai bahawa orang Melayu tidak seharusnya derhaka kepada UMNO sebagaimana mereka tidak boleh derhaka kepada Raja.

Memanglah diakui bahawa derhaka kepada Raja merupakan suatu kesalahan dan tidak boleh dilakukan oleh sesiapa pun rakyat negara ini. Raja terletak di takhtanya yang tersendiri dan mesti dihormati. Tetapi meletakkan UMNO sama taraf dengan Raja jelas sesuatu yang tidak wajar dan melampau, lebih-lebih lagi jika dilihat daripada watak dan perangai kebanyakan pemimpin UMNO itu sendiri.

Hari ini sudah ada yang mengandaikan bahawa UMNO itu rasuah dan rasuah itu UMNO. Kedua-duanya sudah menjadi umpama aur dengan tebing yang tidak boleh dipisahkan lagi. Disebabkan terlalu lama berkuasa, UMNO tidak lagi merupakan wadah perjuangan tetapi hanya medan untuk mengaut kekayaan.

Desakan dan seruan agar UMNO tidak terus diberi kuasa bukanlah bertujuan menafikan jasa dan sumbangannya selama ini. Ia sebenarnya lebih ke arah pembaikan untuk UMNO itu sendiri. Dengan meneruskan memberi kuasa kepada UMNO, ia tidak lebih seperti memberi lesen kepada pemimpin UMNO untuk terus merompak dan menghakis kekayaan negara ini ke dalam poket mereka. Rasuah dan skandal hari ini bukan sahaja berlaku di atas muka bumi seperti pengambilan tanah dan komisyen projek pembangunan malahan juga sudah melibatkan ruang udara dan dasar lautan seperti skandal pembelian jet pejuang, kehilangan enjin kapal terbang, pembelian kapal peronda dan skandal kapal selam Scorpene. Semua ruang yang ada sudah dimaksimumkan untuk mengaut kekayaan dan perolehan peribadi. Jika terus diberi kuasa, lagi banyak rasuah dan skandal yang akan berlaku.

Jika kuasa UMNO dapat ditamatkan dalam pilihanraya akan datang dan ia dilakukan dengan iltizam untuk menghentikan segala gejala buruk itu dan menyelamatkan kekayaan negara daripada terus dikaut oleh perompak-perompak berlesan ini, sudah tentu ia merupakan suatu perjuangan yang murni dan boleh mendapat pahala. Ia sebahagian daripada perjuangan "amar makruf nahi mungkar" dan sudah tentu pahalanya berlipat ganda.

Yang mesti disedari ialah kita hanya ada satu Raja yang mesti ditaati iaitu Raja-Raja Melayu dan meskipun UMNO ditubuhkan di Istana Besar Johor Bahru, ini tidak bermakna ia juga boleh menyamakan dirinya umpama Raja yang tidak boleh diderhakai.

Menjadikan UMNO terus-terus umpama Raja yang tidak boleh diderhakai hanya akan menjadikan orang Melayu terus miskin dan ketinggalan. (SH 16/04/2012).

Saturday 14 April 2012

Berbaloikah KJ Menjadi Berani Disisi Najib Yang Penakut?

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin seakan mahu menunjukkan sikap beraninya apabila bersedia menyahut dua cabaran berdebat sekaligus. Pertama, beliau akan berdebat dengan Pengerusi Bersih 2.0, S Ambiga mengenai pembaharuan sistem pilihanraya pada 25 April ini di Sime Darby Convention Centre yang akan dikendalikan oleh akhbar Malay Mail. Debat ini penting kerana ia mungkin mempengaruhi kehadiran Himpunan Bersih 3.0 yang hanya diadakan tiga hari selepas itu.

Kedua, KJ juga sedia berdebat dengan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung isu tabung pinjaman pendidikan PTPTN yang dijadualkan pada 3 Mei depan. Sehingga ini belum ada penganjur tetapi akhbar Sinar Harian bersedia menjadi penganjurnya.

Di satu sudut, KJ mahu menunjukkan keberanian dan kejantanannya sesuai dengan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang disandangnya. Generasi muda tentunya amat bersetuju dengan sikap yang ditunjukkan KJ ini.

Tetapi masalah besar KJ ialah beliau berada dalam parti yang kini dikenali amat penakut dalam banyak perkara. UMNO sejak dipimpin Najib amat berlembut dan takut dalam banyak perkara terutamanya terhadap bukan Melayu dan bukan Islam. Banyak isu gagal ditangani dengan baik seperti dasar ekonomi, tuntutan MCA tentang kesamarataan, MIC dengan bantahan novel Interloknya, kitab Injil berbahasa Melayu dan sebagainya.

Dalam banyak hal, pemimpin UMNO juga mula jadi penakut. Mereka lebih gemar memilih sikap diplomatik dan mengalah daripada menyatakan kebenaran secara terbuka kerana bimbang kehilangan undi dan sokongan bukan Melayu.

Namun sikap yang ditunjukkan pemimpin UMNO itu tidak lebih umpama "peniaga buluh kasap" kerana sudahlah sokongan bukan Melayu yang diharapkan tidak juga diperolehi, banyak undi Melayu sendiri berkurangan kerana kecewa dengan sikap yang ditunjukkan itu.

Dengan sedia berdebat, KJ mungkin dipandang tinggi oleh sesetengah pihak tetapi Najib tentunya tersinggung. Sudah berbulan-bulan rakyat menunggu jawapan Najib untuk berdebat dengan Anwar dan Anwar juga sudah mengulangi perkara yang sama banyak kali. Terbaru Anwar juga mencadangkan jika Najib agak keberatan berdebat seorang diri, ia juga boleh diadakan tiga penjuru dengan melibatkan Raja Petra Kamaruddin untuk turut serta.

Sehingga ini Najib masih membisu dan tidak berani menyatakan persetujuan sama ada debat dua penjuru atau pun tiga penjuru. Tiba-tiba KJ pula bersetuju, bukan setakat satu debat tetapi dua debat berturut-turut. Sudah tentu Najib tersinggung dan tercabar.

Apatah lagi semua pimpinan tertinggi UMNO turut jadi penakut dan tidak mahu Najib melayan cabaran debat oleh Anwar itu. Baik Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Afdal dan Ahmad Maslan, semuanya memberikan hujah masing-masing bahawa tidak perlu debat itu dilangsungkan.

Tun Mahathir sendiri tidak bersetuju debat Anwar - Najib dilangsungkan atas alasan ia tidak mampu mengubah apa-apa kepada negara.

Dalam isu debat ini hanya KJ yang tampak berani. Masalahnya selamatkah masa depan politik orang berani apabila dikelilingi oleh pemimpin yang penakut? Di ketika perang dan masing-masing perlu menunjukkan keberanian, biasanya mereka yang paling berani akan dilantik sebagai panglima perang. Tetapi di ketika pemimpin suka kepada suasana tenang dan damai, orang yang suka membuat bising, biasanya akan diterajang keluar.

Oleh sebab semua pemimpin sudah hilang keberanian dan selesa dengan rasa takut masing-masing, orang yang mahu menunjuk berani biasanya akan disisih dan dianggap asing.

Dalam isu debat Anwar dengan Najib, kajian Merdeka Centre menunjukkan 76 peratus pengundi muda yang ditemui mahukan debat itu diadakan. Ini tentunya bermaksud jika Najib berani berdebat, banyak undi generasi muda akan tertumpah kepada UMNO dan BN.

KJ mungkin dianggap berani dan disanjung oleh pengundi muda dan sesetengah rakyat kerana berani berdebat dengan Ambiga dan Rafizi dan berusaha mempertahankan UMNO serta kerajaan. Tetapi keberanian yang ditunjukkannya mungkin memakan dirinya. Bukan saja Najib dan pemimpin kanan UMNO yang akan tersingggug, malahan Tun Mahathir juga akan turut terasa hati.

Mahathir yang memang diketahui masih mendendami KJ dan Pak Lah tentunya tidak mahu KJ terlalu menonjol. Perancangan untuk menyingkirkan KJ mungkin akan bermula selepas ini. Sebab itu, dalam debat yang sudah dipersetujui oleh KJ ini, tidak ada pemimpin UMNO dan bersuara dan nemberi sokongan setakat ini. Semuanya diam membatu seolah-olah bukan tajuk penting sedangkan ketika Najib masih membisu untuk berdebat dengan Anwar, mereka ini begitu banyak bersuara dan memberi pandangan.

Debat sebenarnya bukan untuk melihat siapa yang menang dan siapa yang kalah tetapi untuk menilai sejauh mana masing-masing mampu mengeluarkan hujah dan kepintaran untuk rakyat membuat pertimbangan akhir. Di AS dan beberapa negara Eropah, calon yang bertanding Presiden juga dikehendaki berdebat dan perdebatan mereka menjadi penantian di seluruh dunia. Tetapi KJ yang baru dijadikan Pengerusi PUNB mungkin dikalahkan oleh UMNO sendiri kerana lagak tunjuk beraninya untuk berdebat ini. (SH 14/04/2012).

Thursday 12 April 2012

Selepas BR1M Dan Durian Runtuh Peneroka, Rakyat 'Dirasuah' Duit Raya Pula...

Bilakah tarikh pilihanraya? Bolehkah UMNO menang kali ini? Ini adalah dua soalan paling popular jika kita bertemu dengan sesiapa saja sekarang ini. Pertanyaan mengenai tarikh pilihanraya dan sama ada UMNO boleh terus menang atau tidak, bukan lagi ditanya oleh mereka yang terlibat dalam politik atau oleh ahli mana-mana parti politik sahaja malahan rakyat biasa yang selama ini tidak begitu kisah mengenai politik dan pilihanraya pun, turut juga menanya soalan yang sama.

Maknanya, semakin ramai sekarang ini yang mula prihatin tentang perkembangan semasa dalam negara.

Dengan kekuatan yang hampir seimbang antara PR dengan BN dan Anwar pula semakin ligat mengasak Najib, naluri ingin tahu rakyat juga bertambah seiring dengannya. Ada yang selesa dengan UMNO dan BN tetapi makin ramai yang mahukan perubahan. Sementara Najib dengan program transformasi dan pemberian gula-gula politiknya untuk rakyat membuat penilaian, Anwar pula tampil dengan tawaran demi tawaran untuk rakyat sekiranya PR menang pilihanraya dan berjaya menubuhkan kerajaan.

Jika sebelum ini Anwar menjanjikan penurunan harga minyak, kajian semula tarif elektrik dan penghapusan tol di semua lebuhraya, terbaru ini beliau tampil lagi dengan tawaran yang lebih menarik terutamanya bagi generasi muda iaitu penghapusan hutang PTPTN.

Najib yang memang dikenali suka membeli sokongan sejak berkecimpung dalam politik, selain program transformasi politik dan kerajaannya, juga turut melakukan pemberian wang tunai kepada rakyat melalui BR1M bernilai RM500 serta RM200 dan RM100 untuk penuntut universiti dan pelajar sekolah.

Pemberian itu walaupun dikatakan untuk meringankan beban rakyat, ia tetap bermotifkan politik kerana pilihanraya hampir tiba. Sesetengah pihak pula menganggapnya sebagai rasuah politik.

Pemberian wang tunai kepada rakyat sebagaimana yang dilakukan Najib ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini. Mungkin ini sebahagian transformasi yang mahu diperkenalkan oleh Najib.

Tidak cukup dengan itu, Najib juga menjanjikan durian runtuh kepada para peneroka Felda berikutan penyenaraian Felda Global Venture (FGV) ke Bursa Malaysia yang dijangka Jun ini. Dengan menggunakan istilah durian runtuh, ia juga tentunya dalam bentuk wang tunai atau saham yang boleh dijual untuk memperolehi tunai.

Sekali lagi Najib melakukan tindakan membeli sokongan - kali ini kepada peneroka Felda pula.

Undi peneroka Felda amat penting kepada survival politik Najib dan UMNO. Ini kerana terdapat 56 kawasan Parlimen yang mempunyai tanah rancangan Felda dan Najib memang banyak bergantung harap kepada undi peneroka untuk mengekalkan kuasanya.

Dalam PRU 2008, daripada 56 kawasan Parlimen yang ada Felda, UMNO dan BN berjaya memenangi 52 daripadanya manakala 4 kawasan lagi dimenangi oleh Pas iaitu di Kedah. Menyenaraikan FGV ke Bursa Malaysia bagi membolehkan durian runtuh diagih-agihkan kepada peneroka amat penting bagi Najib bagi mempertahankan sekurang-kurangnya 52 kerusi yang dimenangi sebelum ini.

Najib tentunya menyedari jika PR berjaya menambah kemenangan di kerusi yang ada Felda daripada 4 kerusi kepada 10 atau 15 kerusi, ia sesuatu yang amat merbahaya kepada UMNO dan BN. Sebab itu menyenaraikan FGV dan memberi durian runtuh akan terus diperjuangkan.

Sepatutnya FGV disenaraikan April ini tetapi berikutan adanya bantahan dan beberapa tindakan mahkamah, ia tertangguh kepada Jun. Jika FGV berjaya dibawa ke Bursa Malaysia Jun ini, bermakna pilihanraya akan diadakan selepas Hari Raya iaitu bulan September.

Tahun ini umat Islam akan mula berpuasa pada 21 Julai. Jika FGV disenaraikan pada bulan Jun, bermakna para peneroka Felda akan menikmati durian runtuh dan mempunyai wang tunai yang banyak untuk menyambut bulan puasa dan meraikan sambutan Hari Raya. Peneroka tentunya amat berterima kasih kepada Najib.

Dalam masa yang sama, oleh kerana para peneroka sudah mendapat durian runtuh menjelang puasa dan sambutan Hari Raya, Najib juga dijangka akan sekali lagi bersikap pemurah kepada rakyat. Selepas memberi RM500 melalui BR1M, Najib kali ini dijangka akan memberikan bantuan tunai kepada rakyat untuk menyambut puasa dan Hari Raya pula.

Jika sebelum ini jumlah tunai yang diberi hanya RM500, jumlah wang yang diberi untuk menyambut puasa dan Hari Raya mungkin lebih besar jumlahnya. Mungkin RM1000 setiap keluarga. Meskipun bantuan tunai yang diberi sebelum ini tidak diketahui kesan sebenarnya tetapi Najib amat gembira kerana pemberian itu diterima baik oleh semua rakyat,termasuk orang Pas, Pkr dan DAP. Najib merasakan ini suatu kejayaan baginya.

Sekali lagi, pemberian tunai untuk membeli sokongan dilakukan.

Dengan memberi duit untuk rakyat menyambut puasa dan Hari Raya, selain peneroka sudah mendapat durian runtuh, Najib mengharapkan ia mampu menyaingi tawaran-tawaran yang dibuat oleh Anwar dan PR sebelum ini seperti janji penurunan harga minyak dalam tempoh 24 jam selepas mengambil alih Putrajaya, kajian semula tarif elektrik, penghapusan tol dan terbaru, melupuskan hutang PTPTN yang mendapat respon begitu baik daripada rakyat terutamana generasi muda.

Kerana itu kebarangkalian pilihanraya akan diadakan pada September amat kuat sekarang ini.

Meskipun negara seperti ketiadaan wang, tetapi Najib hampir tiada pilihan lain ketika ini untuk bersaing dengan Anwar. Dari segi kempen, Anwar dilihat jauh mendahului. Dengan gaya santai dan turun bertentang mata dengan khalayak ramai ketika berucap dan mirip sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Barack Obama ketika kempen pilihanraya Presiden Amerika dahulu, sementara Najib masih kaku menjerit di atas pentas, geraf Anwar ternyata melonjak dengan baik akhir-akhir ini.

Selain tampil dengan gaya yang lebih menyentuh hati itu, setiap tawaran yang dibuatnya seperti penurunan harga minyak, mengkaji semula tarif elektrik, penghapusan tol dan melupuskan hutang PTPTN, ia juga diiringi dengan pelan perancangan bagaimana kaedah tawaran itu mampu dilakukan tanpa membebankan rakyat. Ini sekaligus berjaya menimbulkan keyakinan kepada rakyat yang semakin hari dibebankan dengan peningkatan kos hidup yang makin ketara.

Najib pula akhir-akhir ini seperti kehilangan punca untuk menjawab segala tawaran Anwar terutama berkaitan isu PTPTN. Semua jawapannya serba tidak kena dan angka yang disebutnya juga tidak mengena.

Pilihan yang Najib boleh lakukan ketika ini hanyalah membeli sokongan walaupun mungkin terpaksa mengorek tabung KWSP atau Petronas lagi untuk melaksanakan pemberian tunai yang dirancangkan itu. Mungkin juga terpaksa menebalkan muda meminjam daripada Bank Dunia atau mana-mana tabung kewangan antarabangsa. Yang penting, Najib mahu menang. (SH 12/04/2012).

Monday 9 April 2012

Amanah Mampu Jadi Penyatu Ummah

Kehadiran NGO Amanah Merdeka yang ditunjangi oleh Tengku Razaleigh Hamzah dalam suasana politik negara yang gawat dan bercelaru seperti sekarang ini dirasakan mampu mencetuskan kesedaran serta perubahan minda yang besar kepada rakyat jika ia digerakkan dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana Amanah Merdeka sudah mula memperlihatkan penerimaannya yang positif daripada pelbagai pihak.

Sejak dilancarkan Julai tahun lalu, Amanah Merdeka tidak seperti NGO lain yang ditunjangi oleh orang politik yang biasanya sering menonjolkan diri di khalayak ramai sama ada melalui keghairahan muncul di media atau pun menyertai demonstasi berkaitan isu-isu tertentu. Amanah sebaliknya amat berhati-hati dan tidak mahu menjadikan dirinya sasaran lampu sorot media yang keterlaluan.

Pelbagai faktor menjadikan Amanah Merdeka sedemikian rupa. Amanah Merdeka bukanlah NGO yang mahu melompat dan memekik sesuka hati tanpa asas. Ia juga tidak perlukan publisiti dan populariti tanpa isi. Sebagaimana asas penubuhnannya ialah untuk menjunjung semangat kemerdekaan dan mempertahankan hak rakyat sebagaimana yang diperjuangkan oleh Tunku Abdul Rahman ketika menuntut kemerdekaan dahulu, Amanah Merdeka juga menentang amalan kronisme, nepotisme dan rasuah terutamanya dalam pentadbiran kerajaan.

Lantaran semangat perjuangannya yang tinggi itu, Amanah Merdeka dengan mudah menggamit minat ramai pihak. Meskipun Tengku Razaleigh masih bersama UMNO tetapi di dalam Amanah Merdeka terdapat kepelbagaian yang nyata. Di dalamnya ada orang UMNO, PAS, PKR, MCA, MIC, DAP dan pelbagai lagi. Anak raja, orang biasa, kakitangan kerajaan dan swasta, ahli sukan, seniman, karyawan, bekas Ahli Parlimen, ahli perniagaan dan pelbagai kelompok lagi semuanya ada dalam Amanah Merdeka. Ahli-ahli NGO lain juga ramai yang turut menambah keahlian dengan menyertai Amanah Merdeka atau ingin bekerjasama dengannya.

Pendek kata, keahlian Amanah Merdeka merentasi segala halangan politik yang selama ini memisahkan masyarakat kepada pelbagai kelompok dan hasrat perjuangan.

Jika dilihat daripada majlis sambutan Hari Keluarga Amanah Merdeka Selangor di Tanamera, Sungai Buluh, Ahad lalu yang turut dihadiri oleh Tengku Razaleigh, jelas sekali terpancar kepelbagaian dan keharmonian itu. Dengan dihadiri kira-kira 700 orang, didalamnya terdapat orang UMNO, orang Pas,PKR, DAP, MIC, MCA, DAP dan lain-lain parti politik. Makkal Sakthi dan Hindraff juga turut hadir dan menyatakan ingin bekerjasama dengan Amanah Merdeka. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang diketuai oleh Chegu Bard turut hadir bersama rombongannya dan sempat meluangkan masa bertukar-tukar fikiran dengan Ku Li.

Turut hadir ialah Presiden Amanah Merdeka Selangor, Mazlan Harun serta beberapa bekas Ahli Parlimen dan ADUN. Kehadiran dari pelbagai kaum dengan penuh harmoni seperti menjanjikan masa depan yang cerah buat Amanah Merdeka.

Dalam majlis tersebut jelas sekali terpancar rupa bentuk Malaysia yang sebenar dan dari wajah-wajah yang hadir tergambar pula harapan terhadap Amanah Merdeka ini agar turut sama memainkan peranan yang lebih aktif dalam menentukan corak pemerintahan negara. Amanah Merdeka seperti diletakkan harapan agar lebih kerap turun ke bawah menemui rakyat dan menjelaskan isu-isu yang sedang berlaku dalam negara sekarang.

Ku Li sendiri dalam ucapannya mengakui bahawa peranan NGO dalam sebuah negara seperti Malaysia menjadi semakin penting kerana melalu suara dan pandangan yang diluahkannya mampu mempengaruhi corak pemerintahan sesebuah kerajaan.

Tambah Ku Li lagi, dengan kerajaan mendengar segala tuntutan rakyat yang disuarakan melalui NGO seperti Amanah Merdeka, ia akan membantu kerajaan mengemukakan dasar-dasar baru yang lebih menguntungkan rakyat sebagaimana yang sudah lama menjadi amalan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat.

Apatah lagi, dalam konteks Amanah Merderka yang disertai oleh pelbagai parti politik dan NGO lain, tentunya peranan yang lebih besar sedang menunggu Amanah Merdeka kiranya ia digerakkan dengan bersungguh-sungguh serta penuh perancangan. Melalui penerangan dan penjelasan yang dilakukan oleh Aamanah Merdeka tehadap sesuatu isu yang sedang berlaku dalam negara, ia tentunya mampu membentuk pemikiran rakyat berkenaan sesuatu perkara itu.

Dalam isu rasuah, nepotisme, kronisme, pengurusan kerajaan, pilihanraya yang bersih dan sebagainya yang kini menjadi bualan dibibir hampir setiap orang, peranan Amanah Merdeka memberi penjelasan tentunya berupaya membentuk perspektif yang lebih jelas kepada rakyat. Lebih-lebih lagi Ku Li adalah tokoh besar yang sarat dengan pengalaman sejak zaman Tunku Abdul Rahman, jika hujah-hujah perbandingan dikemukakan oleh beliau antara pentadbiran sekarang dengan pentadbiran zaman Tunku Abdul Rahman atau Tun Razak dalam menjawab sesuatu isu atau kemelut yang sedang berlaku, ia akan lebih mudah difahami kenapa ia berlaku dan berlarutan sehingga menjadikan sokongan rakyat makin berkurangan.

Contoh yang jelas ialah kenyataan Ku Li tentang kesediaan Amanah Merdeka untuk bekerjasama dengan Bersih terutama dalam Perhimpunan Bersih 3.0 28 April ini di Dataran Merdeka asalkan kedua-dua pihak mempunyai matlamat yang sama. Pendirian Ku Li dan Amanah Merdeka ini jika menjadi kenyataan tentunya memberi impak yang besar kepada rakyat dalam perjuangan menuntut sebuah pilihanraya yang bersih dan adil kerana Amanah Merdeka disertai oleh pelbagai parti politik dan kelompok dalam mesyarakat. Ia juga akan menyedarkan rakyat bahawa pilihanraya yang bersih adalah hak dan keperluan sebuah negara yang merdeka.

Begitu juga dalam isu-isu lain, Amanah Merdeka boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam masyarakat. Dengan penerimaannya daripada hampir daripada semua pihak, kesediaannya untuk lebih kerap tutun padang bukan saja boleh membentuk pemikiran yang lebih jelas di kalangah rakyat, malahan dalam jangka panjang boleh juga menyatupadukan masyarakat untuk mencapai matlamat dan kepentingan bersama. (SH 09/04/2012).

Saturday 7 April 2012

Bersih 3.0 - Antara Pilihanraya Bersih Dan UMNO Yang Tidak Bersih

Perhimpunan aman Bersih kali ketiga akan kembali lagi pada 28 April ini di Dataran Merdeka. Ia adalah lanjutan daripada dua perhimpunan sebelum ini yang bertujuan menuntut kerajaan dan SPR agar mengendalikan pilihanraya secara adil dan bersih serta memuaskan hati semua pihak.

Perhimpunan kali ini bukan saja diadakan di Kuala Lumpur tetapi juga akan diadakan di semua bandar besar di seluruh dunia di mana terdapat rakyat Malaysia tinggal dan bermastautin.

Dalam perhimpunan Bersih 2.0 sebelum ini, lapan tuntutan telah dikemukakan kepada kerajaan iaitu penggunaan dakwat kekal, membersihkan daftar pengundi, reformasi undi pos, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan amalan politik kotor.

Untuk menunjukkan sikap terbuka serta bertanggungjawab dan akur kepada tuntutan itu, Najib kemudiannya bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen atau PSC yang diketuai oleh Dr James Ongkili serta turut dianggotai oleh tiga wakil pembangkang untuk tujuan mengkaji syor-syor yang terkandung dalam tuntutan Bersih 2.0 dan memastikan pilihanraya dapat diadakan dengan adil dan bebas.

Malangnya setelah enam bulan bersidang, cadangan yang dikemukakan oleh PSC telah dibawa ke Parlimen dan diluluskan tanpa bahas. Sebanyak 22 cadangan dikemukakan oleh PSC tetapi daripada lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 2.0 hanya satu sahaja cadangan yang diterima iaitu penggunaan dakwat kekal. Semua tujuh tuntutan lain tidak dimasukkan sama-sekali.

Najib seperti cuba menunjuk baik dengan menubuhkan PSC tetapi dalam masa yang sama bermain wayang dengan menolak tuntutan dan cadangan Bersih 2.0. Maka, logiknya wajarlah perhimpunan "Duduk dan Bantah" Bersih 3.0 ini diadakan.

Ia bertujuan untuk memberi tekanan kepada kerajaan dan SPR supaya benar-benar ikhlas dalam usaha memastikan pilihanraya yang adil dan bersih untuk Malaysia ini.

Isu pembersihan daftar pengundi adalah isu besar dan ia penentu kepada sebuah pilihanraya yang bersih. Sementara PSC bersidang, telah didedahkan banyak perkara mengenai daftar pengundi yang meragukan oleh beberapa Ahli Parlimen dan NGO tetapi SPR nampaknya tidak mahu bertindak proaktif ke arah itu. Senarai daftar pilihanraya kita masih kotor dan merisaukan.

Bukan saja terdapat pengundi berganda, orang mati kekal sebagai pengundi, satu alamat terdapat 100 pengundi, dewan didaftarkan sebagai pengundi, pertambahan jumlah pengundi terlalu mendadak dalam tempoh singkat, pengundi hantu di mana-mana dan pendaftaran rakyat asing yang berleluasa sebagai pengundi berdaftar.

Dalam keghairahan Najib untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pekan di mana beliau pernah menang hanya 241 undi pada piliharaya 1999, jumlah pengundi di Pekan didapati bertambah sebanyak 18,000 menjelang PRU 13 ini. Soalnya siapakah 18,000 pengundi ini? Adalah mereka rakyat tempatan Pekan atau orang Kemboja atau Thailand?

Begitu juga dalam keghairahan untuk menawan semula Selangor yang menjadi mimpi Najib, didapati jumlah pengundi baru di Selangor bertambah mendadak sebanyak 40,000. Tentunya pertambahan ini menimbulkan persoalan dan kesangsian kepada sesiapa pun yang berakal waras.

Sementara itu, pemindahan tempat pengundi juga banyak berlaku. Adalah menjengkelkan bila tiba-tiba seseorang itu beralih tenpat mengundinya sedangkan mereka tidak pernah berbuat demikian. Bagi mereka yang cerdik dan ada kemudahan internet, mungkin boleh menyemak daftar pemilih mereka semingggu sekali untuk memastikan tidak dipindahkan tetapi bagaimana nasib pengundi luar bandar dan orang tua yang tiba-tiba mendapati tempat pengundi mereka sudah berpindah pada hari pengundian. Hak mengundi mereka tentunya diabaikan. Termasuk menjadi mangsa pemidahan ini ialah Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim.

Kalau seorang Menteri Besar boleh dipindahkan tempat mengundi, tentulah tidak mustahil orang lain juga boleh diperbuat demikian.

Isu pendaftaran pendatang asing sebagai pengundi didapati begitu berkeluasa sekali. Di Selangor dilaporkan ramai orang Indonesia dan Bangladesh yang diberikan kad pengenalan dan didaftarkan sebagai pengundi. Di Pahang pula tumpuan diberikan kepada rakyat Kemboja, Thailand dan Myanmar. Sebagai upah untuk menambahkan undi UMNO dan BN, mereka bukan saja diberikan kad pengenalan tetapi juga diberikan tanah untuk mengusahakan ladang pertanian seperti nanas dan sayur-sayuran serta disediakan sebuah perkampungan khas.

Sebagai parti yang sedang berkuasa, sudah tentulah hanya UMNO dan BN yang boleh berbuat demikian terutama dalam hal pemberian kad pengenalan. Parti yang hanya menguasai kerajaan negeri tiada kuasa memberikan kad pengenalan.

Berleluasanya semua hal ini tentunya menjadikan piliharaya tidak lagi bersih. Rakyat asing sudah menjadi penentu kemenangan pilihanraya. Itu belum lagi diambil kira peranan media yang berat sebelah, amalan rasuah, politik kotor dan penggunaan istitusi awam sewaktu kempen piliharaya diadakan.

Dengan hanya menggunakan dakwat kekal tetapi menolak tuntutan- tuntutan yang lain, tidak akan menjadikan pilihanraya bebas, adil dan bersih. SPR harus menjadi benar-benar bebas dan tidak menunjukkan kecondongan yang terlampau dalam hal ini.

Tetapi halangan besar SPR ialah kerana ia telah diperalatkan oleh UMNO dan BN yang sudah sekian lama begitu selesa memenangi pilihanraya dengan cara yang tidak bersih.

Semakin tinggi kesedaran rakyat tentang pilihanraya yang bersih, pihak yang tidak bersih tentunya mempunyai kebimbangan yang semakin tinggi juga. Oleh itu, jom ramai-ramaikan Dataran Merdeka 28 April ini. (SH 07/04/2012)

Thursday 5 April 2012

Ramai Pegawai Najib Lobi Nak Jadi Calon Pilihanraya

Pilihanraya umum mungkin akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini. Sementara Pakatan Rakyat berjuang untuk mengakhiri pemerintahan 54 tahun UMNO dan BN dengan janji untuk membawa perubahan serta kebaikan kepada rakyat, di dalam UMNO pula kemelut untuk berebut dan melobi menjadi calon pilihanraya nampaknya lebih menonjol.

Meskipun diakui bahawa UMNO barada dalam kedudukan cukup genting dan peluang untuk kekal memerintah masih 50-50 dan Najib dalam masa yang sama terus menghamburkan pelbagai jenis gula-gula politik seperti janji durian runtuh untuk peneroka Felda janji-janji lainnya disamping umpan RM500,RM200 dan RM100 yang sudah diberikan, hakikatnya tidak banyak perubahan yang dapat dilihat.

Ini kerana bagi rakyat, mereka mahukan lebih daripada itu. Tidak cukup sekadar memberi rakyat sekelumit tunai tetapi cerita-cerita rasuah dan kemewahan pemimpin tetap terpamer di sana-sini. Apa yang rakyat mahukan sebenarnya ialah sebuah kerajaan yang baik, sentiasa menjaga rakyat, tidak rasuah, tidak boros dan membazir sementara pemimpin dan keluarganya pula mestilah menunjukkan akhlak serta perilaku yang bersesuaian dan boleh dicontohi.

Oleh kerana UMNO sudah digelumangi dengan rasuah sejak sekian lama dan ia sudah menjadi hampir sebati, maka penolakan rakyat terhadap UMNO semakin kuat hari demi hari meskipun pelbagai cara cuba dilakukan. Hari ini UMNO dan pemimpinnya berada dalam kedudukan nyawa-nyawa ikan dan hormat rakyat kepada pemimpin UMNO juga jelas makin berkurangan.

Najib tentunya mahukan UMNO terus menang, jika tidak beliau akan menjadi Perdana Menteri terakhir UMNO, sesuai dengan teori RAHMAN yang ternyata betul itu. Selain kerana rakyat semakin cerdik dan terbuka serta persepsi buruk terhadap UMNO dan para pemimpinnya yang menjadi halangan utama bakal menghambat Najib untuk terus meraih kejayaan, keghairahan melampau sebahagian besar para pegawai Najib sendiri menonjolkan diri untuk menjadi calon pilihanraya kali ini turut menambahkan lagi kesukaran yang ada.

Sementara UMNO sendiri belum tentu "winnable" di hati rakyat tetapi sebahagian besar pegawai-pegawai Najib sudah berani mengaku mereka adalah "winnable" dengan lebih sibuk melobi dan menonjolkan diri untuk dipilih sebagai calon pilihanraya berbanding usaha mewujudkan perpaduan dan menguatkan UMNO itu sendiri.

Daripada berpuluh-puluh pegawai Najib, sekurang-kurangnya tujuh daripada mereka bakal dicalonkan dalam pilihanraya kali ini. Ianya tidak mustahil menjadi nyata kerana usaha lobi-melobi ke arah mencapai hasrat itu begitu cekal dilakukan tanpa memikirkan ada tugas lain yang lebih penting dimainkan di saat-saat genting seperti sekarang ini. Ini tentunya suatu rekod bagi Najib kerana di zaman Mahathir hanya Tan Sri Megat Junid Megat Ayob (kini arwah) dan kemudian diikuti Saad Man yang bertanding dalam pilihanraya sementara di zaman Pak Lah, Othman Desa seorang saja pegawainya yang bertanding pilihanraya.

Selain pegawai-pegawai Najib ini mempunyai kedudukan dalam UMNO yang diperolehi semasa Najib menjadi Perdana Menteri, mereka kini ingin meluaskan lagi pengaruh dan kedudukan dengan melobi untuk dipilih sebagai calon pilihanraya pula. Mereka ingin memperolehi segala-galanya selagi berada di bawah naungan Najib.

Pegawai-pegawai terbabit ialah:

1. Fatmi Che Salleh, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu dan dijangka dipilih bertanding di Parlimen Kota Bharu juga. Beliau ialah Setiausaha Politik Najib di Jabatan Perdana Menteri.

2. Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, dijangka akan bertanding di Parlimen Wangsa Maju, Setiawangsa atau Titiwangsa. Beliau ialah Setiausaha Politik Najib di Kementerian Kewangan. Kiranya Najib terus mengekalkan kerusi Wangsa Maju kepada MCA sebagaimana kouta sekarang, beliau dijangka akan dipayungterjunkan ke Setiawangsa atau Titiwangsa. Namun Shafei sedang melobi kuat untuk mendapatkan kerusi Setiawangsa berikutan terdapat puluhan ribu undi askar di situ.

3. Sahlan Ismail, Setiausaha Politik Najib di Jabatan Perdana Menteri dikhabarkan sedang mengintai untuk bertanding di Parlimen Pokok Sena untuk berhadapan dengan Mahfuz Omar berikutan tiada calon tempatan yang sesuai untuk berhadapan dengan Naib Presiden Pas itu.

4. Jailani Ngah, Setiausaha Politik Najib di Jabatan Perdana Menteri juga sedang melobi untuk bertanding salah satu kerusi di Terengganu dan kerusi DUN Batu Rakit adalah pilihannya yang selamat setakat ini. Sebuah blog 'Sanggah Tok Janggut' juga melaporkan sebelum ini bahawa Jailani bukan setakat melobi untuk dirinya tetapi turut memainkan peranan cuba mencatur kedudukan calon-calon pilihanraya di Terengganu untuk pilihanraya kali ini dengan memasukkan beberapa nama yang rapat dengannya dan menyingkirkan wakil-wakil rakyat sedia ada.

5. Ghazali Ibrahim, pegawai khas Najib di Jabatan Perdana Menteri ini ialah bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Kedah. Walaupun pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini tetapi keghairahannya untuk dipilih semula sebagai calon pilihanraya tetap membara berikutan kedudukannya yang lebih rapat dengan Najib sekarang ini.

6. Farid Ridzuan, penasihat media Najib ini ialah bekas CEO TV3 dan diuar-uarkan akan dibawa ke kabinet sebagai Menteri Penerangan jika UMNO terus dapat berkuasa dan Najib kekal sebagai Perdana Menteri. Beliau yang berasal dari Perak dan dibesarkan di Kuala Lumpur, dijangka akan diletakkan di salah satu kerusi Parlimen di negeri Perak atau di negeri lain yang difikirkan boleh menang.

7. Latt Shariman ialah pegawai tugas-tugas khas Najib di Kementerian Kewangan dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah. Sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, beliau akan memilih salah satu kerusi yang selamat di kawasan itu pilihanraya kali ini.

Dengan sekurang-kurangnya tujuh orang pegawai yang sedang berkhidmat dengan Najib akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, sementara UMNO sendiri masih terumbang-ambing antara timbul dan mungkin karam, prioriti mereka pastinya akan menjadi kacau-bilau di antara untuk menentukan kemenangan UMNO secara keseluruhan atau menentukan kemenangan peribadi di kawasan masing-masing.

Sebelum ini iaitu sebaik Najib menjadi Perdana Menteri, terdapat keghairahan yang melampau di kalangan sesetengah pegawai Najib untuk menjawat jawatan penting di peringkat bahagian, tetapi kini keghairahan itu diteruskan lagi untuk menjadi calon pilihanraya pula.

Perbagai cara sudah dan sedang dilakukan untuk menonjolkan diri sebagai calon yang "winnable" di hati Najib dengan harapan hasrat yang terpendam di hati akan menjadi kenyataan. Di sisi Najib mereka ini mungkin boleh dilihat "winnable" tetapi di sisi rakyat, bukan saja mereka, malahan Najib dan UMNO sendiri belum tentu lagi dilihat "winnable" dalam pilihanraya akan datang ini. (SH 05/04/2012).

Tuesday 3 April 2012

Bila PM Jadi Semberono Dan Syok Sendiri...

Semalam, Isnin malam, Perdana Menteri membentangkan laporan pencapaian program GTP dan ETP yang dirangkanya untuk rakyat sejak tiga tahun lalu. Beliau menerangkan kejayaan-kejayaan yang dicapai melalui program itu sama ada dalam bentuk jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.

Melihat dari cara Najib berdiri, bercakap, menghuraikan satu demi satu kejayaan dan memberi markah kepada dirinya sendiri, jelas benar bahawa beliau syok sendiri pada malam itu. Dengan bercakap secara sehala kepada rakyat melalui siaran langsung ke seluruh negara, beliau seolah-olah hanya mahu rakyat menerima saja apa yang dibentangkan itu dan melupakan seketika realiti kehidupan sebenar yang sedang dilalui.

Lupakan seketika pelbagai kenaikan harga barang, minyak dan gula sebelum ini. Abaikan juga amaran ketika mula menjadi Perdana Menteri mahu menghapuskan subsidi barangan pengguna dengan alasan menghalang daya juang rakyat dan boleh menyebabkan negara bankrap seperti Greecee. Lupakan juga derita kerana ketiadaan peluang kerja, peluang perniagaan yang menipis dan kesukaran memulakan perniagaan berikutan amalan nepotisme, kronisme serta birokrasi yang makin mencengkam.

Sementera Najib berbangga dengan program BR1M bernilai RM500 kepada rakyat berpendapatan di bawah RM3000, bantuan RM100 untuk pelajar sekolah dan baucer buku RM200 untuk peplajar universiti, beliau seakan-akan cuba menutup hakikat perbelanjaan sambutan hari jadinya yang menelan kos hampir RM80 ribu untuk 100 tetamu (bermakna jamuan seorang tetamu RM800) dan kos jamuan majlis pertunangan anak perempuannya bernilai hampir RM400 ribu untuk 1000 tetamu (bermakna kos makan setiap tetamu ialah RM400).

Rakyat miskin diberi RM500 sebagai gula-gula pilihanraya tetapi jamuan mewah untuk kawan-kawan dan VIP menelan kos RM800 dan RM400 untuk sekali makan. Dalam masa yang sama hutang bekas Pengerusi MAS, Tajuddin Ramli dengan kerajaan berjumlah RM589 juta dilupuskan begitu sahaja. Bermakna wang rakyat telah diberikan kepada kroni dengan mudah dan jumlah yang berlipat kali ganda berbanding rakyat biasa.

Itu belum dikira lagi kos perbelanjaan rakyat berpendapatn rendah sama ada yang tinggal di kampung dan bandar yang sentiasa terhimpit dengan pelbagai kenaikan harga barang dan tekanan kos sara hidup sejak beliau mengurangkan pelbagai jenis subsidi dan menaikkan harga minyak beberapa kali sejak menjadi Perdana Menteri.

Hanya di ketika gendang pilihanraya makin kuat kedengaran sekarang kenaikan itu dibekukan sementara tetapi tiada jaminan ia tidak dinaikkan selepas pilihanraya nanti. Najib menahan kenaikan sebelum pilihanraya tetapi Pakatan Rakyat memberi jaminan pelbagai penurunan selepas pilihanraya.

Ketika Najib bercakap soal rasuah dan integriti, beliau tidak seharusnya lupa pelbagai jenis skandal sama ada yang dikaitkan dengannya atau yang berlaku sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri. Skandal lembu NFC menyerlahkan kelemahan Najib untuk bertindak, hanya setelah pendedahan demi pendedahan dibuat barulah tindakan diambil. Itu pun tindakan paling minima.

Pelbagai jenis skandal lainnya seperti kapal selam, kehilangan enjin jet, bangunan runtuh, pelbagai jenis rasuah dan ketirisan yang didedahkan di media sama sekali tidak akan menyebabkan rakyat lupa tentang hakikat sebenar yang berlaku. Ia mungkin boleh dinyanyi dan didendang dengan alunan seruling bambu paling merdu tetapi sepanjang masa mendengar nyanyian dan alunan yang sama akan menimbulkan kebosanan juga akhirnya.

Najib juga merungkai tentang kadar jenayah yang menurun sebanyak 11.1 peratus tetapi jika kita menonton tv dan membaca akhbar setiap hari, cerita rompak, ragut, bunuh dan culik berlaku begitu menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Apakah itu melambangkan kadar jenayah yang menurun dan kehidupan rakyat yang makin sejahtera?

Setelah menghuraikan kejayaan demi kejayaan, Najib juga memberitahu bahawa kerajaan pimpinannya bukanlah kerajaan populis dan semberono tetapi dengan menghurai dan membanggakan hasil kerja sendiri, mengaku kejayaan sendiri dan memberi markah kepada hasil usaha sendiri, bukanlah itu lebih daripada populis?

Dengan menghuraikan hanya ceritera kejayaan tetapi menutup pelbagai hikayat skandal, pembaziran, pemborosan, rasuah dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan, tidaklah ia juga lebih daripada semberono? Atau mahu menyemberonokan rakyat? Jika benar bertanggungjawab jangan ada apa-apa yang disimpan di bawah karpet.

Di sebalik ceritera kejayaan yang tidak mungkin ditelan bulat-bulat oleh rakyat, kebimbangan Najib akhirnya terserlah apabila beliau memberi analogi kepada rakyat agar jangan menukar pemandu di tengah perjalanan. Soalnya apakah kalau pemandu itu tidak berhemah, cuai dan menyebabkan penumpang teramcam nyawanya seperti yang berlaku sekarang, mereka mahu terus menggunakan pemandu yang sama? (SH 03/04/2012).

Sunday 1 April 2012

Ezam, Nalla dan Umi Hafilda Sedang Membesarkan Kubur Untuk Najib

Semakin hampir tiba detik pilihanraya, serangan peribadi kepada Anwar semakin memuncak. Bekas pemimpin-pemimpin PKR sperti Ezam Mohd Nor, Anuar Shaari, Nallakaruppan, Zulkifli Nordin dan lain-lain nampaknya begitu rancak menyerang peribadi Anwar berkaitan isu seks dan moral. Umi Hafilda yang merupakan adik kepada Azmin Ali turut tumpang semangkuk menghangatkan lagi suasana dengan dakwaan yang jika dihalusi lebih bersifat masalah kekeluargaan semata-mata.

Mereka berjanji untuk berkempen ke seluruh negara bersama isu seks, liwat dan biseksual yang dikaitkan dengan Anwar itu. Di dada media dan kaca tv, mereka sudah muncul hampir setiap hari dengan isu yang sama seolah-olah itulah isu pokok dalam politik negara dan penentuan rakyat terhadap parti yang ingin diberikan kuasa.

Modal mereka hanyalah isu seks dan liwat yang dikaitkan dengan Anwar dan sudah pun menjadi pengetahuan umum sebenarnya sejak Anwar dipecat pada 1998 lagi. Mereka hanya mengulang-ulang cerita lama seolah-olah mereka mengetahui segala-galanya walaupun dalam dalam kes liwat pertama, Anwar sudah dibebaskan oleh mahkamah dan dalam kes liwat kedua, juga sudah dibebaskan di peringkat Mahkamah Tinggi. Ia kini sedang menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Cerita seks dan liwat ini sudah diulang banyak kali walaupun hakikatnya rakyat menolak permainan menyerang peribadi secara keterlaluan itu. Lihatlah keputusan beberapa pilihanraya kecil sebelum ini dan arus sokongan rakyat di merata-rata tempat sekarang, jelas dapat dilihat bahawa isu ini tidak menjadi kudis kepada rakyat. Bahkan lagi disebut dan diulang cerita seks dan liwat itu, makin mencanak sokongan rakyat kepada Anwar.

Sesetengah rakyat tidak mempercayai isu seks dan liwat itu dan menganggapnya cubaan untuk membunuh karier politik Anwar yang direka sejak zaman Mahathir lagi. Sesetengah yang lain pula menganggapnya sebagai mainan politik longkang yang cuba dilakukan oleh BN untuk memenangi pilihanraya. BN dilihat seolah-olah sudah kering idea dan tiada modal lain untuk mendapatkan sokongan rakyat dan berhadapan dengan Anwar serta Pakatan Rakyat.

Jika diperhatikan gerak laku dan perangai bekas pemimpin PKR yang mengaitkan Anwar dengan pelbagai dakwaan berkaitan seks dan liwat itu, amat nyata bahawa bahawa mereka ingin menjadi hero dalam pilihanraya akan datang ini. Mereka ingin membunuh karektor Anwar dan mahu rakyat terus memilih BN semata-mata atas alasan Anwar seorang pemimpin yang tidak baik moralnya dan dikatakan gila seks.

Keghairahan mereka menonjolkan diri dalam media dan di sisi Najib telah menenggelamkan kewujudan pemimpin dalam UMNO sendiri. Peranan Ketua Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO seolah-olah tidak wujud dalam mempertahankan UMNO dan Najib. Sepanjang masa suara Najib lebih banyak disahut oleh mereka ini berbanding pemimpin dalam UMNO sendiri. Benarkan kata Tun Daim, Najib dalam persiapan menghadapi pilihanraya ini umpama jeneral tanpa askar.

Dalam masa yang sama, dengan menonjolkan isu seks dan liwat, penilaian rakyat cuba ditutup terhadap isu kenaikan harga barang, beban hidup yang meningkat, rasuah makin berleluasa, skandal lembu NFC, pelupusan hutang Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta, hutang negara mencecah hampir 55 peratus KDNK negara, ekonomi yang tidak berkembang, urus tadbir negara yang lemah dan pelbagai isu lainnya yang menghenyak kehidupan rakyat seharian.

Apakah mungkin isu seks dan liwat itu mampu menjadikan rakyat buta hati dan melupakan isu lain seperti yang disebutkan diatas tadi?

Sudah bertahun-tahun terbukti bahawa isu seks, liwat dan biseksual yang dikaitkan dengan Anwar tidak memberi kesan apa-apa kepada kepada rakyat dan tindakan Ezam, Nalla, Umi Hafilda, Anuar Shaari serta rakan-rakan mereka yang lain terus membangkitkan isu itu tidak lain hanya umpama menambahbesarkan lagi kubur politik untuk Najib saja.

Anwar tidak akan ke mana-mana dek serangan itu tetapi sebaliknya Najib yang makin ditolak rakyat.

Najib yang kini bagaikan tercungap-cungap untuk mempertahankan kuasa, akan lebih ditolak rakyat dengan isu seks, liwat dan biseksual yang berterusan dibangkitkan ini kerana dalam masa yang sama beliau gagal menyelesaikan pelbagai isu dalam negara dan memberi jaminan tentang kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.

Berbeza dengan Anwar dan Pakatan Rakyat, selain menjanjikan pengurusan ekonomi dan negara yang lebih baik, mereka juga menjanjikan penurunan harga minyak dalam tempoh 24 selepas menawan Putrajaya, kajian semula tarif letrik dan terbaru penghapusan hutang PTPTN pelajar serta jaminan memberi pendidikan percuma untuk rakyat.

Tawaran-tawaran itu tentunya lebih menawan hati rakyat berbanding hidangan cerita seks, liwat, biseksual dan dakwaan Umi Hafilfa terhadap Anwar dan Azmin yang lebih merupakan masalah keluarga. Masalah keluarga sepatutnya diselesaikan dengan kaedah kekeluargaan dan tindakan Umi Hafilda menyeret masalah keluarganya ke dalam UMNO dan BN hanya akan menambahkan lagi beban Najib dalam pilihanraya ini.

Jika benar bekas-bekas pemimpin PKR ini ingin membantu Najib dan mahu melihat UMNO dan BN terus berkuasa, mereka sepatutnya bukan menjaja cerita seks dan liwat terhadap Anwar yang dikitar semula tetapi mendedahkan bagaimanakah strategi dan rahsia PKR menghadapi beberapa piliharaya sebelum ini sehingga mampu memenangi beberapa kawasan pilihanraya. Mereka juga boleh menceritakan bagaimana untuk mendekati generasi muda kerana luka yang ditinggalkan Ezam kepada Pemuda UMNO khususnya ketika zaman kebangkitan reformasi masih segar dalam ingatan sebahagian besar ahli UMNO sendiri.

Atau setidak-tidaknya memberi idea bagaimana untuk melawan janji penurunan harga minyak, letrik dan penghapusan hutang PTPTN yang dibawa oleh Anwar dan Pakatan Rakyat yang dilihat begitu berjaya menawan hati rakyat.

Menjaja cerita seks dan mengulang skrip lama terhadap Anwar hanya mendedahkan tembelang ingin muncul hero di sisi Najib tetapi tiada idea segar yang boleh diterima rakyat. Di dalam UMNO sendiri kaedah yang digunakan oleh bekas pemimpin PKR ini tidak begitu disenangi kerana didapati gagal menarik sokongan rakyat. Ceramah yang mereka buat juga selama ini hanya dihadiri oleh AJK UMNO Bahagian, AJK UMNO cawangan-cawangan serta kelompok yang dekat dengan pimpinan UMNO saja. Tidak ada rakyat biasa yang mahu hadir dan mendengar ceramah Ezam dan rakan-rakannya dan ahli UMNO juga tidak bertambah hanya kerana ceramah mereka. Lebih dari itu, tidak ada ahli PKR atau Pas yang keluar parti dan menyertai UMNO disebabkan oleh Ezam, Nalla, Anuar Shaari dan Umi Hafilda.

Mereka mungkin berjaya menjadi senator dan mengaut sedikit habuan ekonomi tetapi sumbangan terbesar ialah kejayaan membesarkan lagi kubur politik untuk Najib dalam PRU 13 ini. (SH 01/04/2012).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...