Monday 23 January 2012

Beberapa Lagi Bekas Pemimpin UMNO Akan Sertai DAP

Setelah beberapa bekas pemimpin UMNO dan NGO menyertai DAP baru-baru ini, kini beberapa orang lagi bekas pemimpin UMNO sedang dintai dan dirisik untuk menyertai parti itu.

Antara mereka ialah yang pernah memegang jawatan utama di peringkat UMNO bahagian dan negeri serta dikenali ramai. DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum kini kelihatan bersungguh-sungguh untuk mempamerkan wajah majmuknya sesuai dengan komposisi penduduk berbilang kaum di negara ini.

Kiranya usaha menarik bekas-bekas pemimpin UMNO ini menjadi kenyataan, ia pastinya memberi tamparan kepada UMNO yang kini sudah pun sedia tenat dan dijauhi oleh orang-orang Melayu sendiri.

Dengan penyertaan bekas pemimpin UMNO itu dan seterusnya berupaya pula menarik sokongan pengundi sekurang-kurangnya 200 atau 300 di kalangan penyokong dan saudara mara mereka, pastinya harapan untuk melihat calon UMNO dan BN tumbang di banyak kawasan dalam pilihanraya akan datang adalah amat cerah sekali.

Bekas-bekas pemimpin UMNO terbabit bukanlah menyertai DAP kerana kecewa atau sebagainya tetapi untuk membuktikan bahawa DAP bukanlah parti chauvinis Cina atau perkauman totok sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh UMNO selama ini. Lagi pula sudah menjadi tradisi UMNO mengenepi dan menyisihkan langsung bekas pemimpin mereka setelah tidak lagi memegang jawatan di bahagian atau setelah dibersarakan sebagai wakil rakyat.

Setiap kali pemilihan UMNO, pemimpin baru yang naik memegang jawatan, biasanya akan menyisihkan terus pemimpin lama, malahan kadang-kadang diketepikan pendapat atau tidak dijemput lagi menghadiri program-program parti.

Baru-baru ini dua bekas pemimpin UMNO iaitu Datuk Ariff Sabri dari Pekan, Pahang, Aspan Alias dari Negeri Sembilan serta bekas Presiden NUJ, Hata Wahari telah menyertai DAP dan dikatakan akan diletakkan sebagai calon dalam pilihanraya akan datang.

Sebenarnya penyetaan tokoh Melayu dalam DAP bukanlah baru di mana sebelum ini Ahmad Nor, Zainal Rampak, Fadzlan Yahya dan beberapa nama lagi adalah antara yang bergiat cergas, berjaya menjadi wakil rakyat dan menduduki heiraki kanan dalam parti itu.

Dengan penyertaan beberapa lagi bekas pemimpin UMNO ini, DAP dipercayai bukan sahaja berjaya menampilan wajah pelbagai kaum dan keterbukaannya malahan dalam jangka panjang akan mengubah persepsi mutlak orang-orang Melayu sendiri terhadap parti itu. (Secara peribadi penulis mengetahui sebahagian nama-nama yang bakal menyertai DAP itu dan hanya menunggu masa pengumuman sahaja).

Soal sama ada bekas-bekas pemimpin UMNO yang menyertai DAP ini akan dijadikan calon atau sebaliknya bukanlah soal penting sebenarnya tetapi jika penyertaan itu mampu mengubah persepsi dan menarik sokongan orang Melayu kepada DAP dan Pakatan Rakyat, hakikatnya laluan berduri sedang menanti BN dalam PRU 13 ini.

Lagi pula DAP kini dilihat parti yang mengamalan keterbukaan, telus dan bersikap keras terhadap amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan atau yang melibatkan pemimpin kerajaan dan dilakukan merentasi sempadan kaum dan agama.
(SH 23/1/2012).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...